Filem Tempang ke Rotterdam

Filem Independen

lstilah ‘Filem independen’ diwujudkan di Amerika pada tahun 1980an untuk merujuk kepada filem yang tidak diusahakan atau ditaja oleh mana-mana studio besar di negara itu. Kemudian nama-nama seperti Spike Lee, Steven Soderbergh, Quentin Tarantino dan Michael Moore mula menjadi sebutan. Tapi sebelum istilah itu wujudpun, terdapat beberapa pembikin filem seperti John Cassavetes, Roger Corman, Melvin Van Peebles dan Russ Meyer yang membuat filem dengan cara mandiri mulai zaman 1960an (apabila sistem  studio mulai goyah).

Di Malaysia, ‘filem independen’ merujuk kepada filem yang tidak diusahakan atau ditaja oleh syarikat penerbitan yang besar. Definisi ‘besar’ di sini tentunya subjektif tapi merangkumi syarikat yang menghasil dan mengedar beberapa filem di pawagam setiap tahun. Filem independen bukanlah suatu genre tapi mampu mencakupi semua genre penceritaan seperti komedi, seram, eksperimental dan dokumentari. la suatu kaedah pembiayaan, pembikinan dan mungkin juga tayangan/pengedaran suatu filem.

Filem independen lazimnya tidak dihasilkan dengan rancangan untuk pengedaran massa, sebaliknya tayangan kecil-kecilan. Biaya pembikinan selalunya rendah, sekitar RM100,000 atau kurang, dan dana dikeluarkan oleh pembikin filem sendiri dan rakan-rakannya tanpa terlalu mengharapkan pulangan modal.

Namum begitu, industri filem dunia telah membuktikan bahawa ‘filem independen’ mampu juga menerobosi pawagam massa apabila penonton mulai muak dengan hidangan sedia ada, serta inginkan suatu yang baru dan lain. Dua contoh yang cukup terkenal pada tahun 1990an ialah Pulp Fiction dan The Blair Witch Project. Walau dihasilkan secara kecil-kecilan, mereka berjaya ‘meletup’ di pawagam dan mengagetkan pemerhati. lni dapat dilihat mulai zaman 1960an juga apabila filem seperti Easy Rider dan Deep Throat yang tidak dihasilkan oleh mana-mana syarikat besar mampu mengubah sudut pandang Amerika dan dunia serta mengaut laba yang luarbiasa.

Kerana dihasilkan dengan biaya rendah, filem independen selalunya lebih bebas berkarya dan ada kalanya dikaitkan dengan topik yang aneh atau kontroversi. Terdapat kebebasan juga untuk menggunakan bahasa yang tidak selalunya didengar di pawagam kita. Dengan ini, filem independen mampu memperkayakan budaya kita dengan menawarkan kepelbagaian dan kerencaman.

Festival Filem Rotterdam

Festival Filem Rotterdam merupakan antara festival filem yang terbesar di dunia. Tahun ini merupakan edisinya yang ke-34. Dijangka lebih 300,000 tiket akan dijual kepada pengunjung untuk menyaksikan ratusan filem yang dipilih dari segenap pelusuk dunia. Angka ini berdasarkan jumlah penonton tahun lepas yang mencecah 315,000 orang. (1)

Festival ini bukan sekadar untuk penonton awam tapi berjaya menarik minat media dan industri filem antarabangsa. Manfaatkanlah mana-mana enjin pencarian di Internet dan taip ‘International Film Festival Rotterdam’ dan anda akan berdepan dengan puluhan ribu artikel yang ditulis oleh media dalam pelbagai bahasa. (2)

Minat media ialah kerana banyak tayangan perdana (premiere) diadakan di festival ini, samada ‘world premiere’ ataupun ‘European premiere.’ Tahun ini terdapat lebih kurang 100 ‘premiere’ sebegini. Festival ini mempunyai reputasi sebagai festival yang menyajikan gaya perfileman yang baru, di samping juga pembikin filem yang mapan.

Tambahan pula, kompetisi Tiger di festival ini amat dinanti-nantikan kerana ia menjadi petanda awal kemunculan bakat baru. Kompetisi ini hanya untuk pengarah yang menghasilkan filemnya yang pertama atau kedua. Tahun ini, buat pertama kalinya, sebuah filem Malaysia dianggap layak untuk bertanding. Kejayaan ini lengkap dengan ironinya yang tersendiri kerana filem ini tidak mendapat sokongan dana daripada badan perfileman Malaysia walaupun telah beberapa kali dipohon. (3)

Selain kompetisi  ini, Festival Filem Rotterdam mengendalikan Dana Hubert Bals yang bertujuan memberikan wang pelengkap (hingga 30,000 Euro) untuk filem dari negara membangun. Setakat ini hanya 2  filem Malaysia yang pernah menerima sumbangan dana pelangkap (‘top-up fund’) ini (4).

