logo

let’s make something together

Give us a call or drop by anytime, we endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.

*Five Arts Centre is moving! New address and phone number coming soon.*

Secangkir latte bersama Dr Mohd Anis Md Nor

  • October 17, 2003
  • 759 Views

By Adam Tuan Mukriz

Adakah anda berpuas hati dengan sambutan orang awam terhadap MyDance Festival 2003?

Jika berbicara dari segi matlamat, [sambutan terhadap] MyDance Festival adalah lebih dari memuaskan. Memang pada awalnya kami tidak terfikir untuk menjadikan festival ini sebagai satu upacara yang besar memandangkan tenaga kerja yang ada [kurang mencukupi]. Namun saya bangga kerana dapat menarik minat aktivis-aktivis tari di sekitar kawasan Lembah Kelang untuk mengambil bahagian.

Tetapi saya agak terkilan kerana ada kumpulan-kumpulan dan individu-individu yang tidak turut serta [menjayakan festival ini]. Mereka mungkin tidak ada masa kerana sibuk dengan tugas-tugas lain – saya faham. Selain itu, terdapat juga persoalan dan ngomelan tentang orang-orang yang dipilih untuk turut sama menjayakan festival ini. Ada yang bertanya mengapa ada nama-nama yang tidak turut serta. Ada juga [aktivis-aktivis tari] yang beranggapan festival sebegini menjadi persaingan terhadap aktiviti-aktiviti [tarian] mereka. Mungkin kami tidak mendapat sokongan padu dari mereka disebabkan persoalan-persoalan sebegini yang timbul. Bukanlah banyak sangat [aktivis tari] tetapi ketidakhadiran mereka terasa juga.

Bagaimana pula sambutan orang ramai terhadap bengkel tarian anda?

Bengkel tarian MyDance Festival banyak tersebar dari mulut ke mulut sehingga sambutan orang ramai berada di luar jangkaan kami. Peserta bengkel kami terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, umur dan bangsa. Pada saya, ini adalah suatu petunjuk bahawa pengendalian bengkel ini amat berkesan.

Sewaktu kami memilih jenis-jenis bengkel [yang akan dijalankan], tercetus juga di hati tentang orang-orang yang bakal datang mengikutinya. Bengkel silat, bengkel tarian kontemporari,  bengkel tarian klasik… memang agak kitsch juga bengkel kami, saya akui [tertawa]! Jika dibuat satu jenis bengkel tarian sahaja, dikhuatiri ada [orang­-orang] yang merasa mereka tidak dilayan.

Kami akan berusaha untuk mendapatkan ruang-ruang yang lebih besar di masa hadapan untuk bengkel tarian kami. Bayangkan sahaja, pada tahun ini kami terpaksa menolak permintaan orang-orang awam yang datang pada masa-masa terakhir kerana kami tidak punya tempat lagi untuk memuatkan mereka. Kerana itulah kami akan cuba untuk menjayakan bengkel ini di mana-mana juga ruang kosong di masa hadapan – tidak semestinya terhad kepada ruang di dalam studio [tarian] sahaja [seperti pada tahun ini]. Tarian seharusnya berada di dalam ruang yang dapat digapai oleh orang-orang awam. Memang banyak tempat di ibukota yang boleh dijadikan tempat pengendalian bengkel. Di Universiti Malaya contohnya, gelanggang-gelanggang, ruang-ruang legar dan atrium boleh digunakan sebaik mungkin [untuk tujuan ini].

Adakah anda setuju jika dikatakan bahawa MyDance Festival 2003 kurang mendapat liputan dari akhbar­ akhbar tempatan?

Terdapat beberapa kemungkinan. Mungkin [kekurangan liputan menyeluruh] ini disebabkan oleh [ketidakwujudan] scoop berita [buat wartawan-wartawan akhbar]. Lainlah jika ada ahli-ahli politik mahupun patron yang datang untuk merasmi dan menggemilangkan festival ini. [Akhbar-akhbar harian] lebih tertumpu kepada popular consumption dan bukan kepada mana-mana pembaca tertentu.

Mungkin juga ini disebabkan oleh ketandusan penulis-penulis mahupun pengkritik-pengkritik seni yang mampu melaksanakan tugas tersebut. Malaysia mempunyai ramai pelapor berita… tetapi tidak ada pengkaji [yang menganalisis berita]. Period!

Saya tidak menyalahkan akhbar-akhbar harian [kerana kurangnya liputan festival ini]. Mereka juga harus bersifat komersial – jika dikhaskan satu mukasurat penuh untuk sesuatu yang esoterik seperti bidang tarian, mereka mungkin akan kehilangan wang [kerana mengenepikan iklan-iklan], bukan?

Dari manakah datangnya sumber kewangan untuk menjayakan festival ini?

Kami bersyukur  kerana mendapat tajaan utama dari E. Excel International. Walaupun begitu, kami tidak berminat untuk mendapatkan cek durian runtuh dari mana-mana pihak. Kami ingin terlebih dahulu menunjukkan kemampuan dan keupayaan kami. Semuanya harus dibuktikan, bukan? Tiada siapa yang akan percaya kepada kebolehan anda seandainya tiada bukti yang dipertontonkan.

Harus juga saya sebut di sini bahawa selain daripada bantuan kewangan, kami juga bertuah kerana mendapat bantuan dalam bentuk lain. Sebagai contohnya, Universiti Malaya turut sama menjayakan festival ini sebagai salah satu aktiviti akademiknya. Di samping itu, Akademi Seni Kebangsaan juga sama-sama memberikan pertolongan yang tidak ternilai harganya. Di masa hadapan, kami akan cuba untuk bekerjasama dengan organisasi-organisasi antarabangsa.

