KERTAS KAJANG: Ke Mana Seni Orang Muda?

Dinihari, pukul dua pagi, kami menikmati teh tarik di Lotus Restaurant, Petaling Jaya. Entah macam mana saya dan Deni boleh gila berbicara tentang hala tuju karyawan muda dalam negara.

Apa yang mendorong ke topik ini saya sendiri tidak pasti, sedangkan lazimnya lebih seronok kalau bergosip politik atau skandal artis. Pastinya penulis lelaki berdarah panas seperti kami sepatutnya menganggap urai rambut Umie Aida sebagai topik yang lebih menggiurkan daripada menilik sejak bila Datuk A. Samad Said membela janggutnya yang putih lebat itu.

Ini adalah suatu topik yang agak besar (maksud saya karyawan negara, bukan janggut mereka). Terdapat ribuan seniman dan penulis muda sekitar pelosok Semenanjung, Sabah dan Sarawak, sedangkan kami hanyalah dua insan yang kononnya berkecimpung dalam dunia kesenian – itupun setakat yang bergolak di Lembah Klang.

Namun begitu, Lembah Klang tetap boleh dijadikan barometer kerana ia adalah pusat kesenian dan kebudayaan negara, seperti mana lembah kaya ini juga menjadi tumpuan segala industri lain.

Sambil menikmati thosai masala panas, bicara kami mula merentas sejarah pergerakan penulisan moden di negara, bermula dari Asas 50 hingga ke zaman pasca-merdeka, dan setelah itu menyentuh perpecahan karya dan karyawan kepada dua kelompok iaitu bahasa lnggeris dan bahasa Melayu yang kekal hingga ke hari ini.

Dalam rancak berbual, topik perbualan kami tiba kepada generasi sekarang, yang mula berkarya dalam sekitar dekad 90-an. Di sini kami terkedu seketika.

Lidah kami kelu, dan sukar untuk meneruskan perbincangan. Lebih dramatik lagi, thosai masala saya pun mula terasa sejuk.

Kami terkedu kerana perbualan kami setakat ini banyak berlandaskan definisi kelompok penulis pada period­period yang lepas, contohnya: awal kurun ke-20 dengan agenda feudalisme, penjajahan dan kesedaran politik; karya-karya Asas 50 dengan ‘seni untuk masyarakat’nya; karya pasca-merdeka sebagai reaksionari budaya kepada persoalan pembangunan dan jatidiri – sedangkan tiba ke hari ini, kita keliru untuk memahami angkatan karyawan millenium muda ini.

Memang sukar untuk memastikan suatu tema besar atau arah ketara pada karyawan muda hari ini.

Saya kira, sewaktu pemecatan Sdr Anwar Ibrahim pada 1997 dan kekecohan demonstrasi reformasi, ramai karyawan muda mula berjinak dengan parti politik pembangkang, menulis untuk media alternatif seperti Malaysia Kini, mengeluarkan karya mengkritik pemerintah dan ada pula yang mengangkat sepanduk PAS, PRM dan Keadilan sewaktu pilihanraya umum.

Tetapi apakah sejarah akan melihat kembali dan mengatakan karyawan muda hari ini adalah generasi celik politik dan berparti politik? Kalau ya, apakah idealisme politik mereka berbeza dengan idealisme penulis­penulis negara dahulu?

Kita tilik-tilik juga dalam segi lain, apakah perlu untuk karyawan muda hari ini mendukung suatu ungkapan atau slogan?

‘Ah, slogan dan perjuangan rakyat adalah passé untuk karyawan sekarang,’ kritik Deni sambil memerhatikan kepulan asap dari kretek Sempoernanya itu. Saya mengambil serius pandangan Deni. Ini kerana dia seorang yang berfikiran dan bercitarasa luarbiasa, dia juga adalah satu-satunya teman penulis keturunan Bukit Cina, Melaka yang gemarkan rokok lndon.

Namun, kami terpaksa akui, karyawan muda, sama ada dalam sastera, teater, seni lukis atau filem, tidak banyak mahu mengeluarkan karya asal yang serius membicarakan isu rakyat marhaen dan negara.

Ramai juga karyawan muda yang seolah-olah jelik dengan anggapan yang seniman mempunyai ‘tanggungjawab kepada masyarakat’ dalam karya mereka. Tak kelas gitu!

Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan ini. Kata mereka: bagaimana pula dengan cetusan protes karyawan khususnya sekitar 1997? Bukankah pada waktu itu karyawan muda menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat, gigih mempamerkan perangai anti-establishment mereka? Mengimbas kembali, saya kira tidak.

Protes, fora dan karya yang timbul waktu itu banyak memperjuangkan perkara-perkara individualisme dan bukan masyarakat. Kritikan daripada karyawan lantang mempertahankan kebebasan individu, suatu perkara yang karyawan sendiri sudah lama rasa tekanannya. Anwar dan orang-orangnya menjadi suatu simbol atau bekas yang diisi pemprotes (karyawan dan bukan karyawan) segala ketidakpuashatian dan kegusaran mereka yang tersisir dari tunjang kuasa, kekayaan dan pengaruh.

Bandingkan pula dengan Teluk Gong 1967, di mana golongan karyawan memperjuangkan kelompok petani yang tanah mereka hendak dirampas oleh Kerajaan secara paksa. Petani tersebut adalah suatu golongan yang sebenarnya jauh dan asing dari dunia karyawan yang gilang-gemilang di kota.

Di sini letaknya perbezaan kredo perjuangan, yang menandakan perubahan zaman dan kepentingan. Tidak bermaksud ia lebih buruk atau lebih baik, hanya berbeza. Situasi sekarang memang berbeza, dan sebab itulah juga petani hari ini lebih kaya daripada editor Dewan Sastera. Yang tertindas sekarang orang sastera bukan pertanian.

