Meng’Ukir’ Budi Melayu

Kertas kerja yang disediakan untuk Seminar Akal Budi Melayu anjuran Pusat Pengajian Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM pada 25 Jun 2002

SINOPSIS

KENAPA ukiran menjadi perhatian? Di sinilah titik tolak bagi mencari jawapan kenapa seniman alam Melayu ‘bekerja’ menghasilkan seni gunaan tetapi penuh daya kreativiti dan estetika yang memang telah teruji sejak berzaman. Meng’ukir’ bukan sekadar menggunakan bahan (kayu, tanah, batu, logam, dsb) tetapi juga mengeluarkan buah fikiran dan perasaan. Memang dasar gunaan merupakan teras seperti ukiran tebuk tembus untuk laluan angin di jejenang tingkap atau di tebar layar, ukiran timbul dan kerawang di hulu keris, perahu (kayu), nisan (kayu-batu), pending, caping, gendik (loyang, perak, emas) yang semuanya bersifat tiga dimensi. lnilah seni arca alam Melayu. Kini konsep arca tiga dimensi masih melangsungkan tradisi bentuk tetapi mula berkembang kesedaran menjadi gaya dengan konsep baru, menjadi arca bebas menghias ruang dalaman dan taman terbuka. Begitu juga unsur warisan budaya itu mula terjelma dalam seni lukis dua dimensi atau seni arca tiga dimensi. Di sini sorotan unsur warisan menjadi perhatian. Kenapa seniman memilih citra ini dan menzahirkan ke wadah seni rupa moden.

UKIR à MENG’UKIR’ àUKIRAN

TULISà MEN(T)ULIS àTULISAN

PERKATAAN ukir berkembang dengan tambahan ‘meng’à = mengukir, telah memberi erti kata kerja dengan proses memahat, mencungkil, menoreh, menetas bagi menghasilkan (seni) ukiran sebagai barang perhiasan (lih. Teuku lskandar, 1970:1314). Yang diukir itu adalah bahan (kayu, tanah, batu, dsb) dijadikan benda – objek yang diguna pakai sebagai peralatan budaya. Melalui kepakaran mengukir, ditambah dengan rasa seni (jiwa dan minda) hasil kerja itupun indah dan menyenangkan. Rumah yang asalnya berfungsi sebagai tempat perlindungan daripada hujan dan panas, juga ditambah dengan hiasan ukiran. Gabungan daripada kerja dan rasa indah itulah ukiran, merupakan jelmaan rasa seniman berbaur antara kesenangan dan tanggungjawab. Keahlian seseorang dalam bidang ukir disebut sebagai ‘pandai ukir’, ‘pandai tulis’ = penulis, bijak menuIis (melukis) bunga (ragam hias), atau ‘tukang utas’ (Kassim Ahmad, peny. 1966:95; pandai, tukang)

Tradisi mengukir – menghias dengan menghasilkan ukiran telah menjadi simbol keagungan budaya sejak muncul tradisi agung Melayu Melaka. lstana, dengan kelengkapan dalaman seperti singgahsana, peterana, bilik peraduan, sehinggalah ruang luaran atau taman dengan istana kecil, sanggarahan tempat istirahat tamu, balai gendang, pancapersada, usungan sebagai kenderaan darat atau kenderaan laut diraja juga nisan di pemakaman raja telah dihias ukiran oleh ‘pandai ukir’ Melayu. Diperikan Bendahara menitahkan pandai ukir menghias dinding istana, tetapi tetap mengikut acuan pola Bentan, sebab adat Bendahara itu pegangannya Bentan. Maka istana Melaka pun,

“… berbumbung melintang dan bergajah menyusu. Sekeliannya bersayap layang-layang berukir, dan bersengkuap itu diperbuatnya belalang beragi (motif hias), sekelian bergunung-gunung dan berjurai-jurai… akan birai istana itu dua hasta lebarnya, sehasta tebalnya, diukirnya jejenang pintu.” (Shellabear, peny. 1977:137).

Manakala ghali, bahtera diraja untuk meminang dan seterusnya perkahwinan Sultan Mansur dengan Raden Mas Ayu, puteri Majapahit, ditukangi oleh dua kelompok pandai ukir iaitu; 1) Bendahara Paduka Raja di burit, 2) Bentara Tun Tuah di haluan dan segala tukang ‘sama tengah’; Ghali yang kemudian diberi nama Mendam Berahi itu diperikan.