Festival ini juga mengendalikan Cinemart iaitu pasaran produksi bersama (co-production market) yang bertujuan menemukan pembikin filem dengan pemilik dana Dunia Pertama. Cinemart merupakan acara sedemikian yang terbesar di dunia. Puluhan filem telah dihasilkan di medan ini sejak penubuhannya, termasuk filem yang telah mendapat pengedaran antarabangsa termasuk ke Malaysia. (5) Belum ada projek filem Malaysia yang dipilih ke Cinemart.

Malaysia dan Festival Filem Rotterdam

Selama 34 tahun wujud festival, inilah hanya tahun ketiga Malaysia diwakili. Pertama kalinya ialah 1999 dengan Dari Jemapoh ke Manchestee (Hishamuddin Rais). Kali kedua ialah 2003 dengan cereka Room to Let dan filem pendek Goodbye (kedua-duanya arahan James Lee) dan filem pendek Malaikat di Jendela (Osman Ali).

Tujuh filem cereka dan lapan filem pendek Malaysia akan ditayang di Rotterdam tahun 2005. Definisi ‘cereka’ mengikut piawai antarabangsa ialah filem yang berdurasi sekurang-kurangnya 60 minit. Definisi ‘filem’ di sini termasuk juga karya yang dihasilkan dengan video tapi ditayang di pawagam samada di festival atau litar pengedaran.

Tujuh filem cereka tersebut ialah:

  1. Buai Laju-laju (arahan U-Wei Haji Saari)
  2. The Beautiful Washing Machine (James Lee),
  3. Chemman Chaalai (The Gravel Road) (Deepak Kumaran Menon),
  4. Sanctuary (Ho Yuhang),
  5. Tokyo Magic Hour (Amir Muhammad)
  6. Visits: A Hungry Ghost Anthology (James Lee, Ho Yuhang, Low Ngai Yuen & Ng Tian Hann)
  7. The Year of Living Vicariously (Amir Muhammad)

Manakala lapan filem pendek ialah:

  1. Goodbye To Love (arahan James Lee)
  2. Life Is Elsewhere (Kok Kai Foong)
  3. Love For Dogs (Woo Ming Jin)
  4. Out Of The Closet (Chi Too)
  5. Red Drawing (Margaret Bong)
  6. A Tree In Tanjung Malim (Tan Chui Mui)
  7. Wanita Cosmos (Diffan Sina Norman)
  8. Windchimes (Deepak Kumaran Menon)

Beberapa statistik:

  1. Kesemua 15 judul ini dihasilkan dalam bentuk video dengan biaya rendah. Hanya satu (Buai Laju-Laju) telah dipindahkan ke format 35mm.
  2. Daripada 7 filem cereka, setakat ini hanya 3 (Buai Laju-Laju, Visits: A Hungry Ghost Anthology dan kini Chemman Chaalai) diedar ke pawagam Malaysia, manakala The Beautiful Washing Machine dijangka diedar April ini.
  3. Daripada 7 filem cereka, setakat ini 2 telah mendapat perjanjian pengedaran di luar negara: The Beautiful Washing Machine di Korea, dan The Year of Living Vicariously di Indonesia.
  4. Daripada 7 filem cereka, 3 mendapat dana pembikinan daripada luar negara: Buai Laju-Laju (Ireland), Tokyo Magic Hour (Jepun) dan The Year of Living Vicariously (Jepun + Indonesia).
  5. Daripada 15 judul ini, 7 daripadanya dalam Bahasa Cina (Mandarin atau loghat), 3 dalam Bahasa Inggeris, 3 dalam Bahasa Malaysia/Indonesia, 1 dalam Bahasa Tamil dan 1 tanpa bahasa.

Penampilan Malaysia berbanding negara Asia Tenggara yang lain.

Pada tahun ini, Rotterdam mengadakan focus kepada sinema Asia Tenggara. Bahagian ini dinamakan “S.E.A Eyes”. Kuratornya Gertjan Zuilhof melawat Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia sepanjang tahun 2004 dan turut mendapat kiriman filem daripada Singapura dan Vietnam. Semasa beliau di sini bulan Oktober 2004 beliau telah melihat puluhan filem cereka dan filem pendek dalam bentuk VHS dan VCD, termasuk yang tiada sarikata. Proses yang sama diulangi di negara-negara lain.

