Busa-Busa Politik Arena Wati

Sasterawan negara Arena Wati kurang dikenali berbanding Usman Awang, A. Samad Said dan Shahnon Ahmad. Kurang sangat kedengaran tentang apa-apa sahaja yang kontroversi daripada beliau.

Hal ini dikatakan kerana Arena Wati sendiri memang kurang berminat untuk terseret sama dalam apa jua kehebohan. Saya malah diberitahu, beliau tidak mempunyai nombor telefon, atau memang tidak memberinya kepada sesiapa, maka jika ada yang ingin menemuinya untuk apa-apa urusan, harus langsung ke rumahnya sendiri.

Arena Wati harus saya akui merupakan antara penulis kegemaran sejak dahulu. Bahkan pengaruh beliau lebih kuat dalam karya-karya awal saya berbanding pengaruh A. Samad Said dan Shahnon Ahmad. Antara karya­karya beliau yang saya jadikan tatapan sepanjang membesar tentu sahaja trilogi Bunga Dari Kuburan (dalam siri ini bangsa-bangsa dari Asia bangkit membalas dendam terhadap Amerika dan gempa bumi besar memusnah sebahagian besar negara super power itu), Kuntum Tulip Biru (Eropah memuncakkan kebencian terhadap bangsa Yahudi dan mangsanya Marina, seorang pengkaji dari Amerika Syarikat dan daik tinggi di Belanda runtuh lalu air taut melimpah ke seluruh negara tersebut) dan dalam siri akhir, siri yang paling dikenali dalam trilogi ini ialah Sakura Mengorak Kelopak (dua keluarga besar berperang dan membakar sebahagian besar Tokyo sementara diserapkan perjuangan wanita Jepun untuk membebaskan diri dari dunia yang dominan oleh kuasa patriarki).

Selepas itu saya menyukai Sudara novel beliau yang menelusuri akar jati diri bangsa Melayu. la sebesar Roots oleh Alex Healey. Kemudian kerana Arena Wati sering melihat ke dalam diri lampaunya iaitu menyorot kembali kisah-kisah Indonesia, saya jadi terasing membaca karya beliau dan hanya kembali menyertainya menerusi karya Sukma Angin. Novel ini membincangkan mengenai bangsa Melayu sebagai kuasa maritim menerusi sorot mata bahtera itu sendiri – Sukma Angin.

Arena Wati dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Makasar, Indonesia. Ya dalam usia hampir 80 tahun, beliau masih menulis. Beliau pernah bersekolah di sebuah sekolah Belanda. Apabila perang dunia meletus, Arena Wati memulakan kariernya sebagai pelaut. Percayalah, tidak ada sasterawan yang dapat menulis hal laut sebaik Arena Wati, jika karya-karyanya diterjemahkan segera ke bahasa lain, tentu sahaja ia akan cepat dikagumi.

Kefahaman dan perincian beliau tentang latar laut dalam karya-karyanya sangat hebat sehingga segala ombak yang rinci dan angin yang aneh turut dibentangkan. Arena Wati terjun dalam dunia kewartawanan sekitar tahun 1954 dan pernah menjadi editor di Pustaka Antara. Beliau menerima anugerah Sasterawan Negara pada 1988.

Sasterawan Negara ini tampil lagi dengan trilogi, kali ini Trilogi Busa. Busa secara permukaannya bermaksud buih, namun tentu ada lebih daripada itu untuk disampaikan. Saya tidak membaca semua karya Arena Wati, jadi saya kira ini ialah antara karya beliau yang paling padat dengan isu politik (selain Gami yang mengemukakan politik antarabangsa, latar perang Teluk). Sesuatu yang jarang kedengaran daripada beliau – politik nasional.