“… ghali1 itu dindingnya dibubuh papan kambi, maka ditampalnya dengan baldu yang kuning dan merah dan hijau. Maka dibubuhnya kaca kerangan dan atapnya daripada kaca kuning dan merah dan beberapa jurai awan dan petir. Maka dibubuh kekuningan dan peterana dan awan berarak, yang mereka dia Bentara Tuan Tuah; antara tiang agung ke buritan Bendahara Paduka yang mereka dia.” (Kassim Ahmad:95)

Dalam kutipan di atas, konsep merekabentuk sudah dipaparkan dengan jelas iaitu ‘mereka dia’, oleh pandai (seniman) Bendahara Paduka dan Bentara Tuan Tuah (belum lagi diberi anugerah, Laksamana). Konsep warna telah muncul dengan bahan baldu (kuning, merah dan hijau = hiasan warna istana Nusantara, sering menghiasi tabir, langit-langit, ulas bantal dsb). Motif hiasan langsung memetik pandangan atau unsur alam: awan berarak, petir (kilauan).

Hang Nadim dicatat juga sebagai seorang pandai ukir, ‘menulis bunga kain dan mengukir kulit telur’. Peristiwa ini diperikan ketika dia singgah di Selon (Ceylon, Sri Langka) kerana bahtera Hang lsap yang ditumpangi dari Benua Keling telah karam. Raja Selon menyuruh Hang Nadim membuat tanglung telur, ‘maka oleh Hang Nadim kulit telur itu diukirnya, terlalu indah perbuatannya. Maka dipasangnya dian, terlalu ajaib rupanya’. (A. Samad Ahmad, peny. 1983:206)

UKIRAN SEBAGAI WADAH PENGUCAPAN SENI

KENAPA mengukir dijadikan sebagai kerja yang menjelmakan bahan keperluan seni. Tidak cukupkah seorang pengukir, mengukir kayu untuk dinding rumah, kepala tangga, atau tebar layar? Pengukir juga boleh membentuk kayu atau batu menjadi nisan. Atau sekadar melukis, memberi warna, menggaris, membentuk bahan ukiran itu sendiri dalam ruang dua dimensi. Di sinilah bermulanya tugas seorang ‘pe’+’rupa’ bentuk seni. Dalam konteks ilmu seni visual, dua istilah telah dikembangkan oleh pengkaji seni tanah air. Ismail Zain (1980) dan Sabapathy dan Piyadasa (1983) mengemukakan istilah seni tampak untuk visual art. Syed Ahmad Jamal (1997) tampil dengan istilah seni rupa, yang merangkumi aspek rupa dan jiwa segala peralatan budaya Melayu. Di Indonesia istilah seni rupa merupakan terjemahan makna kepada fine art. Sehingga istilah ‘perupa’ selalu dihubungkan dengan pelukis (menghasilkan seni lukis) dan pengarca (menghasilkan seni arca). Manakala ITM (sekarang UiTM) menterjemahkannya sebagai seni halus. Untuk tulisan ini saya cuba mengambil kesan seimbang dengan menekankan aspek dalaman seni itu sendiri. Pertama pemahaman seni pasti dirujuk kepada rasa indah, halus, molek dan dihasilkan dengan rasa (antara bahagia, sedih, nyilu dendam, bertanggungjawab). Apabila fine art diertikan sebagai seni halus terasa sedikit janggal iaitu memberi dua kata kepada makna yang saling berkaitan. Rasa seni = rasa halus = bergetar, terharu, tersembunyi. Jarum yang seni-seni, seperti diperikan dalam teks Sejarah Melayu, telah cukup memerikan tentang bentuk yang kecil dan halus. Malah lebih simbolik jarum yang kecil dan halus, lebih dapat menyuntik tubuh, memberi sengatan, berdarah jika tertusuk ke kulit. Dalam hal ini, seni sudah cukup merangkul makna ‘tertusuk’ dengan indah sebagai hasil cipta daripada jiwa seniman yang berseni, oleh gundah-gulana, oleh cinta bahagia oleh derita sukma. Oleh itu tatkala saya memikirkan ungkapan ukiran sebagai hasil kerja mengukir, adalah kembali kepada istilah paling awal yang telah diperi dalam teks sastera agung Sejarah Melayu. Di dalamnya bukan saja menyentuh aspek luaran seni bina (rumah, istana, perahu, keris, mahkota, gelang, rantai, dll) tetapi juga kaitannya dengan beberapa unsur kerja seni seperti meng + hias, men + (t)etas, meny + (c)olek), me + larik, men + (t)ulis = tulisan, membuat kerawang, termasuk men(g) + suji, mem + pakan, tetapi juga merangkul aspek fikiran, tanggungjawab, yang harus dilalui oleh seorang seniman, pemimpin seni atau seorang penguasa sosio-budaya. Maka dengan ini, saya memberi satu lanjutan khas, ukiran adalah seni ukir bukan seni pertukangan tangan (Muhammad Affandi Yahya, 1995:102) atau kraftangan. Sebaliknya cukup disebut sebagai seni ukir (the carving art, dihasilkan oleh pandai ukir [the carving artist, bukan tukang tidak juga carpenter’]). Dalam pembinaan istana Melaka, siapakah yang bertitah inginkan istana baru setelah Hang Jebat merampas takhta? Siapakah penghulu istana? Siapa yang mengukir singgahsana, peterana; tatkala sultan akan belayar ke Majapahit; bukankah Hang Tuah lima bersaudara men(t)ukangi dan menghias dengan ukiran?

