Sewaktu melangkah masuk ke Dewan Filharmonik Petronas, lampu panggung masih terang dan kita seperti dilindungi lelangit kayu yang bertaburan lampunya seperti bintang-bintang. Sekilas terkenang saya pada sajak Usman Awang “Bintang Di Langit Zaman” yang saya baca sewaktu di sekolah rendah. Drama Musikal Uda dan Dara pula adalah asalnya sebuah sajak Usman Awang yang kemudiannya diangkat menjadi sebuah drama berlagu. lanya mengisahkan percintaan dua anakmuda di sebuah desa permatang padi. Uda, pemuda petani dari keluarga yang miskin tapi kaya hati budinya dan Dara pula anak gadis keluarga orang berada di kampung. Uda dan Dara adalah sebuah drama yang mengisahkan percintaan dua remaja yang dipisahkan oleh darjat dan harta.
Pementasan Uda dan Dara (23 Julai 2005) oleh Petronas Performing Arts Group (PPAG), bermula dengan dua barisan, lelaki dan perempuan masuk dari belakang audien, semuanya memakai celana ala celana Randai Minangkabau. Rambutnya wanita-wanitanya pula diplaitkan menjadi dua tocang atau sesetengahnya menjadi dua biji sanggul ditambah dengan hiasan bunga-bunga plastic, tak ubah seperti penari-penari “Citrawarna Malaysia”, apalagi dengan make-upnya yang tebal. Uda juga didandan dengan make-up yang tebal ditambah dengan misai ala hero filem tamil zaman 50an.
Pembentukan bulatan serta penampilan gerak-gerak “Silek Minangkabau” dan upaya menepuk celana ala “Galumbang” agar melahirkan bunyi, jelas menampakkan yang persembahan Uda dan Dara ini ingin menampilkan format Randai. Walaupun ada elemen dikir barat didalamnya, gabungan dan ekperimen ini secara kasarnya, tampil menarik. Tapi malangnya celana yang ditepuk tidak kuat bunyinya, buka celana dicelah kelangkangnya memang sempit dan itu juga membuatkan kuda-kuda silatnya agas tipus. Bahan untuk celananya seharusnya benar.
Sebenarnya, Randai tidaklah terlalu ketara di kalangan masyarakat Minangkabau di Negeri Sembilan. Walaupun begitu ianya ada pertalian dengan saudara sedarahnya di Padang, Sumatera Barat. Randai dan Silek Minang memang sudah menjadi tunjang utama dalam karya-karya teater tari seniman ternama Huriah Adam dan Gusmiati Suid di Indonesia. Malah mereka menjadi terkenal di Jerman dan Amerika sebagai pelopor tari moden dengan bekal Randai dan Silek Minangkabau. Walaupun kedua-dua wanita Minang itu sudah tiada bersama, semangatnya tetap mengalir. Konsep Randai yang diambil untuk Uda dan Dara memanglah bijak dan ianya menjadi suatu tarikan. Malah ianya boleh membawa Uda dan Dara lebih jauh ke arena antarabangsa.
Pengambilan Datuk Rahim Razali sebagai pengarah adalah satu langkah positif untuk menarik lebih ramai penonton dan juga media. Penampilan istimewa Abdullah Ahmad, pengurus besar PPAG, mungkin ingin mengembalikan semangat Uda dan Dara, yang mana beliau pernah berlakon bersama Datuk Rahim. Shuhaimi Magi, koreografer terkenal di Malaysia, adalah koreografer dalaman PPAG dan seharusnya beliau mencurahkan bakatnya ke situ. Apalagi bila beliau juga pernah menuntut di IKJ Jakarta tempat Gusmiati Suid dan Huriah Adam mengajar. Lakaran-lakaran lantai yang dihasilkan tampak menarik. Begitu pula dengan Mohd Yazid Zakaria dan Yuzaifullah Mohd Yusuf, kedua-duanya bertugas di PPAG. Yazid yang sudah lama bersama PPAG sudah menyumbangkan baktinya sebagai Musik Direktor dalam banyak persembahan dramatari dan konsert musik tradisi. Yuzaifullah pula adalah anak jati Negeri Sembilan yang mendapat didikan di ASKI di Indonesia.
Saya dapat merasakan yang PPAG berusaha keras untuk menjayakan Uda dan Dara, drama musikal ini, walaupun pemain-pemainnya adalah dari kalangan penari-penari yang kurang eksposurenya dalam lakonan dan nyanyian. Tapi dengan bunga melur yang berlebihan dikepala, bersongket dan bertudung glamour setiap hari membuatkan kita merasa bahawa Dara yang dimainkan oleh Zuliana Zainal Abidin terlalu “overdress” untuk berada di kampung, walaupun dia seorang gadis anak orang kaya. Apalagi dengan perwatakannya yang tidak menghiraukan harta benda. Uda yang dimainkan oleh Ayub Mohd Tsir begitu comel dan lincah. Sesekali dirasakan yang Uda terlalu lincah untuk seorang jejaka kampong yang bersahaja dan banyak falsafah hidupnya. Walaupun begitu mereka berbakat besar dan harus digilap. Sayangnya PPAG jarang sekali mempromosikan artis-artis mereka, malah gambar artis-artis yang dipaparkan di buku cenderamata adalah gambar berkumpulan yang tiada penunjuknya. Watak Alang Bakhil, bapa saudara Dara yang mementingkan darjat, pula yang tampil dengan suara gabungan antara “Giant” dari kartun alihbahasa Doraemon dengan gaya percakapan ala Rahim Razali, agak janggal sekali. Apalagi dengan penampilan kuncu-kuncunya yang menjadi bahan ketawa kerana gaya suara dan lakonan mereka.
