logo

let’s make something together

Give us a call or drop by anytime, we endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.

Find us

27 & 27A Lorong Datuk Sulaiman 7
Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur
Malaysia.

Phone support

Phone: +603-77254858

Tetek Besar, Pantat Lebar

  • By Azwan Ismail
  • September 17, 2004
  • 101 Views

By Khalid Jaafar

Sebelum diterbitkan di Beijing, penerbit Mo Yan, penulis novel Red Sorghum yang difilemkan dengan arahan Zhang Yimou dan lakunan Gong Li, membuat publisiti untuk novel terbaharunya. Media riuh dan pengkritik naik rebut. Mengapa tajuknya begitu celupar, atau mencarut? Kemudian suara-suara lantang muncul menuntut Mo Yan menukar tajuk novel terbaharunya. Mo Yan enggan.

Terjemahan Inggeris novel tersebut dengan nama Big Breast Wide Hip hanya akan dipasarkan mulai November akan datang. Ceritanya, menurut Mo Yan sendiri (diceritakan di Shambaugh House kepada lebih kurang 30 orang penulis dari seluruh dunia yang menghadiri International Writing Program di University Iowa dan peminat­ peminat novelis tersebut) adalah tentang seorang perempuan yang bekahwin dengan lelaki mandul. Lakinya mandul, tapi dapat anak sembilan orang. Hairan?

Setelah beberapa tahun tidak memperolehi anak si isteri mulai tahu bahawa suaminya mandul dan berdepan dengan tradisi masyarakat Cina bahawa isteri yang tidak membawa zuriat lambat laut akan disingkirkan dari rumah. Maka si isteri yang setia dan cintakan suami bersetubuh dengan lelaki demi lelaki yang tidak dicintainya semata-mata untuk memperolehi anak. Dan setiap anak yang dilahirkan adalah benih dari lelaki berlainan.

Tetapi anak demi anak yang dilahirkan adalah perempuan. Anak perempuan tidak menyambung zuriat keluarga, itu hanya boleh dilakukan oleh lelaki. Si isteri tidak berhenti bersenggama dengan lelaki sehinggalah memperolehi anak lelaki. Akhirnya, setelah bersenggama dengan lapan lelaki, dengan lelaki yang kesembilan dia memperolehi seorang putera. Dan siapakan lelaki yang kesembilan itu? Itulah yang lucunya, juga sebagai sindiran berselindung, lelaki itulah adalah seorang padri, mubaligh dari Sweden.

Kita hanya menunggu untuk membacanya bila edisi Inggeris keluar November ini. Sebelum itu kita hanya bergantung kepada apa yang dikatakan oleh novelis sendiri. Kata Mo Yan novel itu ditulis setelah ibunya meninggal dan ditujukan kepada ibunya. Kalau ditujukan pada ibunya kenapa tajuknya seperti mencarut? Ini juga ditanyakan pengkritik, sang penulis yakin novel itu layak ditujukan kepada ibunya. “Jangan sangka tokoh perempuan dalam novel ini adalah ibu saya,” katanya. Kalau tidak siapa? Mungkinkah ianya personifikasi seluruh ibu dan wanita yang dizalimi oleh system feudal dan adat warisan Cina yang patriakal.

Mo Yan meneruskan pemberontakan sasterawan moden Cina terhadap tradisi. Dia sendiri menganggap dirinya sebagai penerus kepada tradisi Gerakan Mei Keempat, khususnya Lu Xun. “Saya meneruskan dimana Lu Xun berhenti. Saya sama dengan Lu Xun. Lu Xun menggunakan kampongnya sebagai latar belakang, saya menggunakan kampong saya. Lu Xun menulis tentang rakyat bawahan, saya juga begitu.”

“Ada satu perbedaan antara saya dengan Lu Xun.” Nah, bila saya dengar itu saya sangka saya pasti akan menyaksikan semula manifestasi penyakit sasterawan dan seniman, jarang yang tidak dijangkiti, penyakit ujub, merasakan dirinya hebat, hebat dari yang lain atau setara dengan penulis-penulis agung dalam sejarah. Di Malaysia ada saya dengar penyajak laih mengatakan puisinya sufistik dan setaraf dengan Rumi dan Hafiz. “Perbedaan saya dengan Lu Xun adalah,” Mo Yan menghabiskan ayatnya, “Lu Xun tahu bahasa Jepun dan Jerman, saya hanya tahu bahasa Cina.” Penuntut berderai ketawa.

Humility? Ya, pada mulanya saya fikirkan begitu. Tetapi kali kedua bila saya fikir, mungkin juga pernyataan keyakinan, keyakinan yang berada ditebing jurang keangkuhan. Mungkin ini tidak dimaksudkan oleh Mo Yan. Tetapi secara tidak sedar novelis itu menyatakan kedaulatan dan keagongan bahasa Cina dalam dunia global, bahasa yang bersaing bahu demi bahu dengan bahasa Sepanyol sebagai bahasa kedua dalam internet.

Memikirkan ini saya sering teringat kesilapan, bahkan kebebalan, dasar Mahathir tentang bahasa. Kalau dia bijak dan berwawasan, seperti yang dicanangkan oleh media-media pengampunya, dia seharusnya telah memperkenalkan pengajaran bahasa Cina disekolah-sekolah kebangsaan dari sekolah rendah hingga menengah. Kita tahu Inggeris itu penting. Siapa yang menafikannya? Tetapi obessesi Mahathir tentang bahasa Inggeris menyebabkan beliau lupa dengan satu bahasa besar, yang penting dalam politik dalam negeri, dan juga mendesak dari segi perdagangan antarabangsa, kini menegaskan keberadaan dan kebesaran dalam dunia.