UKIRAN BUDI

BUDI YANG DIUKIR?

Asam kandis mari dihiris

Manis sekali rasa isinya

Dilihat manis dipandang manis

Lebih manis hati budinya2

PANTUN di atas sudah nyata memerikan keindahan budi, keindahan fizikal hanya perantara ‘dilihat manis dipandang manis’, kerana yang diukir seniman lampau ialah tingkah laku, sopan santun yang dibidal langsung ‘manis hati budi’. Perlakuan atau ukiran budi (tingkah laku, jiwa termasuk akal budi) inilah yang dikenang;

Bandar baru Seberang Perai

Gunung Daik bercabang tiga

Hancur badan tulang berkecai

Budi yang baik dikenang juga (ibid:22)

Allahyarham Seniman Negara, Hamzah Awang Mat (1942-2001) pernah menyatakan; “Jiwa dalang itu memang lembut, dia mengukir rasa hatinya (jiwa-batin) yang mengalami berbagai pengalaman hidup. Sebagai dalang, saya juga mengukir Seri Rama, Siti Dewa, Rahwana, Wak Long dan Pak Dogol (fizikal patung wayang). Saya tahu berahi watak-watak itu, saya ukirkan rasa hati mereka… saya nyanyikan suka sedih Siti Dewi, itulah ukiran hati; begitu juga dengan Khatijah Awang, dia menyanyi dalam Mak Yong, juga dia mengukir suara Mak Yong itu.” (wawancara tentang ‘seni ukir alat muzik Rebab’, September 1999).

Di sini dapat dipadatkan lagi bahawa dalang Hamzah mengukir 1) bentuk fizikal wayang (luaran, zahir), 2) rasa hati (jiwa, rasa, kasih, sesuatu unsur dalaman, batin). Daripada dua gaya di atas, mengukir bentuk zahir dan batin inilah yang memancarkan rupa bentuk seni ukir. Di sinilah memancarkan citra yang membawa makna dan lambang akal budi. Dalam hal ini bahan yang diukir hanya alat perantara. lni bermakna mengukir rasa hati itu boleh saja dengan perantara kata-kata, suara, bunyi – menjadi puisi, mentera, nyanyian dalam bentuk karangan (asalnya bermain karang, mengutip karang [kerang, siput, bunga karang, lalu mengarang bunga karang­ karangan]), nota, gubahan. Manakala dalam bentuk tampak muncullah ukiran kayu, batu, sulaman, suji malah anyaman juga lukisan. Semua ini disebut juga sebagai ‘tulisan yang indah-indah’, seperti yang dilakukan oleh Hang Nadim, ‘menulis bunga amat indahnya.’

