logo

let’s make something together

Give us a call or drop by anytime, we endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.

Find us

27 & 27A Lorong Datuk Sulaiman 7
Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur
Malaysia.

Phone support

Phone: +603-77254858

Kerajaan Merah

  • May 19, 2005
  • 152 Views

By Al-Mustaqeem

Sir Ridley Scott! Dan kita membayangkan sebuah filem epik yang cemerlang seninya, dengan gerak kamera yang memukau; semburat darah, ceraian anggota-anggota tubuh manusia, kekasaran manusia, yang, anehnya, menghasilkan sinematografi yang indah; koreografi gerak yang cukup kemas untuk memaku penonton; perincian dalam prop dan kostum; dan, hampir pasti, kisah yang menarik.

Kingdom of Heaven, Ridley Scott, Osama ben Laden, terorisme dan – wajib disebut untuk menjaga hati sesetengah peminat – Orlando Bloom! Dan penonton pun tertunggu-tunggu, untuk hampa kemudiannya.

Pertama, Orlando Bloom dalam filem ini tidak sesegak Legolas dalam Lord of The Ring (ini dapat membuatkan sebahagian besar penonton amat kecewa). Sebenarnya, selain daya untuk menarik penonton ke pawagam, keputusan menyerahkan Balian ke tangan Bloom sukar difahami, terutama mengambil kira kegagalannya dalam Troy. Bayangkan betapa malang Bloom kalau sampai ditenggelamkan oleh Edward Norton, pemegang watak King Baldwin yang sepanjang masa bertopeng besi dan terpaksa bergantung kepada pembawaan suara dan tubuh. Jeremy Iron sebagai Tiberias juga selalu menenggelamkan Bloom dalam babak yang melibatkan mereka berdua. Kita tidak merasakan keteguhan Balian sewaktu Tiberias mengucapkan selamat berjaya atas azamnya untuk mempertahankan Baitul Maqdis. Atau Balian of Ibelin yang asli memangnya acuh tak acuh?

Kedua, plotnya menandakan pengarah, untuk kali ini, sangat terburu-buru, seperti para pahlawan Crusade yang tak sabar untuk sampai ke Baitul Maqdis (Jerusalem). Cuma sedikit berbeda dengan sebahagian pahlawan Templar yang cuba mempertahankan agama, Ridley cuba mempertahankan kemanusiaan, dengan cara yang sama-sama aneh.

Filem ini dihujani banyak kritikan, terutama dari kalangan pengkaji sejarah Perang Salib. Kritikan dilemparkan terhadap cubaan untuk “memutihkan sejarah” dan beberapa agenda murni untuk mengendurkan ketegangan antara agama hari ini. William Monahan, penulis skrip Kingdom, menyatakan, “filem ini menyuguhkan bahawa adalah lebih baik hidup bersama dari berperang.”

Kalau diperhatikan beberapa filem Hollywood pasca-911 memang terlihat cubaan untuk berlaku lunak terhadap dunia Timur/Islam. Kita dapat menebak keadaan ini disebabkan sebahagian mereka termakan rasa bersalah setelah menerima ‘hakikat’ bahawa kemunduran dunia bukan-Barat adalah disebabkan penjajahan. Tetapi, kolonialisme mahupun imperialisme, juga kefanatikan, bukan bermula dan berakhir dari mana-mana benua. Dan keinginan untuk menjajah tidak khusus terbit di benak manusia Barat. Saya sendiri, sebagai Muslim, sedang bingung untuk memahami sejarah khilafah Islamiah yang falsafah para pendukungnya tidak tampak berbeda dengan falsafah puak neo-konservatif Amerika hari ini. Dan ternyata, empayar Islam hanya baru di awal abad ke-20 kelmarin ranap, setelah lebih seribu tahun sebelumnya tak henti-henti cuba meluaskan jajahan. (Seorang penulis dari negeri Barat mengungkit suatu yang menarik apabila mengingatkan kenyataan bahawa dengan melibatkan diri dalam Perang Salib, pihak Kristian melanggar ajaran Isa [Jesus] yang menolak penggunaan kekerasan dan senjata, manakala pihak Islam mematuhi ajaran agama yang mewajibkan jihad dan pembunuhan.)

Melihat gambaran tentang Saladin dan bala tenteranya, saya dapat membayangkan proses pelukisan watak. Malah, kalau pun tidak sepenuhnya, ia telah hampir menjadi seperti arca zaman Nazi, yang dibentuk menurut gambaran dan faham sang pengarca terhadap manusia ideal. Dalam kes Kingdom of Heaven, watak Saladin (atau Salahuddin, mengikut sebutan Arab) beracuankan seperangkat ideal dari Al-Quran dan Sunnah.

Salahuddin dilukiskan sebagai panglima yang terlaksana dalam keberanian dan tindaknya akhlak Qurani. (Salahuddin di bibir masyarakat Arab juga begitu – seorang panglima sempurna! Tugu-tugunya dapat dilihat serata dunia Arab, antaranya di tengah bandar AI-Kerak, Jordan, tempat bertemu King Baldwin dan Salahuddin. Dalam kubu di Kerak ini terdapat batu yang dilorek mengikut bentuk dada manusia. Menurut penduduk tempatan, itulah ukuran tubuh Salahuddin – bidang dadanya melampaui ukuran biasa.)

Malah boleh difikirkan semula, ada kemungkinan William Monahan merujuk kepada Harun Yahya sebelum menulis skrip filem ini? (Mereka yang berminat dengan ‘sejarah’ kerajaan Islam di Baitul Maqdis yang tidak cacat, muluk dan keemasan, boleh membaca tulisan Harun Yahya berjudul “Islam has brought peace and harmony to the Middle East all through history” di laman web harunyahya.com (font gelap ditambah oleh penulis sambil tersipu-sipu.)

