Siddharta: Satu Pengalaman Yang Mengasyikkan

Terlebih dahulu, sebelum meneruskan ulasan drama tari Siddhartha ini, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Jenny, Editor Kakiseni.com yang telah menguruskan jemputan terhadap wakil Kakiseni.com. ke pertunjukan perdana ‘Siddhartha’. Saya rasa begitu beruntung, kerana berkesempatan menonton satu persembahan yang baik dan mampu menyentuh perasaan.

Siddhartha pada asalnya merupakan sebuah novel hasil tulisan Herman Hesse, penulis kelahiran negara Jerman. Hesse pernah memenangi hadiah Nobel untuk sastera. Pada hemat saya, Siddhartha adalah antara karya seorang pemenang hadiah Nobel yang paling mudah untuk dibaca tetapi mungkin yang paling sukar untuk difahami.

Drama tari Siddharta merupakan sebuah karya yang telah diusahakan bersama oleh anggota-anggota kumpulan Teater Cahaya. Anggota-anggota Teater Cahaya terdiri daripada penggiat-penggiat seni teater  Asia dari pelbagai latar belakang, bangsa dan agama. Seperkara yang menarik tentang Teater Cahaya adalah tiga orang pengasasnya berasal dari negara-negara di luar Asia. Manuel Lutgenhorst adalah seorang berbangsa Jerman. Alex Dea adalah seorang berbangsa Cina berasal dari Amerika Syarikat dan Richard Ammert juga dari negara yang sama. Ketika-tiga mereka mempunyai latar belakang dalam penghasilan seni teater Asia.

Walaupun idea asal Siddhartha telah dicetuskan Lutgenhorst, segala kerja-kerja koreografi telah difikirkan bersama oleh kesemua warga kerja Teater Cahaya melalui perbincangan bebas dan forum terbuka. Dea dan Emmert selaku fasilitator banyak membantu dalam proses ini. Maka, sebuah karya adaptasi Siddhartha yang kukuh berjaya dilakukan bersama melalui satu kerjasama penggiat-penggiat teater dari pelbagai negara dan latar belakang.

Saya cukup seronok menonton drama tarian yang begitu mengasyikkan ini. Dalam benak, saya terlalu ralit memikirkan tentang teks Siddhartha yang telah saya khatam sebanyak empat kali, yang kini dipersembahkan di hadapan saya dalam bentuk drama tari. Saya telah membaca dua versi alih bahasa Siddhartha, dan ternyata, kedua-dua versi ini berlainan dan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri (novel Swann’s Way oleh Marcel Proust yang diterjemahkan Lydia Davis baru-bari ini dikatakan telah berjaya menjadikan novel ini lebih ‘enchanting’ lagi). Siddhartha pernah diterjemahkan ke dalam bentuk filem oleh Conrad Rooks. Terdapat ramai juga peminat-peminat novel Siddhartha yang mengatakan bahawa sutradara filem ini tidak begitu berjaya ‘menterjemahkan’ novel ini ke layar perak. Persoalannya sekarang, dapatkan Teater Cahaya membawa novel Siddhartha ke atas pentas dengan baik?

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Teater Cahaya telah sedikit sebanyak berjaya membawa novel ini ke atas pentas, walaupun mungkin bukan kesemuanya digarap lengkap di dalam drama tari tersebut. Agak mustahil untuk membawa segala ungkapan serta kalimah yang ada di dalam novel ke dalam bentuk filem ataupun pentas, cukup memadai jika jalan cerita, plot serta tema dapat difahami oleh penonton tanpa perlu membaca karya Hesse terlebih dahulu. Melalui garapan teks yang telah dilakukan oleh Richard Emmert dan Koyano Tetsuro, (mereka berdua juga telah mengarahkan Siddhartha bersama) Teater Cahaya berjaya mempersembahkan karya Magnum-Opus Hesse, dalam satu naratif yang ringkas, dibantu lagi melalui gerak tarian dan lakonan para pelakon yang ada.

Perlu diingatkan bahawa Siddhartha bukanlah sebuah cerita mengenai Gautama Buddha. Siddhartha  merupakan satu watak yang dicipta oleh Hesse yang kononnya hidup sezaman dengan Gautama Buddha (sama seperti novel Ben-Hur oleh Lew Wallace, yang mana watak utamanya, Ben-Hur hidup sezaman dengan Kristus). Novel Siddhartha penuh dengan persoalan-persoalan kerohanian yang optimistik – satu persoalan dualisme di antara kehidupan duniawi dan pencarian rohani di dalam jiwa kita.

Siddhartha menceritakan tentang seorang anak Brahmin yang mempunyai seorang kawan baik bernama Govinder. Dalam kemelut yang melanda jiwa Siddhartha, beliau mengambil keputusan berkelana untuk mencari makna kehidupannya. Pencariannya adalah satu pencarian yang bersifat agak eksistensialis. Harus diingat, Siddhartha sememangnya sebuah karya modenis Eropah tatkala persoalan-persoalan ini mula timbul di sana. Maka Hesse mengolah watak Siddhartha yang mencari-cari erti kehidupannya sendiri. Tidak seperti Govinder yang mempunyai satu arah tuju, lantas mengikuti ajaran Gautama. Siddhartha lebih selesa ‘mematuhi’ corak kehidupan yang terbentang untuknya, yang dirasakan sesuai untuknya; pada mulanya mengikut perjalanan hidup pendeta ‘samana’ dan kemudiannya mengenali kenikmatan duniawi…

Dalam perjalanan hidupnya, Siddharta mengenali Kamala, seorang wanita yang cantik yang pada mulanya tidak dapat menerima dirinya sebagai seorang pendeta, tetapi akhirnya menerimanya apabila Siddhartha berjaya membuktikan bahawa beliau mampu menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya (satu tema yang wujud dalam ‘Great Expectations’ juga dalam ‘Wuthering Heights’).

