Mitos Peribumi Alim

By MR Al-Mustaqeem

Dan berkatalah salah seorang (intelektual?) negara kita, bahawa siapa sahaja yang mempertikaikan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971, hasil resolusi yang dibawa dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang diadakan pada tahun yang sama, boleh dipertikaikan kesetiaannya sebagai warganegara. Yang Zainal Kling ceriterakan lagi, dalam wawancara dengannya di ruangan sastera, Berita Harian, 26 Oktober lalu, “ada cabaran dari yang bukan Melayu menuntut persamaan yang bertentangan dengan perlembagaan negara.”

Tak berapa lama dulu Kathy Rowland menulis: “Walau semua lima puluh dua kertas kerja dimasukkan dalam Asas (buku Asas-asas Kebudayaan Kebangsaan, himpunan kertas kerja Kongres yang diterbitkan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan), kesemuanya dirumuskan hanya dalam tiga prinsip asas, seperti yang digariskan dalam Kata Pengantar. Prinsip pertama menyebut bahawa Kebudayaan Kebangsaan akan berasas pada kebudayaan peribumi. Prinsip kedua menyebut bahawa unsur-unsur kebudayaan lain, yang sesuai dan wajar, akan dimasukkan ke dalam Kebudayaan Kebangsaan. Ketiga, penegasan Islam sebagai komponen terpenting Kebudayaan Kebangsaan. Sebuah kaveat menjelaskan bahawa, ‘sesuai dan wajar yang disebutkan dalam prinsip kedua itu perlu difahami dalam konteks prinsip pertama dan ketiga dan bukan dari nilai lain’.”

Baru-baru ini saya terjumpa sebuah nota, yang saya rasa untuk kegunaan pelajar sekolah, yang kurang lebih berbunyi: “Dalam negara Islam, penganut agama lain boleh menjalankan undang-undang kekeluargaan agama masing-masing, selagi tidak bertentangan dengan Islam.”

Orang yang punya kenang-kenangan hampir pasti akan merasa zaman ini sepertinya Zaman Edan (1960-an) di Indonesia, zaman yang, mengikut cerita Goenawan Mohamad, “seniman harus ikut ‘arus Soekarnoisme’, atau ditekan.” Atau, barangkali, lebih tepat dinamakan zaman ini Kalabendu. Kalabendu, atau zaman kutukan, yang diperikan oleh penyair agung Jawa Ranggawarsita (sebut: Ronggowarsito), dihuraikan panjang lebar oleh WS Rendra dalam pidato kebudayaan “Megatruh” pada tahun 2000 lalu bagi menggambarkan kekacauan di Indonesia waktu itu. Atau juga, meski tidak persis hodoh, zaman ini ada iras-irasnya zaman Revolusi Kebudayaan di China.

Memang telah sejak sekian lama jadi trend untuk melekapkan adjektif Islam atau Melayu kepada apa saja. Seniman dan budayawan tidak terkecuali. Mereka senang sekali mengikut gerombolan, menaikkan slogan “seni Islam”, “catan Islam”, tradisi “budaya Melayu” dan sebagainya. Di Kuala Lumpur, baru-baru ini, Goenawan menyampaikan ucapan, antara katanya: “Inilah zamannya yang dibentuk oleh dua kekuatan yang bertentangan, iaitu pemaksaan modeniti dan pengembalian kepada kepercayaan mutlak yang melihat puisi sebagai pihak tersangka.”

Ada sejumlah kes yang sekiranya dikumpul-kumpul dapat dijadikan tesis PhD, tentang kes-kes yang merupakan akibat dari DKK 1971, projek Islamisasi, “kesedaran Melayu”, dan sebagainya. Kesemuanya sama ada berakibat dari kerajaan yang berwatak pelindung (protectionist) atau dari minda gerombolan, bermula dari kes Tarian Singa yang telah Kathy sebutkan dalam tulisannya, membawa kepada pengharaman beberapa bentuk persembahan tradisional Melayu (Mak Yong, Wayang Kulit, Menora dan lain-lain) oleh kerajaan Pas Kelantan pada awal 90-an, sehinggalah penapisan skrip teater oleh DBKL baru-baru ini. Dalam keadaan tidak rasmi atau rasmi kita dapat dengar “kebebasan harus ada batas”, “bertentangan budaya Melayu”, “tidak Islamik”, “tidak bermoral”, “kita tidak mahu budaya pot-pouri” dan sebagainya, diulang-sumbat ke dalam telinga. Alkisah, di ITM dahulu, pelajar-pelajar secara tidak rasmi ditegah pensyarah dari melukis catan figura atau mengukir area figura kerana “tidak Islamik”.