Di satu pihak yang lain, yang mengkaji sejarah Perang Salib berdasarkan rekod saksimata (eyewitnesses) dan artifak sejarah menganggap filem ini seluruhnya sampah. Prof. Jonathan Riley-Smith, pakar sejarah Perang Salib dari Cambridge, menyatakan di dalam wawancaranya dengan akhbar Daily Telegraph berkaitan Kingdom of Heaven:

“la adalah sampah. Dari segi sejarah ia langsung tidak tepat… mereka menggambarkan Muslim sebagai canggih dan tentera Salib sebagai keras dan gasar…

Prof. Jonathan Pilips dari London University pula mengatakan: “[menggambarkan] tentera Templar sebagai penjahat hanya dapat dipertahankan dari sudut pandang Muslim. Mereka merupakan ancaman terbesar terhadap pihak Muslim dan ramai yang akhirnya terbunuh kerana sumpah setia mereka ialah untuk mempertahankan Tanah Suci (Baitul Maqdis).

Menurut Riley-Smith, Kingdom ciptaan Ridley adalah berasaskan produk romantisisme sejarah abad ke-19 The Talisman (terbitan tahun 1825), karya Sir Walter Scott, yang tidak lagi diiktiraf oleh para sarjana hari ini.

Berandalkan sebuah khayalan, Scott dan Hollywood cuba menyarankan bahawa penganut ketiga-tiga agama samawi ini dapat hidup rukun bersama. Parvez Ahmed, anggota lembaga pengarah CAIR (Council of American­-Islamic Relations), berkata: “Kingdom of Heaven dapat mencetuskan usaha baru ke arah mempromosi persefahaman antara agama berasaskan penghargaan terhadap sejarah sebenar… ” Respon yang senada diberikan oleh beberapa anggota CAIR yang lain selepas sesi tayangan khusus untuk mereka (diadakan seakan-akan untuk mendapat “lampu hijau” bagi menarik penonton Muslim).

Tetapi, mereka amat silap jika mengandaikan keamanan dapat dicapai melalui distorsi terhadap sejarah. Mereka juga kesasar jika menganggap sesuatu yang dilaraskan agar “sesuai secara politik” (politically correct) dapat berubah menjadi kebenaran. Muslim, Kristian, dan Yahudi hanya dapat hidup bersama jika masing-masing dapat belajar dari sejarah, menerima hakikat dari fakta-fakta yang tepat. Dalam ertikata lain, kerukunan hidup penganut ketiga-tiga agama tersebut hanya dapat dicapai melalui kematangan, muhasabah (introspeksi), kesanggupan menepis mitos-mitos keagamaan dan sejarah yang bertenggek  dalam minda tanpa disedari, selain melakukan reformasi dalaman yang diperlukan dan berjujur dalam dialog.

Kingdom dan filem-filem lain yang sebangsa dengannya gemar berbicara tentang toleransi tanpa menyedari bahawa demi kerukunan, bahkan, toleransi saja tidak memadai. Hanya empati dapat menjamin sebuah dialog antara tamadun yang lancar. Sebagai contoh, bagaimana dapat berlangsung keamanan sekiranya “kafir zimmi” masih belum tanggal dari perbendaharaan kata umat Islam? Menurut teori kenegaraan tradisional Islam, “kafir zimmi” adalah warga kelas dua. Sebahagian besar fuqaha klasik siap menghujahkan bahawa dalam sebuah negara Islam kafir zimmi diberikan keistimewaan melebihi orang Islam sendiri. Hujah ini tidak lain merupakan ‘balutan’ yang palsu.

Untuk menegakkan sesuatu fakta sebagai kebenaran sejarah pula bukan sesuatu yang mudah. Beberapa kurun terakhir, tradisi keilmuan berkembang paling pesat di Barat dengan Timur jauh ketinggalan. Lantaran itu dapat difahami apabila banyak penemuan terbaru tentang Perang Salib dibuat oleh sarjana-sarjana Barat yang telah kita gelar sebagai orientalis itu. Di sini masalah bermula: kebanyakan penganut Islam menolak  orientalis, bahkan mencurigai Barat, Eropah, juga dunia dengan segala isinya yang bukan Islam atau Muslim. Sekaligus, dapatan sejarah oleh para kafir itu ditolak mentah-mentah.

Sampai suatu ketika kita malah bakal merasakan bahawa dialog antara agama, budaya, atau tamadun itu sendiri akan tersangkut di jalan mati – tak dapat dimajukan kecuali dengan mendaki tangga-tangga  metafizik atau falsafah. Di waktu itu, tidak ada kata-kata lunak atau filem canggih dapat membantu, kecuali kesanggupan untuk memulas kederat menyelak helaian-helaian karya para ahli sufi Islam sampai Yahudi, dari Al-Ghazali, Ibnu Rusyd, dan Ibnu Arabi, sampai kepada Aquinas dan Maimonides.

Pemerhatian ringkas: Tidakkah rasa bersalah negara-negara Eropah (holocaust dan sebagainya) membuatkan mereka, hari ini, terpaksa diam membungkam di hadapan persoalan Palestin? Kerana tenggelam dalam rasa bersalah manusia lain harus jadi korban baru. Sampai kerajaan langit itu lantainya merah darah.

~~~

AI-Mustaqeem adalah editor jalantelawi.com. Dia pernah berkubu selama enam tahun di Kerak, Jordan.

First Published: 19.05.2005 on Kakiseni