Pra-Tonton: Cinta Sang Arnab

Di Lembah Kelang, barisan pelajar yang cemerlang mementaskan pementasan saban bulan saban tahun tentulah pelajar-pelajar dari Akademi Seni Kebangsaan malah dasar mereka juga adalah praktikal itu sendiri daripada teoretikal di dalam kelas. Namun ada beberapa kebangkitan yang positif tidak disedari datangnya dari Universiti Malaya (sejak makin ramai graduan ASK melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah), UPM yang giat mementaskan persembahan tradisional termasuk Jikey, UKM (sejak zaman Teater Rimba nama seperti Andika sudah menyerlah) dan barangkali tidak ramai yang sedar, di Shah Alam, UiTM membekalkan pengamal teater yang juga berbakat.

Fakulti Seni Persembahan UiTM memang aneh tempat pengajiannya, di Stadium Shah Alam tetapi kualiti yang dihasilkan boleh diletakkan sandaran. Apa yang penting pihak pentadbiran UiTM haruslah memberi ruang sepenuhnya kepada pelajar-pelajar ini untuk menunjukkan bakat mereka di luar UiTM, termasuk di DBKL, di The Actors Studio atau di MATIC. Jangan biarkan mereka hanya terpendam begitu sahaja. Pelajar-pelajar ini harus lebih digalakkan mengemukakan bakat, idea dan juga gaya persembahan mereka yang pastinya tersendiri di luar. Pihak pentadbiran dan pengurusan hendaknya jangan terlalu meragui kemampuan mereka malah mendorong, memberikan dana jika munasabah sambil mengingatkan mereka supaya tidak mengabai pengajian. Penyertaan mereka dalam teater-teater di luar juga mestilah diasuh giat.

Justeru pementasan Cinta Sang Arnab yang sebahagian besarnya dari Fakulti Seni Persembahan UiTM Shah Alam tentulah ditunggu-tunggu. Pementasan Cinta Sang Arnab karya Dr Shamsul Rahman Mohammad Kutty, seorang pensyarah kejuruteraan awam UiTM bakal membawa kelainan sendiri. la bakal berlangsung pada 13 Julai 2002 di Dewan Sivik MPPJ, Petaling Jaya jam 8 malam, masuk adalah percuma.

Cinta Sang Arnab mengisahkan Wangi seorang gadis yang kecewa kerana gagal dalam bercinta dengan Roy telah cuba membunuh diri. Kekalutan kehampaan dalam percintaan mendorong penderitaan luar biasa di mana ketika hampir membunuh diri, Wangi telah bertemu dengan seekor arnab yang dalam khayalannya boleh berkata-kata dan memberikan kesedaran mengenai falsafah kehidupan. Arnab tersebut Arn yang semakin rapat dengan Wangi telah secara tidak disangka menaruh perasaan terhadap Wangi. Apa yang seterusnya berlaku haruslah ditonton apatah pula ia dipersembahkan sempena Pekan Teater Selangor. Salah seorang pengamal teater dan pembikin filem bebas tanahair Amir Muhammad yang pernah menyaksikan versi asal pementasan menyifatkan drama ini unik dan menarik lagi tersendiri.

Kakiseni menemui tiga tunjang utama Cinta Sang Arnab iaitu Fauziah Sidek sebagai Wangi, Siti Saadiyah Ismail seorang pencerita dan Lolita Joseph, pengurus pentasnya.

Fauziah memberitahu drama berbentuk surealisme ini bakal mempamerkan keistimewaan tersendiri.

“Kami datang dengan harapan meskipun tidaklah terlalu besar kerana teater ini pernah dipentaskan dan mendapat banyak pengiktirafan dan anugerah pula. Penyertaan kami dari UiTM ibaratnya orang baru menapak. lnilah kali pertama kami ke Pekan Teater meskipun sebelum ini kami ada mementaskan beberapa persembahan secara kecil-kecilan di Perpustakaan Negara dan UiTM sendiri.”

Siti Saadiyah sebagai narator pula yakin dengan keunikan drama ini turut mengakui kenyataan Fauziah yang mereka hadir untuk memeriahkan dunia teater dan sebagai orang baru mereka merendah diri.

“Pun drama ini ada komedinya, Suriati Abu Bakar sebagai Fatin Ermi tentu sahaja menggamatkan kelak.”

Lolita Joseph, pengurus pentas berdedikasi memberitahu Kakiseni mereka sibuk berlatih saban malam di bilik Mak Yong dan mengakui ia adalah percubaan yang banyak memberikan dirinya secara khusus pengalaman.

Pelakon-pelakon lain ialah lrwan Mazwan Ibrahim, Moh Rizal Roslan dan Farid Kamil Zahari. Apa pun produksi ini memang ada keistimewaannya kerana ia diarah dan dibantu arah oleh pensyarah-pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan (siapa kata orang seni dan sains teknologi tak boleh seiring).

Pihak pengurusan dan pentadbiran Fakulti Seni Persembahan sewajarnya memberi pelajar-pelajar ini lebih peluang untuk menimba pengalaman di luar daerah mereka, mencuba horizon baru dan menyerlahkan kebolehan. Hanya dengan itu ilmu seni persembahan mereka akan lebih bermanfaat dan diri mereka dimantapkan sebagai pengamal teater.

Selamat datang orang baru, semoga hasil kerja mereka diperhatikan dan akan terus mendapat perhatian.

 

First Published: 10.07.2002 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.