Angin Kemarau

Muzium Islam mempunyai persepsi yang agak baik di kalangan pencinta seni tanahair. Kehadirannya di suatu tempat yang begitu strategik, berdekatan Masjid Negara dan bangunan lama Stesyen Keretapi Tanah Melayu, menjanjikan sebuah keindahan yang berbeza. Seni binanya yang moden dan simpel, berasaskan bangunan tradisi Timur Tengah, sekaligus menampilkan perbezaannya dari bangunan lama Stesyen Keretapi Tanah Melayu yang berbentuk Moorish, dibina pada 1910 oleh pihak pemerintahan kolonial British, dan bangunan Masjid Negara, dibina pada 1965, yang melahirkan sebuah binaan kontemporari yang bercirikan Malaysia dan bebas dari pengaruh Timur Tengah. Bangunan Muzium Islam masih mempunyai iras-iras Pusat Islam. Walaupun Muzium Islam ini dibina oleh sebuah yayasan persendirian, Yayasan Bukhari. Kedudukannya jelas dilindungi oleh Pusat Islam yang berada tidak jauh darinya.

Pameran “Mesej dan Monsun” yang diadakan Muzium Islam dari Julai 5 hingga Oktober 5, 2005, ini menjanjikan sebuah tajuk pameran seni Islam yang menarik, yang bersifat Asia Tenggara, kalau pun tidak Melayu Nusantara! Apabila menyebut “Islamic Arts”, kita sering terbayang artifek-artifek dan bangunan-bangunan masjid dari Timur Tengah, seringnya ditulis oleh penulis Barat (Inggeris dan Amerika). Tetapi saya juga teringat akan betapa terujanya saya melihat sebuah pameran Islam di Muzium Sarawak beberapa tahun yang lalu, mempamerkan artifek Islam nusantara yang unik dengan penerangan yang cukup informatif. Mungkin juga lukisan-lukisan Sulaiman Esa terbayang di mata di saat membicarakan “Islamic Arts” di Malaysia. Buku Islamic Arts tulisan Othman Yatim pula banyak melihat artifek Islam di alam Melayu Nusantara, termasuk batu-batu nesan orang-orang terhormat serta pinggan-pinggan keramik yang bertulis ayat-ayat suci Al Quran. Pameran-­pameran di Muzium Islam sebelum ini banyak membawa konsep-konsep kuratorial “Islamic Arts” dari Timur Tengah dan dunia barat, malah Muzium Islam menjadi sinonim dengan pameran Timur Tengah, mungkin kerana penaungnya yang berasal dari negeri Timur Tengah. Maka sudah tiba masanya kita di Malaysia melihat “Islamic Arts” dari perspektif kita sendiri. Tetapi apakah kita sudah bersedia dengan pengalaman, penyelidikan dan kefahaman tentang Islam secara keseluruhan, Islam di Nusantara dan perbezaannya dengan Timur Tengah? Ya benar, Islam itu universal, tetapi apakah yang membuatkannya menjadi bersifat universal. Itulah yang kita cari.

Sememangnya pameran ini bertepatan dengan waktu dan ketika. Muzium Negara sendiri mempamerkan “Semangat Kayu” dari koleksi Allahyarham Nik Rashidin dan hasil kerja beliau serta pengukir muda Nurhaizal, menampilkan identiti dan semangat Langkasuka (kerajaan Melayu pertama di Semenanjung Tanah Melayu di Abad ke 2) sebelum ketibaan Islam di Nusantara. Dalam perbualan saya dengan Allahyarham Nik Rashidin sebelum ini, beliau menyangkal kehadiran teras unggul nilai-nilai Islam didalam pembentukan seni di Nusantara khususnya di Pattani, Selatan Thiland dan Kelantan, sebaliknya menegakkan estetika ‘Langkasuka’. Mungkin juga kerana beliau terpengaruh dengan eksotika oriental pihak barat yang melihat kita dari sudut pemuziuman, walaupun konsep pemuziuman yang dianuti sudah jauh ketinggalan oleh muzium-muzium dan galeri-galeri yang progresif di Barat. Walaupun begitu konsep tersebut harus dijelaskan di dalam kehadiran Islam di Nusantara. Di dalam pameran ‘Mesej dan Monsun’ (walaupun saya sendiri lebih cenderung menggunakan ‘Monsun dan Mesej’), idea-idea dan konsep-konsep penindanan anutan, fluiditi kesultanan maritim Melayu Nusantara, bentuk rupa bumi dan alamnya serta identiti setempat tidak langsung disentuh. Banyak artifek-artifek yang jelas hanya ditemui di negeri-negeri seperti Kelantan dan Trengganu, tetapi sering disebut sebagai Semenanjung Tanah Melayu. Ini seolah-olah menafikan keujudan dan keunikannya. Kurator jelasnya seperti tidak membuat rujukan, walaupun rujukan-rujukan asas yang sudah lama ada seperti Winstead dan Shepard, atau Sejarah Awal Malaysia dan Seni Bina Malaysia oleh Nik Shuhaimi dan Chen Voon Fee.

