logo

let’s make something together

Give us a call or drop by anytime, we endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.

Find us

27 & 27A Lorong Datuk Sulaiman 7
Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur
Malaysia.

Phone support

Phone: +603-77254858

Bebas Dari Onani

  • By Azwan Ismail
  • March 1, 2006
  • 18 Views

By Hishamuddin Rais

It is easier to dominate someone if they are unaware of being dominated. Colonised and colonisers both know that domination is not just based on physical supremacy. Control of hearts and minds follows military conquest. Which is why any empire that wants to last must capture the souls of its subjects. – Ignacio Ramonet, Le Monde Diplomatique, May 2000

Bunyi-bunyi ini telah didengari

Tulisan ini bertujuan untuk melihat dan membongkar bagaimana daulah telah dapat mengukuhkan kuasa dan mengembangkan payung hegemoninya ke atas warga melalui perkataan, tanda dan makna. Tulisan ini berasaskan satu pengamatan yang sedang berlaku khususnya ke atas masyarakat Melayu di Malaysia.

Bunyi yang ditimbulkan dari kata tidak ada bersangkut paut dengan apa yang dimaknakan oleh bunyi itu. Bunyi M-e-j-a atau k-e-r-u-s-i tidak ada kena mengenakan dengan papan-papan yang disusun dan ditegakkan oleh empat batang tiang yang digunakan untuk meletakan buku atau makanan. Makna yang dibawa oleh bunyi dari perkataan m-e-j-a itu telah diterima secara kolektif dalam satu-satu kelompok.

Apa yang penting ialah bunyi-bunyi ini telah didengari melalui telinga. Bunyi-bunyi ini ditafsirkan untuk membawa makna yang secara kolektif telah dipersetujui bersama. Pada awalnya perkataan muncul kerana keperluan pembuatan atau lahir dalam proses kehidupan asas. Manusia memerlukan nama untuk satu-satu perkara atau satu-satu benda. Manusia juga memerlukan tanda yang akan membawa makna untuk satu-satu kelompok. Kelompok akhirnya bersama-sama  bersetuju untuk menerima bunyi dan tanda untuk membawa makna.

Pada asasnya perkataan, tanda dan makna muncul secara innocent  kerana keperluan  manusia untuk berhubung dan membina asas kehidupan. Tetapi akhir-akhir ini semakin jelas kuasa daulah telah mengambil peranan untuk mengkonstruk perkataan-perkataan untuk membawa makna dan tanda yang baru. Perkataan, tanda dan makna yang dimunculkan oleh daulah ini memiliki cita-cita untuk memperluaskan kuasa hegemoni daulah. Dalam masa yang sama melalui tanda dan makna yang ditakrifkan oleh daulah maka proses mengontrol warga dapat dilakukan serentak.

Membonsaikan fikrah

Tidak adalah tempat yang paling baik untuk memperluaskan hegemoni dan kontrol melainkan di kawasan berahi yang bersangkutan dengan keberahian jantina. Kuasa daulah mengetahui bahawa jika berahi seksual ini dapat di kontrol maka bermakna individu itu akan dapat dipatahkan individualitinya. Manusia yang paling dayus ialah manusia yang tidak mengiktiraf dan tidak berani berhadapan dengan keberahian seksualnya.

Manusia yang gagal atau tidak berani berhadapan dengan berahi seksualnya adalah individu/manusia yang senang untuk dikontrol. lni kerana berahi seksual adalah berahi yang paling asas yang dimiliki oleh individu. Berahi ini juga adalah berahi rahsia yang tersimpan jauh dalam diri individu. Berahi seksual inilah yang membina jati diri dan identiti individu. Jika berahi seksual individu yang amat sulit ini di definisikan, diterjemahkan atau diberi tanda dan makna oleh daulah maka ini bermakna manusia ini telah hilang kuasa individunya. Individu seperti ini dengan amat senang telah dimasukkan ke bawah payung hegemoni daulah. Bertambah berat lagi kejadian ini apabila daulah bukan hanya memberi definisi, tanda dan makna kepada berahi individu tetapi kepada berahi seksual kelompok .