Pembangkang juga tidak lebih imaginatif, kecuali berketurunan Cina dan agenda politik lama. Beberapa kali saya di atas pentas politik dan berdepan dengan khalayak Cina saya dapat tepukan gemuruh bila mencadangkan bahasa Cina sebagai bahasa kedua dan perlu diajarkan di sekolah-sekolah. Tetapi di kalangan pembangkang Melayu apa yang saya sebutkan dipandang dingin. Tidak menaikkan syahwat politik seperti pembahagian kerusi.

Mo Yan yang tidak tahu bahasa lain mengetahui sastera dunia. Seorang penyair bangsa Irish menanyakan pada beliau tentang kota Dublin yang di tulis oleh James Joyce. Joyce mendakwa sekiranya Dublin hancur ia boleh dibina semula berdasar apa yang beliau tulis dalam Ulysses. Mo Yan menulis tentang kampongnya Gaomi di wilayah Shangdung. Dia mahu kampong itu menjadi besar dengan imaginasi dan tulisannya menjadikannya seperti Yoknapatawpha dalam imaginasi William Faulkner.

Mo Yan hanya membaca Joyce dalam terjemahan. Dengan senjata isi dan teknik karya dunia yang diterjemahkan ke dalam bahasa Cina beliau menggali bahawa bahasa dan pengalamannya dan mempersembahkan kepada dunia suatu amat peribadi, agressif, dan juga yang kecinaan yang asli lagi dalam. “Bahasa yang berhenti menterjemah akan mati,” kata Eliot Weinberger, penterjemah kepada Octavio Paz, dan kini juga penterjemah kepada penyair semasa Cina Be Dao. Bilakah saya akan membaca Mo Yan dalam bahasa Melayu, tidak dalam bahasa Inggeris? Saya akan menikmati Mo Yan dalam bahasa Melayu bila kefanatikan kepada bahasa Cina bertukar dari nafsu politik kepada cinta dan keinginan kepada pengucapkan kemanusiaan yang agung, dalam apa bahasa sekalipun.

Saya kira Mo Yan bukan tidak mahu belajar bahasa Inggeris. Sekolahnya pun tidak dapat. Dia berhenti sekolah pada umur 12 tahun dan menjadi penggembala babi. Kenapa dia berhenti? Dia tidak berhenti, di dibuang kerana mulutnya celupar. Mo Yan, nama samaran penulis, bermaksud “Jangan Cakap.” Nama itu dipilihnya sebagai satu ironi kepada pengalamanya yang dibesarkan di zaman Revolusi Kebudayaan dimana kata boleh membawa padah. Beliau besar di zaman yang gersang bahkan nama Lu Xun beliau tidak dengar. “Media rasmi Cina asyik mengatakan Cina adalah Negara yang terbaik di dunia, dan tugas Cina adalah untuk menolong yang lain.” Pendengar ketawa. Saya tidak ketawa, kerana bukan lucu. Apa yang lucu? Apa yang Mo Yan dengar di negaranya tahun 1960an, kita dengar di Malaysia setiap hari.

Setahun dua dulu saya mencadangkan kepada kawan-kawan Cina saya mengadakan seminar untuk mengulas buku Soul Mountain oleh Gao Xingjian, pemenang Hadiah Nobel. Mereka enggan. “Ada lagi penulis Cina yang lebih baik,” kata mereka. Maka semasa soal jawab saya mengangkat tangan, untuk mendapat kepastian adakah pandangan Lee Ban Chen dan aktivis muda Yong Kai Peng benar. “Di Cina pandangan terhadap Gao Xingian adalah sensitif.” Dan saya melihat Christopher Merill, pengarah International Writing Program, dan juga seorang penyair, mula ketawa. Lagi cemburu sesama penulis!

Sebelum bertolak ke Iowa saya menyaksikan cemburu kebudak-budakan sesama sasterawan Malaysia berakhir dengan kesedihan. Almarhum penyair T Alias Taib mencuba sebanyak tiga kali untuk ke International Writing Programme (IWP) tetapi disekat oleh sastrawan-sastrawan kutu di Kuala Lumpur. Beliau diterima untuk tahun ini, berkat cadangan Eddin Khoo, seorang alumnus IWP. Tapi Tengku Alias meninggal beberapa hari sebelum bertolak. Maka Christopher Merill menjadi hari pembukaan hari ini diabadikan untuk Tengku Alias, dan di majlis itu saya membacakan puisi beliau dalam bahasa Melayu.

“Beberapa penulis di Cina merasakan tulisan mereka lebih baik.” Pendengar ketawa lagi. Mo Yan pasti memasukkan dirinya dalam “beberapa” itu, dan yakin dalam “beberapa” itu dia adalah paling hadapan. “Gao Xingjian punya peranan dalam drama-dramanya dalam tahun 1980an.” Jelas Mo Yan tidak kagum dengan novel Gao. “Bagaimanapun saya suka kerana beliau adalah penulis dalam bahasa Cina yang mendapat Hadiah Nobel.”

Mo Yan masih muda, umurnya belum 50 tahun, dan masih aktif menulis. Feng Ru Fei Tun beliau anggap satu epik. “Kepala saya penuh cerita. Bila saya sedang menulis satu novel, novel-novel lain muncul dalam kepala. Novel-novel ini mengikuti saya seperti segerombolan anjing.”

First Published: 17.09.2004 on Kakiseni