Hal-hal sebegini tidak hanya terjadi di Malaysia, ia kembang di mana saja fundamentalisme dan konservatisme bersemarak. Di Indonesia, berikutan kontroversi persembahan tarian “Putih-putih”, karya Farida Faisal yang dianggap erotis, tanggal 22 November 1976, Majelis Ulama Daerah Khusus Ibu Kota Jakarta mengirim surat meminta Dewan Kesenian Jakarta (Taman Ismail Marzuki) “menyensor teks dan adegan-adegan pertunjukan sebelum memberikan izin pertunjukannya.”

Saya pernah minta beberapa teman yang ‘punya nama’ untuk “senaraikan budaya Melayu yang tidak pot-pouri.” Jelas, tidak mudah memberi jawapan kerana ternyata Melayu itu sendiri telah tercampur aduk rupa, tradisi, dan budayanya sehingga sukar dikenal lagi.

Di sini, saya tinggalkan persoalan Melayu kepada orang lain. Soalan yang lebih ingin saya ajukan, mengapa Islam harus menjadi penentu dasar kebudayaan sesebuah negara dalam keadaan hari ini? Kenapa? Bagaimana? Islam versi apa?

Islam, kalau prinsip dan nilai sejagatnya – peri kemanusiaan, hak asasi, kebebasan individu dan sejumlah prinsip lain yang bersifat universal – menjadi suatu yang integral dalam dasar kebudayaan kebangsaan, itu mungkin saja diterima. Tetapi, kalau yang tiba-tiba mendasar ialah hukum-hakam fekah, berasaskan pentafsiran terhadap teks secara tidak tuntas, bagaimana Islam dapat dijadikan asas kepada apa-apa jua dasar? Bagaimana sesuatu yang samar-samar, tidak pasti, tidak ‘masak’, dapat dijadikan asas kepada dasar kebudayaan negara?

Bermula dari sini timbul tiga pertanyaan. Pertama, adakah para budayawan dan seniman sebelum ini berbicara tentang seni Islam tanpa atau dengan penglibatan agamawan (dalam konteks ini, sarjana Islam)? Setakat yang diketahui, tidak ada agamawan – dalam konteks ini khusus dari kalangan Muslim Malaysia – yang terlibat secara langsung, atau merupakan pakar, dalam bidang seni dan budaya, terutama yang bersifat kontemporari. Muslim malah antara sedar tidak sedar kewujudan kitab bernama Kitab Musik Agung, karya ahli falsafah dan saintis Islam Abu Nasr Al-Farabi (kurun ke-9).

Kemudian, agamawan yang selalu jadi rujukan ialah lulusan Timur Tengah yang kualiti ilmu, budaya dan cara hidup mereka sepanjang bergelar pelajar di sana, sangat layak dipersoal. Sebagai contoh, dalam hal seni budaya, belum pernah terdengar pelajar Malaysia di Al-Azhar, Mesir, berdialog dengan pemenang Nobel Naguib Mahfouz. Tiba-tiba, mereka inilah yang menjadi teras institusi agama dalam negara dan menjadi tempat rujukan (baca: sumber pengharaman) sesuatu produk kesenian. Peliknya, seniman dan budayawan pun lekas-lekas terangguk-angguk tergoyang mengikut fatwa agamawan sebegini.

Kedua, seni bagaimana yang dicirikan sebagai Islam? Yang bertudung kepala, yang berkopiah, yang berkhutbah? Atau (kalau dalam catan) yang ada terselit-selit tulisan jawi (walau ejaannya salah)?