Di Malaysia, kuasa daulah menyedari bahawa warga yang perlu dikontrol dan di kawal ialah manusia Melayu. Justeru hanya di kalangan Melayu sahaja terdapat penggunaan perkataan, tanda dan makna yang bertujuan untuk memperluaskan hegemoni daulah ini. Hegemoni daulah ini selain dari mengawal ianya juga bertujuan untuk membonsaikan fikrah. Individu atau kelompok yang telah didefinisikan berahi seksualitinya pasti tidak memiliki keupayaan fikrah yang tersusun.. Kemungkinan untuk mengeluarkan pandangan/falsafah terbantut kerana akal fikiran telah bonsai kerana dipagari oleh hegemoni daulah.

Perkataan-perkataan imigran

Penggunaan berahi dan seksualiti untuk meruntuh/mengawal individualiti bukan sesuatu yang baru. Semenjak munculnya negara bangsa, aparatus/jentera daulah telah bergerak untuk mendefinisikan seksualiti individu yang dianggap gagal untuk turut sama dalam agenda daulah. Aparatus utama ialah penjara. Kajian demi kajian telah dibuat bagaimana penjara cuba dijadikan aparatus untuk memperbaiki tingkah/perangai seseorang. Atau lebih tepat lagi penjara adalah aparatus yang digunakan untuk meluntur individualiti seseorang dengan harapan ianya dapat diserupakan dengan kumpulan lain yang dipersetujui atau di perkenan oleh daulah.

Penjara adalah contoh kasar di mana berahi seksualiti cuba dikawal dan diruntuhkan. Apa yang kita baca dan lihat di Abu Gharib adalah tanda dan makna bagaimana berahi seksualiti telah digunakan untuk meruntuhkan individualiti para pejuang pembebasan Iraq yang sedang ditahan. Membogelkan, menyondol buntut sesama sendiri, melancapkan orang lain adalah taktik seni yang tersusun yang telah dilakukan bukan dengan sewenang-­wenang tetapi melalui proses yang telah melalui kajian. Mengikut strategi kuasa imperial ini; jika berahi seksualiti individu ini dapat diruntuhkan maka individu ini akan dapat dimiliki oleh daulah – dalam kes Abu Gharib – para tahanan ini akan beralih kiblat untuk menyokong kuasa imperial Anglo-Amerika.

Dalam kes kuasa hegemoni daulah di kalangan masyarakat Melayu di Malaysia, ianya tidak kelihatan seganas apa yang sedang berlaku di Abu Gharib. Tindakan daulah di sini dilihat agak sopan dan teratur berbanding dengan Abu Gharib. Tetapi penggunaan berahi seksualiti memiliki tujuan yang sama – untuk menundukkan individualiti, untuk mengawal dan mengontrol individu.

Langkah pertama yang sedang dilakukan oleh daulah ialah mengaburi erti dan makna perkataan-perkataan yang bersangkutan dengan berahi jantina. Hari ini jika kita membaca akhbar maka kita bertemu dengan perkataan seperti faraj, onani, klitoris, ereksi, sperma atau seks oral. Semua ini adalah perkataan-perkataan imigran. Bunyi, tanda dan makna untuk pekara-pekara ini ada tersimpan dalam khazanah perbendaharan kata­-kata bahasa Melayu asli.

Adalah tidak masuk akal satu bahasa yang puluhan ribu tahun umurnya dan sedang digunakan oleh hampir 350 juta manusia tidak mempunyai perbendaharaan kata yang cukup untuk memberikan tanda dan makna kepada perkataan-perkataan imigran ini. Puki, melancap,  air mani, biji kelentit, tegang atau mengulum/menjilat kemaluan – adalah perkataan Melayu yang betul dan tetap untuk menerangkan benda, perkara dan perlakuan itu.