RAHSIA ALAM UKIRAN

TELAH berpesan Allahyarham Nakula, “semua alam bermula dari benih (manusia ‘terjadi’ daripada benih suami dan isteri), pohon, benih dari biji, atau bertunas meranting, melentur tidak menjulang ke atas, merunduk ke bawah tapi tidak melemah rupa” (wawancara 1987). lnilah kehidupan seni ukir Melayu – menyatakan kehidupan alam flora dan fauna. Daripada biji benih, atau ibu ubi, sulur pertama berpucuk ke kanan dan ke kiri, berkembang dengan ranting berdaun bersulur, melambai, berbunga dan berbuah dalam jambangan yang sempurna. Benih asal dianggap sebagai seri pertama. Berkembang ibu sari di tengah, dengan kelopak kembang mekar melambangkan kesejahteraan, kesegaran seorang ibu yang dilindungi oleh kelopak, dahan dan daun. Dengan kesyukuran seorang ibu, tumbuhan dalam ukiran memunculkan putik atau kudup bunga. Sempurnalah sebuah kehidupan apabila ukiran itu disisipkan di atas jendela atau pintu menyerikan sebuah rumah. lnilah yang patut diarifi sebagai ‘terbit dari ibu umbi (asal usul), terbit dari tunjang (berakar kukuh, jatidiri), terbit dari daun pengasuh (pengasuh, didikan ibu ayah), terbit dari daun pecah (remaja, mula mengenal diri), terbit dari putik (mula berkembang melangkah dewasa) dan terbit dari bunga (berumah tangga)’. Dalam ukiran hulu keris pula alangkah segak pahlawan berkeris hulu ‘pekaka’, hulu ‘anak ayam teleng’ atau ‘jawa demam’ terselip di pinggang. Kenapa diberi nama demikian? Bukankah begitu rahsia hati dan akal budi yang tidak memberi jawaban tetapi mengundang makna dan lambang yang berbagai. Si burung pekaka yang berparuh panjang (burung buaya, raja udang, Pelargopsis amauroptera) siap siaga menangkap ikan di air, atau si ayam teleng yang pintar mencuri pandang; bukankah telah mengundang makna sikap si pemakai keris!

Pemerian tentang ragam hias dalam ukiran selalu merakam keindahan langsung tentang alam yang dipinjam, seperti ‘awan dan mega dan ombak dan batu dan ikan dan burung berbagai-bagai rupanya dan warnanya terlalu ajaib perbuatannya’. lnilah keindahan mahligai Sultan lskandar di Pulau lndera Sakti (akhir abad ke 17, Perak). Pandai seninya ialah Penghulu di Pachat bergelar Amar Diwangsa. Tetapi tidak selesai dan dilanjutkan oleh   Raja Kecil Tengah, sebagai Raja Bendahara (lihat Raja Chulan, 1966; Siti Zainon Ismail, 1985:38-39). Keindahan seni ukir selalu dihubungkan dengan ragam hias, dan diperikan lagi dengan kesan hairan, aneh, ‘ajaib perbuatan’. Di sini kita menemukan bagaimana masyarakat begitu mengkagumi, menghargai karya pandai ukir atau seniman sebagai milik masyarakat.

DARI RUANG DUA KE TIGA DIMENSI

RUANG ukiran jiwa inilah yang disorot. Pertama ruang akal yang merangkumi denyut rasa, jiwa dan roh Melayu. Falsafah pantun sejak dulu telah memberi pengajaran, ‘berguru ke padang datar’ dan ‘alam terkembang jadikan guru’. lnilah alam akal dan budi Melayu, meminjam segalanya dari Ciptaan Yang Maha Kuasa. Dari alam itulah diperi perhatian, diselidiki, dipelajari. Seterusnya saya pinjam akal budi dalam ‘Ukiran Angin Tenggara’, A. Latiff Mohidin (1992:4) khusus ditulisnya buat pengukir tak dikenali;

Fajar baldu menjalar ke baldu

Dewangga sutera yang pecah di ufuk Tersiratlah penuh manik keemasan Menyalakan lingkar sulur di bumbung

