logo

let’s make something together

Give us a call or drop by anytime, we endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.

Find us

27 & 27A Lorong Datuk Sulaiman 7
Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur
Malaysia.

Phone support

Phone: +603-77254858

Hari-hari Mawi

  • October 27, 2005
  • 160 Views

By Zulkifli Mohamad

Nama Mawi kian menjadi satu nama yang tidak asing lagi di dalam arena seni suara tanahair. Wajahnya yang tenang bermata kuyu “steamy eyes” itu sering mengisi ruang akhbar. Suka tidak suka, itulah hakikatnya. Asmawi Ani yang dikenal sebagai Mawi lahir dari sebuah keluarga berketurunan Jawa di Felda Taib Andak di Johar, antara tanah Felda tertua di Malaysia. Sejak menjuarai Akademi Fantasia musim ketiga, AF3, nama dan foto Mawi sudah mendampingi Diva No. 1 Malaysia, Siti Nurhaliza, menghiasi majalah, akhbar dan ruangan iklan di media, apalagi bila dilantik menjadi Duta Hotlink. Tapi apakah istimewanya  penyanyi muda yang sering lupa lirik ini berbanding juara Akademi Fantasia musim-musim lalu, Zahid dan Vince? Apakah yang terpancar dalam benak fikiran Pengetua AF3, M.Nasir bila Mawi kembali ke AF3? Apakah Mawi benar-benar berbakat di dalam seni suara, dan mampu menjadi seorang penghibur yang baik, walaupun dikatakan tidak mempunyai “good sense of movement’ bila membuat persembahan? Tapi sebaliknya, perlukah seorang penyanyi lelaki Melayu yang mendendangkan  lagu-lagu “cintan” dan “tangkap lentuk” untuk pandai menari seperti Michael Jackson atau Justin Timberlake?

Kalau dulu, industri muzik mempunyai label-label tertentu untuk penyanyi-penyanyi yang ada di pasaran, seperti penyanyi “penyanyi piring hitam” yang hanya sedap didengar di radio tapi hancur kalau membuat persembahan “live” dan terpaksa membuat persembahan  “lipsynch”;  “penyanyi majalah” yang sering menghiasi majalah kerana kecantikan  dan ketampanannya; “penyanyi back-up” yang mempunyai suara yang menakjubkan tapi tidak mempunyai wajah yang menawan; “penyanyi kayu” yang hanya berdiri tegak menyampaikan lagunya; “penyanyi kelab malam” yang versatile dalam persembahannya; dan “penghibur” yang boleh menyanyi, menari dan berkomunikasi dengan audien. Di mana agaknya kita nak meletakkan nama Mawi dalam kategori-kategori tersebut? Mungkin atas hasrat itulah Astro Ria mengadakan Akademi Fantasia untuk mencungkil bakat-bakat muda generasi ini yang bukan hanya mampu menyanyi tapi juga mempunyai personaliti yang menarik dan pakej yang lengkap untuk menjadi seorang penghibur. Di manakah pula tahap kita sebagai pendengar dan penonton? Apakah standard kita sudah berubah sejak anjakan abad 21? Apakah kita hanya meminati seseorang penyanyi kerana popularitinya?

Populariti Mawi melonjak naik setelah dimasukkan kembali ke AF3. Mungkin kerana itulah penonton mulai menyedari akan bakat dan potensi yang ada padanya. Mungkin setengah dari kita sudah dapat mengagak yang beliau adalah diantara bakat-bakat yang bakal memenangi AF3 dari awal pertandingan. Astro sendiri mungkin sudah merancang semua ini untuk memberikan suatu “kezutan” sama seperti musim sebelumnya, AF2, bila Linda terkeluar dan masuk kembali. Malangnya pada musim-musim lepas, Maestro, Artiste Management milik Astro, masih baru dalam permainannya, membiarkan banyak bakat disia-siakan begitu saja. Mawi akhirnya menjadi juara Akademi Fantasia 3 dengan majoriti undi. Dan dia menjadi semakin popular bukan hanya sekadar di kalangan penonton Astro Ria, malah seluruh penonton di Malaysia. Mawi diterbangkan pulang ke Johor untuk membuat persembahan pelancaran Kempen Jalur Gemilang Hari Merdeka sebaik saja Perdana Menteri menyelesaikan ucapannya. Dia diundang lagi membuat persembahan secara “live” untuk dua stesen television, Astro Ria dan RTM1, pada malam yang sama, 31 Ogos, lalu di KLCC  dan Dataran Merdeka.