Produk seni selalu dikatakan tidak Islamik kalau berunsur seks. Tetapi, pernahkah ditanya kepada para pakar psikologi dan ilmu sosial, kalau seksualiti ditekan kuat, dalam-dalam, ke lapisan paling bawah, dicantas dan disembunyikan terus dari pengetahuan masyarakat, atas nama agama atau apa sahaja, apakah akibatnya?

Dalam kes pengharaman Mak Yong, sebagai contoh, adakah telah dibuat kajian menyeluruh terhadap permainan tradisional itu? Berapa puluh buah pula buku dan kajian tentang ‘trance’ dan amalan ‘jampi serapah’ telah dirujuk, dan berapa banyak pengalaman dan budaya masyarakat lain seluruh dunia telah dibanding, sebelum ia dikatakan berunsur syirik, khurafat?

Ketiga, di Malaysia, agamawan dan faham agama yang didukungnya mencantas daya hidup. lni dapat dilihat dalam “wacana keislaman” di kaca-kaca TV dan juga di mimbar-mimbar Jumaat. Orang Islam saban waktu diperingat tentang mati, ditakut-takutkan dengan neraka, dan diancam dengan murka Tuhan. Ikhtiar untuk menyuburkan daya hidup, tentang Tuhan yang pemurah, tentang kasih-Nya, tentang mesra-Nya selalu terkebelakang. Sedangkan, seperti yang diyakini penyair WS Rendra, kita juga turut merasai bahawa pada diri setiap manusia terkandung “daya hidup” dan “daya mati”. “Sejak remaja saya sudah memilih untuk mengelola daya hidup di dalam diri peribadi dan di dalam kebudayaan umat manusia. Sedangkan sikap saya kepada daya mati: biarlah saya terima sebagai kewajaran di dalam alam, tetapi tidak usah dibudayakan,” kata Rendra (lihat Penyair dan Kritik Sosial, ms. 16-18).

Faham agama yang rigid, tegar, yang bertolak dari daya mati semata-mata tidak menghasilkan tamadun, yang sebahagiannya bermula dari “pertanyaan-pertanyaan” dan keinginan untuk menyelak “kemungkinan­ kemungkinan”. Barangkali kerana itu tidak pernah ada wacana Islam di Malaysia yang serius dan sihat-tanpa kecaman murtad, sesat, tergelincir akidah dan sebagainya. Bertambah buruk, pergantungan masyarakat terhadap kuasa membuka ruang untuk PAS dan Umno berlumba mempersembahkan versi Islam masing­ masing. Sedangkan, sentuhan politik bukan seperti sentuhan Midas yang dapat menukar segala sesuatu jadi emas, ia lebih mirip jelingan Medusa.

Kasus Islam agak tersendiri. Wacana Islam yang lambat berkembang matang sebahagiannya berpunca dari projek reformasi agama Islam yang terputus-putus. (Boleh dikatakan, bermula dengan gerakan membuka kembali pintu ijtihad di Delhi oleh Shah Waliullah Dahlawi (1703-1768), diteruskan oleh Syed Ahmad Khan, Jamaluddin Al-Afghani, Muhammad ‘Abduh, Rasyid Rida, Ali Abdul Razik, diteruskan oleh Iqbal dan beberapa sarjana kontemporari seperti Syed Hossein Nasr, Fazlurrahman, Nasr Hamid Abu Zaid dan lain-lain.)

Faham Islam arus perdana seluruh dunia seolah tidak terkesan oleh gerakan pembaharuan. Keadaan ini dihairankan, kerana kritik tokoh-tokoh pembaharu tersebut tidak kurang lantang. Misalnya, kritik Sayyid Jamaluddin Al-Afghani (kurun ke-19) dan penerusnya Amir Syakib Arslan, terhadap ulama dan faham orang terhadap istilah ilmu dan ulama. Al-Afghani, sebagai contoh, menyelar pengkategorian sains kepada dua bahagian: ilmu Islam dan ilmu Eropah. Selain itu, telah tercatat kecaman pedas Al-Afghani terhadap ulama zamannya: “Mereka mempelajari kitab-kitab lama dari petang sampai pagi di bawah sinar lampu minyak tanah, tetapi mereka tidak pernah ingin mengetahui mengapa asap timbul jika sarung kaca lampu itu diangkat dan lenyap pula jika sarung itu dipasang kembali.” Bagi Al-Afghani, sarjana sedemikian dapat disamakan dengan lampu minyak tanah yang cahayanya lemah, tidak jauh menerangi.

