Tun Mamat Naik Lif

Tidak berapa lama dahulu saya telah diundang oleh geng Kakiseni untuk merewang ke Kampung Pinang di Taman Medan, Petaling Jaya Utara. Saya telah agak biasa dengan kawasan ini. Pada pilihanraya yang lepas beberapa anak-anak muda dari kawasan ini telah datang untuk menyertai kumpulan teater jalanan Universiti Bangsar Utama (UBU). Anak-anak muda dari Kampung Pinang ini telah menjadi para aktor agitprop UBU. Bila saya mula mengenali mereka, saya diberitahu bahawa mereka juga pernah menjadi anak-anak murid Mark Teh – ertinya mereka bukanlah orang baru tetapi sudah ‘seasoned’.

Tetapi kali ini, yang hendak direwangkan ialah pertunjukan ‘wayang’ – penyambungan projek seni yang telah mereka lakukan semenjak Oktober 2002. Ini projek yang ke-3. Dari iklan web yang saya terima, saya difahamkan bahawa Taman Medan Community Arts Project ini telah mendapat bantuan dana dari British Council – alhamdulliah.

(Kepada umat Islam yang membaca ini saya minta kita sama-sama berdoa agar kafir-kafir di British Council yang tidak bersunat dan makan babi itu dapat bersama kita masuk ke syurga kerana kerja amal mereka. Kalau hendak menunggu yang bersunat dan berserban mengeluarkan dana, rasa saya lebih baik kita Menunggu Godot.)

Malam itu di padang sepak raga kami telah dipertontonkan dengan tiga wayang – Puteri Gunung Ledang, Mat Angan dan Hang Tuah. Semua wayang-wayang ini adalah pembuatan dan lakonan dari anak-anak muda Kampung Pinang dan Petaling Utama. Jangan silap faham – ini bukan wayang purbawara a la Cathay Keris tetapi a la Taman Medan. Naratif cerita rakyat ini telah dikonstruk untuk disesuaikan dengan suasana rumah­-rumah pangsa di kawasan miskin yang padat. Jadi, bila mendengar nama Puteri Gunung Ledang jangan berkhayal berahi untuk mencuri-curi pandang puting susu atau kaki Tiara Jacquelina yang tembam itu.

Puteri Gunung Ledang yang diterjemahkan di Kampung Pinang membawa naratif moden. Kalau versi Cathay Keris mereka pergi menaiki gunung tapi di Taman Medan yang dipenuhi oleh rumah pangsa yang tinggi – si Tun Mamat hanya menaiki lif untuk mencari si Tuan Puteri. Malah babak hantu dalam rumah pangsa lebih seram dan lebih sundal dari hantu-hantu yang pernah kita temui.

Mat Angan – dikonstruk dari naratif Mat Jenin. Kalau Mat Jenin asli, dia hanya berangan-angan sehingga jatuh dari pokok kelapa. Tetapi Mat Angan dari Kampung Pinang – apa yang diangan-angankan menjadi kenyataan apabila si Mat ini akhirnya berjaya menjadi juara basikal yang boleh menjakikan Mat Rempit.

Hang Tuah – siapa yang tidak kenal dengan Tun Tuah yang begitu setia kepada raja sehinggakan dia membeloti setiakawan dengan Hang Jebat. Naratif klasik Melayu tentang pembelotan dan setiakawan ini telah banyak diberi intrepretasi baru. Jebat mungkin ditangkap polis di rumah pangsa Kampung Medan tetapi kesetiaannya kepada kawan adalah kesetiaan sejati.

Saya kagum dengan apa yang dihasilkan – malah filem-filem pendek ini lebih baik cara pembuatannya dari apa yang saya buat semasa saya belajar membuat filem dahulu. Bila menonton kerja seni anak-anak muda ini maka saya sedar betapa bebalnya diri saya semasa belajar dahulu. Anak-anak  muda Kampung Medan ini, pada hemat saya, memiliki daya kreatif yang teruji. lni juga pastilah kerana adanya bantuan dari tenaga pengajar yang pandai, lagi cun dan jambu-jambu – Lim Chung Wei, Fahmi Reza, Hariati Azizan, Imri Nasution, Taysy Wong dan Mark Teh.

Kampung Pinang ini adalah kawasan padat – rumah-rumah pangsanya tinggi melebihi pokok kelapa. Kesemua penduduk di sini adalah bekas setinggan di sekitar kawasan Petaling Jaya. Ertinya anak-anak muda ini mungkin pernah juga tinggal di rumah setinggan. Dalam bahasa politik kiri mereka ini adalah gulungan proletar – gulungan yang akan membawa perubahan struktur sosial.

Saya rasa (mungkin saya tidak tepat) tujuan projek ini dibuat adalah untuk memperkasakan keyakinan diri anak-­anak muda ini. Untuk penduduk miskin kota, bekas setinggan – pastilah mereka kagum dan hairan melihat wayang-wayang atau gambar-gambar yang keluar dari kaca tv mereka. Saya sendiri pun (budak kampung) satu ketika dulu hairan juga macam mana wayang ini dibuat. Malah kita menjadi lebih hairan apabila wayang-wayang ini disabitkan pula dengan gaya hidup Minah-Minah dan Mamat-Mamat pelakon yang bergetah, kacak dan glamour.

