Brit-Melayu-pop

Dewa – Laskar Cinta

Aquarius Musikindo

Album studio terbaru Dewa, kumpulan rock termashyur dari Indonesia, benar-benar adalah album yang lari dari bunyi Dewa yang biasa. Banyak pembaharuan yang dibenahi Ahmad Dhani sang produser dan pemain kibod dalam memperkenalkan idealisme muziknya. Laskar Cinta ini lebih kearah kekerasan rock yang diadun bersama bunyi moden sampling yang diaplikasikan oleh teknologi komputer.

Album ketujuh ini tampil dengan tidak mengikut selera pasar dan sarat dengan idealisme yang mengkritik sosio­politik dan agama dengan simbol penulisan yang tersirat, cetus Dhani berkenaan album terbaru. Cetusan sebegini bukanlah baru dan ia sekadar pemangkin untuk memancing selera penggemarnya mungkin.

Lagu ‘Satu’ dan ‘Hadapi dengan Senyuman’ adalah dua lagu yang berentak perlahan dan mungkin juga bertindak sebagai pengimbang di dalam album yang sarat dengan kekerasan distorsi gitar. Lagu ‘Satu’ adalah teras utama album ini buat saya. la bukanlah lagu cinta picisan pasaran yang biasa kerana Dhani menyuntik fahaman sufi di dalam liriknya: “Aku ini… adalah dirimu, Cinta ini… adalah cintamu, Jiwa ini… adalah jiwamu” adalah lirik pembuka lagu ini yang menyeru kita mencintai Tuhan yang satu.

Trak kelapan iaitu ‘Nonsens’ punya lirik yang khusus kepada fahaman Dhani Ahmad. Judulnya pula adalah adaptasi langsung dari perkataan Inggerisnya yang nampak lucu pula kerana punya huruf ‘s’ dipenghujung perkataannya. Sejak bila Bahasa Melayu punya unsur ‘plural’ tidak saya ketahui. Liriknya tidaklah puitis tetapi ia terkandung satu kalimat yang bakal mengundang kontroversi: “Tak ada kebenaran hakiki, yang cuma hanya ada kamu, Keyakinan, akan sebuah kebenaran, bukanlah kebenaran…” Eh, Dewa cuba bermain debat ilmu eksistansi pula.

Apa yang mengkagumkan, adalah paduan pelbagai variasi muzik rock yang klasik, moden dan retro bagai menyatu dengan seragam. Rakaman bunyi-bunyian string cukup memikat dan kedengaran segar seperti yang ada di dalam lagu ‘Cinta Gila’. Lagu ini mempamerkan kekuatan dan kehandalan setiap ahlinya terutama sekali teknik persembahan tapping bass dari Yuke dan gebukan drum dengan stroke yang bervariasi dari Tyo Nugros.

Secara teknikal album ini dirakam dengan baik. Dalam kekerasan album ini Dewa memujuk halus pendengarnya dengan idealisme muziknya yang khas. Contohnya lagu ‘Indonesia Saja’ cukup sinis dan tajam penulisannya.

Disini Dhani menghantar fahaman nasionalismenya dengan nyanyian yang selamba tetapi kadang terdengar lucu. Mungkin nada leluconnya bukan untuk ditertawakan malah perlu direnung dalam. Sebaiknya album ini wajib diberi perhatian lebih kerana keberanian pembikinnya yang ingin tampil berbeza dari kumpulan muzik rock yang sedia ada. Salut!

The Times – Soda PopRok ‘N’ Roll

Clockwork Records

Ini adalah album perdana The Times, kumpulan rock Malaysia, yang memiliki potensi baik untuk komposer dan ketua kumpulan iaitu Naza menonjolkan bakatnya. The Times sebenarnya lahir dari serpihan OAG yang dahulunya pernah dianggotai oleh Naza (gitar), Alem (gitar) dan Mono (bass). Mereka bertiga meninggalkan Radhi (vokalis OAG), dan melengkapkan The Times dengan Hamzah (gitar) dan Irfan (drum). Naza pula menjadi vokalis utama. Jangan pula terkeliru namanya dengan akhbar tabloid sudahlah kerana kini mungkin kata nama depan ‘The’ lagi menjadi trend pasar buat nama band.

Lagu pertama ‘Nostalgia Curang Rok ‘N’ Roll’ sememangnya mempunyai attitude yang khas Britpop. Agak lucu apabila meneliti liriknya kerana ia cuma berlandaskan satu peristiwa sahaja. Sesuai benarlah lagu ini untuk orang yang disakiti hatinya kerana tidak menepati janji. “Nostalgia… menyakitkan hati ini!” sepertimana Naza laungkan pada barisan akhir lagu ini.

‘Gadisku di dalam Koma’ lagu trak keempat menyerlahkan bakat Naza menciptakan lagu bernada melankolis yang bukan tipikal band melayu. Ia punya nada sedih yang tidak melulu cengeng. Nyanyiannya sederhana tetapi emosinya terkesan dalam, ketika menyanyikan lirik seperti: “Maafkanlah, diri ini jika pernah, salah silap denganmu, Ku berdoa keatasnya, moga kau pulih segera.” Katanya lagu ini ditujukan khusus buat mendiang ibu Naza dan Mono.

