logo

let’s make something together

Give us a call or drop by anytime, we endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.

Find us

27 & 27A Lorong Datuk Sulaiman 7
Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur
Malaysia.

Phone support

Phone: +603-77254858

Polis & Negro

  • February 16, 2005
  • 171 Views

By Amir Muhammad

Tahun 2005, tibalah masanya untuk episod ketiga daripada rentetan layar lebar Gerak Khas, yang dimulakan pada tahun 2001 dan disusuli pada 2002. Walaupun jarak antara episod kedua dan ketiga tidaklah sejauh jarak antara The Godfather Part II dan The Godfather Part III (16 tahun) namun banyak juga yang telah berlaku di persada seni kita serta dunia luaran yang fana ini.

Penampilan filem Gerak Khas kini sedikit berbeza. Pelakon lelaki utamanya AC Mizal telahpun diganti oleh Norman Hakim dalam siri TV dan juga filem, namun tanpa apa-apa sebab diberikan dalam filem ini sendiri. (Gosip aktor pertama itu sudahpun sedia maklum; kalau sudah lupa, semaklah semula tulisan-tulisan Huzz dan Juwie). Teknik Dolby Digital Surround juga dimanfaatkan buat pertama kalinya dalam siri ini, agar babak dushum-dushum lebih mengesankan.

Seperti trilogi The Godfather, trilogi Gerak Khas arahan Yusof Haslam mampu berfungsi sebagai naratif mengenai sempadan imaginasi masyarakat yang menciptakannya. Saga The Godfather secara luaran hanyalah cerita mengenai keluarga Amerika berketurunan Itali yang bergelumang dengan pelbagai jenayah. Namun intinya jauh lebih bermakna. Cerita keluarga Corleone tidak kurang daripada cerita pembangunan kota Amerika Syarikat (yang terdiri hampir keseluruhannya oleh pendatang) daripada zaman yang dianggap cerah dengan kemungkinan, didorong pasaran bebas yang menggalakkan saingan, hinggalah ke tahap apabila harapan merundum akibat cengkaman kepentingan-kepentingan tertentu yang akhirnya memakan diri. Garapan Francis Ford Coppola (daripada novel Mario Puzo) menyelusuri pelbagai tema yang cukup intim dengan kehidupan Amerika seperti kapitalisme, jenayah (termasuk rasuah) yang melicinkan kapitalisme ini, tradisi kaum imigran yang perlu disesuaikan kepada tanah baru, peranan gender, dan sebagainya. Plot Mafia hanyalah kiasan terhadap tema-tema yang lebih mengakar.

Begitu juga dengan Gerak Khas. Plot mengenai sebuah unit pasukan polis di ibu kota sekadar permukaan. Ketiga-tiga filem Gerak Khas (tanpa menolak kemungkinan ianya akan disambung lagi) dapat dibaca sebagai indeks kepada hubungan antara kaum Melayu kelas menengah (yakni, watak-watak utama siri ini) dengan watak-watak yang digambarkan sebagai Yang Lain.

‘Yang Lain’ merupakan istilah falsafah yang merujuk kepada watak yang mempunyai sifat-sifat yang berbeza dengan kita, justeru memainkan peranan penting dalam mencipta tanggapan diri kita. Istilah ini digunakan oleh beberapa intelektual kurun ke-20 seperti Levi-Strauss, de Beauvoir, Lacan dan Said. Konsep ini pernah juga diterapkan dalam buku tempatan The Myth of the Lazy Native (Mitos Pribumi Malas) (1977) karangan Syed Hussein Alatas.

‘Yang Lain’ ialah apa-apa yang dianggap pelik, eksotik dan mungkin ada elemen bahaya. Apabila kita berdepan dengan Yang Lain, kita terpaksa merangka imej sendiri yang menolak ciri-ciri mereka supaya kita terus sentosa. Maknanya, tanggapan diri kita merupakan imej yang defensif kerana harus berlawanan dengan ciri-ciri Yang Lain. Tema ‘Yang Lain’ wujud dalam hampir semua karya sastera dan kitab suci.

Watak-watak utama Gerak Khas sentiasa berdepan dengan cabaran semasa bertugas atau bercinta. Jenis cabaran yang dihadapi, serta cara menghadapinya, melakarkan sebuah peta mengenai tanggapan diri kelas menengah Melayu semasa mengenal dunia sekeliling mereka.

Pertamanya, watak penjahat dalam siri Gerak Khas selalunya menggunakan nama bukan-Melayu biarpun dilakonkan oleh orang Melayu. Nama-nama mereka seperti Rafayel, Castelo dan Suzana (Norman Hakim, Rosyam Nor dan Nasha Aziz) dalam episod pertama; Karina (Ida Nerina) dalam episod kedua; dan Ramon (Faizal Hussein) dalam episod terkini. Penjahat bemama Raziman (Jalaluddin Hassan) dalam episod kedua mewakili golongan minoriti.

Bukan hanya nama; maklumat visual akan sentiasa mengingatkan kita akan ke’asing’an watak sebegini. Contohnya Ramon memakai kemeja yang tertera huruf Cina sambil berlatih dengan pedang samurai semasa di kapal layarnya: tiga penanda yang berlainan berkenaan budaya, keganasan dan status kelas.

Punca semua jenayah yang meruncing, baik pelacuran, aktiviti militan, pengedaran pil khayal serta VCD lucah dan cetak rompak, selalunya dikaitkan dengan sumber ‘antarabangsa’ atau ‘negara jiran.’ (Nama negara jiran ini tak pemah disebut, mungkin atas dasar kerjasama ASEAN.) Dalam rangka tanggapan diri naratif sebegini, segala yang negatif selalunya berpunca daripada pengaruh ‘luar.’