Benih kembarpun tumbuh meliut

Di antara tembusan bingkai rahsia

Jaripun melurut kelopak berlapis bertindih Tubuh alam saraf ramin3 berkembang

Lentik deru arus di tengah gelombang

Bayur kemudi air menyusur tanjung

Bergulung sujud ranting akar gelombang Bertauplah kiasan seni di kaki langit

Saya tidak akan menjelaskan makna atau keindahan puisi ini. Sebaliknya yang akan saya tampilkan ialah simbolisme budi atau roh citra ukiran dalam bait puisi yang telah digarap oleh penyair dengan kesedaran semangat akar dan roh ukiran. Tentu saja pengukir yang diingati penyair ini memang wujud. Tetapi seperti kebiasaan peranan pengukir tradisional, tidak pernah mengheret ‘nama peribadi’ untuk mengcap karya mereka. Karya seni adalah milik bersama, malah diukir, ditempatkan di ruang yang dapat dihargai bersama sama ada di istana, masjid, keris dan peralatan budaya lain. Pengukir tidak dikenali, tetapi karyanya hidup dan memberi semangat kepada si pemakai atau yang menyimpannya. Hal ini samalah dengan tradisi pantun, yang hidup dan bergetar di benak sukma. Minda atau akal Melayu telah lama disaluti sutera ilmu walaupun semakin tercemar dalam arus pembangunan fizikal yang semakin menghanguskan nilai peribadi bangsa.

Sebagai penyair, Latiff kembali mengukir semangat kecintaannya terhadap peranan seorang pengukir, kerana tokoh inilah yang ‘melingkar sulur di bumbung’, menghidupkan ‘benih, tumbuh meliut’, dengan penuh kekuatan semangat dan nafas, mengukir ‘hujung kelopak lapis bertindih’. Tanpa memahami batin seniman (pengukir), tidak mungkin mengkayakan citra penyair. Malah dapat disamakan, bahawa penyair ini juga adalah seorang pengukir, kerana dia kembali memetik sulur ‘bayur’ yang ‘lentik’, ‘bergulung sujud ranting akar’. Semua motif hias yang dipetik daripada denyut nadi ciptaan llahi dipinjam dan dikembalikan ke tempatnya yang wajar, manusia dan alam kehidupan itu sendiri.

‘Pengukir’, Muhammad Haji Salleh (1966:64) begitu mengenali peranan alam anugerah Tuhan (mengutip citra alam: balak, jati) juga ajaran guru (tokoh, seniman ukir = pandai ukir). Malah lebih jauh penyair mengheret akal peribadinya yang menginsafi, ‘dalam jati ada kata-kata tuhan/membawa lagu qariah’. Atas kesedaran dan mengenali alam asal, pengukir memetik sekuntum mawar, membawanya penuh semangat hingga terjelmalah ‘kerawang khayal’ – motif mawar berasal dari alam semula jadi bergabung lewat perenungan, imaginasi sehingga membentuk motif kerawang dalam ukiran. Menceritakan seorang pengukir muda sebagai pewaris budaya, memperlihatkan kefahaman penyair tidak melupakan rahsia gaya dan teknik mengukir sebagai rahsia ilmu yang telah dipelajari, ‘yang digenggam seperti kata guru’. Bukankah ini yang dimaksudkan dengan falsafah budi Melayu, berguru harus sepenuh hati, dan dari alam sekitar yang sederhana boleh terkembang kerana kita berguru dengan alam itu.

PENUTUP

INILAH dunia dimensi akal budi sebagai falsafah yang memanusiawi jiwa dan peribadi. lstilah yang kerap memantul dalam benak peribadi kesenimanan ialah warisan budi daripada kesedaran akal dan debaran jiwa, yang melantun-lantun ibarat gelinting biji tasbih setiap kali zikir dinihari menjelang subuh di tangan pengembara cinta menjelang ke rumah abadi. Setelah melakar tinta hitam ke atas kertas putih atau memberi warna ke atas kanvas, percikan lilin ke atas kain untuk menghasilkan ragam hias batik, mencoret piring, kaca dan gelas, atau menguli tanah liat, akhirnya seniman bagai kehilangan segala bahan asas kecuali segalanya sarat dan penuh dalam daya rasa, semangat budi itu sendiri. Dari sini kesedaran itu harus dimunculkan semula kembali mengukir budi Melayu ke atas kayu.

