logo

let’s make something together

Give us a call or drop by anytime, we endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.

Find us

27 & 27A Lorong Datuk Sulaiman 7
Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur
Malaysia.

Phone support

Phone: +603-77254858

Pak Samad di Penjara

  • By Azwan Ismail
  • March 17, 2005
  • 78 Views

By Amirul Fakir

Di sebalik tembok pejal dan kaku yang menyimpan jutaan memori kelam dan duka warganya, kemunculan tokoh yang sudi untuk seketika meredakan kesunyian nurani para warganya tentu sahaja membekaskan secuil kenangan yang amat indah dan cukup berarti. Kehadiran tokoh seni yang amat tersohor ini bukan sahaja disambut oleh warga kerjanya malahan para penghuni yang berjumlah hampir dua ribu itu turut meluahkan kegembiraan mereka atas kunjungan tersebut dengan tepukan yang bergemuruh.

Program Siri Kalam Pujangga, Sepetang Bersama Sasterawan Negara anjuran Jabatan Penjara Malaysia, Taiping dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU), baru-baru ini, buat julung kalinya telah menampilkan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, sempena sambutan ulang tahun Penjara Taiping yang ke-125 tahun.

Acara pada petang itu dimulai dengan bacaan doa oleh kakitangan penjara dan ucapan daripada Pengarah Penjara Taiping, Encik Narander Singh yang meluahkan penghargaannya atas kesudian SN Datuk A. Samad Said dan pihak terbabit menjayakan acara tersebut. Beliau amat berharap agar program ini dapat memberikan dampak yang memberangsang dalam menyuburkan budaya membaca, memartabat bahasa dan budaya serta memantapkan sahsiah warganya bersesuaian dengan objektif jabatan melalui pelan pemulihan dan pembangunan insan yang berakhlak mulia.

Wakil warga penjara, saudara Amiruddin Ismail yang acap kali ditampilkan dalam acara deklamasi puisi kalangan penghuninya mendeklamasikan puisi berjudul: ‘Seribu Jejak Berliku’, karya penyair Saadin Abdullah telah membuktikan bahawa bakat yang digilap sejak menghuni penjara mampu menguja tetamu dan khalayak dengan vokal dan penghayatan yang penuh bersemangat.

Puisi berjudul: ‘Di Tanah Bertuah Ini’, karya Chu E. Liang menjadi pilihan pegawai penjara yang juga salah seorang anggota Kumpulan Teater Teratai Penjara Taiping. Kumpulan teater yang ditubuhkan pada tahun 2000 hasil galakan daripada pengarah penjara ini, pernah bertanding di peringkat negeri dalam Festival Teater Perak pada 2001.

Manakala Penolong Penguasa Penjara Kajang, Rini Tupong yang aktif menghasilkan skrip drama pentas dan radio ketika di Sarawak, memilih untuk mendeklamasikan puisi beliau sendiri berjudul: ‘Daerah Sepi Ini’, yang ditujukan khas buat warga penjara yang bergelar banduan. lni jelas ditelusuri melalui sebahagian bait puisi yang diungkapkan:

Di daerah sepi ini

kami telah mengerti

banyak hati telah dilukai

banyak cinta telah dinoda

banyak kasih telah disisih

banyak jiwa telah diseksa …

Pengarang jemputan yang dipertanggungjawabkan dalam menghasilkan buku: ‘Sebalik Tembok’, suatu dokumentasi sempena sambutan 125 tahun penjara Taiping, saudara Sallahuddin Ibrahim ketika dijemput ke pentas, telah meniupkan kobaran semangat kepada para warga penjara agar sentiasa bersikap positif dan berusaha untuk melakukan islah terhadap diri agar natijahnya turut dinikmati oleh masyarakat secara keseluruhan.

Ketika SN. Datuk A. Samad Said dipersilakan untuk melontarkan mutiara kata, para tetamu dan khalayak telah berdiri dan memberikan tepuk sanjungan yang hangat atas kehadiran beliau. Secara berseloroh, SN A. Samad Said menyatakan beliau amat bertuah kerana pada usia yang bakal menjangkau 70 tahun pada April tahun ini, beliau berpeluang menikmati petang yang indah di dalam tembok penjara meskipun untuk seketika.

Lantas beliau menegaskan bahawa nasib buruk yang menimpa diri seseorang adakalanya membuahkan keberuntungan yang tidak terduga di masa hadapan. Mengimbau latar masa kecilnya, sewaktu penjajahan Jepun di Tanah Melayu, beliau telah dipaksa mempelajari bahasa Jepun namun tanpa diduga, itulah sebenarnya titik mula beliau menyintai dunia pembacaan. Begitu juga apabila menyedari kekurangan dirinya yang gagap sejak berusia 8 tahun sehingga menjelang umurnya 28 tahun, untuk mengatasinya beliau pernah bercita-cita untuk menjadi penyanyi kerana beranggapan bahawa kekurangan itu bisa diatasi dengan kelancarannya menyanyi.

Malahan beliau pernah memasuki pertandingan nyanyian di Singapura dan berkesempatan pula mempelajari vokal daripada seorang guru vokal nyanyian di sana. Sehingga pernah berlaku dilema dalam hidupnya lantaran harus memilih untuk bergelumang di dalam dunia pembacaan dan penulisan atau meraih peluang sebagai seorang penyanyi.

Namun percikan semangat dan dorongan yang kuat daripada tokoh-tokoh sasterawan seperti Keris Mas dan Usman Awang pada waktu itu telah menggoda beliau untuk mencemplungkan dirinya ke dalam dunia kepengarangan. Atas pilihan tersebut, beliau mulai akrab dengan bidang pilihannya dan tidak lagi sekadar menyandarkan bakat semata dalam memastikan kelangsungan hayat berkarya malah mengunyah intinya secara tuntas.

Menyelongkar hasil karya besar daripada sasterawan manca negara demi mempertingkatkan mutu dan estetika dalam berkarya adalah prasyarat yang perlu bagi seseorang seniman waima seorang pembuat bakul harus punya kesungguhan dan sikap untuk meningkatkan mutu dan estetika bakul buatannya, tegas beliau.

Bagi SN A. Samad Said, seorang seniman itu tidak semestinya memaksa diri untuk terlibat di dalam semua bidang secara total. la sewajamya menjuruskan diri ke dalam bidang yang lebih dicintainya agar penglibatannya itu akan lebih bermakna dan lantaran kecenderungan yang mendalam terhadap dunia sastera maka beliau lebih asyik dalam penelitiannya terhadap genre puisi, cerpen, novel, esei dan drama.

Sebelum mengakhiri pertemuan beliau pada petang itu dengan deklamasi puisi yang dinukilkan ketika beliau di dalam dunia kewartawanan, era Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra yang berjudul: ‘Tunku, Pada Harijadimu’, dan sebuah lagi puisi pula istimewa buat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Hj. Badawi, SN. Datuk A. Samad Said telah menerjah kotak fikir penghuni penjara dengan ungkapan yang cukup bermakna iaitu: “Hidup memang tidak pernah sempurna namun sebagai seorang insan harus berusaha untuk menjadi sempurna.”

~~~

Amirul Fakir adalah seorang penyair, pengarang dan penterjemah di Ipoh.

First Published: 17.03.2005 on Kakiseni