logo

let’s make something together

Give us a call or drop by anytime, we endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.

Find us

27 & 27A Lorong Datuk Sulaiman 7
Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur
Malaysia.

Phone support

Phone: +603-77254858

Isteri Bekerja Punca Perceraian

  • By Azwan Ismail
  • February 11, 2004
  • 50 Views

By Uthaya Sankar SB

Iruvar akan mengajak kita berfikir.”

Kata-kata itu sudah cukup untuk membuatkan saya berminat menonton drama pentas (teater?) berkenaan di lstana Budaya, Jalan Tun Razak pada 7 Februari 2004. Kebetulan, persembahan pada hari berkenaan adalah dalam Bahasa Tamil. Maka, saya berpeluang menonton drama pentas Tamil dalam Bahasa Tamil.

Harapan yang saya letakkan pada S.T. Bala memang tinggi kerana lruvar merupakan drama pentas Tamil (juga drama pentas Bahasa Tamil) pertama yang dipentaskan di lstana Budaya bertaraf antarabangsa.

Hakikat bahawa Iruvar pernah mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records pada tahun 2002 sebagai “Drama Pentas Tamil Pertama Dengan Dua Pelakon” tidak begitu menarik minat saya kerana saya sedia maklum bahawa sudah ada rekod baru dengan hanya seorang pelakon.

Persembahan bermula dengan pentas yang dihias menyerupai sebuah taman. Belum sempat saya menikmati hiasan dan props, kedengaran suara yang memaklumkan bahawa “ini adalah sebuah taman”.

Boleh dimaafkan kerana mungkin sahaja penerangan itu ditujukan kepada penonton istimewa yang cacat penglihatan.

Seterusnya, apabila pelakon lelaki muncul di pentas, suara tadi – namanya Mohan – mula memperkenalkan rupa fizikal (namanya Guna, badannya kurus, bertubuh kecil) serta perwatakan lelaki berkenaan.

Apabila watak wanita muncul, seperti yang telah diduga, suara Mohan bertindak memperkenalkannya sebagai lndhu sebelum mula menceritakan fizikal dan perwatakan lndhu.

Kalau bukan kerana harga tiket yang dibayar, tidak mustahil ada penonton yang sudah memutuskan untuk   keluar dan melakukan aktiviti lain yang lebih berfaedah. Mengapa? Penonton sudah boleh membayangkan serta memikirkan (ingat: “Iruvar akan mengajak kita berfikir”) kesudahan cerita.

Penonton mendapat tahu bahawa Guna telah membawa dua anak mereka (Balachandran dan Sindhu) ke taman berkenaan yang turut menyediakan taman permainan kanak-kanak. Guna telah mengajak lndhu datang ke sana untuk mereka membincangkan satu topik yang amat penting –  mengenai kerjaya lndhu.

Tidak lama kemudian, penonton mula mendapat tahu alasan yang menyebabkan Guna mula menghalang lndhu bekerja. Rupa-rupanya, isteri Mohan (narrator) yang bernama Manju telah lari dengan rakan sekerja. Maka Guna mula risau dan takut memikirkan kemungkinan insiden yang sama akan berlaku dalam keluarganya.

S.T. Bala ternyata menggunakan watak Guna secara ekstrim untuk membuktikan bahawa wanita yang bekerja merupakan punca bagi setiap satu dan segala masalah dalam keluarga dan masyarakat. Antara masalah yang disenaraikan adalah masalah anak-anak membawa teman pulang ke rumah, penyalah gunaan internet oleh remaja, penagihan dadah, gangsterisme dan perceraian.

Pengarah dan penulis drama ini turut cuba mempengaruhi fikiran penonton dengan hujah bahawa ramai pembantu rumah warga asing datang ke Malaysia dengan agenda tersembunyi. Kononnya, golongan suami yang sudah terlalu “seronok” dilayan mesra oleh pembantu rumah akan mula mendesak golongan isteri keluar bekerja – supaya lebih banyak masa boleh diluangkan bersama-sama pembantu rumah @ perempuan simpanan.

Watak Guna juga terlalu kerap meminta  lndhu menjadi suri rumah sepenuh masa. Namun, tidak disebut langsung sama ada dia mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi untuk menanggung keluarga jika lndhu tidak bekerja… Ah, tidak mengapa! Sampai ke akhir drama, kita tidak tahu apa pekerjaan Guna. Dan kita juga tidak tahu mengapa dia tidak sahaja memilih untuk mengahwini seorang wanita yang tidak  bekerja.

Bagi S. T. Bala@ Guna, wanita tidak lebih daripada hamba kepada suami. Disenaraikan tugas dan tanggungjawab seorang isteri terhadap suami dan keluarga. Menurut Guna, seorang isteri perlu menjaga kebajikan suami dari semua aspek. Selepas suami tidur pada sebelah malam, si isteri memastikan si suami sudah benar-benar nyenyak sebelum dia masuk tidur.

Pada sebelah pagi pula, si isteri wajib bangun lebih awal dan menyediakan  sarapan serta menyempurnakan pooja@ upacara sembahyang. Kemudian, dia harus membawa minuman ke katil dan mengejutkan si suami dengan penuh mesra. Sementara suami mandi, isteri perlu menseterika pakaian.

Demikianlah idea-idea terlalu ideal – atau bodoh? – yang dikemukakan oleh pengarah melalui watak Guna sepanjang drama pentas ini. Tidak cukup dengan tugas yang sudah disenaraikan, apabila suami keluar rumah untuk ke tempat kerja, isteri wajib mengucapkan selamat tinggal dari pintu hadapan dan menunggu di sana sehingga kenderaan yang dipandu suami hilang dari pandangan.