Apabila perkataan-perkataan ini dikalihkan dari bahasa asalnya maka pembaca/warga akan kurang mengerti apakah makna tepat yang ingin dibawa/sampaikan oleh perkataan tersebut. Perkataan memiliki susur galur sejarah dan makna yang tepat. Pisau ertinya sesuatu alat dari besi yang kecil, tajam dan boleh melukakan. Pisau bukan kapak dan bukan parang. Apabila disebut p-i-s-a-u maka telinga yang mendengar akan mengerak otak untuk menggambarkan benda kecil tajam ini yang mungkin dianggap bahaya.

Tetapi mungkin tidak ramai yang memahami konsep onani. Mungkin ada warga yang ternganga mulut tercari­-cari akan makna o-n-a-n-i. Kenapa perkataan onani digunakan walhal melancap adalah perkataan Melayu yang lebih tepat. Perkataan itu pun berasal usul dari Kitab Injil. (Onan, yang abangnya baru meninggal, dipaksa undang-undang dahulu supaya berkahwin dan bersetubuh dengan isteri abangnya agar keluarga abangnya dapat meneruskan zuriat. Tetapi Onan enggan memberikan anaknya kepada abangnya, lalu melakukan “coitus interuptus” semasa seks dan menumpahkan air maninya ke atas lantai. Pada saat itu juga Tuhan menamatkan nyawanya. Akibatnya, orang Yahudi – dan juga Katolik dan Kristian – menyatakan bahawa segala perbuatan yang menumpahkan air mani ke lantai adalah dosa). Kadangkala perkataan melancap ini, jika onani tidak digunakan maka digantikan pula dengan masturbasi. lni juga amat jauh bunyi, tanda dan makna dari pemahaman manusia Melayu.

Di sini amat jelas daulah sengaja berusaha untuk mengalihkan kefahaman warga dari memahami berahi yang muncul dari perkataan melancap.

Kemudian saya melakukan onani

Di bawah ini saya berikan contoh bagaimana perkataan-perkataan ini muncul dalam soal jawab di media :–

SOALAN: SAYA seorang pelajar yang tidak arif dalam agama. Di sini saya ada permasalahan yang membuatkan saya buntu.

  1. Pada Ramadan yang lalu, saya bermimpi basah dan terjaga selepas Subuh, kemudian saya melakukan onani. Apakah hukumnya?
  2. Seorang kawan perempuan saya melakukan onani pada malam hari pada Ramadan. Dia berniat untuk mandi sebelum Subuh tetapi dia tertidur sehingga selepas Subuh. Apakah hukumnya?
  3. Bagaimana hendak elakkan dari terus melakukan onani?

PELAJAR BUNTU,

Melalui e-mel

Jawapan: Onani adalah amalan untuk memuaskan nafsu seks secara sendiri, luar dari yang diharuskan syariat. Lelaki yang mengeluarkan  air maninya dengan tangannya sendiri adalah haram kerana kesan dari perbuatannya itu menyebabkan kesihatan masa depannya terjejas…

– BERITA HARIAN, 14 Ogos – 2005

Jika diperhatikan dengan betul maka jelas dua perkara sedang berlaku di sini. Perkara pertama ialah bagaimana perkataan melancap itu telah dialih kepada onani. lni dilakukan dengan tujuan untuk memitoskan perkataan ini. Dengan menggunakan onani maka perkataan melancap dalam bahasa asal Melayu ditenggelamkan. Kedua – dengan menenggelamkan perkataan ini ianya akan memberi makna bahawa manusia Melayu itu tidak memiliki satu perkataan yang tepat terhadap satu perbuatan seksual yang memberahikan. Justeru, jika manusia Melayu itu tidak memiliki perkataan itu maka pada hemat media ini mustahillah manusia Melayu itu akan berkeupayaan untuk melakukannya. Manusia Melayu itu suci dan kudus dari segala bentuk berahi seksual. Ini bererti manusia Melayu ini bebas dari melancap.

Di sini saya tidak perlu menimbulkan jawapan-jawapan yang tidak masuk akal yang akan diberikan kepada si polan yang bertanya. Selalunya jawapan-jawapan ini tidak berasakan ilmu yang ilmiah. Jawapan yang diberikan tidak lahir dari kajian tetapi dari mitos-mitos yang telah dipungut berkurun-kurun. Semua ini bertujuan untuk memperkukuhkan lagi kuasa daulah dalam mengawal  keberahian individu.

