Salesman Yang Hidup

Terlalu banyak yang baik-baik untuk dikatakan mengenai produksi Death of a Salesman arahan Roselina Johari Mohd Khir dari 17 hingga 20 Oktober lalu.

Dalam bulan Oktober ini Jabatan Teater Akademi Seni Kebangsaan di bawah pimpinan pemenang SEA Write Award 2001, saudara Zakaria Ariffin memberikan kita Syakuntala, Death of a Salesman, Mak Yong Anak Raja Gondang dan bangsawan Taming Sari.

Syakuntala di bawah arahan Wisran Hadi dari Indonesia begitu menghampakan. Pengarahan tipikal dari seorang tokoh drama Indonesia yang tidak menjadi, saya kira budaya teater kita sudah kian maju dan ini terpancar pada pengarahan Roselina Johari Md Khir.

William Loman adalah antara watak yang sangat diingati dalam drama realisme moden yang sudah bercampur aduk sejak tokoh realis Ibsen. Miller membuat sedikit pembaikan dan Death of a Salesman adalah antara karya terbaik beliau selain The Crucible.

Kacau seorang peniaga yang kecewa, harapan dan mimpi seorang ayah, kasih curang seorang suami, ego manusia Amerika di tengah kemelaratan ekonominya Willy Loman adalah imej Amerika yang disorokkan tetapi dibuka oleh dramatis Arthur Miller selapis demi selapis dan inilah bentuk tragedi moden yang selalu kita lihat dalam drama-drama Greek tetapi mengenai batang hidung manusia biasa.

Pertamanya saya ingin memuji terjemahan Death of a Salesman yang sangat hampir dan menepati tuntutan teks. Pelajar-pelajar ASK kursus Teori dan Bengkel Terjemahan sesi akademik 1999/2000. Mutu terjemahan mencapai tahap amat baik dan kita di bawa sedekat mungkin dengan semangat yang ingin dicurahkan oleh Miller selaku penulis naskah. Semoga pelajar-pelajar ini akan terus menterjemah naskah drama agung dan memberi kita lebih banyak karya yang bermutu.

Barangkali kita boleh mengatakan Roselina Mohd Khir tidak perlu bekerja banyak dengan pelakon-pelakon lima bintang di dalam produksi ini. Ahmad Yatim sebagai Willy Loman mencapai tahap sempurna. Rohani Yousoff sebagai Linda amat amat mengesankan, lakonan Mazlan Tahir menyerlah, kemunculan sementara Khatijah Tan penting dan kekal dalam ingatan dan Khir Rahman, apa lagi dapat dikatakan tentang dramatis muda ini yang menimbulkan kekaguman. Akan tetapi Roselina sebenarnya mendepani cabaran kerana mengarah pelakon bertahap bintang ini. Bukan calang pengarah dapat mengarah pelakon yang baik-baik. la menuntut pengarah yang baik untuk mengarah sekumpulan pelakon yang baik.

Dan Roselina adalah pengarah yang baik. Khir Rahman di tangan pengarah yang salah misalnya agak mengecewakan tetapi di tangan Roselina, Khir menemui Biff yang sebenar. Rumit, gagal, manja, kacau dan menjadi mangsa impian materialistik ayahnya, Khir sudah berdiri dalam kelas tersendiri.

Ahmad Yatim, tulang belakang drama ini. Pemilihannya amat tepat. Saya tidak dapat membayangkan siapa lagi yang berkemampuan sepertinya untuk melakonkan watak Willy Loman yang amat kompleks dan penuh dengan mainan perasaan itu. Gagap sangkak, nyanyuk gila, bodoh sombong dan jujur curangnya adalah lambang kebobrokan insan Amerika dan Ahmad Yatim mengimbangkannya dengan harapan tidak kesampaian dan kasih sayang seorang ayah yang salah. Sungguh bersahaja, drama ini menjadi luar biasa kerananya. Adengan pertengkaran amat hidup dan adengan-adengan resahnya yang lain berjaya membawa kita ke dalam konflik perasaan Willy yang amat gagal sebagai manusia dalam tafsirannya sendiri itu.

Rohani Yousoff meski terkadang membuat kesilapan tetapi membuktikan bahawa bintang lama ini sukar pudar di tangan bintang baru. Sebagai Linda, kebersahajaan seorang suri rumah dari muda hingga tua menjahit stokin dan letih dengan kemiskinan cuba pula mewaraskan dengan kasih sayang, Linda menyorok segala rasa khuatir dan keperitan dari Willy. Lembut dalam nada keibuan tetapi juga terlalu penat kelihatan hidup setiap kali Linda pula bertengkar dengan anak-anaknya. Adengan akhir setelah Willy mumbunuh diri, di mana Rohani sebagai Linda berdiri di hadapan pusara suaminya sambil menahan tangis tetapi sebaknya terpancut keluar juga amat meruntun perasaan penonton. Ini dibantu oleh esak Mazlan Tahir sebagai Charlie dan kesal Biff, pelakon-pelakon berjaya mengheret penonton dalam watak mereka hingga bukan sedikit yang menitiskan air mata.

Zaini Abu Hassan, Khatijah Tan, Tengku Iskhan atau Que dan Ramzani mewarnakan lagi keutuhan drama ini. Sayang sekali drama hampir tiga jam ini tidak memberi kerehatan kepada punggung penonton. Budaya menonton lebih dari satu jam setengah belum begitu sebati buat penonton Malaysia. Lebih baik jika waktu senggang diberi selama lima belas minit.

Buat pertama kali mutu penataan cahaya Azizul Zahid Jamal atau Tomoe mengecewakan saya kerana lampu pada beberapa adengan tidak terbias kepada muka pelakon dan kelam hingga ekspresi dan gaya badan pelakon tidak kelihatan. Mungkin kelemahan kemudahan di auditorium Matic tersebut mengganggu kepakaran Tomoe atau set apartmen murah Willy yang bertingkat-tingkat itu tidak sesuai. Saya kira untuk bentuk realisme, produksi ini, tanpa segan silu saya letakkan sebagai drama realisme Melayu yang terbaik tahun 2001. Tahniah tahniah tahniah. Buat begini selalu-selalu!

First Published: 22.10.2001 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…