Siddhartha tersedar bahawa segala harta yang dikumpulkannya tidak mampu membawa ketenangan di jiwanya, malah beliau akhirnya sedar atas keangkuhan dirinya. Atas kesedaran ini, beliau sekali lagi berkelana, meninggalkan Kamala, dan kali ini beliau diketemukan pula dengan Vasudeva, seorang tukang sampan yang kerjanya membawa penumpang menyeberangi sebuah sungai.

Vasudeva menerima kehadiran Siddhartha ke dalam hidupnya, malah mengajarnya ‘mendengar’ segala apa yang boleh dipelajarinya dari sang sungai…

Siddhartha sebuah karya garda-hadapan. Tarian kecak dari Bali dikatakan agak moden (seingat saya, ia mula muncul dan dikenali ramai di sekitar tahun 30-an). Ideanya datang dari Walter Spies, yang lebih dikenali sebagai seorang pelukis yang juga telah meninggalkan warisan seni lukisan di sana. Apa yang ingin saya nyatakan di sini adalah tentang struktur tarian tradisi yang sememangnya dinamik, walaupun berjiwa klasik. Tradisi dinamisme tarian diteruskan pula di sini dengan idea yang dicetuskan oleh Alex Dea dan Richard Emmet bersama-sama para penari dari Teater Cahaya. Seterusnya idea-idea yang telah dikumpulkan mereka, dicernakan dan diluahkan kembali di dalam satu bentuk tarian yang indah dan jelas garda-hadapan.

Persembahan gerak-tari yang ditonjolkan jelas mempunyai peradaban serta jiwa tarian tradisional yang halus, tetapi telah diberi nafas baru oleh para penari dari Teater Cahaya. Di sini, kita boleh melihat beberapa jenis tarian seperti Noh dari Jepun, Arja, Bedoyo dan Topeng dari Indonesia, Bharata Natyam dan Odissi dari India dan Makyong dari Malaysia disatukan. Maka lahirlah naratif tarian yang berjiwa pasca-moden melalui Siddhartha.

Set yang digunakan dalam persembahan Siddhartha agak ringkas tetapi jelas menampakkan nilai produksi yang tinggi. Penggunaan fabrik serta tata cahaya berjaya menghidupkan beberapa adegan dalam Siddhartha. Dalam hal ini, penonton dapat memerhatikan sehelai kain bercorak yang digerakkan menyelangi teater. Semua ini diaturkan dengan simboliknya yang tersendiri. Bagi saya, kain ini mungkin digunakan untuk menunjukkan beberapa tahap kehidupan yang dilalui Siddhartha.

Rekaan set, prop dan tata cahaya telah diselenggarakan oleh Sivarajah Natajaran.

Mungkin ramai yang bersetuju tentang aspek tata-cahaya persembahan Siddhartha. la telah diatur dengan begitu baik sekali oleh Sivarajah. Begitu baik sehinggakan watak-watak yang menggunakan topeng dapat beraksi mengikut emosi yang ditonjolkan. Saya seorang skeptis, maka inilah jawapan yang saya beri, saya tidak mahu mengeluarkan satu teori bahawa topeng yang dipakai mungkin ‘berhantu’. Tetapi inilah yang telah saya saksikan dan rasakan pada malam itu. Saya agak hairan melihat bagaimana penari-penari yang menggunakan topeng berjaya membawa emosi gembira dan kemudian sedih walaupun memakai topeng yang sama (terutamanya watak Siddhartha yang telah dibawa dengan cemerlang oleh Ramli Ibrahim). Waiau apa pun jawapannya, saya ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada penari-penari yang bertopeng kerana telah berjaya membawa watak-watak seperti Siddhartha, Kamala dan Vasudeva dengan begitu berkesan. Keberkesanan lakonan mereka (juga oleh penari-penari lain) dibantu lagi dengan rekaan kostum yang menarik oleh Alex Dea, Didik Nini Thowok dan Sivarajah Natajaran.

Siddhartha merupakan satu pengalaman yang mengasyikkan buat saya. Hati saya tersentuh tatkala menyaksikan Mek Nab menyanyi dengan cemerlang sambil menarikan tarian Mak Yong. Sekali lagi perasaan saya disentuh, apabila watak Siddhartha yang telah dibawa oleh Ramli Ibrahim mula sedar tentang segala kesilapan yang telah dilakukannya kerana terlalu mengikut nafsu mengejar cinta dari Kamala dan segala kekayaan duniawi.

Siddhartha adalah sebuah karya drama tari yang begitu indah, dan penuh dengan nilai-nilai estetika. Ingin saya mengajak para pembaca agar menontonnya untuk mengetahui sendiri mengapa saya berkata demikian.

Kudos untuk Teater Cahaya. Di masa hadapan, dengan kejayaan Siddhartha, mereka mungkin mahu memikirkan untuk mementaskan drama tari dari adaptasi ‘Thus Spake Zarathustra’ hasil tulisan Friedrich Nietzsche pula. Jika ini berlaku, saya pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikannya!

First Published: 16.10.2003 on Kakiseni

Item Berkaitan

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…