Bercakap tentang Teluk Gong, saya teringat pernah membaca tulisan Datuk Usman Awang dalam antologi puisi berkenaan peristiwa bermakna itu, peristiwa yang malangnya pada hari ini sudah hampir dilupakan dan langsung tidak penting untuk dimuatkan dalam buku teks sejarah di sekolah.

Kalau dilihat pada waktu itu, sekitar dekad 50-an dan 60-an, sudah wujud suatu suasana kekecewaan di kalangan karyawan yang merasakan peranan mereka terpinggir oleh perubahan nilai masyarakat dan dominan pengaruh politik. Ini adalah Malaysia yang baru merdeka, di mana politikus adalah wira-wira yang muncul menakluk perhatian rakyat – bukan lagi golongan pemikir, karyawan dan wartawan yang hanya sedekad lalu gigih mengapikan semangat kesedaran dan kemerdekaan di kalangan rakyat.

Usman membahagikan kelompok penulis pada waktu itu kepada dua: pertama, golongan yang kecewa dan memencilkan diri dalam gua-gua pertapaan mereka, berkarya untuk audiens terhad yang kebanyakan juga terdiri daripada karyawan lain.

Di suatu puak lain, adalah mereka yang lantang bersuara, yang mempercayai tugas mereka adalah untuk ‘mengimbangi dunia moden dengan nilai kemanusiaan, emosi dan imaginasi’. Di puak inilah, Usman meletakkan diri dan teman-temannya. Mungkin ada suatu pengajaran di sini untuk karyawan muda, lebih lagi jika dilihat, penyair dan penulis yang berjiwa berani pada waktu itulah yang akhirnya muncul sebagai tokoh-tokoh kuat dalam sastera negara pada hari ini.

Kembali kepada karyawan muda, saya dan Deni masih cuba memahami ke mana dan apa makna seni Malaysia lewat hari ini.

Yang ketara hari ini, ramai sekali yang berkarya atas suatu kepercayaan yang kita boleh ungkapkan sebagai ‘Seks, Komedi dan Aku’.

Ramai yang berkarya untuk menunjuk kebolehan bermain dengan kata-kata; lelucon untuk mendapat glamor mudah; elemen-elemen seksual yang kononnya outrageous (menggemparkan) seperti berani berkucup di atas pentas (lelaki sama lelaki lebih sensasi berbanding lelaki dengan perempuan) dan karya pementasan mahupun penulisan adalah cenderung mengetengahkan pengkarya sendiri: entiti dan pempromosian ‘Aku’ itu mengatasi segala-galanya dan raja di atas semua idealisme, dialog dan motif.

Dalam pada itu, amat kurang penggiat yang ingin mengeluarkan karya yang berusaha membawa kesan mendalam dan bukan sekadar lelucon untuk hiburan semalam; kritikan yang berkesan dan lebih abadi menerangkan kemanusiaan, dunia dan idea-idea halus. Jika ada pun, karya itu lazimnya kurang matang dan terlalu serius pendekatannya sehingga membosankan penonton.

Namun masih ada beberapa permata dalam himpunan sampah karya. Ada segelintir karyawan muda yang pada saya kelihatan semakin kukuh dan matang. Mereka berjaya mengangkat tema-tema berat dengan pendekatan yang efektif, witty dan menarik. Mereka ini menjadi ikon generasi karyawan mereka, hanya kerana mereka sendiri telah bergerak meninggalkan teman-teman lain yang masih khayal dengan formula lama dan selesa dengan puak mereka yang eksklusif, dan tidak inklusif.

Mereka ini juga berada dalam lingkungan lewat usia 20-an dan awal 30-an, tetapi lebih kukuh daripada mereka yang sedang berkarya dalam lingkungan usia 40-an.

Tetapi jumlah karyawan berwibawa ini masih kecil, sedangkan dalam negara, ramai sungguh yang menggelarkan diri sebagai penulis, pelakon, pengarah teater, pelukis, pemuzik dan pembikin filem – lebih ramai daripada mana-mana generasi karyawan yang terdahulu.

Karyawan muda sekarang bukanlah seperti generasi Usman yang membesar dalam negara serba kekurangan. Banyak karyawan muda memegang ijazah, luas pembacaan, jauh perjalanan dan menikmati gaya hidup mewah, menonton teater harga RM80 dan minum espresso bukan kopi-o.

Kini, kita tidak semiskin dahulu, kita punya penonton, pentas, publisiti, peluang dan teknologi. Kita juga tidak miskin karyawan tetapi ironi sekali, kita mungkin menghadapi kemiskinan dalam karya.

Kesudahannya, perbualan saya dan Deni pada dinihari itu terhenti kerana subuh pun semakin dekat. Selepas membayar untuk minuman, kami terserempak seorang teman penulis yang ingin menumpang kereta saya untuk pulang ke rumahnya.

Kami hantar dia pulang dahulu. Kita tidak bercakap lagi tentang seni dan karyawan. Tiba di luar pagar rumah teman tadi, saya memberhentikan kereta dan dia melangkah keluar.

Sebelum beredar, dia bergurau, ‘Hah, lepas ni nak ke mana pulak, wahai orang muda?’ Saya dan Deni tersenyum, tetapi tidak menjawab.

‘…suara batin penyair tanahair sebagai protes langsung kepada kekerasan yang tak adil terhadap peribumi yang miskin dan tertindas.’

– Sasterawan Negara Datuk Usman Awang, Antologi Sajak Teluk Gong, 1967

 

 

First Published: 07.08.2002 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…