Amir Syakib Arslan di dalam bukunya yang terkenal (Mengapa kaum Muslimin mundur dan mengapa kaum selain mereka maju, 1967) mempersoal sanjungan yang terlalu tinggi diberikan terhadap ahli agama. Sedangkan, Al-Quran membuktikan hal yang lain: “Dan di dalam beberapa ayat (Al-Quran), sebahagian ada yang menunjukkan dengan jelas, bahawa yang dikehendaki dengan maksud ilmu itu ialah ilmu pengetahuan alam… dan ayat-ayat yang mengandung erti sedemikian itu dalam al-Quran ada berganda-ganda banyaknya, kalau dibandingkan dengan banyaknya ayat-ayat yang mengenai urusan ibadat amaliah seperti sembahyang dan puasa.”

Saya tegas mengatakan, yang terjadi di Malaysia bukan Islamisasi sebaliknya Arabisasi (peng-Arab-an). Memang bukan mudah memisahkan antara Islam dan Arab, apatah lagi ketika Al-Quran, sumber rujukan utama Islam, diturunkan Tuhan dalam bahasa Arab. Jika pun tidak ekstrim – seperti Ulil Absar Abdalla, tokoh ulama muda Indonesia, yang menyatakan budaya Arab mempengaruhi wahyu (Al-Quran) – sekurang-kurangnya budaya bangsa itu mempengaruhi, dengan tidak sedikit, pentafsiran serta penulisan kitab-kitab rujukan utama dalam tradisi kesarjanaan Islam.

Selain dalam pentafsiran teks dan faham keagamaan, pengaruh Arab dapat dilihat pada, antaranya, cara berpakaian, kubah masjid (berbentuk bawang) dan bahasa. Saya senang mengambil contoh senibina masjid. Rekabentuk masjid Melayu, seperti masjid Tengkera di Melaka dan masjid Kampung Laut di Kelantan pelan­ pelan dilupakan, diganti masjid yang meniru senibina Arab (dan adakalanya Turki juga di[salah]anggap sebagai Arab). Islam sebegini hampir hilang sifatnya sebagai “rahmat bagi seluruh alam”. Yang bukan penganut malah akan melihatnya seperti badai yang tak kenal ampun, menyapu bersih laluannya hingga ciri-ciri khusus sesebuah daerah hilang tak bersisa.

Akibat amalan memborong apa sahaja yang berperekat Islam, tanpa dijejaki semangatnya, prinsip dan inti ajarannya, akhirnya semakin jelas bahawa yang kononnya Islam itu hanya tampalan, baju, kaleng – bukan isi atau inti. Muncul nama-nama yang memakai adjektif Islam yang sifar erti, tidak menyelerakan, dan, lebih buruk, mengelirukan seperti senibina Islam, seni Islam, sains Islam dan sebagainya.

Kepuraan dan kedangkalan hanya menghasilkan kitsch – kesenian semu yang disesuaikan dengan selera massa yang luas, dan dalam banyak keadaan bersifat manis-sentimental, namun tidak ada sangkut-paut dengan realiti sebenar. “Karena pada sebuah Kitsch estetik hanyalah semacam baju-luar yang menutupi nilai lain, entah itu nilai komersial yang laku dijual, entah nilai sentimental yang ingin dipuja-puja atau suatu tujuan politik yang hendak dipropagandakan melalui baju atau bahkan topeng kesenian, ” kata Ignas Kleden, dalam tulisan berjudul “Pergeseran Nilai Moral, perkembangan kesenian dan perubahan sosial” (jurnal Kalam, edisi 8, 1996). Dalam pemerhatiannya Kleden dapat mengesan berlakunya category mistake, “di mana nilai-nilai moral ditanggapi menurut kategori estetik, dan gejala-gejala sosial ditanggapi menurut kategori moral.” Akibatnya berlangsunglah moralisasi, iaitu “kecenderungan untuk melihat semua gejala sosial tidak dengan konsep-konsep sosiologis tetapi dengan menggunakan kategori-kategori moral.”