RM5 pun ada orang beli

Apa sebenarnya yang membuatkan manusia di bumi Malaysia ini tergila-gilakan Mawi? Apakah kerana senyumannya  yang selamba, mata kuyunya, hidungnya yang mancung mencakuk, keningnya yang lebat, kulitnya yang keputihan, rambutnya yang pendek mencacak, atau suaranya yang parau kejantanan? Mungkin itulah yang membuatkan banyak perempuan menjadi gila, hingga sanggup mengejar Mawi sampai masuk ke dalam masjid dengan “hotpants” sewaktu Mawi pulang ke Johor. Apa nak jadi dengan orang Melayu sekarang ni? Katanya sudah tidak malu lagi menjerit-jerit memanggil-manggil nama Mawi di khalayak ramai. Malah sudah menjadi perkara biasa untuk memberikan hadiah kepada Mawi, dari sebuah kereta BMW, jam tangan Guess hinggakan celana jeans Levi’s.

Sewaktu memenangi AF3, Mawi, pemuda 173sm dan 56kg ini diberikan bayaran sebanyak RM200,000 oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk melaungkan “Belia Benci Dadah”, walaupun dia lupa untuk melaungkannya sebanyak tiga kali seperti yang sepatutnya. Mawi terus menjadi Duta “Belia Benci Dadah”. Sewaktu memberikan ucapan khas untuk program Belia Benci Dadah di UPM, Mawi dikatakan telah meninggalkan sebuah “impression” yang baik dikalangan yang hadir. “Mawi Petah Bercakap tentang penyalahgunaan dadah” antara yang terucap.

Kini Mawi bukan hanya sekadar menjadi Magazine Cover “In Trend” keluaran ASTRO, malah banyak majalah lagi. Ada satu majalah remaja yang hip mencetak satu buku kecil yang mengisi wajah-wajah Mawi dalam mood yang berbeza. Malah bebarapa hari yang lalu saya sendiri terserempak dengan seorang pekerja disebuah pejabat kerajaan yang sedang menjual gambar Mawi yang di”develop”nya sendiri dengan harga RM2 sekeping. Apabila hal ini diberitahu kepada teman di ASTRO, jawabnya, “RM5 pun ada orang beli.”

Mawi sudah dikenal sebagai spokesperson untuk Hotlink dan “Belia Benci Dadah”, malah beberapa yang lain sudah mengikut jejak, termasuklah syarikat nasional EON dan jenama international Canon. Beberapa penerbitan buku tetang Mawi juga sedang laris dijual. Mungkin ada yang bertanya tentang perjanjian kontrak antara Mawi dan Maestro. Berapa percent agaknya yang Mawi dapat dalam setiap kontrak yang diterima?

Maestro juga sedang berunding dengan syarikat penerbitan buku yang terbabit mencetak cerita Mawi tanpa penglibatan Mawi dan pihak Meastro. Tetapi apakah Mawi berhak untuk mendapatkan sesuatu dari usaha itu. Bak kata orang “Artis itu Milik Masyarakat” dan seorang penulis berhak menulis apa saja tanggapannya tentang seseorang. Malah Mendiang Puteri Diana juga tidak dapat menghentikan penerbitan buku tentang beliau dan akhirnya beliau sendiri berkolaborasi membuat biografinya.

Mawi tidak ada kaitan dengan politik

Nama Mawi juga terkait dengan PAS (Parti Islam SeMalaysia) apabila dia dihadirkan di dalam sebuah kota yang baru bergelar “Kota Bharu Kota Islam”, walaupun kemenangannya di AF3 masih diperdebatkan sebagai juara program reality tv yang dianggap tidak Islamik. Timbul juga isu-isu yang mengatakan AF memancing undi dari unsur kenegerian. Disinilah bermulanya isu tentang etnik Jawanya, identiti Johornya serta imejnya sebagai seorang yang lahir dari kelompok yang bersih dan Islam kerana pernah menyertai pertandingan  tilawah AI­ Quran serta pernah menjadi Bilal masjid. Apapun yang dikatakan oleh akbar serta beberapa pemimpin PAS dan Mufti di Kelantan, Mawi tetap menerima tawaran untuk hadir menghibur di Kota Bharu. Kita juga tahu yang tentunyalah Maestro yang membuat perhitungan tersebut.

“Kota Bharu Kota Islam” yang baru digelarkan oleh Al Sultan Kelantan dan bertukar dari gelaran lamanya “Kota Bharu Kota Budaya” disaksikan oleh puluhan ribu rakyat Kelantan dan Malaysia serta pemimpin-pemimpin PAS dan UMNO. Apa yang menarik lagi adalah apabila pemimpin-pemimpin muda PAS di Kelantan bercakap tentang “Re-Branding of a city” dan Mawi sebagai seorang selebriti Islam yang dibawa menjadi pe-launcher-nya dengan dihadiri 40,000. Konsep-konsep “Packaging”, “re-branding” dan “re-positioning” selalunya dibincangkan oleh orang-orang korporat. Tapi nampaknya PAS sudah banyak belajar dari Maxis, ASTRO dan Mawi.

