Tidak Seniman Hilang di Dunia

Melalui seni, U-Wei Haji Saari sentiasa meneroka alam pemikiran baru. Isu-isu dan sifat manusia yang kompleks seperti identiti sesuatu bangsa pun dipaparkannya. “Kalau takut meneroka, baik saya berhenti berfikir,” ujarnya.

Kali ini U-Wei mencabar lagi isu identiti bangsa dengan pementasan barunya bertajuk Wangi Jadi Saksi. Ia mengisahkan peristiwa bersejarah dalam dunia Melayu, yang diceritakan menurut kacamata seorang perempuan. Peristiwa pembunuhan Hang Jebat disaksikan oleh Dang Wangi isterinya, yang mendakwa matinya Jebat bukan ditangan Tuah.

Sebagaimana beberapa karya U-Wei sebelum ini seperti watak Zaleha dalam filem Perempuan, Isteri dan Jalang dan Zaitun di Buai Laju-laju, beliau mengenengahkan watak-watak perempuan tanpa menggunakan cliché murahan. Dia menceritakan kisah dan pemikiran perempuan yang melalui keperitan hidup dan cuba mengharunginya sebaik mungkin menurut kemampuan yang ada padanya.

Namun, apakah keistimewaan penceritaan dari Dang Wangi ini? Adakah perspektif baru ini hasil kajian U-Wei yang belum pernah dikesan oleh penganalisis sastera dan sejarahwan selama ini? Atau adakah ia sekadar lontaran idea U-Wei?

“Sejarah Melayu jarang benar diceritakan dari pandangan seorang perempuan,” keluh U-Wei. “Maka saya memberi suara kepada perempuan. Dang Wangi ibarat orang kecil, dan orang kecil pun ada ceritanya sendiri, ada pandangan dan pemikirannya. Orang besar tidak boleh lupa itu. Setiap keputusan mesti mengambilkira pandangan orang ramai,” ujarnya.

Saya kira ramai antara kita adalah ibarat Dang Wangi. Tidak harus kita membiarkan kebenaran dibolot dan dinodai oleh mereka yang berkuasa dan mempunyai pengaruh.

Melalui kacamata Dang Wangi, kita diajak ‘menghadiri sama’ persidangan tertutup antara dua pahlawan negara dan juga sahabat bersaudara, antara Tuah dan Jebat. “Persidangan yang mempertembungkan dua aliran pemikiran,” tegas U-Wei.

Watak-watak yang dipersembahkan U-Wei begitu penuh dengan konflik. Pateh Karma Wijaya yang banyak jasanya pada kerajaan Melaka juga menyumbang kepada kejatuhan empayar Melaka. Hang Jebat yang menuntut bela juga membunuh mereka yang tidak berdosa dan percaturan Pateh Karma Wijaya jelas lari dari sasaran kerana Hang Tuah yang diyakini taat kepada Raja, rupa-rupanya bijak menghitung suasana. Dang Wangi pula yang zahirnya lemah ternyata mempunyai kuasa dan kekuatannya sendiri.

Sejak zaman berzaman, Hang Tuah dijadikan lambang kesetiaan yang tidak berbelah bagi pada Rajanya manakala Hang Jebat terkenal dengan ungkapannya, “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.”

Orang Melayu amat memberatkan isu kesetiaan dan penderhakaan kepada Raja. Buku-buku Melayu lama sering menggambarkan keagungan Raja melalui ungkapan “adil dan saksama pada memelihara rakyat.”

Pepatah-pepatah seperti ‘jikalau tiada akar, pohon tiada akan dapat berdiri’ dan ‘hebat guru kerana anak muridnya, hebat raja kerana rakyatnya’ menunjukkan rakyat peka tentang perhubungan mereka dengan Raja. Kisah raja-raja yang adil, dan yang zalim seperti Sultan Mahmud yang mangkat dijulang kerap dijadikan tauladan. Prinsip asas demokrasi juga seperti telah ketara di dalam ungkapan pertalian Raja dan rakyat.

U-Wei mengusulkan konsep kesetiaan melalui madah Hang Tuahnya: “Bukan kita mengikut buta..” Persis seperti pendirian Bendahara Tun Ali. Bukan dia mengikut buta. Hang Tuah disembunyikan dan tidak dibunuh seperti perintah Raja.

Kata-kata Tuah “… tapi mendurhaka kepada raja itu petanda kiamat zaman dan berakhirlah zaman Melayu kita” menggambarkan pendirian U-Wei bahawa setia kepada perjanjian juga tersangat penting. “Sejarah Tanah Melayu dan perjanjian antara pembesar-pembesar Negara terdahulu harus tetap dijunjung,” tegasnya. Dia berpendapat bahawa apabila sesuatu elemen diperkenalkan tanpa pemahaman mendalam tentang perjanjian yang telah dimeterai, maka akan kacaulah keadaan.