Daripada semua judul yang ditontoni beliau, beberapa filem dianggap layak untuk tayang di Rotterdam. Kalau dilihat Malaysia sebagai contoh, jumlah filem yang dipilih mungkin hanya 15% daripada semua yang dilihat olehnya. Yang lebih membanggakan ialah dua daripada filem ini layak masuk ke bahagian pertandingan: Cereka Sanctuary oleh Ho Yuhang dan filem pendek A Tree in Tanjung Malim oleh Tan Chui Mui.

Kalau ingin dibandingkan penyertaan Malaysia di Festival Filem Rotterdam 2005 dengan negara Asia Tenggara yang lain, cartanya begini:

MALAYSIA – 7 Filem Cereka: 8 Filem Pendek

THAILAND – 6:7

FILIPINA – 3:14

INDONESIA – 2:14

SINGAPURA – 2:8

VIETNAM – 3:0

Jika dilihat hanya melalui carta ini, walaupun dari segi filem pendek Malaysia ‘kalah’ kepada Filipina dan Indonesia, dari segi filem cereka Malaysialah yang paling menonjol.

Namun realitinya lebih kompleks dan pesimis daripada itu. Walaupun Thailand diwakili oleh ‘hanya’ 6 cereka, 4 daripadanya telah digambarkan atau dipindah ke bentuk filem 35mm: The Adventure of Iron Pussy, The Overture, Tropical Malady, dan Beautiful Boxer. Kesemua filem ini telah berjaya masuk ke puluhan festival filem antarabangsa dan juga pawagam negara lain (contohnya Beautiful Boxer di Malaysia). Tropical Malady juga menggondol hadiah juri di Cannes 2004 sedangkan Malaysia sudah genap 10 tahun tidak diwakili ke festival papan atas itu.

Kedua-dua filem cereka Indonesia (Mengejar Matahari dan Rindu Kami PadaMu) turut dipindah ke 35mm, dan ketiga-tiga filem Vietnam, Buffalo Boy, Bride of Silence dan A Time Far Past digambarkan dalam 35mm.

Walaupun 7 cereka Malaysia diwakili, hanya satu telah dipindah ke 35mm. Kalau melihat 5 tahun kebelakangan ini, filem Malaysia yang dipilih ke festival filem di Eropah dan Amerika Utara, antaranya Rabun, Room to Let, The Big Durian dan Min selain daripada 7 filem di Rotterdam ini, semuanya ditayang dalam bentuk video. Hakikatnya, filem arus perdana Malaysia (semuanya 35mm) tidak begitu menarik minat kurator festival antarabangsa kecuali Puteri Gunung Ledang. Ini berbeza sekali dengan keadaan di Thailand di mana filem-filem komersil mereka dianggap cukup layak ke festival seperti Rotterdam pada edisi-edisi sebelum ini. Wujud kesenjangan antara filem tempatan yang ditonton rakyat Malaysia dan filem Malaysia yang ditonton oleh masyarakat filem luar.

Festival besar seperti Rotterdam mempunyai peralatan projektor video yang cukup canggih dan imejnya tidak akan luntur atau pecah di layar besar, berbeza sekali dengan tayangan video di Malaysia. Tetapi terdapat beberapa festival lain yang hanya akan tayangkan filem dalam bentuk 35mm. Dan Imej Malaysia sendiri akan terjejas: Seolah-olah di kalangan semua negara Asia Tenggara yang lain, hanya Malaysialah yang tak mampu memindahkan filemnya ke 35mm apabila diperlukan. “Siapa yang malu?”

Pentingnya festival seperti Rotterdam kepada filem Malaysia

Sebuah festival filem berwibawa bukanlah pesta untuk mengejar glamour atau bersuka-ria, tetapi medan yang paling cocok untuk mengetengahkan suatu filem kepada dunia luar. Pada 10 tahun kebelakangan ini, hanya dua negara Asia Timur dapat melonjak naik di medan antarabangsa yang dahulunya tidak begitu mengenal mereka. Dua negara tersebut ialah Korea Selatan dan Thailand.

Sebut sahaja mana-mana filem Korea yang menembusi pasaran antarabangsa, seperti Shiri, JSA, Nowhere to Run, Tae Guk Ki, Old Boy, Chunhyang, Lies, Memories of Murder, The Isle dan Sympathy for Mr. Vengeance (sekadar menyebut 10), semuanya diperkenalkan ke dunia luar melalui festival filem. Semuanya kemudian dibeli oleh pengedar di merata dunia. Sudah tentu nilai ekonominya berbaloi; pulangan dari segi bukan-ekonomi (eg. peningkatan imej sebagai negara yang bertamadun, punyai cerita menarik dan pelbagai, serta kepakaran teknikal dan rakyat berbakat) tidak terkira.