Saya meragui bahawa para moralis di kalangan elit seni dan budaya pernah jujur tentang akibat tindakan yang disandarkan pada kekuasaan. Akibat sensor, sebagai contoh. Selepas Majlis Ulama mengirim surat kepada Dewan Kesenian, Goenawan lekas bertanya: “Suatu tindakan sensor akan menimbulkan persoalan: hak apakah yang ada pada Dewan untuk itu? Jika memang hak itu ada, sebagai ‘tuan rumah’ dari suatu pertunjukan, sampai sejauh mana hal-hal tertentu perlu disensor atau tidak? Atas dasar apa? Tidakkah sikap menyensor itu akan menyebabkan bahaya lain: kematian kebebasan kreativitas?”

Lanjut Goenawan: “Dan untuk apakah sebenarnya Dewan Kesenian Jakarta: Untuk menyuarakan kepentingan kreativitas seniman, ataukah untuk mengontrol mereka? Kepentingan kreativitaskah yang diwakilinya, atau kepentingan suatu kekuasaan atau kekuatan di luar kesenian?” (Goenawan Mohamad [2003] Kesusastraan dan Kekuasaan, Jakarta: Pustaka Firdaus)

Secara umum, berselindung diri di balik litup Melayu-Islam dan bercakap soal moral adalah lebih gampang bagi para elit budaya. Dengan cara itu mereka tidak perlu terketar lutut mendepani kekuasaan untuk menyuarakan hasrat rakyat. Di depan dua pilihan; antara menjadi penyampai gundah murba dan penyalur aspirasi kerajaan, mereka memilih yang kedua, memakai formula mudah “menyalur aspirasi kerajaan=kerusi empuk+bilik berhawa dingin”. Sedikit lagi saya pinjam kata Kleden: “… dengan itu kita sedikit banyaknya membebaskan diri dari kewajiban untuk menangani kondisi dan kaitan-kaitan objektif yang berhubungan dengan penciptaan lapangan kerja, pembahagian pendapatan yang lebih merata… pada titik itu ternyata moral juga dapat bersifat simbolik, kerana pada suatu saat dia menjadi pranata tempat kita mengungkapkan nilai-nilai baik dan buruk, tetapi di saat lain menjadi tempat kita menyembunyikan diri dari persoalan-persoalan sosial yang mempunyai kaitan-kaitan objektif yang harus dibereskan, dan hal ini dilakukan dengan menyembunyikan diri di balik semacam topeng moral.”

Dalam bahasa lain, memang lebih nyaman mendendangkan “Allahu” berbanding mengucapkan bait puisi seperti yang dibacakan seorang penyair di depan Central Market, berbunyi “Tuan Besar, kami lapar!”

Kemudian sampai kita kepada soalan yang tersirat dalam rencana Kathy: siapa berhak mengesahkan “ini budaya kita!”?

Ruang awam, buah fikir Juergen Habermas yang cuba dipopularkan oleh Fathi Aris Omar di negara kita, barangkali perlu difikir secara serius. Dasar kebudayaan seharusnya dirumus oleh semua yang terbabit langsung dalam kesenian dan kebudayaan, tak kira warna kulit, bahasa dan ‘kasta’, dalam ruang yang lebih terbuka, liberal dan tidak terlalu bergantung kepada kekuasaan (dalam pengertian yang luas). Lebih mudarat jika soal dasar kebudayaan dilepaskan langsung ke tangan kerajaan dan agensinya yang, seperti ditegaskan Karl R. Popper, adalah ‘necessary evil’. Justeru, jangkauan ‘setan’ itu jangan dibenarkan melampaui kadar asas.

