logo

let’s make something together

Give us a call or drop by anytime, we endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.

*Five Arts Centre is moving! New address and phone number coming soon.*

Kepelbagaian Dunia Melayu

  • December 19, 2003
  • 641 Views

By Nizam Zakaria

Minggu lepas adalah minggu yang agak sibuk dengan adanya persembahan empat buah monolog di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka. Projek Suitcase 2003 dianjurkan oleh Pustaka Cipta yang mempersembahkan sebuah pesta monolog oleh Teater Ekamatra. Dalam Projek Suitcase 2003, karya-karya oleh penulis-penulis drama yang dianggap tersohor di kalangan generasi muda dari Malaysia dan Singapura seperti Faisal Tehrani, Nam Ron, Alfian Sa’at dan Aidli ‘Alin’ Mosbit dipersembahkan dalam bentuk monolog.

Matderihkolaperlih adalah sebuah karya yang telah dilakonkan, ditulis dan diarahkan oleh Nam Ron. la merupakan sebuah monolog yang benar-benar berjaya mencuit hati penonton melalui lakonan Nam Ron yang cemerlang dan bersahaja.

Skrip yang telah dilakarkan oleh Nam Ron adalah antara skrip yang terbaik untuk persembahan teater Melayu tahun ini (jika bukan yang terbaik). Yang bagus mengenai skrip ini adalah ia senang difahami dengan menggunakan bahasa penuh selamba. Matderihkolaperlih telah dilakarkan dengan elemen penceritaan yang mempunyai nilai naratif visual yang tinggi, sehingga saya berfikir bahawa Nam Ron patut membuat sebuah filem yang diadaptasikan dari ceritanya ini. Untuk Nam Ron, nasihat saya; usah dengar cakap orang lain yang mengatakan bahawa naskhah teaternya (seperti Gedebe) tidak patut dan tidak sesuai untuk difilemkan. Beliau telah membuktikan melalui Gedebe bahawa beliau tahu perbezaan medium filem dan teater, dan saya rasa  beliau boleh berjaya dalam kedua-duanya sekali seperti Sam Mendez, Shuji Terayama, Ingar Bergman dan Julie Taymor.

Persembahan Monsopiad & Lain-lain Cerita Karya Faisal Tehrani telah diarahkan oleh Rosdeen Suboh dan dilakonkan oleh Mohd Kamaludin Mohd Daud. Karya ini bagi saya bukan sebuah persembahan teater yang baik, walaupun lakonan oleh Mohd Kamaludin sememangnya memuaskan dan arahan Rosdeen Suboh boleh dikatakan kreatif kerana beliau telah pun mencuba sedaya mungkin untuk menginterpretasikan satu naskhah yang kucar-kacir strukturnya.

Monsopiad & Lain-lain Cerita adalah sebuah karya yang kabur (cukup kabur sehingga rakan penonton di sebelah saya tertidur buat beberapa ketika). Dalam kekaburan ini, terus menerus saya melupakan cerita yang ingin disampaikan, lantas menumpukan perhatian saya sepenuh-penuhnya kepada lakonan (dan tarian) Mohd Kamaludin yang menarik.

Idea di sebalik Monsopiad agak besar, tetapi sukar difahami melalui cara ia dipersembahkan, ditambah lagi dengan sari kata yang telah ditapis semahu-mahunya oleh DBKL. Mungkin Faisal cuba memasukkan elemen satira politik dalam Monsopiad (melalui kes pengeboman di Bali yang telah diselitkan sama) tetapi sayangnya perkara ini tidak dapat ditangkap oleh kebanyakan penonton.

Persembahan dari Malaysia berjaya menunjukkan kepelbagaian yang ada dalam negara kita ini. Maksud saya, kepelbagaian dari segi loghat bahasa dan budaya yang wujud dalam dunia Melayu di Malaysia. Saya cukup senang dengan usaha Faisal menulis secebis kisah dari Malaysia Timur, kerana sebelum ini, jarang sekali perkara seperti ini diusahakan. Untuk projek-projek pada lain masa pula, saya harap akan ada pula karya-karya persembahan dari naskhah penulis bukan Melayu yang berkarya dalam bahasa Melayu. Juga, harus juga kita raikan budaya bangsa bukan Melayu yang menggunakan Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian mereka, seperti orang Cina Peranakan, India Peranakan dan Serani.

La Libre Latifa (Latifa yang Bebas) merupakan sebuah karya Aidli ‘Alin” Mosbit yang menceritakan  tentang  Latifa, seorang wanita Melayu yang ingin berkahwin dengan seorang lelaki dari India dan mendapat tentangan dari keluarganya. Bagi saya, persembahan La Libre Latifa ini juga agak baik dan bertenaga. Saya cukup terhibur dengan persembahan Alin kali ini. Lagipun, lakonan Molizah Mohd Mohter memang “superb”, lantas beliau dengan sendirinya dapat membawa karya Alin dengan baik, malah dapat menghidupkan kesemua watak-watak yang diambilnya dengan cemerlang.

Apa yang menarik dengan La Libre Latifa adalah struktur penceritaan yang ‘non-linear’. Satu kaedah yang suka digunakan oleh Alin (semak semula … Dan Tiga Dara Terbang Ke Bulan). Alin pandai menggunakan struktur ini untuk bercerita, lantas mengupas kisah kehidupan seorang wanita bernama Latifa yang mahu mencari kebahagiaannya sendiri. Saya cukup-cukup terhibur menyaksikan persembahan La Libre Latifa. Dan dengan tidak segan silu ingin saya nyatakan di sini bahawa perasaan saya terasa sedikit tersentuh pada bahagian akhir monolog ini. Kekuatan monolog ini saya rasa letaknya pada skrip Alin. Jika diberi masa yang lebih lama untuk memperkukuhkan lagi arahan monolog ini, saya yakin La Libre Latifa akan menjadi sebuah persembahan drama yang lebih baik lagi.