Anuar Dan juga melukis ‘ukiran budi’ Melayu dengan bentuk dua dimensi, mengutip segala khazanah budaya, ukiran kerawang, bumbung rumah Kutai, tangga Melaka, buyung, serkap ayam sangkar burung… semua kembali untuk dicintai kerana dia percaya di situlah inti dan semangat budi Melayu yang bersalutkan akal menyatu di jiwa. Seorang sahabat lain pula, Mohd Dollah, memberi nafas akal lewat rahsia mitos Gunung Ledang… dengan sarat rimba gunung-ganang, air sungai dengan decip unggas di rimba. Ada suara jauh bergema di sanubari Mohd Dollah dan Anuar Dan, seperti juga yang telah dilakukan oleh Syed Ahmad Jamal dalam siri Ledang, Nik Zainal Abidin yang mengukir lukis watak wayang kulit, atau warisan budaya hidup masyarakat Melayu dalam lukisan impresionis Jailani Hassan.

Kerja mengukir kayu, men(t)etas kertas untuk wau, memercik lilin ke atas kain kapas atau sutera, mengetuk perak dan loyang untuk perhiasan, sehinggalah kerja penuh impi dan kecintaan Nik Rashid dan Norizan yang membentuk ayam patah daguk, hulu keris, tidak pernah berakhir dengan kepuasan. Masih ada lompang dan jarak yang luas di dunia mewah mimpi siber hari ini. Di mana rumah budi akal Melayu itu, kalau karya seni rupa hanya dianggap barang hiasan di hari perkahwinan (memakai keris di pinggang, memakai tanjak, memakai macam-macam memakai, termasuk bertanjak sendeng, mengarak bunga manggar, menyambut Erra Fazira, menjulang tandu, puteri bersigar lebar rambut perang jagung, bermata hijau biru kelabu di pesta Citrawarna). Ukiran hati para seniman sudah cukup lelah dan sulurnya patah. Mengalahkah seniman, dalam pencarian akal budi di rumah berukiran jatidiri?

1Sejenis kapal yang digerakkan dengan dayung atau layar yang telah digunakan sejak dulu sehingga zaman pertengahan, digunakan untuk pelayaran perniagaan juga perang (lih. Noresah Baharom, peny, 1964:364). Ghali kenaikan diraja buatan Bendahara dan Tun Tuah berukuran, panjangnya 60 gaz (1 gaz = 33 inci / 83.82 cm; Noresah: 376) dan bukanya 6 depa (Kassim Ahmad: 94)

2Pantun koleksi Sekalung Budi Seuntai Bahasa, 1994:21

3Jalinan daun, saling melilit, lilitan, sejenis anyaman

RUJUKAN

Abdullah Mohamed (Nakula), 1978. Bentuk-bentuk Bangunan Masjid: Kunci Memahami Kebudayaan Melayu. K. Lumpur: Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.

Bakri Dani. Seni Ukiran Tangan, Kerawang Bajau. Semporna: Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Sabah.

Ismail Zain, 1980. Seni dan lmajan. K. Lumpur: Muzium Seni Negara Malaysia.

Kassim Ahmad (peny.), 1966. Hikayat Hang Tuah. K. Lumpur: DBP

  1. Latiff Mohidin, 1992. Rawa-rawa. K. Lumpur: Pustaka Cipta Sdn. Bhd.

Muhammad Haji Salleh, 1996. Sebuah Unggun Di Tepi Danau. K. Lumpur: DBP.

Noresah Baharom (peny.), 1994. Kamus Dewan, Edisi Ketiga. K. Lumpur: DBP.

Pameran Ukiran Kayu Melayu Tradisi (6-30 Julai 1971). K. Lumpur: Balai Seni Lukis Negara.

Raja Chulan, 1966. Misa Melayu. K. Lumpur: DBP.

Sabapathy, T.K dan Redza Piyadasa, 1983. Modern Artists of Malaysia. K. Lumpur: DBP.

Shellabear, W.G. (peny.), 1977. Sejarah Melayu. K. Lumpur: Oxford University Press.

Sekalung Budi, 1994. K. Lumpur: DBP.

Syed Ahmad Jamal, 1997. Rupa Dan Jiwa. K. Lumpur: DBP.

Siti Zainon Ismail, 1985. Getaran Jalur Dan Warna. Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti.

Teuku lskandar (peny.), 1970. Kamus Dewan. K. Lumpur: DBP.

 

First Published: 16.07.2002 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.