Hidup Rakyat!

“Selamat datang tuan-tuan dan puan-puan! Selamat datang ke Pertandingan Permainan Tradisional, anjuran Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan!”

Saya dah lama sangat tak datang ke Taman Tasik Titiwangsa, KL. Dulu saya datang dengan keluarga, memang best kita orang main semua benda-benda yang ada. Saya pun ingat ada tempat yang ada jalan-jalan dan isyarat jalan kecil, macam boleh bawak kereta kecik kat situ.

“Hari ni kita ada macam-macam permainan; kita ada dam aji, kita ada catur cina, kita ada gusti tangan, congkak, gasing, menyumpit, dan banyak lagi. Nanti sikit lagi kita akan adakan permainan galah panjang… ”

Walaupun hari ni saya datang seorang, tapi saya rasa mesti ada banyak benda yang saya boleh buat, untuk mengungkit kembali nostalgia hari-hari yang lepas. Ye lah, sekarang ni, bila kita hidup dalam zaman Midvalley dan KLCC, mana ada orang yang nak main sangat menyumpit dan ketuk keli? Saya rasa, antara banyak-banyak permainan yang ada hari ni, saya nak main sangat galah panjang, bukannya apa tapi…

“Minta ketua-ketua kontinjen untuk kontinjen Kelantan dan Johor datang ke khemah urusetia untuk mengambil makanan dan minuman anda.”

Kontinjen? Eh?

Macam lipas kudung saya melipaskudungkan diri ke khemah urusetia untuk mendapatkan maklumat lanjut. Kontinjen? Kenapa ada kontinjen? Saya datang seorang, kontinjen saya tinggal kat rumah, tapi boleh join lagi tak?

“Dan sekarang kita jemput adik-adik dari Tunas Budaya untuk demonstrasi permainan galah panjang. Jika ada mana-mana kontinjen yang ingin… ”

Rasa bingung berkumpul dan berarak berkontinjen ke dalam hati saya, langsung saya membuka pamflet yang diberi percuma di khemah urusetia. Antara ayat pertama yang saya baca ialah…

“Memasyarakatkan dan menyemarakkan seni dan budaya.”

Mentera Sakti Baru

Waduh, berat benar ayat ini. Tapi inilah dia realitinya: ayat ini adalah salah satu ‘tiang’ teras program Kementerian Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan (KKKW) pada Disember 11-17, 2004, iaitu Festival Kesenian Rakyat Malaysia.

Sebenarnya ayat ini (dan juga beberapa ayat bureaucrat yang lain) telah menjadi mentera sakti baru (sila letakkan tanda ‘halal’ JAWI di sini) yang disemarakkan dalam setiap organ hakmilik KKKW, sebuah kementerian yang belum lagi setahun dihidupkan balik dari alam stasis tapi sudah mula rancak beraktiviti.

Kementerian sebenarnya lahir tanggal Mei 20, 1987, mengikut sebuah dokumen terbitan KKKW sendiri, tapi kemudiannya lesap menghilang lalu timbul pelbagai jelmaan sampingan yang menakjubkan hinggalah Kerajaan Pusat mengembalikannya pada Mac 27, 2004, sejurus selepas kemenangan kerajaan pimpinan YAB Abdullah Ahmad Badawi dalam Pilihanraya Umum pada tahun itu.

Di bawah teraju menterinya yang baru, YAB Rais Yatim, kita di Malaysia ini telah lihat mula gemerlapnya semula bahan-bahan sastera (terutamanya puisi). Lebih dari itu, mungkin dibawah menteri baru ini kedudukan Seni, Budaya, dan Warisan dapat dihalalkan dan dijadikan lebih dari bahan tarikan pelancong semata-mata.

Saya rasa ramai yang mungkin ingat pada metamorfosis yang dialami kementerian ini di dekad 80’an; ada yang mengatakan rasional ‘tarikan pelancong’ akan membolehkan kegiatan-kegiatan seni dan budaya terlepas dari tatapan intim pihak bersemangat pro-Islamis pada masa itu yang semakin membangun di arena politik negara kita. Apa yang pasti ialah Seni dan Budaya telah dikahwinkan (secara paksa?) dengan Pelancongan, dan dari saat itu fokus pembangunan kesenian dan kebudayaan asli kita terasa seperti ditujukan pada orang selain kita di Malaysia ini.