Media dan agama di sini adalah dua aparatus yang digunakan untuk mengembangkan hegemoni daulah ke atas seksualiti individu. Melalui rancangan-rancangan soal jawab agama, media telah memasarkan pekara-pekara berahi seksualiti yang ingin diketahui umum. Lantai agama telah digunakan secara sedar untuk mengkuduskan kerja media dalam soal jual beli dan pemasaran berahi seksualiti. Tuan pemilik saham media menyedari bahawa berahi seksualiti memiliki pasaran yang amat luas.

Dengan berjubahkan soal jawab agama dan kesihatan, media dapat merapati berahi para pembaca. Jubah ini dipakai untuk tidak dilihat lucah. Justeru, soalan-soalan telah dikonstruk untuk membetung pemikiran pembaca. Proses pembetungan pemikiran melalui media ini adalah permulaan kuasa hegemoni daulah ke atas berahi seksualiti individu.

Pakar-pakar agama yang bersekongkol dengan daulah akan mengeluarkan pandangan dan pendapat yang tujuan asasnya ialah untuk mengontrol berahi individu. Agama seperti penjara adalah aparatus yang dilihat sivil yang boleh memperluaskan hegemoni daulah. Berlandaskan kekudusan dan kesucian agama, pandangan­-pandangan yang menundukkan berahi telah disebarkan seluas mungkin. Dalam proses kerjasama/perniagaan menjual agama dan menjual akhbar ini kelihatan daulah seolah-olah tidak mengambil bahagian atau bersikap neutral.

Ini tidak benar. Di Malaysia ini tidak mungkin wujud akhbar, majalah atau stesen radio/tv tanpa mendapat lesen dari kuasa daulah. Malah akhir-akhir ini telah terjadi percantuman yang jelas di antara kepentingan daulah dengan kepentingan perniagaan media.

Tidak membenarkan pemahaman falsafah

Mengalih perkataan Melayu – melancap – kepada onani dibuat dengan harapan akan lahir satu tanda dan makna yang baru. Perbuatan ini sering dilakukan oleh aparatus media. Sebagai contoh kita lihat bagaimana media telah menaburkan perkataan seperti – collateral damages, kempen udara, regime change, axis of evils. Perkataan ini telah digunakan oleh kuasa imperial Anglo-Amerika ketika menyerang Iraq. Mengalihkan perkataan itu bertujuan untuk mendodoikan hati pembaca dan menjauhkan pembaca dari memahami apa yang sebenarnya berlaku.

Perkataan – kempen udara – telah digunakan dan tidak pengeboman dari udara. Perkataan – mengebom – kelihatan ganas dan kasar. Bom membawa makna kematian dan kemusnahan. Kempen udara dilihat lenggok iramanya indah dan tidak menakutkan. lni sama juga dengan perkataan – onani – yang telah menggantikan melancap. Apabila perkataan melancap muncul maka akan tergambar lelaki/perempuan telanjang bersendirian di atas katil. Tangan si polan ini yang sedang memegang kemaluan sendiri yang tegang sambil mencari nikmat berahi seksual. Proses menikmati berahi seksual ini perlu dikaburi dari diketahui, difahami dan dinikmati oleh orang Melayu.

Proses yang telah terjadi ini adalah sebahagian dari proses pembonsaian fikrah manusia Melayu. Proses ini telah/sedang berjalan dengan teratur. Kini proses mengbonsaikan fikrah Melayu ini telah meningkat ke satu tahap penggunaan kata, makna dan tanda dalam dunia sakral. Sebelum kuasa daulah yang kita lalui hari ini wujud, kuasa sakral melalui mitos agama telah menjadi penyusun dan pengatur perjalanan kelompok manusia. Kuasa daulah moden dalam bentuk negara bangsa hanya muncul di Malaysia ini hasil dari pertembungan wilayah kita ini dengan kuasa kolonial dari Eropah.