Dalam GK3, seorang penjahat berkulit hitam sentiasa dirujuk sebagai “lelaki Negro” tanpa perlu menyebut negara asalnya. Sifat ‘Negro’nya sudah dianggap cukup memualkan. Watak-watak polis amat jijik dengan badannya yang “hitam” dan “berbulu lebat” serta “berketul-ketul.” Babak filem yang sudah terkenal ialah apabila si ‘Negro’ cuba merogol watak Sarimah Ibrahim yang putih melepak itu. Untuk cuba mengelak daripada malapetaka dasyhat ini (bukan setakat dirogol tapi oleh ‘Negro’!) dia berdoa kepada Yang Esa, satu-satunya doa yang kedengaran dalam filem ini biarpun setiap watak polis terpaksa berdepan dengan pengganas bersenjata.

Sikap sebegini menunjukkan watak menengah Melayu dalam naratif ini menganggap diri mereka warga Dunia Pertama yang diancam oleh makhluk yang tak bertamadun, rakus, buas dan kotor. Tidak banyak beza dengan tanggapan diri parti haluan kanan di Eropah yang bertekad mencegah kemasukan kaum bukan-putih ke negara mereka. (Mungkin watak-watak GK3 akan terkejut beruk jika tahu bahawa kulit sawo matang mereka dan kulit hitam si ‘Negro’ tidak ada perbezaan taraf di mata fasis sebegini).

Mungkin tak pernah terlintas di benak fikiran kita bahawa ‘Negro’ merupakan ancaman kepada negara. Namun kita harus akur dan ambil iktibar daripada siri ini, dan berjaga-jaga supaya kita tidak dicabul oleh bangsa gelap dan berbulu ini.

Penjahat amat mudah dikenali melalui pakaian dan dandanan yang keterlaluan. Jika muncul perempuan yang bersolek ‘over’, atau watak lelaki yang memakai barang kemas atau tatu, ini petanda awal watak ini akan ‘dibongkarkan’ sebagai jahat sebelum tamatnya alkisah. Tempat pergaulan penjahat ini pun dari awalnya ialah kelab-kelab malam yang tidak pernah diserbu JAWI.

Terdapat dua anggota polis bukan Melayu dalam siri ini, Lim dan Lingam. Pelakon yang memainkan watak­ watak ini ialah Farid Amirul dan Din Maidin dan mereka sentiasa dilihat bersama. Unik dalam skuad ‘jiwang’ ini, mereka tak pernah diberi plot percintaan. Nama mereka juga bermula dengan huruf sama, seolah mereka harus digandingkan dalam cerita kanak-kanak seperti Tweedledum dan Tweedledee (dalam buku tulis Lewis Carroll) atau Cumi dan Cuki (dalam rancangan RTM). Dua watak ini sentiasa ceria dan riang; tak pernah dilamun gelisah romantik atau ketidakpuasan semasa bekerja biarpun anggota-anggota Melayu yang lebih muda rata-ratanya berpangkat lebih tinggi daripada mereka.

Lim dan Lingam ialah gambaran Yang Lain yang ideal kerana tidak pernah merungut (kalau merungut pun, secara komedi) dan amat berterimakasih dapat bertugas di bawah pegawai-pegawai Melayu yang lain. Untuk rujukan silalah tonton kembali watak-watak ‘Negro baik’ dalam filem “Gone with the Wind.” Terdapat adegan di mana dua watak ini bertengkar sesama sendiri, tetapi Lim dengan loghat Cina dan Lingam dengan Tamil. Pertengkaran ini tidak diberi sarikata. Babak ini tiada fungsi plot tapi penggunaan bahasa Yang Lain oleh dua badut istana ini bertujuan mencetus humor kerana bunyinya yang ‘pelik’.

lmej kota amat penting di dalam semua filem Gerak Khas. Penanda menara kembar KLCC wujud di dalam begitu banyak adegan sebagai latar, lambang kemakmuran bangsa dan juga simbol falus/lingam. Hakikat bahawa menara sebegini tidak mungkin akan tegak tanpa sumbangan tenaga Yang Lain daripada ‘negara jiran’ tidak pernah diakui.

Selain mewah, kota dilambangkan sebagai kancah penuh maksiat, dusta dan noda. Watak daripada kampung atau bandar kecil (di sini, Misha Omar) sentiasa akan terjerumus ke dalam aktiviti tidak sihat jika tak dengar nasihat sanak saudara. Namun, setiap elemen keji ini selalunya akan dibersihkan atau disamak hanya di luar Kuala Lumpur dalam adegan kemuncak yang melibatkan konfrontasi bersenjata. Yang jahat semuanya akan korban kerana polis di sini adalah daripada mazhab ‘tembak dulu, soal kemudian.’ Mungkin ada juga beberapa orang baik yang turut korban untuk meninggikan elemen tragis kerana tewas oleh Yang Lain, seperti watak Erra Fazira dalam episod pertama. Pasukan Gerak Khas selainnya akan kembali ke Kuala Lumpur untuk memulakan petualangan baru, berhadapan dengan musuh-musuh yang tampaknya tak serik-serik lagi dengan amaran, malah makin licik mencabar kedaulatan negara dan bangsa! Sebagai penonton setia siri filem ini, saya harap pasukan ini terus cekal dan waspada hendaknya.

~~~

Bio penulis: Siapa tak kenal Amir Muhammad??

First Published: 16.02.2005 on Kakiseni