Sebelum itu, para seniman dan budayawan harus berani mengatakan bahawa reformasi adalah agenda kita. Ia bukan tentang “Reformasi” (“r” besar), yang lebih banyak tertumpu kepada batang tubuh Anwar Ibrahim, ia bukan soal Anwar jadi PM atau tidak. (Benar, banyak naratif, kisah-kisah peribadi beberapa individu yang rapat dengan Anwar, mengesahkan tokoh itu peminat besar seni dan bercitarasa tinggi. Maksudnya, kalau Anwar jadi PM “ada kemungkinan” seni dan budaya Malaysia lebih maju. Tapi, benarkah kita sanggup sekali lagi melihat para korporat berkejar-kejar ke Central Market untuk memborong lukisan, untuk mengambil hati Menteri Kewangan? Tulus untuk seni belum tentu. Kerana itu, barangkali pelukis hari ini, di zaman kereta makin besar, masih menumpang van teman untuk menjual lukisan, lantaran pembeli-pembeli dahulu sudah tidak ‘berminat’. Fenomena semacam itu, yang terhasil dari “aura” ahli politik, tidak menghasilkan “penghayat seni”. Bila Anwar ‘gila’ lukisan, boleh tahan lagi, sebab pelukis waktu itu pun jadi mewah. Bila Mahathir gila puisi, siapa dapat apa?) Reformasi yang dimaksudkan terutamanya faham tentang bangsa. Catatan tentang watak Melayu yang tenang, sebagai contoh, tak selalu harus berkonotasi positif kalau tenangnya itu tak seperti ubi atau padi yang berisi.

Faham sempit tentang agama semestinya diubah. Sejarah Islam, sebagai contoh, jangan dikenang yang hanya manis-sentimental, tetapi juga perlu disegarkan kembali ingatan tentang sejarah penentangan para ulama Islam terhadap kongkongan dan pemaksaan aliran agama oleh pemerintah ke atas rakyat terutama dalam kes Al-Ma’mun vs. Ahmad bin Hanbal. Juga kisah Rashid Rida (awal kurun ke-20) yang menolak jawatan bertaraf menteri yang ditawarkan Raja Faisol semata-mata kerana mahu bebas berkata benar.

Datang lagi Nuzul Al-Quran tahun ini harapnya kita tidak lagi mengulang bicara tentang berbeda dan istimewanya bumiputera-Muslim, sebaliknya melihat sisi lebih jernih seperti yang pernah disebut profesor Syed Hussein Alatas (Kita dengan Islam, 1979): “Peringatan Nuzul Al-Quran adalah untuk menghidupkan sebanyak­ banyaknya perasaan taat kepada cita-cita Islam yang tinggi ini, cita-cita yang ingin menegakkan ketertiban dan kesejahteraan seluruh umat manusia yang meliputi berbagai bangsa dan kebudayaan, di atas dasar yang universal.”

Al-Quran yang mulia itu tak seharusnya hanya jadi teks rujukan untuk pengharaman “Sure Heboh”, tetapi seperti disebut pujangga Muhammad Iqbal untuk “melihat tanda keagungan Tuhan pada ‘matahari’, ‘bulan’… kepelbagaian warna kulit dan bahasa manusia.”

Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 tidak mempertimbangkan semua hal ini. Agama yang difahami menurut DKK 1971 adalah agama yang gagal menangani secara kreatif kewujudan agama-agama lain. Agama sedemikian “terhukum ke pinggir.”

Akhir sekali, ya, Zainal Kling, dengan lesen PhD yang dimilikinya, mungkin berhak mengatakan orang seperti saya “boleh dipersoalkan kesetiaannya sebagai warganegara.” Dan saya juga berhak mengatakan hampir seluruh kenyataan Zainal Kling dalam wawancara Selasa itu sangat tidak Islamik.

~~~

Al Mustaqeem adalah bekas editor Siasah, anggota Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT). Penulis dan penterjemah bebas ini merupakan graduan Syariah dan Pengajian Islam, Jordan.

First Published: 08.11.2004 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.