Si Pelarian dan Si Penderma

Hannah & Hanna. Kedua-duanya remaja 16 tahun. Usia yang ingin keluar dari kepompong rutin keluarga. Usia di mana persahabatan adalah alternatif kebersamaan yang sangat penting. Dan usia yang kritikal dalam pembentukan psikologi dan sahsiah diri.

Hannah dan Hanna bertemu dalam kekalutan pencarian identiti. Hanna, si pelarian Kosovo ingin mencari tempat berlindung untuk meneruskan  kehidupan dan dia sangat memerlukan teman. Manakala Hannah,  warga Margate, sebuah pekan di sebelah laut di UK, sukar untuk memahami dan menerima fenomena tersebut. Lebih-­lebih lagi apabila Hannah merasakan bukan sahaja Hanna merampas namanya, tempat tinggalnya yang harmoni malah lagu-lagu pop kegemarannya (“Oh baby, baby, How was I supposed to know, That something wasn’t right…”). Konflik tercetus. Di sebalik pergeseran demi pergeseran, mereka mendapati ada banyak persamaan diantara mereka. Selain dari nama dan gemar menyanyi, kedua-duanya  sedang dalam pelarian. Dalam diri dan juga persekitaran.

Menonton Hannah & Hanna adalah satu pengalaman yang nostalgik. Kita terpanggil untuk mengimbau kembali sejarah jatuh-bangun manusia. Sejarah yang berulang-ulang, jungkir-balik dan tidak ada titik perhentian.

Cerita nasib malang manusia di kem pelarian sama saja di mana-mana. Cerita harapan manusia di kem pelarian sama saja di mana-mana. Lalu, apa faedahnya kita bicara panjang lebar tentang itu. Lagipun, apa yang kita bicarakan sebenarnya disebalik semua itu adalah tentang perang. Selagi ada manusia, selagi itu ada gelora nafsu. Selagi itu jugalah perang berlaku. Kata Bob Marley dalam lagunya, ‘War’: “Until the colour of a man’s skin is of no more significance than the colour of his eyes, Me say war.” Maka selagi itu jugalah sejarah nasib malang dan harapan pelarian berulang-ulang.

Namun begitu, teks Hannah & Hanna cuba menyuntik positivisme di sebalik tragedi itu. Saranannya mudah sahaja. Saranan yang selalu dicadangkan oleh setiap agama di dunia ini. Antaranya, buang sifat ego. Buang sifat posesif. Hormati hak diri dan hak orang lain Berkelakuanlah seperti manusia waras. Saling bantu membantu dalam menghadapi masalah. Berganding  bahu dalam mencari keharmonian. Dan yang paling penting, jangan anggap diri seperti tuhan yang boleh buat apa saja terhadap manusia lain. Saranan yang mudah untuk disebut tetapi sukar sekali dipraktikkan. Kalau dapat dipraktikkan, nescaya dunia ini aman sentosa laksana syurga adanya.

Di sini terletaknya kebijaksanaan penulis teks yang juga pengarah Hannah & Hanna, John Retallack. Sengaja diletakkannya watak remaja untuk mendukung tugas-tugas tersebut. Dia mengerti hakikat bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Seperti yang disebutkan di atas, usia Hannah & Hanna dalam teks itu adalah usia pembinaan psikologi dan sahsiah diri. Nescaya mereka akan membesar menjadi manusia dewasa yang matang dan waras. Di sebalik keruntuhan, sejarah juga membijaksanakan manusia.

Maka tidak hairanlah, Hannah & Hanna menggondol Glasgow Angel Award di Festival Seni Edinburgh. Pementasan ini juga dicalonkan untuk Barclays/TMA Best Show untuk Young People Award 2002.

Walau bagaimanapun, kita mungkin mendapati pementasannya agak kurang menarik kalau dibandingkan dengan teksnya. Pementasannya hanya berupa paparan cerita masa kini dan masa lampau yang didukung oleh permainan emosional dan fizikal para pelakon. Tidak ada satu pun yang luar biasa, istimewa maupun extravaganza baik dari segi set, teknikal maupun dari sudut lakon dan gerak. Malah terdapat banyak momen­-momen yang memaparkan imej-imej dan lakon serta gerak yang klise dan konvensional. Adakalanya, lagu dan tarian yang dimainkan oleh para pelakon berulang-ulang dan bertele-tele sehingga menyesakkan. Selayang pandang, Hannah & Hanna seperti tidak jauh bezanya dengan kualiti teater-teater di Malaysia. Malah terdapat pementasan-pementasan teater di Malaysia yang jauh lebih menarik dan lebih kritikal dari Hannah & Hanna.