Pameran yang berada di galeri di tingkat atas ini dibahagikan kepada beberapa kategori – metal, kain, ukiran kayu serta tulisan Al Quran. Pameran ini didahuli dengan peta Belanda dari abad ke 17 yang menunjukkan arah angin atau monsun serta kerajaan-kerajaan lama yang ada ketika itu. Pameran seterusnya membawa kita menjelajah bentuk-bentuk seni Islam, yang sebahagiannya tidak ada hubungan dan tidak diterangkan hubungannya dengan alam benda, apalagi hubungannya antara ‘Mesej’ dan ‘Monsun’. Apa yang jelas, judul yang diambil hanyalah untuk menyedapkan pendengaran di telinga. Banyak label-label yang diletak hanyalah sebagai melepaskan batuk ditangga dan tidak menerangkan apa-apa, hanyalah informasi yang samar.

Pencahayaan yang buruk juga membuatkan artifek tenggelam, apalagi dengan adanya ruang-ruang yang kosong. Terdapat juga beberapa foto yang dibesarkan yang tidak membawa apa-apa erti kepada pameran, sekaligus tidak menceritakan erti simbolikanya. Apalagi bila terdapat artifek-artifek yang diragui asal usulnya, sebaliknya dilabelkan sebagai Semenanjung Tanah Melayu. Kurator seharusnya membezakan antara ‘artifek yang ditemui di Semenanjung’ dengan ‘artifek yang dibuat di Semenanjung’, kerana kita tidak lagi bodoh untuk membezakan buatan dan identitinya. Begitu juga perbezaan antara Kain Cindai dengan Patola, Gerinsing dan Limar, serta antara Kain Telepok dan Kain Berperada!

Pada penghujung ruang dibelakang pameran pula terdapat selonggok barang-barang yang baru dibeli di pasar seperti batik sutera tulis dari Kelantan, batik sarong tiruan dari Sungai Golok Thailand, rempah-ratus, teh, kopi, panggan mangkuk Cina, minyak wangi yang berlabelkan “Barang-barang yang diimpot dan diekspot’ yang agak mengelirukan kerana barangan yang dipamerkan adalah barangan yang ada pada hari ini, dan bukan replika barangan dagangan masa lampau. Kalau itulah barangan ekspot yang ada dari kita, dan kalaulah Menteri Perdagangan kita yang penuh dramatik itu tahu, tentunya dia akan mengamuk! Disebelah longgokan artifek itu terdapat notis kenyataan tentang kegiatan untuk pengunjung kanak-kanak yang sememangnya tidak sepatutnya berada disitu. Kurator seharusnya tahu akan ilmu pemuziuman dan teknik-teknik pameran yang ada.

Dua helaian kertas, kenyataan akhbar dan sekeping cakera padat diberikan kepada saya oleh Ketua Unit Pemasaran. Apabila ditanya tentang kurator pameran, beliau menjawab yang Muzium Islam mempunyai lima orang kurator dalaman, dua daripadanya bertanggungjawab ke atas pameran ini. Saya terpaku seketika sambil terfikir: kalau inilah Seni Islam yang ingin ditonjolkan oleh Muzium Islam dan Muzium Islam inilah yang akan menjadi pelindung kepada khazanah seni Islam yang ada di Malaysia dan Nusantara, nampaknya kita sudah berada di zaman kehancuran seni Islam, sebelum ianya bermula di Malaysia. Tentunya titik peluh dan sumbangan Syed Mokhtar mendirikan muzium ini menjadi sia-sia.

Apapun, perasaan saya menjadi lebih ceria setelah memasuki Toko Kedai Muzium Islam yang nyatanya mempunyai banyak barangan yang bersangkutan dunia Islam dan jauh lebih meriah dan lebih informatif dari galerinya. Para pekerjanya juga lebih bersedia menerima tamu-tamu untuk membeli belah. Mungkin saja Muzium Islam menukar saja muziumnya menjadi Bazaar Islam untuk pelawat-pelawat ke Masjid Negara.

Kalau saja pameran ini cuma memfokus kepada kitab-kitab Al-Quran yang katanya milik Pusat Islam, sekaligus meneliti tulisan tangan, rekaan-rekaan bingkainya serta kertas dan tinta yang digunakan dengan kesultanan-­kesultanan yang ada di Nusantara serta identiti seninya, saya yakin ianya menjadi sebuah pameran yang unggul bukan saja di Malaysia, malah boleh dibawa menjelajah ke seluruh dunia.

~~~

Zulkifli Mohamad telah menyelesaikan tesis doktor falsafahnya di dalam bidang politik persembahan di ATMA, UKM.

First Published: 22.09.2005 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…