Keyakinan diri ini pasti akan lahir apabila anak-anak muda ini diberi peluang untuk menjadi pembuat/pelakon wayang-wayang ini. Mereka menjadikan diri mereka ikon – benda yang diberahikan. Mereka sendiri diberi peluang untuk membingkaikan imej mereka sendiri. Dari segi teorinya ini adalah satu tindakan yang radikal. Mereka merampas dan mekonstruk kembali imej mereka yang selama ini dipendam atau hanya dikonstruk oleh kuasa luaran.

Projek-projek seperti ini amat menarik. Di kota-kota di Amerika Latin – di kawasan-kawasan penduduk miskin kota – gerakan merampas kembali pembuatan dan pembingkaian imej ini telah lama bergerak maju. Kumpulan­kumpulan pembuat video/filem/radio telah bergerak merakam dan bercerita tentang diri dan pengalaman mereka sendiri. Mereka mendengar/melihat dan merayakan diri mereka. Mereka bangun sebaris untuk menolak naratif diri mereka dari direka-reka oleh ‘orang luar’.

Dalam masa yang sama pembuatan imej seperti ini adalah satu tindakkan yang subersif revolusiner yang berkeupayaan untuk menghakis dan meruntuhkan mitos dan lagenda kekuatan hegemoni imej yang didalangi oleh kuasa daulah. Mengkonstruk kembali naratif klasik Melayu untuk dipadankan kepada suasana Kampung Pinang adalah juga satu tindakan yang radikal.

Membuat wayang atau video ini samalah seperti menulis esei atau menulis sehelai selebaran. Cuma ianya bukan dengan kertas dan dakwat tetapi menulis melalui gambar yang bergerak. Wayang ialah penceritaan melalui gambar. Jadi, apabila anak-anak muda ini sendiri bangun menjadi pelakuan dan pembuat maka terpecahlah mitos ‘glam’ yang selalu di hu ha hu ha kan oleh media arus perdana.

Wayang tidak ada bersangkutan dengan glamour. Wayang yang dibuat seperti yang saya tonton di padang raga Kampung Pinang ini adalah penceritaan jujur tanpa dibantu atau dirasmikan oleh Datuk, Tan Sri atau komen­komen bijak pandai yang menyeramkan oleh Juwie atau Wahab Hamzah dari utusan yang melayukan.

Untuk saya semua orang adalah pelakon. Semua orang berkeupayaan untuk membuat wayang. Semua orang memiliki cerita dan naratif yang ingin diperdengarkan untuk umum. Mungkin bezanya ada yang memiliki kearifan yang lebih kerana keilmuan, kejujuran dan kesediaan untuk bekerja keras. Pada asas awalnya kita semua sebagai anak semua bangsa memiliki keupayaan  kreativiti yang sama.

Projek seperti yang telah dilakukan di Kampung Pinang ini wajib diperbanyakkan. Ilmu membuat wayang dan merampas imej ini wajib dikembangkan. Ilmu juga wajib didemokrasikan. Pendemokrasian ilmu adalah kerja ‘liberation’ – kepada yang mengajar dan yang belajar. Liberation bukan hanya bermakna bergerila di dalam kancah perang. Mengangkat kaki kamera dan memasuki kawasan perumahan padat penduduk miskin kota juga adalah satu gerakan liberation. Kerana itu, kita – pemakan, penciplak, pencuba dan pekerja seni wajib – angkat topi dan buka seluar untuk kawan-kawan kita dari Five Arts Center kerana membuat kerja yang berani.

Apabila tiga wayang pendek ini ditayangkan saya perhatikan penontonnya terdiri dari kaum keluarga dan kawan-­kawan si pembuat dan si pelakon. Turut sama kelihatan ‘the usual suspects’ – para aktivis dan pekerja seni – yang sering mundar mandir di sekitar Kuala Lumpur. Rasa saya, mereka juga saperti saya dengan jujur hati ingin turut sama merayakan keupayaan dan keberanian anak-anak muda Kampung Pinang yang sedang memecahkan mitos dan hegemoni imej daulah.

Saya sendiri merasa gembira kerana berada di padang sepak raga Kampung Pinang pada malam itu. Sebenarnya saya tidak merewang-merewang pada malam itu. Saya sedang menyaksikan satu harapan dan kemungkinan-kemungkinan yang lebih luas. Saya sedang merayakan keberanian anak muda penduduk miskin kota yang sedang membingkaikan naratif diri mereka sendiri.

~~~

Isham Rais adalah seorang Marxist (berjenis Groucho) dan koordinator NGI (Non-Governmental Individual), satu pergerakan massa yang dianggotai oleh satu orang.

First Published: 09.06.2005 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…