Jilid pertama berjudul Busa Hati dengan melihat kerencaman politik etnik di Sabah yang melibatkan Malaysia (atau kerajaan persekutuan secara menyeluruhnya). Bermula dengan kematian Ginsu, segala susur keluarga yang berseliratan mulai mengambil tempat dan berjalan di atas tali waktu yang pendek, ia bergerak dari jam demi jam tetapi sebenarnya tali waktu itu lebih panjang, menghimbau dunia lampau. Kelompok beragama Islam yang tidak bersatu telah tewas dalam pilihanraya Sabah di tangan kelompok gabungan Pagan, Kristian dan Cina dengan kecam perdananya terhadap politik wang. Isu sensitif? Baca dahulu…

Jilid kedua, Busa Sukma pula merenung ke dalam kacau politik Sarawak. Malah disogokkan juga pertumpahan darah antara kaum Melayu dan Dayak. Isu konspirasi dengan imaginasi tinggi santak melibatkan CIA menjadi permainan baru Arena Wati. Perpecahan bangsa Malaysia, boleh jadi dalangnya Amerika! Emm, isu sensitif, baca dahulu…

Jilid ketiga, Busa Kalbu melihat perpecahan dua kumpulan dalam parti utama di Semenanjung Malaysia yang juga mencetuskan huru-hara di Kuala Lumpur. Apa yang menarik (walaupun bagi saya tidak relevan) ialah adanya gempa bumi di Semenanjung dan Arena wati mengeksploit kekuatan khayal beliau itu hingga terasa amat hidup.

Ketiga-tiga jilid ini yang dinamai Trilogi Busa akan lebih bermakna jika Arena Wati dapat lebih menghampiri kenyataan politik masa ini tidak kiralah melibatkan Sabah, Sarawak atau pun Malaysia keseluruhannya. Karya ini pasti menjadi geger dan gegar jika dikincah dengan lebih jelas isu politiknya tetapi masih fiktif. Bahagian ‘lampau khayal’ menerusi rusuhan demi rusuhan serta bencana alam terkadang dirasa melulu. Kritikan politik Arena Wati akan lebih kemas jika cerita yang lebih mendekati kenyataan dan logik digomol sebagai bahan ceritanya.

Apa yang lebih mendukacitakan ialah bahagian suntingan. Barangkali Sasterawan Negara pun memang memerlukan editor yang baik. Sejak dari jilid pertama saya sudah terganggu dengan ejaan yang salah, tatabahasa yang kucar dan atur huruf yang kacir. Kerana itu membaca ketiga-tiga jilid ini terasa seperti membaca draf Arena Wati yang belum bersih. Jikalah manuskrip ini ditangani dengan lebih baik tentu sahaja ia akan jadi satu lagi karya besar daripada beliau.

Apa pun yang baiknya tentulah kerana Arena Wati masih tampil dengan kelainan yang jitu, pergomolan politik nasional dijadikan bahan ejek dan bahan analisis beliau meski tidak setajam Shahnon Ahmad atau tidak sehalus A. Samad Said. Arena Wati tampil dengan caranya sendiri. Wacananya terasa sangat akademia, plotnya terasa terlalu imaginatif tetapi kritiknya masih pedas. Dan masih boleh menyentak orang politik yang masih ada deria dan masih manusia. Apa pun masih syabas diucapkan kepada beliau kerana menghasilkan sesuatu yang signifikan.

Trilogi Busa diterbitkan oleh Penerbit UKM dan setakat ini hanya boleh didapati di kedai Buku UKM dengan setiap satu jilid berharga RM 50.Saya akan meninggalkan pembaca dengan satu petikan dari jilid 1 yang dikira relevan:

‘Bengkok jarum pedoman cita-cita. Dekad akan datang, kau akan lihat agama di bibir, bukan di dada. Bahasa Melayu diejek. Budaya diganti tamadun lucah.’ (Halaman 349: Busa Hati)

Dan ya, dekad akan datang yang dimaksudkan Arena Wati itu ialah, tidak lain tidak bukan: Dekad ini.

First Published: 28.08.2002 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…