Thailand negara Asia Tenggara yang paling dikenali di kalangan peminat filem antarabangsa. Mana-mana penggemar filem dunia akan mengenal The Iron Ladies, Bang Rajan, The Eye, Last Life in the Universe, Ong Bak, Blissfully Yours, Tears of the Black Tiger dan Nang Nak. Kesemua filem ini diperkenalkan melalui festival berwibawa seperti Cannes, Berlin, Venice, Toronto atau Rotterdam. Hasil tekad pembikinnya dengan sokongan yang padu, filem-filem berkenaan berjaya dijual ke pengedar di segenap pelusuk dunia.

Satu-satunya filem Malaysia yang dijual ke Korea, The Beautiful Washing Machine, mendapat perhatian pengedar hanya apabila diputar di Festival Filem Pusan.

Bukan semua filem yang berjaya dijual ke pengedar luar ‘meletup’ di negara sendiri. Filem seperti Spring Summer Autumn Winter… and Spring (Korea) dan Mon-rak Transistor (Thailand) tidak mendapat sambutan di negara sendiri tapi masih merupakan filem yang berjaya di pasaran luar.

Malangnya, kebanyakan filem Malaysia yang diputar di festival besar sekalipun tidak mempunyai biaya promosi yang cukup. Dengan ini filem demikian mungkin akan ‘tenggelem’ dengan sendirinya di kalangan ratusan filem lain. Berbanding dengan dana promosi untuk filem tempatan yang diberikan oleh badan perfileman di Korea dan Singapura, serta badan pelancongan Thailand apabila filem mereka ditayang di luar, filem Malaysia kelihatan ‘tempang’. (6) Di Indonesia sekali pun (negara yang tak terkenal dengan kemakmurannya) kerajaan mereka amat bekerjasama dalam mempromosikan filem Indonesia di Festival Filem Pusan 2004, termasuk penerbitan buku dan mengadakan majlis keramaian di festival itu.

Festival bukanlah garisan penamat dalam perjalanan suatu filem. Festival ialah batu loncatan yang memungkinkan  filem itu pergi lebih jauh. Matlamat setiap pembikin filem di zaman globalisasi ini ialah untuk diedar di merata dunia, supaya bukan saja orang Malaysia tapi peminat di Burkina Faso, Qatar dan Uruguay dapat menonton filem kita. Pendedahan festival dapat memungkinkan ini tapi hanya apabila elemen-elemen lain, khususnya sokongan padu daripada badan yang berwajib, wujud juga. Jika tidak, jangan hairanlah apabila pada Rotterdam 2006 kelak, filem Malaysia menduduki tangga paling bawah di kalangan negara Asia Tenggara!

~~~

* Versi pendek teks ini diucapkan di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS, pada 19 Januari 2005 sempena acara pemberian cek oleh FINAS kepada 6 karyawan muda yang ditaja untuk mewakili filem mereka ke Rotterdam. Jumlah yang diterima adalah kurang daripada separuh jumlah yang diminta untuk belanja promosi dan biaya perjalanan.

Nota Kaki

  • Maklumat lanjut termasuk sinopsis semua filem boleh didapati di filmfestivalrotterdam.com
  • Menurut Google.com, “International Film Festival Rotterdam” muncul 97,000 dalam pelbagai artikel di Internet, manakala “Asia-­Pacific Film Festival” muncul hanya 4,000 kali.
  • Lihat artikel “Masih tak percaya juga?” tulisan Noor Azam Shairi (Mingguan Malaysia, 24 Oktober 2004) dan “Sanctuary woes” oleh Rizal Johan (The Star, 16 Ogos 2004).
  • Dua filem tersebut ialah “Dari Jemapoh ke Manchestee” pada tahun 1997 dan “Summer Kisses Winter Tears”, filem yang sedang diusahakan oleh Ho Yuhang, pada tahun 2004.
  • Antaranya “Last Life in the Universe” (Thailand) dan “Springtime in a Small Town” (China) yang diedar di GSC International Screen.

Maklumat lanjut mengenai Singapore Film Commission boleh didapati di www.sfc.org.sg dan Korean Film Commission di www.kofic.or.kr manakala Thai Tourism Authority turut menganjurkan Festival Filem Antarabangsa Bangkok setiap tahun: www.bangkokfilm.org

First Published: 20.01.2005 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…