“Saya masih menunggu drama Uda dan Dara untuk bermula, saya masih merasakan yang overturenya masih belum selesai,” ujar saya bila ditanya oleh beberapa teman di luar dewan sewaktu ‘intermission’. “Sesekali terbayang Uda dan Dara yang lama,” ujar seorang teman. Seorang lagi teman menjawab, “Aku agak terpesona dengan versi Actors Studio arahan Kristen Jit dan Joe Hasham. Tapi kita tak tahu yang mana yang ori.” Seorang lagi teman menjawab, ”Tak Ori Tak Pe, Tapi Biar Oke.”
“Saya pernah melihat Uda dan Dara dalam Bahasa Inggeris, diarahkan oleh Ahmad Yatim, tapi lagu-lagunya dalam Bahasa Malaysia, digubah oleh Pak Ngah, menarik sekali,” ujar seorang gadis yang tiba-tiba mencelah. Rakan lelakinya pula berkata, “Saya tak dapat menyelami lakonan dan perwatakan mereka.”
Itulah hakikatnya bermain dengan bentuk drama musikal – banyak lakonan dikorbankan, elemen-elemen teknikal menjadi penting. Tapi bukan membuatkan ia menjadi bentuk yang mudah, malah lebih rumit jadinya. Apalagi di DFP yang banyak kali menemui kegagalan kerana ruangnya yang tak sesuai dengan drama tari dan drama musical. Saya masih menanti kehadiran seorang “designer” yang boleh melahirkan ruang pentas untuk persembahan teater di DFP. Kekurangan “designer”kah kita di Malaysia untuk memahami keberadaan ruang dan posibilitasnya.
Datuk Rahim pula pernah dikatakan gagal dengan Keris Sang Puteri untuk persembahan premiere di Istana Budaya di tahun 1999. Apakah ini suatu persembahan untuk menebus kecundangnya dulu? Walaupun begitu saya masih kagum dengan filem-filemnya seperti Abang, Matinya Seorang Patriot dan Tsu Feh Sofia. Sepulangnya saya ke rumah, saya terbaca kritikan Solehah lshah tentang kegagalan Rahim Razali mengarah muzikal Uda dan Dara karya Usman Awang yang dipentaskan ditahun 1990 di Dewan Bandaraya. Yang peliknya Uda dan Dara sudah banyak kali dikupas dan diulas oleh pengarah-pengarah dan pengkritik-pengkritik, tapi keadaannya tidak banyak berubah. Pertama kali skrip ini telah dipentaskan di tahun 1977 di Panggung Eksperimen Universiti Malaya. Solehah Ishak menyebutnya sebagai, “Skrip Usman Awang untuk persembahan tahun 1990 sebenarnya lebih merupakan suatu revival.”
Setelah selesai menonton sekumpulan pelajar teater mendekati saya dan bertanya, tetapi sebaliknya saya yang bertanyakan mereka. “Saya mahukan Uda yang lebih jantan, macam Mawi AF3 gitu,” seorang lagi menyampuk. “Saya pula nak tengok Dara seperti Linda AF2, Marsha atau Amelia AF3.” Saya pula sekadar menjawab, “Tapi mereka bukan orang teater dan mungkin tak boleh menari dan tak ada komitmen yang tinggi. Mereka tu berada di dunia lain. Dunia teater ada perjuangannya sendiri.”
“Muziknya terlalu kuatlah, kita tak dengar apa yang diucapkan dan dinyanyikan. Lagu-lagunya pula seperti berada dalam zaman yang salah, genre muziknya tak masuk dengan konsep teaternya,” ujar seorang gadis montel yang begitu petah bercakap. “Kita nak buat versi lain,” ujar temannya. Saya terus menjawab sambil memandang ke arah si gadis montel, “Mungkin kamu yang harus menjadi Dara, Uda pula seorang lelaki yang cikeding. Itulah hakikat kehidupan, tak semua yang diingini boleh dapat.” Semua tertawa sambil bersalaman dan beredar dari DFP.
Sambil berjalan mencari secawan kopi saya terus berfikir tentang Uda dan Dara. Di mana silapnya persembahan itu? Kekuatan sebuah karya agung seperti Uda dan Dara ciptaan Usman Awang harus terletak pada keindahan kata-katanya. Tapi malangnya pengucapan kata-kata indah yang terungkap dalam lagu menjadi samar dan seringkali hilang. Apakah benar bagai dikata yang permainan musiknya terlalu kuat sehingga pengucapan lagunya lenyap, atau suara pemain-pemainnya yang tidak lantang dan vokalisasi yang lemah, atau sound sistemnya yang sudah merosot. Kita juga banyak terganggu dengan ‘Orkestra Tumit Kasut’ yang dihidangkan oleh para audien kerana terlalu resah menanti. Begitu juga dengan set yang masih berada di tahap drama sekolah yang menggunakan lukisan-lukisan ala ‘children artwork’. Apapun saya sedikit teruja dengan adegan nyanyian duet sewaktu percintaan mereka, dan adegan kematian Uda, dimana gerak-gerak yang ditampilkan seolah-olah melambangkan suatu ratapan dan meditasi atas kehilangannya. Walaupun secara umumnya saya merasakan konsep Randai agak problematik untuk Uda dan Dara, dua adegan tersebut telah menyatakan keberadaannya. Sekarang jelaslah yang Randai sebenarnya telah menyelamatkan Uda dan Dara arahan Datuk Rahim Razali di DFP.
~~~
Zulkifli Mohamad telah menyelesaikan tesis doktor falsafahnya di dalam bidang politik persembahan di ATMA, UKM.
First Published: 04.08.2005 on Kakiseni