Absurditi adalah tema yang jelas terkesan pada penulisan lirik album ini kerana mungkin Naza menulis di dalam kerangka mentaliti dari penulisan Inggeris. Semak sahaja judul lagu-lagunya seperti ‘Pesona Algebra’, ‘Ghost ‘N’ Flowers’ dan ‘Mawar Liar’. Judul-judul aneh seperti diatas diyakini membentuk keunikkan karekter kumpulan ini yang tidak hanya mengharapkan kepada penampilan dressing semata.

Trak ‘Hilang Kawalan’ merupakan jiwa dan kekuatan utama keseluruhan album ini. Vokal Naza kedengaran lirih dengan liriknya yang agak sedih. Gandingan gitar Alem dan Hamzah dalam memberi impak emosi pada kesederhanaan persembahan gitarnya benar-benar terasa. Terutama sekali ketika bahagian slide gitarnya yang kedengaran begitu dalam seolah hanyut dengan emosi kesedihan yang melukakan. Liriknya meninjau jauh di lubuk hati seseorang yang kecewa di dalam perspektif orang pertama.

Kredit terbesar harus diberi kepada Naza menonjolkan potensinya sebagai komposer generasi baru yang berbakat. Tiada yang tidak kena album ini kerana ia adalah sebuah album rock yang simple dan jujur. Tiada sebarang permainan kata yang bombastik ataupun hipokrit. Senang untuk saya nikmati album ini pada hari-hari santai. Layak untuk dijadi koleksi turun temurun.

Seven Collar T-Shirt – Drones

Laguna Records/Universal Music

Album kedua dari SCTS hadir bersama formasi terkini dengan kemasukan pemain drum baru iaitu Adil Ali yang menggantikan Mokhtar. Selebihnya adalah anggota lama yakni Muhammad (gitar), Duan (vokal & gitar) dan Rafidi (bass). Lanskap bunyi album ini masih kekal dengan trademark SCTS. Keras, melodik bersama distorsi gitar yang enak dan sedikit jazzy terutama pada permainan drum.

Pembuka album hadir dengan lagu berjudul aneh iaitu ‘Renaldo Moon’. Lagu ini benar-benar membuka selera ketika pertama dengar. la bagaikan serangan gelombang sonik yang menghentak telinga. Bunyi bass Rafidi beriringan dengan vokal Duan yang berdistorsi membuka lagu ini dengan balutan keras gitar dari Ham. Selama 2.33 minit fikiran saya melayang ke dunia lain akibat melayan imejan absurditi dari laungan Duan yang berbunyi seperti: “Hand in hand, Take us to our paths or funerals, mistakes are what we’re made of.” Ada nada kejujuran yang tersurat pada bait akhir lirik diatas.

Trak 2 hingga 5 disusun mengalir lancar bagaikan satu siri peristiwa yang menyambung. Setiap lagu berbeza tetapi tetap ada satu benang merah yang jelas mengikat keempat-empat lagu. Struktur lagu-lagu ini begitu khas dengan warna SCTS dari setiap verse, reff, korus dan coda. Paling terkesan adalah trak kelima ‘War is Over’ yang kerap dibawakan mereka ketika persembahan.  la sarat dengan intensiti emosi keempat-empat anggota.

Nampaknya Duan lebih menjurus kepada gaya penulisan fragmentasi yang tidak nyata kesinambungannya. Contohnya tertera pada lagu kedua: “In conversation I have found your weakness, The more your shine, Listen Up…” Sepertinya konsep penulisan sebegini amat jarang ditemui di dalam seorang penulis muda. Lima bintang penuh untuk Duan!

Sepenuhnya diterbitkan sendiri oleh mereka dengan bantuan rakan-rakan seperti Jeffrey Little (Prana) serta Roslan Aziz. Kualiti rakamannya begitu terjaga dan kemas. Malah album ini begitu menonjolkan potensi mereka di dalam penerokaan kreativiti setiap anggota. Saya membayangkan yang setiap mereka mungkin diperah keringatnya apabila mengingatkan karenah penerbit seperti Roslan Aziz sang komentar Idola Malaysia…

Album sebegini berdiri di dalam kelasnya yang tersendiri. Bagi saya album ini mempunyai nyawanya yang unik kerana ia berhasil membentuk satu karekter yang hidup. Ia tak boleh diukur sekadar dari hasil penjualan albumnya sahaja. Anggap sahaja ia adalah satu album pemanis yang jarang ada di pasaran muzik arus perdana. Ia memiliki pelbagai tona emosi yang variatif seperti kekesalan, amarah, gembira dan kekeliruan.

Persembahan keseluruhan album kedua ini tidaklah mengecewakan. Ada progress yang menguntungkan dari keempat anggota kumpulan ini. Semakin bijak sebenarnya mereka berevolusi sebagai pemuzik matang. Duan masih tetap berjenama dengan tarikan fallsetonya yang khas. Istimewanya kuartet ini berdiri mantap sendiri tanpa meniru sebarangan.

~~~

Remin Noir pernah bekerja sebagai wartawan di majalah muzik pertama Malaysia selain menyumbang artikel pada Siasah. Kini tekun mendalami ilmu fotografi dan video sebagai sumber pendapatan utama penghidupan.

First Published: 10.03.2005 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…