Dari Rakyat ke Penaung

Apa yang cukup menarik perhatian saya fasal program Festival Kesenian Rakyat Malaysia (FKRM) dalam manifestasi 2004 ini ialah sikap yang diambil warga penganjur untuk men-decentralise-kan aktiviti-aktiviti dari pusat kota. Dua dari sepuluh lokasi yang diguna dalam FKRM ini berada di kawasan perumahan awam: Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul dan Perumahan Awam Taman Wahyu I, Kepong. Saya rasa ini patut sangat. Bila kita tinjau kembali pada upacara-upacara ataupun kegiatan seni bersifat kerakyatan (seperti Menora, Makyong dan sebagainya), hampir kesemuanya dimainkan dan diadakan di persekitaran tempat tinggal rakyat. Persoalan timbul bila seni-seni ini dianjakkan lokasi persembahan dan realitinya dari tempat tinggal rakyat ke ‘tempat tinggal’ penaung (raja, sultan, kerajaan, dan sebagainnya), seperti apa yang berlaku kepada Wayang Kulit Jawa yang membawa bersamanya gamelan Jawa masuk ke dalam keraton­ keraton.

Walaupun dua dari sepuluh lokasi festival berada di kawasan perumahan awam, hampir kesemua tempat persembahan yang lain semuanya berada dalam kawasan ‘high tourist traffic’ atau ‘kawasan ramai pelancong’ seperti Menara KL, Berjaya Times Square, dan Central Market/ Pasar Budaya/ Pasar Seni. Saya harus bertanya, apakah sebenarnya warga KKKW telah mentalaktigakan ‘Pelancongan’ dari paradigma dan jati diri kementerian? Atau adakah ini suatu transisi dari hikayat lama ke hikayat baru?

Saya sempat ‘turun padang’ ke salah satu dari puluhan persembahan kecil yang diadakan sepanjang minggu itu, yaitu di Pasar Seni/ Pasar Budaya/ Central Market. Sebuah pentas biru dikhemahkan di luar pintu utama masuk Pasar Seni. Saya rasa ramai orang yang duduk bertikar atau berdiri bercekak menonton acara itu hari itu semuanya datang secara tak sengaja. Mungkin satu bonus untuk warga asing yang datang membeli apakejadahnya barang dagangan pro-pelancong yang ada. Tapi persembahannya memang berterabur, seperti tiada kurator atau sesiapa yang meng-coordinate puisi, tarian asli Johar, dan tarian pahlawan Sarawak (tapi ramai awex yang menari, yo).

Bagi saya, dari apa yang saya lihat, intipati keberadaan sesebuah ekspresi seni yang asli hilang begitu saja kerana persembahan yang pada asalnya bertiangserikan realiti kampung, sebagai contoh, telah dialih dan dikainpercakan ke dalam satu realiti yang sungguh berbeza. Persembahan-persembahan ini telah kehilangan konteks asalnya. Saya bertanya pada diri saya dan pada para pembaca, apakah ertinya simbol-simbol dalam gerak-geri sesebuah tarian yang, pada asalnya, mengajak penonton turut turun sama menari, dan di sini, penonton diberi tikar untuk duduk atau berdiri cekak pinggang di sekeliling pentas persembahan? Simbol-simbol yang sarat dengan ingatan kolektif teguh sesebuah komuniti, kini sudah langsung matipucuk.

Dan seterusnya, apakah ertinya persembahan-persembahan ini dalam konteks asalnya, dan apakah maknanya kita membawa persembahan-persembahan ini keluar ke tempat lain? Ini satu soalan yang cukup penting dan munasabah kita ketengahkan, kerana adakah dengan membawa seni-seni ini ke Kuala Lumpur secara begitu hentam keromoh dan haphazard, kita tidak berbeza adabnya dari warga pencetak rompak VCD yang, sebagai kata putusnya, hanya berminat untuk mendapatkan balik pulangan, dan langsung tiada minat dalam apa yang dicetakrompaknya?

Kampung Kementerian

Saya sempat me-lif-kan diri saya ke Tingkat 30, Menara TH Perdana tepi Maju Junction, yang menjadi kampung kepada KKKW. Di situ saya telah mendalami beberapa aspek festival ini.

Bagi KKKW, para penggiat seni yang telah dibawa datang semasa festival ini semuanya mempunyai talian rapat dengan pihak kementerian di peringkat negeri. lni bermakna festival ini adalah salah satu dari pelbagai aktiviti yang diadakan pihak kementerian bagi menolong kumpulan-kumpulan ini meneruskan aktiviti mereka. Apa yang ingin saya rumuskan di sini ialah soalan-soalan ini: apakah ertinya bagi pelaku seni menyertai festival ini dari sudut perkembangan dan kemakmuran keseniannya? Apakah yang akan diterima pelaku-pelaku seni tersebut, selain kunjungan ke Kuala Lumpur dan per diem? Apakah festival ini ada semangat ‘value-added’ bagi para peserta?

Saya juga telah bertanya pihak KKKW tentang takrif ‘rakyat’ yang mereka pakaiguna dan mengapa dipilih kawasan-kawasan perumahan tersebut. Rupa-rupanya kawasan-kawasan itu telah dipilih pihak DBKL bagi pihak kementerian yang telah memberikan pihak DBKL beberapa keperluan asas (kuota bangsa yang samarata nampaknya adalah keperluan asas terpenting). Tapi, pihak kementerian juga telah sedar betapa pentingnya mengadakan aktiviti-aktiviti seperti dalam festival ini di kawasan-kawasan perumahan. Saya harap trend ini akan berterusan. Adalah harapan saya juga yang di masa depan lebih ramai ‘rakyat’ dimasukkan ke dalam sesi-sesi perbincangan untuk program-program KKKW.