Proses pengagamaan yang dialami oleh manusia Melayu di Malaysia ini tidak meninggi hingga ke tahap falsafah yang dibawa oleh ajaran agama itu sendiri. lanya juga tidak sampai ke tahap spirituil esoterik yang  menjadi anutan kaum sufi dan kaum zen. Daulah tidak akan membenarkan pemahaman falsafah agama yang berinduk kepada kebajikan orang ramai. Jika falsafah agama yang berinduk kepada kesejahteraan ramai disedari oleh manusia Melayu maka besar kemungkinan manusia Melayu akan mengalami proses pencerahan. Pencerahan ini pula tidak dapat tidak akan mengancam hegemoni daulah dan monopoli kuasa.

Justeru tahap pemahaman agama dikalangkan manusia Melayu masih lagi pada tahap ritual yang paling asas. Tahap ritual yang membolehkan atau mengharamkan sesuatu. Pekara ini dibenarkan. Pekara yang itu dilarang. Kuasa agama sedar bahawa cara yang terbaik untuk mengawal para pengikut ialah dengan mengawal keberahian seksualiti para penganutnya. Jika seksualiti penganut dapat dikawal maka dengan sendirinya individu itu dapat sama dikawal.

Lubang najis

Mari kita lihat soal jawab kesihatan ini -:

DOKTOR, saya sudah lima tahun mendirikan rumah tangga dan mempunyai dua cahaya mata. Masalah saya, sekarang ini suami saya kerap melakukan hubungan seks melalui dubur saya. Adakah saya boleh mengandung sekiranya suami saya melepaskan air maninya ke dalam dubur saya?

Apakah hukumnya melakukan seks dengan cara itu dan adakah risiko untuk saya mendapat sebarang penyakit?

HERY FZA

Melalui e-mel

MENGIKUT fahaman saintifik, lubang najis ketika wanita itu masih dalam perut ibu adalah bersatu dengan salur faraj dan kemudiannya kedua-dua saluran itu terasing. Jadi tidak hairan jika terdengar yang sebilangan kecil wanita terasa lebih terangsang jika salur najisnya dirangsang dengan jari atau dengan ereksi pasangan.

Hubungan liwat dianggap sebagai hubungan seksual luar tabii dan dari segi hukum undang-undang negara jika disabit kesalahan boleh dihukum. Mengikut Islam perilaku ini dilarang sama sekali kerana elemen luar tabii, haram hukumnya.

Faraj direka Tuhan untuk ereksi lelaki, tempat yang sesuai untuk disalurkan sperma untuk mendapat cahaya mata. lni tidak berlaku jika hubungan seksual dilakukan di  dalam lubang najis…

– BERITA HARIAN, September 2001

Dari jawapan doktor jelas tersirat tujuannya untuk mengawal berahi seksualiti si penghantar soalan. Dari satu segi doktor ini cuba seilmiah mungkin untuk menggariskan jawapan terhadap nikmat liwat. Tetapi akhirnya doktor ini juga tunduk ke bawah definisi nikmat yang dibolehkan oleh daulah dan apa yang dibenarkan oleh garis agama.

Dalam masa yang sama jawapan dari doktor ini juga cuba menjauhkan pembaca dari memahami nikmat berjubur/meliwat. Penggunaan perkataan lubang najis adalah tanda dan makna untuk memperlekehkan dan memperlihatkan bahawa lubang jubur itu kotor. Najis memiliki konotasi agama dan kesucian. Apabila objek berahi ini dianggap najis maka ianya cuba memperkuatkan hegemoni agama ke atas nikmat ini.

Jawapan yang diberikan oleh tuan doktor ini sebenarnya agak berlawanan dengan ilmu yang dipelajari oleh si doktor ini sendiri. Lubang jubur seseorang itu adalah sama bersih atau sama kotornya dengan mulut seseorang itu. Tetapi, kita telah di konstruksi untuk memiliki nilai bahawa lubang jubur itu tidak memiliki nikmat, tidak seperti nikmat mulut. lni sebenarnya anggapan yang tidak betul kerana lubang jubur itu juga dari segi berahi seksual boleh mendatangkan nikmat. Kawasan-kawasan erotik syahwat terdapat di persekitaran lubang jubur.