Namun saya kira agak panjang persoalan ini. Pertembungan terutamanya antara sejarah tanah Melayu dan Malaysia hari ini, identiti Melayu dan Islam serta Melayu dan Malaysia, tidak boleh dipendam begitu sahaja kerana ia akan tetap menghantui diri. Interpretasi dan pemahaman konteks sesuatu masa dan keadaan perlu diambil kira. Pertembungan pemikiran justeru pasti, namun orang Melayu perlu menghadapi cabaran kenyataan masakini dengan jujur dan berani.

Seni semurah pensil

Menurut U-Wei, “seni seharusnya hendaklah semurah pensil,” namun dia mengambil sikap pragmatik dalam hal ini. “Pembiayaan kewangan tidak menentukan kualiti, tetapi tentu saja ia membantu pembuat filem dalam menghasilkan karyanya.” Dia berpendapat bahawa kerajaan perlu melabur dan memberi bantuan kewangan kepada pembuat filem yang serius agar industri perfileman berkembang pesat dan bermutu tinggi Namun, U-Wei yakin bahawa walau tanpa bantuan kewangan, filem tetap akan dibuat juga kerana manusia tidak boleh lari dari seni.

Dan seni tidak boleh lari dari kritikan. Dengan berani U-Wei memaparkan sesetengah aspek resam Melayu yang meresahkan penonton Melayu sendiri sehingga banyak ungkapan dan adegan di filemnya ditapis dan dikritik hebat.

Namun, U-Wei tidak melatah apabila karyanya diserang. Dia malahan mempertahankan hak mereka untuk menyuarakan pendapat mereka.

Bukan sahaja dia menerima segala kritikan terhadap filemnya, malah dia juga tidak gusar dengan penggunaan bahasa kritikan anak muda yang dianggap kasar dan kurang disenangi oleh sesetengah pihak. “Bahasa perlu  diguna dan dikembangkan. Bahasa blog contohnya, ada seninya tersendiri kerana mereka harus menggunakan bahasa secara minima untuk mengutarakan hujah mereka. Mungkin elok dikaji perkembangan bahasa anak-anak muda ini. Mereka melalui evolusi mereka sendiri dan saya yakin hasil budaya berhujah ini, mereka bakal membentuk corak pemikirannya yang tersendiri di masa akan datang.”

Walau bagaimana pun, menerima kritikan bukan bermakna tidak boleh memberi penjelasan. “Adegan berkemban, misalnya, memang sudah sebati dengan budaya Melayu. Kalau ikutkan, orang Melayu dulu mandi bawah bintang-bintang, tanpa beratap.” Dia tidak mengada-adakan sesuatu adegan dalam karyanya tanpa bersebab kerana dia sedar “Pengkarya mesti halus dalam seninya, jika tidak ia akan jadi sumbang.”

Agak menghairankan. Orang Melayu terkenal begitu setia sekali mempertahankan adat resam dan identiti Melayunya. Ungkapan Hang Tuah “Tidak Melayu hilang di dunia” dan pepatah “Biar mati anak, jangan mati adat” menunjukkan betapa kuatnya pegangan ini. Namun, dengan menegah sesetengah resam Melayu dari dipertontonkan, bukankah seolah-olah orang Melayu menolak budayanya sendiri? Apakah orang Melayu kini sedang dilanda konflik identiti?

“Orang Melayu lupa bahwa Islam itu bukan bermakna Arab,” ujar U-Wei. Dia menganggap mereka yang mengambil pendekatan cetek dan keras dalam menilai sesuatu seni sebagai orang-orang yang “tidak kenal ilmu diri.”

Saya fikir masyarakat Melayu perlu membuka luas ruang perbincangan tentang pandangan U-Wei ini. Bukankah Tuhan telah menyebut bahawa Dia telah menjadikan manusia dari berbagai bangsa dan kaum supaya kita saling mengenali? Bukankah juga yang membentuk identiti sesuatu bangsa dan kaum itu itu adalah, adat kebiasaannya, pakaiannya, keseniannya dan bahasanya?

Bagi orang Melayu, pertanyaannya mungkin tidak sekadar terhenti di situ. Identiti Bahasa Melayu yang telah diangkat menjadi bahasa kebangsaan Malaysia mungkin terpaksa dinilai kembali. Secara tidak langsung, bahasa Melayu tidak lagi menjadi kepunyaan eksklusif orang-orang Melayu yang ramainya beragama Islam. Lalu, berhakkah penganut agama lain menggunakan bahasa Melayu dalam buku-buku dan acara-acara keagamaan mereka?

Mungkin kerana U-Wei sedar banyaknya persoalan yang belum terungkai, membuatkan dia terus berkarya. Justeru karya teater Wangi Jadi Saksi tidak ditinggalkan sekadar menceritakan sejarah, tetapi dijadikan wadah untuknya melafaz dan mengangkat persoalan yang lebih besar dalam zaman dan pengalaman hari ini.

Wangi Jadi Saksi dipentaskan di Dewan Bahasa & Pustaka, Menara DBP dari Khamis 27 Jul – Ahad 6 Aug 2006.

~~~

Yati Hj Kaprawi adalah seorang pelukis dan aktivis wanita.

First Published: 27.07.2006 on Kakiseni

Item Berkaitan

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…