Jeri Azhari, 1955-2006

Ahmad Azhari bin Mohd Nor atau lebih sinonim dengan panggilan Jeri telah berhijrah ke alam serba baru pada bening subuh 19 Julai 2006, hanya kira-kira dua setengah minggu usainya majlis pelancaran pameran solo (ke-8) beliau di Balai Seni Lukis Negara. Beliau dikebumikan di Sungai Siput, di tanah kelahirannya, negeri Perak Darul Ridzuan. Di saat pemergiannya, pameran instalasi bertajuk Integriti masih dibondongi khalayak dan peminat seni yang teruja dengan himpunan karya-karya bernuansa pop (genre yang menampilkan elemen/subjek kistch berkaitrapat dengan budaya massa dan konsumerisme). Sesudah Joseph Tan, Ismail Zain, Redza Piyadasa dan Ibrahim Hussein bermain dengan elemen popular, hampir tiada penggiat seni tampak tanahair yang cenderung menyelami Seni Pop seserius dan seyakin Jeri. Jeri teguh kerana Pop Art. Dia bergelandangan angkara Pop Art. Beliau gemilang disinar Pop Art. Tiada sesiapa yang dapat mentafsir ketaksuban Jeri dengan stail dan konsep Seni Pop yang ditatang selama ini. Walau pun mungkin tidak tercapai kirtana dunia glamor Warhol dan Lichtenstein, Jeri tetap dengan pendiriannya hingga ke akhir hayat.

Nama Jeri sebenarnya agak popular di kalangan pelukis dan pengamat seni urban Lembah Kelang khusus di sekitar Bangsar. Kelibat Jeri bersama isterinya Sita sering kelihatan di pembukaan acara-acara seni di sana. Ketika gawat mencari informasi tentang Jeri untuk diselitkan dalam artikel ini, saya teringatkan sebuah salinan manuskrip peribadinya yang pernah dihulur kepada saya awal tahun lalu. Tajuknya Filasuf Buka; sebuah biografi yang komprehensif tentang perjalanan hidup Jeri yang penuh cabaran dan padat iktibar.

Jeri hanya sempat mengikuti semester asas (foundation) dalam jurusan Seni Halus di Institut Teknologi Mara Kuala Lumpur kerana kedegilannya untuk lebih bebas berkarya dan menjalani kehidupan berkreatif. Namun begitu, bakat seni yang dipunyainya tidak disia-siakan begitu sahaja. Beliau mencuba nasib di dalam pelbagai bidang: sebagai ilustrator dan kolumnis majalah (antaranya Fantasi, Nusantara, Dewan Masyarakat) dan sebagai pereka grafik di Dewan Bahasa & Pustaka, malah pernah dilantik sebagai Pengarah Seni untuk “International Motor Show ’77”. Kegigihan beliau mengambil bahagian di dalam pelbagai pertandingan seni tampak juga tidak mendukacitakan bila mana beberapa kali diiktiraf sebagai pemenang. Logo ciptaannya (1980) masih digunakan hingga kini sebagai logo rasmi Malaysian Industrial Development Authority (MIDA), selain pernah menerima anugerah Honorable Mention, Phillip Morris Art Award (1995).

Pada tahun 1977, Jeri berkhidmat di New Straits Times Press (NSTP) sebagai Editorial Artist yang antara skop tugas melibatkannya sebagai pelukis di Mahkamah Tinggi dan perhimpunan Parlimen Malaysia selain sebagai pereka grafik. Antara kenangan manis semasa di sana adalah apabila beliau dan rakan sepejabat Lat, Ruhanie Ahmad dan Sallehudin Othman (ketiga-tiganya tokoh yang dikenali kini) menubuhkan kugiran The Batu Api untuk mengambil bahagian dalam pertandingan nyanyian anjuran NSTP. Persembahan mereka cukup menarik dan telah membuahkan kemenangan sehingga ditawar kontrak rakaman oleh Raymond Hon dari WEA! Kecenderungan Jeri terhadap bidang muzik sememangnya bermula sejak remaja lagi bila mana beliau menjadi penyanyi kugiran dan membuat persembahan di majlis-majlis keramaian khususnya kenduri perkahwinan di kampung. Minat mendalam beliau terhadap muzik juga menyaksikan pembabitan seriusnya di dalam kegiatan dan acara-acara pementasan seni serta konsert-konsert rock. Pemuzik sohor Ito (Blues Gang) turut mengesahkan jasa-jasa Jeri terhadap Blues Gang, sebagai seorang yang bertanggungjawab mengendali bahagian artistik dan promosi konsert-konsert mereka sekitar pertengahan tahun 80an. Keistimewaan Jeri katanya terletak kepada kesungguhan Allahyarham yang gemar berbincang dan bertukar-tukar ide di kalangan teman-teman industri muzik tempatan.

Selepas satu dekad menjadi warga NSTP, beliau mengambil keputusan berhenti secara drastik di atas desakan hati yang mahukan kebebasan berkreasi. Tantangan yang dilaluinya amat panjang dan sarat untuk diceritakan. Setelah melalui keperitan dan kesengsaraan hidup sebagai pelukis sepenuh masa, Jeri buat pertama kalinya menjalankan pameran solo Seni Pop pada tahun 1996 di Parkroyal Hotel Kuala Lumpur. Pameran yang banyak berkisar tentang ahli politik Malaysia yang berkonsepkan kenyataan seninya “anything creative that pops out of the mind” ini dilancarkan Dato’ Seri Rafidah Aziz.

