Sejarah Masa Depan

Majlis pelancaran buku From Majapahit to Putrajaya –– yang mana saya terlewat dan bila sampai majlis sudahpun selesai. Mujurlah berkesempatan duduk sama menikmati teh tarik bersama beberapa teman yang masih berlegar di situ.

Pada ketika inilah saya dirapati oleh Kathy untuk membuat ulasan buku Farish. Ulasan buku saya yang sebelum ini adalah buku Sajak-Sajak Saleh oleh Salleh Ben Joned. Itupun entah berapa kurun yang lalu, entah dari kehidupan saya yang satu lagi. Memang sudah menjadi kebiasaan saya, menulis hanya bila rasa diperlukan. Saya mengangguk bersetuju bagai orang saleh sedang berzikir.

Farish Ahmad Noor, satu nama yang tak perlu diperkenalkan lagi (saya kadang-kadang suka klise). Adanya pelancaran bukunya yang terbaru ini, kita sekali lagi bagai diberi satu uncang guli tentang Malaysia — Malaysia yang satu lagi, Malaysia yang kita tidak sangka wujud. Sekali baca, kumpulan esei Farish yang kedua ini masih dengan pendekatan dan cara penulisan yang sama dengan kumpulan eseinya yang pertama The Other Malaysia.

Buku ini seolah-olah jawaban kepada doa-doa mereka yang meminati sejarah dan politik semasa. Pandangan Farish adalah pandangan yang jauh dan menyeluruh, melakar Malaysia yang dahulu: samada kurun yang ke-17, mahupun abad yang sekarang.

Farish tidak mengajak kita bernostalgia tentang kegemilangan masa lampau.

Masa lampau dan masa kini dinilai dengan neraca yang serupa. Ya, manusia yang mendiami masa lampau dan kini tiada bezanya. Tetap tamak, tetap haloba dan berpandangan singkat (namun yang baik dan yang lurus dan berwawasan ada juga). Kita tetap melakukan kesilapan yang serupa.

Sebab itu saya meminati sejarah, ia menceritakan masa depan kita.

Sejarah juga merupakan sesuatu yang berubah-ubah, mengikut teks dan versi mana yang kita baca. Farish mengupas daripada hikayat-hikayat lama, meneliti di antara garis-garis dan memberi keadilan yang sebenar kepada baris yang dibaca. Mungkin saya sedikit bias di sini, setelah melalui zaman kanak-kanak dengan membaca buku-buku seperti Hikayat Merong Mahawangsa dan Hikayat Malim Deman (hanya menyebut nama). Membaca esei mengenai hikayat lama oleh Farish adalah seperti bercerita dengan rakan dari zaman lampau yang baru ketemu kembali.

Dari sini kita dapat melihat bagaimana sabarnya Farish dalam membaca dan menyelidik. Bukanlah sesuatu yang mudah untuk membuat sesuatu penafsiran terhadap tulisan yang ditulis ratusan tahun yang lalu. Tanpa cinta dan azam yang utuh tidak mungkin tulisan seperti ini dapat dihasilkan.

Bukan setakat tentang hikayat sahaja yang dapat kita teguk dari telaga tulisan Farish ini. Farish dengan nada dan bahasa yang sama membawa kita kepada ikon popular moden Siti Nurhaliza. Farish dengan mata hati yang tajam melihat kesan yang terpalit daripada salah satu buah catur masyarakat. Dia menceritakan bagaimana orang yang sama berdemonstrasi meminta darah orang Amerika, juga telah meminta nombor telefon Siti Nurhaliza daripadanya!

Memanglah diakui tidak semua akan menyukai tulisan dan buah pandangannya. Farish Noor tidak lekang dari kontroversi. Sebagai contoh, baru beberapa bulan yang lalu, setelah diwawancara oleh sebuah akhbar tempatan, beliau telah tergosok hala yang salah. Dengan satu nafas, dia membelasah PAS dan UMNO, mengkritik kaedah memerintah dengan menakut-nakutkan rakyat. Kata UMNO, ‘Melayu dalam bahaya!’ Kata PAS ‘Islam dalam bahaya!’

Semua ini membuat kuasa politik tidak senang dengan tulisannya. Dalam senario politik semasa yang semakin berwarna-warni ini, saya tidak melepaskan peluang bertanya pandangannya. Tetapi tak perlulah saya huraikan di sini, tunggu sahaja tulisannya nanti 😉

Apabila ditanya mengenai perbezaan buku ini dengan yang sebelumnya, Farish mengatakan yang ia adalah kesinambungan dalam penulisannya. Dia tidak dengan secara sengaja menulis untuk membuat perubahan ataupun mengekalkan stail penulisan. Namun dari penelitian, kita dapat melihat tulisannya semakin matang dan Farish seolah-olah telah mendapat gaya dan acuannya yang tersendiri.

FMTP berbeza dengan The Other Malaysia, di mana tulisan awalnya terlalu berstruktur, agak keras dan kaku bagi pembacaan umum. Dan ya, dalam FMTP, Farish membuat tulisan ilmiah menjadi sangat seksi.

Dari penulisannya Farish tidak henti-henti menyeru kita untuk mendakap sejarah. Terima masa lampau kita dengan terbuka. Hadapi segala hantu-hantu dan bayangan yang kita takuti selama ini. Hanya dengan ini kita dapat bergerak dengan lebih sasa dan yakin.

Menarik juga untuk diketahui yang Farish menulis dari jauh. Seperti kebanyakan penulis yang bagus, mereka hanya menulis tentang sesuatu tempat bila mereka telah meninggalkan sesuatu tempat itu.

Buku ini juga menjadi seperti suatu tempat bagi Farish untuk meluahkan rasa peribadi sebagai pengkaji dan penyelidik politik semasa. Beliau melontar segala rasa yang disampaikan dengan begitu lancar dan meruntun perasaan. Selesai membaca buku ini kita seolah-olah dapat mengenali penulis dengan begitu intim sekali. Lebih lagi setelah membaca tiga belasungkawa insan-insan yang menyentuh hidupnya. Melengkapkan lagi satu sisi Dr. Farish Ahmad Noor.

~~~

Selain daripada bermain golf, Saifullizan sedang sibuk membuat persiapan untuk menerbitkan sebuah filem seramnya

First Published: 07.09.2006 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…