Tetapi sebenarnya disitulah terletaknya kebijaksanaan pengarahnya. Dia telah melakukan pilihan yang tepat untuk tidak memuaskan visual penonton. Tiada yang istimewa tentang perang melainkan keruntuhan dan kebinasaan. Tidak ada yang luar biasa tentang pelarian melainkan keletihan mengharap. Perang dan kesan­ kesan peperangan adalah satu cerita ulang tayang yang bosan, hambar, pudar dan klise. Lagi pula Hannah & Hanna hanyalah manusia biasa. Kemanusiaan hanya timbul dari manusia biasa, bukan dari manusia yang dibentuk-bentuk. Tarian dan nyanyian yang berulang-ulang dan bertele-tele itu juga tepat kerana itu adalah eskapisme manusia-manusia yang bosan dengan tragedi yang menimpa diri mereka.

Selesai menonton Hannah & Hanna, kita tidak dilanda katarsis. Sebaliknya kita diselubungi oleh semacam rasa utopia. Utopia yang agak dongeng sifatnya tetapi ada kebenarannya. Hannah & Hanna harus kita tonton dengan mata hati.

Sayangnya, Hannah & Hanna datang ke sini setelah bencana tsunami melanda kita. Kalau pementasan ini berlaku sebelum tsunami, mungkin naluri keinsanan kita lebih jauh tersentuh dengan nasib pelarian perang di serata dunia. Orang di sini sudah tidak berapa ambil peduli dengan cerita perang di Afghanistan atau Mahmoud Abbas yang menang pilihanraya di Palestine. Orang di sini sibuk menumpukan perhatian kepada mangsa­-mangsa tsunami.

Ternyata bencana alam lebih besar impaknya terhadap ketamadunan manusia. Gempa bumi dasar laut pada 9.0 skala Richter itu adalah sejarah yang tidak dapat di kenalpasti pengulangannya. Tetapi sejarah manusia dan kemanusiaan yang bobrok tetap berulang.

Dalam menangani bencana alam yang paling dahsyat dalam jangkamasa 4 dekad ini, kita merasa bersyukur dan bangga kerana kita adalah sebahagian warga dunia yang prihatin. Simpati dan derma datang mencurah­ curah. Seperti Hannah & Hanna, kita mengenepikan faktor bangsa, ugama, budaya, status ekonomi dan latarbelakang  politik. Kita berganding bahu menghulurkan tangan untuk dicapai oleh mereka yang malang.

Amerika dengan beraninya membuat kenyataan bahawa bantuan kemanusiaan yang mereka salurkan adalah tanggungjawab yang ikhlas. Tidak punya propaganda. Tidak punya kepentingan politik. Tidak punya niat untuk menghapuskan sentimen Anti-Amerika dikalangan Muslim Acheh dan negara-negara Islam yang lain. Kita terima meskipun kebenarannya belum boleh dikenal pasti.

Hannah & Hanna hanyalah dua orang individu yang mudah untuk ditangani. Namun persahabatan antara dua negara yang saling punya kepentingan personal agak sukar untuk disaring keikhlasannya. Kita telah pun menerima khabar-khabar yang tidak enak. Berita tentang mangsa-mangsa tsunami dirogol dahulu sebelum mendapatkan bekalan roti dan sebagainya. Pusat derma pakaian dijadikan tempat pembuangan  sampah, individu yang menyamar menjadi mangsa untuk memperolehi bantuan dan sebagainya. Tidak kurang juga yang menderma kerana kepentingan nama dan kedudukan.

Akhbar-akhbar tempatan penuh warna-warni. Tragedi telah menjadi satu pesta keraian. Namun dalam beribu­ribu orang yang bersimpati dan menderma, berapa kerat agaknya yang benar-benar sanggup mengenepikan faktor bangsa, ugama, budaya, status ekonomi dan latarbelakang politik? Saya tertarik dengan kenyataan Mohd Hazrey Humphreys, pengerusi Circles of Life International dalam artikel ‘Good Vibrations’  yang bertajuk ‘Lessons in Life’ (The Star, Ahad 9 January 2005). Katanya, tsunami bukan kerja Tuhan kerana Tuhan tidak pernah menyakiti hamba-hambanya. Sebaliknya tsunami adalah satu peluang keemasan untuk kita berubah menjadi individu yang lebih baik, baik secara personal mau pun global. Jikalau tidak, bencana yang akan kita terima di masa akan datang adalah lebih hebat dari ini. Dijamin ia akan tiba!

Maka marilah kita sama-sama menonton Hannah & Hanna. Mari kita merenung dan berkontemplasi. Adakah kita Hannah? Atau Hanna? Atau tangan-tangan  yang menyorok di balik tabir setelah batu dilempar?

~~~

Mislina Mustaffa adalah seorang pelakon (Otak Tak Centre, Alang Rentak Seribu, dan Bangau, Oh Bangau) dan pengarah (Till Death Do Us Part dan Waiting for Godot).

First Published: 13.01.2005 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…