Pada tahun berikutnya, pameran solo kedua bertajuk Visual Communication menyusul. Direktor Goethe Institute Kuala Lumpur pada waktu itu, Gerhard Engelking selaku kurator memberi kenyataan yang cukup menggetarkan:

“Azhari’s works document a process of self-discovery which question the meaning of existence and explores the possibilities for communal life in our rapidly changing world. Azhari is interested in the individual and in his conflict with the dominant ideology of economic growth which is only profit-oriented but not in theories which seek to change the world. The collage is used as a form of artistic expression which strives for more humane world.”

Gejolak artistik Jeri tidak hanya terbatas kepada ekspresi melukis sahaja malah turut diluahkan melalui seni persembahan (performance art). Pada tahun 1999, kira-kira dua minggu sebelum kemunculan detik milenium, beliau mempersembahkan ‘In Search of Ahmad’ di studionya di Bangsar. Karya persembahan ini mempersoalkan tentang tujuan kewujudan manusia. Selama empat belas hari Jeri ‘berpuasa’ daripada makan dan bersuara (walau pun dengan si isteri) dengan tujuan menghindarkan diri daripada godaan dunia; berita, radio tv, rokok, politik, gossip, dan sebagainya. Untuk menguatkan fokus dan stamina beliau menggulung helaian suratkhabar dan majalah setiap hari yang pada akhir upacara ini menyaksikan lebih kurang 10,000 helaian kertas digubah menjadi sebuah karya instalasi. ISA (In Search of Ahmad) turut dipamerkan sempena pameran solo bertajuk ‘Relations’ di Galeri Petronas KLCC pada tahun 2001.

Pada tahun 2002, beliau dan Sita menjayakan sebuah lagi karya seni performatif yang menggabungkan seni dan muzik di Zooz Cafe Gallery. Khalayak mengambil bahagian dalam acara berbentuk interaktif tersebut dengan berbual panjang bersama mereka mengenai pelbagai topik. Di waktu kemelut peperangan Iraq pada tahun 2003, beliau mengambil bahagian dalam acara kolaboratif bersama ‘500 children of homes’ untuk penghasilan kolaj gergasi bertajuk Children of Malaysia for World Peace di Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan pada tahun 2004 beliau diundang untuk menghasilkan karya Imposibiliti dalam ruang publik Laman Seni di Balai Seni Lukis Negara.

Genap usianya setengah abad, setelah menjadi pelukis sepenuh masa hampir 20 tahun dengan kehidupan yang cuba merealisasikan filsafat Seni Pop, Jeri melangkah meninggalkan kita semua. Harap-harap diketemuinya baraqah alam yang lebih pop dalam keadaan yang tenang dan penuh gemerlapan. Tidak dapat disangkal lagi, ‘pop’ atau  ‘Bapa Pop Art’ yang banyak menjadi guru kepada sebahagian penggiat seni ini pergi sebagai seorang lagenda setelah menjalani dugaan masa dan berjaya menancapkan namanya sebagai pelukis pop Malaysia di dalam persejarahan seni tampak tanahair. Malah nama Malaysia turut dijaja ke peringkat antarabangsa bila mana beliau terpilih oleh The Marquis Who’s Who Publication Board bagi kategori “Who’s Who In The World” (Edisi ke17, 2000), sebagai salah seorang tokoh yang telah membuktikan pencapaian yang baik dan konsisten sepanjang penglibatan dalam bidang yang diceburinya.

“Jeri, as the legend goes, is one artist of incredible self-denial, who eventually gave up his job as a graphic artist just to paint and paint and paint.” — Ooi Kok Chuen, The New Straits Times(arts), March 20th 1997

Wasiat Jeri kepada para pelukis muda: “Jangan ke depan terlalu mendadak, ia akan menjahanamkan kamu! Masa diperlukan untuk sampai ke sana, wang datang dan pergi untuk memperbodoh dan membunuh pelukis seperti kamu; wang hanya untuk survival sehinggalah ia mendesakmu. Setiap orang harus bekerja dengan keaslian (originality) dan memilih arah berlandaskan pengalaman semasa dan lampau, akar, DNA. Tujuan menjadi seorang pelukis; Anugerah (The Gift) — kreativiti datang dari Pencipta (The Creator), untuk membalasNya, kembalikan kepada manusia, Dunia (The World). Cari dan kenalilah ‘insan’ di dalam dirimu, dengar kepada suara kalbumu; praktikkan dengan kebenaran untuk mendepang minda, ide dan kespontanan; keikhlasan untuk ketabahan; kesabaran sebagai cahaya petunjuk arah. Diri di sebalik karya adalah yang lebih utama dan ‘jangan terpinggir oleh sebab-sebab sendiri’. Para senior telah melakukan yang terbaik dengan menjaja obor seni; tanpa mereka kamu yang harus menjadi pioneer. Dengan segala ilmu tersebut (yang tidak dapat kamu belajar di sekolah-sekolah seni), bersama-sama kita dapat mengharungi gelora dan nescaya tidak lama lagi kamu akan faham karya-karya saya.”

AL-FATIHAH.

Pameran INTEGRITI masih berlangsung di Balai Seni Lukis Negara sehingga 31 Ogos 2006. Sebuah pameran Tribut Untuk Jeri anjuran bersama Balai Seni Lukis Negara dan GUDANG akan turut dijalankan selama seminggu bermula 25 Ogos 2006.

~~~

Teks ini dikarang berdasarkan perbualan dengan isteri Allahyarham, Puan Norsita, Encik Azmin Hussein aka Bob, Encik Mazlan Mlrad, Encik Ito Blues Gang serta rujukan terhadap manuskrip ‘Filasuf Buka’ (2005) Jeri Azhari serta esei/pengantar “Matriks Budaya, Jeri dan Seni Pop” oleh Safrizal Shahir dalam kalalog pameran Integriti (2006).

Nur Hanim Mohamed Khairuddin adalah pengarang majalah Sentap.

First Published: 09.08.2006 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…