Jeritan hati seorang wanita yang mencari kebahagiaan dalam segala kesulitan hidup boleh diperhatikan dalam Monolog Seorang Perempuan, salah sebuah dari empat monodrama yang dikumpulkan bawah tajuk Malam Satu Drama. Projek komersial sulung Mekar Budaya Production ini telah pun dipentaskan di MATIC pada Mac 26 dan 27. Jeritan wanita tersebut memang bukan satu rencah yang baru – tetapi apabila persoalan seksualiti diambil kira, saya anggap perkara ini menyegarkan dan berani. Monolog ini sebuah karya Lena Farida, arahan Engku Normalareesa dengan bantuan Kartika Mohamad. Pada hemat saya, ia adalah sebuah pementasan yang cukup ikhlas lagi jujur. Bayangkannya sebagai sebuah pementasan teater Melayu dengan tema filem Monster (dalam kisah benar ini, Charlize Theron berlakon sebagai seorang pelacur yang menjadi pembunuh, tetapi terjatuh cinta pula dengan seorang gadis muda). Dalam Monolog Seorang Perempuan, kisahnya berakhir dengan tragedi bunuh diri, dan pemenjaraan seorang wanita yang tidak bersalah.
Sebenarnya, saya sudah muak dengan cerita-cerita sedih atau tragedi gay dan lesbian seperti ini, kerana terlalu banyak rasanya cerita seperti ini yang dipentaskan di Malaysia sejak baru-baru ini seperti Sam & Jet dan Angels. Tetapi menurut penulisnya, Lena Farida, cerita yang ditulisnya ini adalah berdasarkan sebuah kisah benar yang telah berlaku kepada seorang kenalannya. Lena sekadar menceritakan sesuatu yang dekat kepada dirinya dan saya cukup hormat dengan keikhlasannya. Watak “pengkit’ yang pada mulanya bersikap ganas terhadap kekasih wanitanya akhirnya menjadi lebih tenang setelah beliau dapat hidup bahagia buat beberapa ketika sebagai suami isteri dengan pasangannya. Watak-wataknya tidak dilukiskan sebagai terlalu sempurna sifat mereka, malah tanpa suntikan sentimental seolah mahu menagih simpati dari penonton.
Teks yang cukup kuat dan memberangsangkan oleh Lena telah dibantu oleh lakonan cemerlang Mardiana Ismail – dalam saat-saat genting, beliau dapat menghidupkan perasaan marah, kecewa dan terkongkong dengan berkesan. Dalam pementasan ini, pentas dijadikan penjara dan watak lakonan Mardiana pula menceritakan kembali pengalaman pahitnya sejak kecil sehinggalah beliau dituduh membunuh kekasih wanitanya. Pementasan ini memberitahu kepada penonton bahawa kejadian-kejadian seperti ini sememangnya berlaku di Malaysia. Ramai remaja tidak akan membunuh diri jika keluarga mereka lebih memahami dan tidak memberi tekanan untuk menjadi ‘orang normal’; sedikit sebanyak terdetik di hati kita bahawa manusia seperti mereka juga berhak mencari kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup mereka.
Sebenarnya, pementasan pertama dalam siri Malam Satu Drama adalah bertajuk Monolog Sang Serigala, sebuah produksi Pentas Lakon Universiti Malaya (PELAKON). Karya monolog Dorothy Jonathan ini telah diarahkan oleh Rosdeen Suboh dan dilakonkan oleh Hushairi Husin dengan penampilan koleksi puisi dan ciptaan muzik oleh Zubir Ali.
Pada dasarnya Monolog Sang Serigala merupakan sebuah monodrama mengenai kemelut yang berlaku di universiti di mana tenaga pengajar mengeksploitasi murid-muridnya untuk mendapatkan nama dan kedudukan di menara gading. Persoalan yang dikemukakan penulis jarang-jarang diperkatakan walaupun secara peribadi, banyak kali saya terdengar desas-desus mengatakan bahawa perkara ini sering berlaku di negara kita ini.
Monolog Sang Serigala adalah menarik, tetapi bagi saya agak meleret-leret. Props kerusi telah digunakan dengan begitu baik sehingga mampu menjadi “watak” dalam pementasan ini (termasuklah satu adegan yang kelihatan erotik). Tetapi sayang sekali – berlakunya kesilapan teknik sehingga lagu-lagu yang telah digubah khas oleh Zubir Ali tidak dapat dimainkan.