Di Manakah Rakyat?

Tapi, kembali pada realiti penakrifan ‘rakyat’ dalam FKRM ini, contoh terbaik yang boleh saya utarakan di sini ialah satu program yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa pada hari ke-enam festival: Pertandingan Permainan Tradisional.

Bila saya dipanggil untuk menyelukkan pangkal lengan saya ke dalam pekasam FKRM, saya paling berminat pada program permainan-permainan tradisional ini. Maklum saja lah, budak kota macam saya ni yang dibesarkan dalam suasana yang serba borjuis (alhamdulillah) mana lah tahu nak main mainan marhain (astarghfirullah). Jadi, saya pun ingin mengambil peluang untuk ‘menebus dosa’ lampau yang dipenuhi computer games dan cuba bermain ketuk keli.

Alangkah hibanya hati saya bila ketemu realiti tajam disebalik ilusi dan fata morgana promosi dan publisiti. Ya, memang ada Catur Cina, congkak, gusti tangan, gasing, dam aji, galah panjang, ketuk keli, tating lawi, menyumpit, sepak raga; itu semua memang best. Yang tak bestnya, orang yang boleh join pertandingan hanyalah dari kalangan peserta festival FKRM itu sendiri (yakni dari kalangan 350 penari dan pengamal­ pengamal seni dari kontinjen-kontinjen yang dipilih dan dibawa ke Kuala Lumpur sempena FKRM; sebab itu kita boleh dengar ketua-ketua kontinjen dipanggil ke khemah urusetia tadi). Penting saya nyatakan: bukannya seseorang itu tidak dibenarkan bermain mana-mana permainan yang ada, tapi seseorang yang selain dari kontinjen persembahan tidak termasuk dalam takrif ‘peserta’ dalam fikiran pihak perancang KKKW.

Oleh itu, di manakah rakyat dalam semuanya ini? Apakah mungkin peruntukan RM700 ribu untuk program ini tidak mencukupi jika warga pangsapuri Pekeliling (dekat bulatan Pahang di Jalan Tun Razak) dijemput datang? Kenapa program yang sebegini menarik dibuat pada hari Khamis yang, walaupun musim cuti sekolah, tapi pada masa semua orang sedang sibuk bekerja?

Dari perbualan saya dengan kakitangan KKKW yang ramah (mereka senang dihubungi kalau tidak outstation ataupun ber-meeting, dan bagi tujuan menulis artikel ini mereka telah sudi memberi saya laporan post-mortem festival), saya diberitahu yang sebenarnya KKKW hanya boleh menurunkan satu skuad bolasepak (dengan 4 reserves, dalam 15 orang). Coach tidak termasuk dalam jumlah pemain. Kekurangan kaki dan tangan ini telah diselesaikan dengan memanggil masuk volunteers dari skuad-skuad NGO.

Tapi perkara yang paling ketara saya nampak (dari perbualan dan bacaan laporan KKKW) ialah jurang antara orang yang memikirkan program (serta dasar-dasar kementerian; coach) dengan orang yang melaksanakan program (pelaksana dasar-dasar tersebut; Khalid Jamlus). Bila ubah menteri, ubah lah arahtuju sesebuah kementerian itu. Program-program yang dianggap penting dahulunya kini mungkin dianaktirikan. Mungkin ini satu perkara yang baik, tapi bagi saya apa yang penting bukanlah kementerian itu, tetapi rancangan jangkamasa panjang berorientasikan seni dan pelaku seni dan yang tidak akan dikacau perubahan angin dalam kementerian itu sendiri (focus on the entire season, not just on a single match). lni munasabah jika kita ingat kembali kepada daerah-daerah yang dibawah jagaan KKKW: Kesenian, Kebudayaan, dan Warisan. Nak tak nak, Kesenian dan Kebudayaan itu adalah sejenis warisan yang tak nampak. Ini lah yang harus diiktiraf, dan pengiktirafan ini harus diperkukuhkan dengan dasar-dasar kerajaan yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Yang akan sebenar-benarnya merakyatkan dan menyemarakkan seni.

KKKW sedang membincangkan Akta Warisan untuk dibentangkan di Parlimen. Dalam perbincangan-perbincangan yang telah diadakan, YAB Rais Yatim telah pun mengiktiraf perlunya ada pemahaman tentang Kesenian dan Kebudayaan itu dilingkupkan bersama dalam penakrifan Warisan dari erti kata sebenarnya. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi KKKW (tel: 03 2612 7600).

~~~

Fahmi Fadzil adalah ahli kumpulan Akshen dari Five Arts Centre.

First Published: 03.02.2005 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…