logo

let’s make something together

Give us a call or drop by anytime, we endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.

Find us

27 & 27A Lorong Datuk Sulaiman 7
Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur
Malaysia.

Phone support

Phone: +603-77254858

Adrenalin Meluap

  • January 12, 2005
  • 122 Views

By Remin Noir

Suasana pada petang 8 januari yang lalu di depan kelab Hard Rock Cafe terasa berbeza dari petang hari-hari yang lain. Udara petang terasa panas walau kadang keadaan bertukar redup buat satu waktu. Suasana redup yang sekadar sebentar memang memberi perlindungan yang baik buat ramai peminat yang beratur panjang di depan Hard Rock untuk meyaksikan showcase Butterfingers. Satu sejarah telah tertulis kerana ini adalah showcase pertama Butterfingers di dalam 2 tahun dengan kehadiran vokalis utama Emmet Roslan Ishak. Malah menjadi fakta sejarah yang kedua kerana Butterfingers tampil satu set penuh dengan 10 lagu Bahasa Melayu dari album baru yang hadir dengan judul Selamat Tinggal Dunia.

Petang 8 januari yang lepas menjadi petang yang amat ditunggu peminat-peminat kumpulan ini. Peminat lama bercampur yang baru merayakan persembahan ini dengan perasaan yang bercampur baur. Ada yang masih belum tahu untuk meresapi semangat ‘Buttermusic’ yang baru walau memang sedia maklum showcase pada set pertama lagu baru yang disajikan. Tetapi sokongan tetap positif oleh semua yang memenuhi ruang Hard Rock. Malah tetap ramai juga memberi bantuan backup koir pada Emmet dalam nyanyian Melayunya yang tidak lagi pelat.

Set pertama mereka dimula sinikal dengan Emmet secara sopan meminta sesiapa yang tak mahu dengar lagu baru bolehlah tunggu di luar dan masuk semula pada jam 4.30 petang kemudian. Tidak pula kedengaran menyakitkan buat semua kerana mereka bersorak kuat, tanda sokongan. Sudah nyata yang set pertama ini adalah bukan percubaan yang gagal. Sorakan dan sokongan tidak kedekut diberikan hadirin. Lagu ‘Cuai’, ‘Selamat Tinggal Dunia’ dan ‘Kabus Ribut’ disambut panas.

“lni lagu kebangkitan.. .” cetus Loque tegas sambil disambut senyum sinis oleh Emmet tanda bersetuju. Lagu ‘Tentang Tentang’ dinyanyikan sepenuhnya oleh gitaris Loque sambil mendapat bantuan backup koir sepenuhnya dari semua hadirin. Provokasi yang tercetus oleh lagu kebangkitan ini memang boleh dihubungkan secara langsung dengan keadaan dunia persiaran hiburan oleh radio tempatan. Loque tiada kompromi dalam menegaskan pendapatnya dan sewajarnya biar orang ramai tahu kondisinya. Pada ruang dan saat lagu ini bergema, seluruh peminat Butterfingers merayakan dengan menyanyi sekuat mungkin terutama pada bahagian korusnya yang menikam!

‘Siaran Tergendala’ adalah lagu terakhir set pertama. Masing-masing dari setiap anggota menunjukkan kemahiran muzikal tersendiri. Emmet khayal bersama dunianya sehingga menyanyi sambil terbaring seraya melepaskan ekspresi yang sudah lama terpendam. Intensiti Emmet turut sama berjangkit pada Loque yang berdiri disebelah kanannya. Loque larut dalam dunianya tersendiri dalam mempamerkan solo dan kemahiran gitar yang khas. Kadak serius dan steady dalam menjalankan peranannya. Tona bassnya terkawal tanpa sebarang pertunjukan yang lebih-lebih. Tulang belakang band Hafiz @ Loco tetap tenang dengan tugasnya. Tidak syak kenapa beliau adalah seorang drummer yang baik kerana strokenya bagus dan punya nada khas ‘Buttermusic’ yang baru semestinya.

Set kedua dimulai dengan lagu instrumental ‘Viopipe’ oleh Loque bagi menambah hangat suasana ruang kecil Hard Rock Cafe Kuala Lumpur ini. Sepanjang set kedua inilah semua peminat benar-benar puas dan gembira kerana repertoire lagu lama Butters dimainkan kembali.

Moshing dan crowd surf adalah fenomena biasa dalam karekteristik persembahan sebuah kumpulan sebaik Butterfingers. Tidak ketinggalan Emmet turut menyertai crowd surf bersama gelombang lautan peminatnya yang menyambutnya dari bahagian kanan stage. Set kedua mempamerkan stamina setiap dari mereka masih utuh dengan lebih banyak melompat, berteriak bagi melepaskan andrenalin yang meluap.

Turut melakar sejarah adalah kehadiran semula Kalai, drummer lama yang turut bermain pada pertengahan set kedua dengan melantukan gebukan keras lagu-lagu klasik butters seperti ‘Nice O’ Tynne’, ‘Me’, ‘Fire is a Curse’. lni menambah ghairah buat peminat lama yang sentiasa merindukan ketukan khas dari Kalai. Memang diduga kehadirannya menambahkan lagi kehangatan malah kegilaan hadirin di bahagian depan rasanya agak sukar dibendung.

Walau sudah sampai ke penghujung set kedua, peminat semua bersorak keras mahukan kumpulan ini meneruskan set kedua dengan lagu wajib ‘The Chemistry’. Keempat-empat mereka tidak mengecewakan peminat semua kerana menyerah pada tuntutan permintaan semua. Walau tanpa iringan string dan gitar akustik Emmet, lagu ini tetap melepaskan setannya yang tersendiri, kerana berjaya merasuk barisan hadapan hadirin untuk menggila semula seperti awal. Tidak ketinggalan lagu ‘Faculties of The Mind’ disajikan bagi tambah menghangatkan majlis!

Keseluruhan set kedua ini berlaku dalam iringan masa yang cukup pantas. la turut mengingatkan kepada semua hadirin tentang memori lama Butterfingers pada waktu awal dahulu. Sebuah kumpulan empat anak muda yang bermuzik dengan sepenuh hati di pentas sehingga boleh memindah intensiti mereka pada peminat di bawahnya. Set kedua membuktikan yang keempat mereka masih punya tarikan persembahan sepertimana pada zaman kemunculan awal.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan Butterfingers sekali lagi mungkin boleh membentuk lanskap muzik rock generasi baru di Malaysia sepertimana yang pernah mereka lakukan dahulu. Pakaian lusuh dan Flannel ala grunge telah pun ditinggalkan mereka dan tak mustahil kalau anjakan ini boleh difahami peminat yang masih di takuk lama. Selamat Tinggal Dunia adalah oksigen segar yang dibawa oleh kumpulan ini dalam dimensi industri muzik tempatan  yang telah lama terkontaminasi.

~~~

Remin Noir pernah bekerja sebagai wartawan di majalah muzik pertama Malaysia selain menyumbang artikel pada Siasah. Kini tekun mendalami ilmu fotografi dan video sebagai sumber pendapatan utama penghidupan.

First Published: 12.01.2005 on Kakiseni