Kepadamu, sebuah karya arahan Loy Chee Luen ini, saya tidak faham mengapa sebuah cerita yang meletihkan seperti ini perlu dipersembahkan. Mungkin ia sebuah persembahan teater dengan teknik penceritaan yang kelihatan tanpa plot, tetapi pastinya mempunyai sebuah pengakhiran cerita yang menggegarkan minda? Malangnya, penantian saya ternyata sia-sia. Habis bila sampai pengakhirannya, saya ketawa pula (walaupun sedang menonton sebuah cerita sedih), kerana saya dapati ia begitu teruk dan menyeksakan sehingga kelihatan lucu.
Monolog ini bercerita tentang seorang anak muda yang mempunyai seorang bapa yang sedang bertarung antara hidup dan mati. Si anak bercerita kepada si bapa tentang pengalamannya jatuh cinta dengan empat orang wanita. Beliau sering ditinggalkan kerana menurutnya, beliau kurang berkemampuan dan tidak kacak. Perkara ini berulang-ulang dengan mendatarkan tanpa penyelesaian. Mungkin mesej utama yang ingin diberitahu oleh Koh Choon Eiow melalui karyanya adalah bahawa kebosanan mampu membunuh! Atau mungkin ada peraduan penulisan teater yang tidak saya ketahui yang motif utamanya adalah untuk menghasilkan sebuah karya yang lebih melemaskan dari karya Dato Jin Shamsuddin, Kota ldaman 13 Sempadan …
Pada pendapat saya No Smoking Please adalah persembahan terbaik dalam kedua-dua malam ini. Menurut sinopsis, “penghasilan drama ini juga adalah satu tanda sokongan kepada kempen anti merokok TAK NAK’ yang dijalankan oleh kerajaan” – pastilah ia sebuah teater propaganda bosan. Tetapi Marlenny Deen Erwan, penulis dan pengarah pementasan ini, berjaya membuahkan karya yang bermesej dalam bentuk komedi dan drama yang menarik.
No Smoking Please menceritakan tentang seorang bintang popular yang telah digunakan untuk mengajak masyarakat agar mengamalkan cara hidup sihat, walaupun cara hidupnya sendiri tidak sihat, serta kisah silamnya penuh dengan onak dan ranjau.
Seperkara yang mempesonakan tentang No Smoking Please adalah lakonan Jaa Rased, seorang graduan dari Akademi Seni Kebangsaan yang berjaya menggubah sebuah teks yang sudah sedia baik dari segi penulisannya kepada sebuah persembahan yang bertenaga dan menakjubkan. Saya cukup terhibur melihat Jaa melakukan senaman dan menjerit “Malaysia Boleh!” di atas pentas, serta melakonkan beberapa watak dengan berberapa loghat.
Gabungan bakat kedua-dua wanita muda ini berjaya menghasilkan sebuah naskhah teater Melayu yang baik, antara yang terbaik yang pernah saya saksikan sejak akhir-akhir ini (selain dari persembahan Mardiana Ismail dalam Aku Nak Jadi Bintang oleh Nam Ron). Saya menyukai karya-karya ini kerana secara teknikal, ia adalah karya yang berjaya ditulis dengan licin dan licik. Melalui suntingan skrip yang cekap, penonton dapat menangkap mesej dalam persembahan teater yang menarik dan yang mampu menyentuh jiwa penonton. No Smoking Please berjaya kerana penulis dapat mempersembahkan sebuah cerita bersifat propaganda yang diselitkan dalam sebuah kisah kehidupan seorang artis.
Monolog Seorang Perempuan juga tidak kurang hebatnya. Tetapi masalahnya, tidak ramai yang pergi menonton kedua-dua karya menarik ini. Saya sarankan agar Mekar Budaya Production sekali lagi mengadakan kedua-dua persembahan ini (yang dua lagi tak payah) buat beberapa malam berturut-turut. Dan kali ini, dengan strategi pemasaran dan publisiti yang lebih meluas.
First Published: 15.04.2004 on Kakiseni