Adakah anda berpuas hati dengan mutu persembahan  yang telah dipertontonkan?

Tidak juga. Tetapi saya tidak menafikan bahawa terdapat penari-penari yang cukup baik seperti Ajit Dass, Hai Cheng Sim dan Anthonly Meh antara lain. Persembahan mereka cukup membanggakan. Rasuk [oleh Tandak Dance Theatre] dan Untitled [oleh Studio Chombrang] juga mempunyai potensi persembahan yang tinggi. Lee Swee Keong [dan rakan-rakan] juga mempamerkan potensi yang amat baik. Namun begitu, saya masih merasakan bahawa tidak semua [kumpulan tarian] menghantar persembahan mereka [kepada kami] untuk dipersembahkan. Secara tidak langsung, kami dicacatkan oleh keadaan ini.

Bagaimana pendapat anda jika ada yang beranggapan bahawa persembahan MyDance Festival terlalu eklektik sehingga menjadi caca-marba?

[Persembahan tarian festival ini menjadi] eklektik kerana kami terpaksa berurusan dengan mereka yang terpilih [untuk menyertai festival ini]. Juga kerana kami ingin menonjolkan kepelbagaian. Jadi, sifat eklektik itu memang tidak dapat dielakkan. Jika dilihat dari aspek lain, sifat eklektik inilah juga yang menjadikan kita sebagai rakyat Malaysia. Di kandang sana bukan, di sini apatah lagi. Apa yang anda lihat di atas pentas adalah ibarat cermin kehidupan yang sebenar!

Mengapa MyDance Festival ini tidak dibuat sebagai upacara tahunan?

Amat sukar! Bayangkan, festival tahun ini adalah kombinasi gigih kami selama satu setengah tahun untuk merancang secara terperinci. Kami perlu secure [penglibatan] kaum-kerabat [aktivis-aktivis tari] kami dan juga bantuan kewangan. Kerana itulah saya menabik mereka [yang terlibat] kerana faham [betapa kompleksnya pengurusan festival ini]. Walaupun perih, mereka telah menunjukkan minat dan dedikasi yang luar biasa.

Di samping itu, kami juga harus membaca senario politik dan sosio-ekonomi setempat [sebelum melangsungkan festival kami]. Saya rasa cukuplah dilakukan setiap dua tahun sekali kerana jarang sekali ada hasil-hasil [kerja tari] baru yang dikeluarkan pada setiap tahun.

Jika dilihat dari aspek kepelbagaian kaum, MyDance Festival tampak meriah dan harmoni dengan kehadiran penari-penari dari pelbagai keturunan. Tidakkah ianya seolah-olah suatu impian Malaysia à la Citrawarna yang jarang terlihat di kehidupan seharian?

Kita memerlukan lebih empowerment untuk membuka mata dan minda kita kepada pelbagai potensi [keharmonian kaum] yang wujud di negara ini. Setelah minda terbuka lapang, barulah keharmonian ini berlaku tanpa dipaksa. lsu keharmonian kaum ini tidak seharusnya menjadi agenda mana-mana agensi atau pihak tetapi oleh mereka yang benar-benar terlibat di dalam isu ini [seperti aktivis-aktivis seni].

Pendapat anda tentang isu penapisan yang menghalang  kreativiti anak-anak seni?

Saya memang menyokong agar rakyat Malaysia diberikan peluang untuk menjadi lebih ekspresif [di dalam cabang seni mereka]. Undang-undang dan halangan demi halangan terlalu banyak kini sehinggakan benda­ benda yang tidak menjadi hal pun sudah menjadi isu!

Tarian adalah cabang seni yang bersifat non verbal. Tarian bukanlah sesuatu yang boleh ‘dipegang’ dengan tangan kasar. Penari-penari juga mungkin sedar bagaimana untuk menggunakan tubuh mereka, juga merangkumi aspek lahiriah dan batiniah, dan faham sejauh mana ianya boleh digunakan untuk mengelakkan kontroversi.

lni berlainan dengan teater. Masalah mula wujud apabila dibicarakan aspek contextualisation. Apabila orang­-orang yang pandai dan bodoh cuba memahami benda yang sama, contextualisationnya pula sudah tentulah berbeza! Di sinilah masalahnya akan timbul. Sama juga dengan masalah adaptasi – mengapa teater berbahasa lnggeris tidak menjadi isu apabila dipentaskan di negara mereka, tetapi tidak di negara ini? Walaupun teks sudah dicanaikan [mengikut citarasa Malaysia], masih wujud teks kukuh yang boleh dipertikaikan kesahihan dan keafdalannya kelak. Jika ada yang ingin membawa kisah cinta sejenis, masih boleh dilakukan di sini…tetapi terpaksalah menanggung akibatnya nanti.

Kerana itulah pentingnya self-censorship. ltulah realitinya di Malaysia. Jika ada penggiat seni yang cuba mengabaikan self-censorship ini, samalah seperti mengabaikan sifat keMalaysiaan mereka.

[Dr Mohd Anis Md Nor adalah seorang profesor di dalam bidang etnokoreologi dan etnomusikologi dari Universiti Malaya. Beliau merupakan perintis di dalam pengkajian tarian zapin di Malaysia dan juga di Asia Tenggara. Minat mendalamnya di dalam bidang tarian dan muzik Malaya-Polynesian telah membawanya menjelajah ke Asia Tenggara, Madagascar, New Zealand dan Tonga.

Adam Tuan Mukriz merupakan penulis sambilan laman web kakiseni.com dan mendapat pendidikan di dalam bidang linguistik dan kesusasteraan bahasa Perancis dari Strasbourg, Perancis. Beliau merupakan seorang bekas penulis akhbar kewangan berbahasa lnggeris]

First Published: 17.10.2003 on Kakiseni