Super Tweety

Sinopsis persembahan ini memang epik. Inilah cubaan saya untuk meringkasnya: Ptuih! (nama protagonis) yang rebel bertengkar dengan bapak dan dihalau keluar. Helium Si Gas Nadir, abang Ptuih! yang sedikit autisme mengikut Ptuih! hingga ke stesen transit. Ptuih! merupakan bagai Superman kepada Helium, yang sentiasa memeluk patung Tweety. Helium memujuk Ptuih! supaya tidak pergi. Bapak pula menghantar Maseh Dara, kakak tengah supaya membawa Ptuih! balik. Lalu terjadi pertengkaran antara Ptuih! dan Maseh Dara, yang rupa-rupanya adalah ‘sex toy’ bapa mereka. Bila Maseh Dara cuba membawa Helium balik, Ptuih! menghalang, malah menjual Maseh Dara pada Pengawal Keselamatan Stesen. Kemudian, Ptuih! memujuk dan menggunakan kelemahan Helium sebagai senjatanya untuk meneruskan misinya – bunuh bapak.

Superptuih! & Transit Kaler Magenta, tulisan dan arahan Wan Azli Wan Jusoh, adalah sebuah cerita kejatuhan yang tragik. Ia boleh kita jadikan bahan rujukan semasa yang aktif untuk kita melihat kembali perang saraf yang melanda anak-anak muda waktu ini untuk kita jadikan iktibar. Idea dan teksnya bersifat global, boleh diadaptasikan mengikut isu dan peradaban mana-mana bangsa, kerana ia bukan sahaja sebuah kejatuhan peribadi tetapi keruntuhan ketamadunan kemanusiaan keseluruhannya.

Dengan mengambil latarbelakang Malaysia kini, konflik sosio-budaya-ekonomi-politik dilihat sebagai pemangkin penting dalam pembentukan eksistensi anak-anak muda yang terperangkap. Terperangkap di dalam ruang masa, ruang logik, ruang kenangan lampau, ruang ugama dan sebagainya. Kesemuanya bercampur-baur dan bertempur di dalam balang tuntutan materialisme. Masing-masing ingin mencari ruang untuk bernafas, ruang untuk menjadi manusia tenang dan sederhana. Dalam usaha untuk meminimalkan kadar absurditi inilah, konflik tercetus dan perkelahian prinsipal berlaku. Oleh kerana sistem yang dulunya menjadi pedoman kini sudah tidak mampu lagi untuk memberi jawapan, jalan mudahnya adalah, keluar dari sistem tersebut atau runtuhkan sahaja ia.

Inilah yang berlaku kepada Ptuih! (Ahmad Fuad Osman), Helium (Nam Ron) dan Maseh Dara (Ili Farhana) yang pecah sahsiah diri akibat Bapak yang sudah tidak mampu lagi untuk berfungsi sebagai super-ego mereka.

Bapak sepatutnya menjadi super-hero yang menyelamatkan dunia tetapi gagal. Puncanya, dari seekor burung helang bermata tajam, dia telah bertukar menjadi ular yang tamak, membelit keseluruhan sistem lantas menjadi raja. Lidahnya berbisa. Maseh Dara terperangkap dalam janji-janji manis status dan kebendaan. Ptuih! terperangkap dalam kata-kata nista dan kebencian. Dan Helium pula, seperti sebuah globe yang terperangkap diantara 2 paksi, hanya mampu berputar-putar didalam wilayah kebingungan ini dan akhirnya pecah. Mereka adalah mangsa. Apa yang kita tonton di atas pentas adalah impak. Puncanya tersembunyi dan seperti ular, masih merayap dalam diam mencari mangsa seterusnya.

Lalu apa yang lebih penting untuk kita bicarakan di sini adalah bapak yang tidak muncul di atas pentas itu. Dialah sistem yang mengakibatkan keruntuhan setragis itu. Dan dia ular yang masih hidup.

Walau bagaimanapun, bicara tentang sistem dan impak positif nagatifnya adalah sebuah bicara yang mual. Setiap saat kita disogok dengan sistem-sistem yang dibina dari logika akal yang bertahap super. Setiap saat juga kita menonton kemusnahan berpunca dari sistem-sistem ini. Kita bingung. Tidak tahu apa lagi yang harus kita perbetulkan kerana kalaulah sistem akal manusia yang paling logik pun sudah tidak mampu berfungsi lagi, dari mana lagi harus kita cari jawapan untuk kedamaian kemanusiaan kita?

Tambahan pula, ini zaman kemuncak akal. Membikin sistem bukanlah sesuatu yang sukar. Segalanya di hujung jari. Makanan segera, wang segera, kepuasan segera dan baru-baru ini, demam reality TV yang menjanjikan emosi segera, menjadi sistem kehidupan kita. Bayangkan, apabila ‘kesegeraan’ menjadi super-hero yang menyelamatkan hari-hari kita, apakah yang akan terjadi kepada pembentukan kemanusiaan kita? Eksistensi segera juga bermaksud kematian yang segera.

Jawapannya, kerna kehidupan kita sudah jadi sesegera komik, kita harus berusaha semula menjadi manusia. Tak perlu jadi Superman dan jangan pula jadi Tweety.

Kehadiran patung Tweety, komik Superman dan iklan-iklan dagangan yang dipancarkan di dinding sewaktu pementasan berlangsung merupakan imej-imej yang menarik. Mereka adalah imej kemanusiaan kita zaman ini. Dua dimensi, tiada perasaan, boleh dijual beli, adalah ciri-ciri tamadun dan ketamadunan kita. Syabas kepada pengarahnya.

Namun, kerja-kerja menterjemah sebuah teks untuk dihidangkan di atas pentas dalam dulang Teater Idea yang minimal, inteligen dan mempunyai pemikiran kritikal terhadap isu yang akan diperkatakan adalah kerja berat dan rumit. Semua elemen di atas pentas harus diterjemahkan ke dalam bentuk simbol yang paling ringkas, tepat dan efektif namun global sifatnya mengikut sign dan signifier yang bersesuaian dengan penerimaan dan persepsi audien.

Seterusnya penterjemahan ini harus pula membenarkan perkongsian dan perdebatan data-data isu berlaku secara timbal-balik dan eklektik di antara apa yang berlaku di atas pentas dan pemikiran audien sewaktu persembahan. Barulah di akhir pementasan, proses dialektika yang berlaku di antara persembahan dan audien akan mencapai kata sepakat dalam beberapa hal – meskipun persembahan itu berkeputusan terbuka dan tidak menirus kepada apa-apa pegangan secara total.

Sepatutnya Superptuih! Dan Transit Kaler Magenta boleh mencapai tahap tersebut tetapi pembikinannya yang jelas kelihatan tergesa-gesa telah mencacatkan potensi ini. Kerna pembikinannya yang kurang masak, karya ini berada di tengah-tengah paksi. Antara ada dan tiada. Antara nampak dan tersembunyi. Antara ya dan tidak.

Antara berfungsi dan tidak berfungsi. Mungkin itu juga adalah salah satu impak sistem ‘kesegeraan’. Kalau itu tujuan pementasan ini, Syabas kerana ia berjaya.

~~~

Mislina Mustaffa adalah seorang pelakon (Otak Tak Centre, Alang Rentak Seribu, dan Bangau, Oh Bangau) dan pengarah (Till Death Do Us Part dan Waiting for Godot).

First Published: 09.12.2004 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…