Banyak  orang terpegun dengan keputusan PAS untuk mengundang Mawi mengadakan konsert Islam pertama di Malaysia yang mengasingkan penonton-penonton lelaki, perempuan dan keluarga. Konsert tersebut juga hanya bermula setelah solat Isyak dan kini menjadi suatu model untuk masa depan. Kerajaan yang mengharamkan persembahan Wayang Kulit, Mak Yong dan konsert hiburan di Kelantan ini terus diburu pertanyaan tentang pendiriannya terhadap seni persembahan. Pihak jawatankuasa persembahan pula mengumumkan yang Kelantan sudah ada akta persembahan sejak tahun 1998. Yang peliknya Menteri Besar Kelantan juga pernah melarang wanita dari menggunakan gincu serta mensegregasikan lorong untuk wanita dan lelaki di kaunter supermarket, kini seperti menukar strategi mencari populariti. Bak kata pemimpin UMNO di Kelantan “PAS is joining the bandwagon.”

“Mawi tidak ada kaitan dengan politik, Mawi hanya menghibur!” kata Maestro. Mawi sendiri pula menyatakan yang dia hanya ingin mencari wang untuk keluarga. Apapun, konsert Mawi di Kelantan sudah berminggu lebih berlalu tapi ceritanya masih diperkatakan. Mawi sudah menjadi satu Fenomena. Menurut Mawi pula, dia pernah menghadiri ceramah PAS di pekannya dan kini Mawi sudah duduk semeja dengan Tok Guru Nik Aziz dan berbual soal remaja. Mawi mengungkapkan Tok Guru Nik Aziz sebagai seoang yang “Kool” dengan nasihat beliau untuk menggunakan kedudukan Mawi sekarang sebagai contoh baik kepada golongan muda.

Mawi yang sudah menjual lebih 170,000 album kompilasi persembahannya di AF3, dan popular dengan lagu “Aduh Saleha” ciptaan M.Nasir, sedang bersiap melancarkan album studionya. Walaupun begitu kritikan tentang suara dan penyampaiannya masih berterusan. Ada yang kata suaranya kekampongan dan sumbang seperti penyanyi jalanan. Sifunya pula cepat-cepat mengakui yang dia juga asalnya penyanyi jalanan dan walau apapun yang dikata, peminat tetap bersama Mawi. Itulah keistimewaannya Mawi. Bagi Mawi pula dia hanya mendengar semua itu dengan sikap “Masuk Telinga Kanan Keluar Telinga Kiri”.

Dalam pada itu timbul pula cerita tentang sikap Maestro yang membezakan Mawi dengan artis AF lain. Malah layanan untuk Mawi dikatakan sudah sama taraf dengan Siti Nurhaliza. Hakikatnya begitulah jadinya bila seorang artis menjadi komoditi yang boleh diniagakan. Bagaimanapun banyak orang berharap yang Mawi tidak hanya dikuasai nafsu perniagaan Maestro, tetapi juga memiliki hak-hak peribadinya termasuklah  isu pertunangan dan perkahwinannya. Apa pula hak kita sebagai seorang pengguna atau pembeli media dan seni hiburan tanahair? Apakah dunia hiburan kita sudah menawarkan komoditi yang terbaik? Yang jelasnya populariti adalah katakunci dalam soal ini. PAS dan UMNO masing-masing mencari undi di kalangan remaja. Eon memerlukan pembeli untuk kereta-keretanya, begitu juga Hotlink, Astro dan Canon yang tidak jemu-jemu berusaha meluaskan pasaran. Populariti bukan hanya untuk memenagi anugerah seorang artis, malah asset utama untuk badan korporat, parti politik dan dunia perniagaan. Tidak dapat tidak, kita terpaksa melihat semua fenomena ini sebagai suatu lumrah dalam dunia glocal ini. Mawi sudah menjadi sebahagian dari komoditi budaya negara ini yang sedang dilanda pertembungan globalisasi, Islam Hadari dan Islam Progresif. Tapi apakah dengan menyokong Mawi kita seolah-olah melafazkan yang kita sudah menyokong Islam dan bermain dengan gelanggang hiburan yang halal, terutamanya di bulan Ramadhan ini, di mana umat Islam di Malaysia menjadi lebih mulia.

~~~

Zulkifli Mohamad sedang menunggu album studio Mawi untuk hiburan Hari Raya.

First Published: 27.10.2005 on Kakiseni