Konsep luar tabii ini adalah satu konsep yang tidak memiliki asas ilmiah. Tidak ada apa-apa yang di dalam tabii dan tidak ada apa-apa yang di luar tabii. Semua yang terjadi di hadapan mata kita adalah kelakuan dan perangai manusia. Mungkin perlakuan itu sering terjadi. Mungkin juga perlakuan itu jarang terjadi. Misalnya rasuah berleluasa di Malaysia. Untuk meluluskan satu-satu projek, kita wajib melakukan rasuah. Tiba-tiba ada satu badan berkanun yang meluluskan projek tanpa memerlukan rasuah. Apakah tindakan badan ini satu kelakuan di luar tabii.

Akhir-akhir ini keinginan daulah untuk mengawal warga terutama manusia Melayu semakin rancak, kemas dan disusun. Melalui persekongkolan dengan ajaran agama – yang kini hanya kuasa daulah sahaja yang memberikan definisi – kelihatan hegemoni daulah tegak angkuh menyeluruh. Hegemoni daulah kini telah memasuki satu lagi tahap di mana hanya daulah sahaja yang memonopoli tanda, makna dan perkataan yang bersangkutan dengan pekara-pekara yang sakral.

Tenaga yang paling ampuh

Justeru kita melihat bagaimana tanda dan makna dari perkataan seperti syurga, anak Allah, arwah, Almarhum, wafat, kitab suci tidak dibenarkan untuk digunakan oleh semua warga. Perkataan-perkataan ini ingin dimitoskan seolah-olah perkataan ini adalah suci dan sakral dan hanya dimiliki oleh kuasa daulah. Kerana itu di Malaysia ini kita tidak terbaca hari sambutan Krismas sebagai hari Maulidur Rasul Nabi Isa – walhal hari Krismas itu adalah hari sambutan kelahiran Nabi Isa. Tun Sambanthan bukan Almarhum dan bukan juga arwah. Beliau juga tidak wafat tetapi meninggal dunia.

Penamat dari monopoli penggunaan kata, tanda dan makna ini, ialah tersebarnya kenyataan yang tidak resmi bahawa di Malaysia hanya manusia Melayu sahaja yang kudus, suci dan sakral dan berpeluang masuk ke syurga. lni kerana kuasa daulah telah membuat sosial konstruk tentang apakah pekara yang akan dipanggil Melayu itu. Mengikut definisi daulah manusia Melayu itu ialah mereka yang menggunakan bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu dan beragama Islam.

Kuasa hegemoni daulah terhadap manusia Melayu ini semakin mendapat tentangan. Tidak mungkin ada satu kuasa yang dapat membendung berahi seksualiti. lanya mungkin dapat di ikat untuk sementara waktu tetapi akhirnya ianya akan meledak. Pemberontakan untuk membebaskan ruang berahi seksualiti sedang berlaku. Dorongan berahi seksual adalah tenaga yang paling ampuh dan dapat mengancam budaya hegemoni daulah. Manifestasi dari perlawanan ini semakin jelas. Semakin ramai warga yang tidak ingin lagi tunduk kepada tafsiran daulah terhadap berahi seksualiti mereka. Semakin ramai warga mencari jalan bersendirian atau jalan berkelompok untuk memperkukuh jati diri seksualiti mereka.

Perlawanan dan pertentangan ini akan berterusan. Kuasa hegemoni daulah tidak akan membenarkan kata, tanda dan makna ini terlepas dari genggaman mereka. Pembebasan kata, tanda dan makna membawa erti yang besar terhadap  kebebasan seksualiti dalam negara ini. Kebebasan berahi seksualiti pula adalah kunci yang akan membawa retaknya hegemoni daulah yang selama ini menghalang kelahiran era pencerahan fikrah Melayu.

Disampaikan di konference anjuran UKM bertajuk “Worlds In Discourse” pada 21 Nov 2005.

~~~

Hishamuddin Rais belum lagi bebas dari melancap.

First Published: 01.03.2006 on Kakiseni