Minah & Monyet adalah sebuah karya terbaru dari Alfian Bin Sa’at. Sememangnya saya adalah peminat nombor satu karya-karya Alfian, tetapi saya agak kecewa sedikit dengan karyanya ini. Bukan kerana ia adalah sebuah karya yang gagal, tetapi kerana saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik darinya.

Minah & Monyet telah dipersembahkan oleh Elnie Shumastri yang hanya diberi masa selama tiga hari untuk menghafal dialognya – kerana pelakon yang sepatutnya melakonkan monolog ini, Farah Ong, kecederaan pada bahagian kakinya. Elnie beberapa kali gugup tatkala berlakon, tetapi saya masih kagum dengan kebolehannya melakonkan wataknya walaupun diberikan masa begitu singkat untuk menyediakan dirinya.

Kelemahan Minah & Monyet terletak bukan pada lakonan ataupun arahannya, tetapi kepada kemahuan Alfian untuk memasukkan segala-gala cerita dalam sebuah persembahan monolog yang agak pendek. Alfian telah melakukan perkara yang sama untuk Causeway, tetapi Causeway adalah sebuah persembahan teater yang lebih berjaya, kerana ia telah dipersembahkan oleh beberapa orang pelakon dalam satu jangka masa penuh untuk sebuah persembahan teater. Perhatikan bagaimana siri cereka filem-filem pendek Koridor (yang ada ditayangkan di saluran Suria di Singapura) yang telah dikomisi kepadanya. Saya menganggap Koridor adalah di antara cereka siri drama Melayu dari Singapura  yang paling cantik dan bermutu yang pernah saya tonton – bukan hanya kerana nilai produksinya yang tinggi, tetapi kerana cerita-cerita yang ada di dalamnya yang jujur, ringkas, tetapi padat.

Kedua-dua persembahan dari Singapura ini sememangnya berjiwa Singapura. Bahasa yang digunakan dicampuradukkan, tipikal bahasa Melayu rojak Singapura yang ada serpihan-serpihan ayat lnggeris, dialek Cina dan Melayu (terutamanya dalam La Libre Latifa). Menurut Rohaizad Suadi seorang pensyarah teater kelahiran Singapura – beliau merasakan apa yang diluahkan dari mulut Latifa agak kaku kedengarannya dibandingkan dengan bahasa Melayu loghat utara yang digunakan Derih yang agak ‘earthy’. Saya memberitahunya bahawa perkara ini mungkin dirasakan oleh beliau kerana penggunaan Bahasa Melayu di Singapura sebagai Bahasa Kedua. lnilah hakikatnya, dan kepelbagaian dalam dunia Melayu seperti ini tidak boleh kita tolak ke tepi begitu sahaja.

Justeru, di dalam persembahan Projek Suitcase inilah kita dapat melihat kepelbagaian identiti bahasa dan budaya yang ada di dalam rumpun Melayu kita. Jadi tidak keterlaluan jika saya rasa, Projek Suitcase ini telah berjaya dalam misinya untuk menampilkan kepelbagaian yang kita ada melalui keempat-empat persembahan yang ditonjolkan.

Tema yang dipersoalkan oleh para karyawan kita juga berjaya menunjukkan kepelbagaian dunia Melayu. Walau bagaimanapun, ada beberapa tema yang dipersembahkan mungkin sudah banyak kali diperbincangkan sebelum ini. Minah & Monyet sebagai contoh, menyentuh tema kekangan kolonialisme (juga neo-kolonialisme oleh bangsa Melayu sendiri). Monsopiad dan Lain-lain Cerita juga serba sedikit menyentuh tema yang sama tetapi bersifat lebih metafizik. Saya rasa tema ini tidak perlu lagi diulang-ulang. Bangsa Melayu khususnya perlu berhenti dari sentiasa dibelenggu dengan mentaliti mangsa penindasan.

Maka sebab itulah saya lebih senang dengan matderihkolaperlih dan La Libre Latifa. Pada hemat saya, kedua­-dua persembahan ini mempunyai tema yang lebih bersifat universal. Derih dan Latifa ingin keluar dari lingkungan hidup mereka yang telah menjerat diri mereka dan sebolehnya mereka berdua mahu memperbaiki diri dan hidup masing-masing. Derih dan Latifa adalah manusia penuh ragu, yang mengidamkan kebebasan dan mengimpikan kebahagiaan. Dalam banyak hal, mereka adalah Melayu dan dalam hal yang lain, mereka juga manusia; bahawa manusia itu semua sebenarnya sama sahaja dalam kepelbagaian yang wujud di dalam diri kita.

Menurut Pengarah Artistik Teater Ekamatra, Noor Effendy Ibrahim, pada tahun hadapan beliau mahu bekerjasama dengan penulis-penulis dari Indonesia untuk Projek Suitcase yang selanjutnya. Maka bertepatanlah dengan tujuan asas Projek Suitcase ini untuk ‘meraikan dan menuntut semula kepelbagaian ke­ Melayuan’. Perkara ini saya dialu-alukan oleh saya dan saya berharap, Projek Suitcase akan dapat dipersembahkan di Malaysia  sebagai sebuah acara tahunan!

First Published: 19.12.2003 on Kakiseni