Namun, tidak disebut langsung tugas dan tanggungjawab seorang suami terhadap isteri dan keluarga. Jelas, perdebatan dalam drama pentas ini berat sebelah. Watak lndhu tidak diberi ruang untuk mengemukakan hujah-hujah yang bernas mewakili suara golongan isteri yang bekerja.

Watak Guna juga ketara mengungkitkan hal-hal yang gagal disempurnakan oleh lndhu sebagai seorang isteri dan seorang ibu. Namun, tidak sepatah pun mengenai apa yang Guna lakukan – atau gagal untuk lakukan – sebagai seorang suami dan seorang bapa.

Perdebatan – bukan lagi sebuah drama pentas; apatah lagi sebuah teater! – menjadi lebih memualkan apabila watak Guna menyatakan bahawa kaum lelaki sahaja boleh berjalan di khalayak tanpa memakai baju; dan hanya wanita boleh melahirkan anak. Contoh lain yang dikemukakan oleh S. T. Bala – melalui Guna – adalah bahawa watak Ravana dalam epik Ramayana mempunyai seratus isteri tetapi watak-watak wanita tidak pernah digambarkan ada lebih daripada seorang suami. … Mungkin S. T. Bala terlupa mengenai watak Paanjali dalam epik Mahabharata.

Iruvar tidak sedikit pun membicarakan soal wanita mengimbangkan antara kerjaya dan keluarga. Sebaliknya dari mula hingga akhir, hujah yang dikemukakan  berulang kali adalah bahawa wanita yang bekerja menjadi punca bagi segala masalah.

Perbualan (ops! perdebatan) antara Guna dan lndhu berlangsung di taman – tanpa kita ketahui mengapa mereka memilih tempat itu. Mereka juga makan dan minum sambil berbalah. Dalam realiti, situasi seperti ini kurang logik.

Selepas lebih sejam terseksa menonton adegan perdebatan antara lndhu dan Guna, penonton akan mula mendapat tahu bahawa Guna sebenarnya merindui keintiman yang pernah wujud antara dia dan isterinya. Namun, agak pelik mengapa Guna – err … S. T. Bala? – memilih untuk menjadikan kerjaya lndhu sebagai asas bagi segala masalah dalam keluarga.

Perdebatan mereka berterusan; tentunya dengan lebih banyak hujah memihak kepada watak Guna yang ternyata mahu dimenangkan oleh penulis skrip. Misalnya, menurut Guna, apabila suami mendapat pangkat dan gelaran, isteri secara automatik akan mendapat pangkat dan gelaran tanpa perlu berusaha. Sebaliknya, jika isteri mendapat  pangkat dan gelaran, suami tidak dapat menumpang sama.

Salah satu contoh baik yang dikemukakan adalah bahawa apabila Samy Vellu mendapat gelaran ‘Datuk Seri’ maka lndrani secara automatik mendapat gelaran ‘Datin Seri’. Menurut Guna, “Si isteri yang tidak membuat apa­apa akan mendapat gelaran Datin Seri.” Kalau bukan kerana ‘Datuk Seri’, tentu ‘Datin Seri’ tidak dikenali umum. Ternyata S. T. Bala secara tidak langsung menyindir ‘Datin Seri’ sebagai tidak lebih daripada seorang isteri yang sekadar menumpang nama dan gelaran suami tanpa perlu berusaha sedikit pun.

Selepas diselitkan dialog berkaitan Astro, THR.fm.Raaga, Malaysia Nanban, serbuk kari Baba’s, Tamra, Barathi dan Kannama, dan entah apa-apa lagi, akhirnya sampai ke penghujung.

Klimaks? Konflik? Plot? Suspen?

Tolong jangan mengharapkan semua itu dalam drama pentas ini yang lebih merupakan sebuah perbahasan atau debat antara dua watak.

Cerita berakhir dengan adegan lndhu tersenyum mesra dan memutuskan untuk membawa anak-anak pulang ke rumah. Dalam beberapa saat sahaja, dia sudah berubah. Atau lebih tepat lagi, watak itu mengalami perubahan semata-mata untuk membuktikan hipotesis S. T. Bala bahawa wanita yang bekerja merupakan punca bagi segala masalah keluarga dan masalah sosial.

Drama pentas ini turut dipersembahkan dalam versi 80% Bahasa Malaysia, 10% lnggeris, 5% Tamil dan 5% Mandarin pada 6, 8 dan 9 Februari 2004. Saya andaikan bahawa cerita adalah sama – cuma bahasa yang digunakan adalah berbeza. Maka, khalayak akan mendapat gambaran betapa lesu, konvensional dan terkebelakang drama pentas Tamil di Malaysia.

Apabila lampu pentas dipadam, saya terasa amat lega kerana persembahan berakhir lebih awal daripada yang dijadualkan. Namun, saya tertanya-tanya ke mana hilangnya suara watak Mohan yang sepatutnya bertindak sebagai tukang cerita (narrator). Dari sudut yang lain, bagus juga suara Mohan ditiadakan kerana suara itu mungkin sahaja akan tampil memberi ceramah atau membuat ulasan drama.

Saya juga berfikir mengapa saya tidak sahaja membeli tiket RM9 dan menonton filem Verumandi bagi kali kedua di pawagam.

Nah! lruvar memang memaksa kita berfikir.

First Published: 11.02.2004 on Kakiseni