Biar Berjuang untuk Kebenaran!

Ketika diundang dengan penuh takzim bagi menyempurnakan pelancaran kumpulan puisi dwi bahasa Raja Ahmad Aminullah berjudul Menyarung Jiwa (Soulship), di NN Galeri baru-baru ini, Sasterawan Negara Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah memulakan bicara dengan melontarkan ungkapan sinis, antaranya, “ini bukan zaman seni, ini zaman menyingkirkan seni!”, “ini bukan zaman bahasa, ini hanya zaman untuk berkata-kata!”, “ini bukan zaman ilmu, ini zaman mendapatkan MBA!” dan “ini adalah suatu zaman yang tidak mencari puncak falsafah, tetapi suatu zaman mencari puncak materi dan keuntungan!”

Bagi beliau, ketika massa telah dibentuk untuk menjadi bongkah batu yang tidak lagi mampu berfikir, kehadiran puisi-puisi Raja Ahmad Aminullah begitu berarti kerana upayanya untuk mengulit lidah nurani kepenyairannya agar berkata-kata. Bahasa nurani yang telah sering dialpakan oleh massa. Kerana bangsa yang lupa berkata­-kata dan berfikir adalah bangsa yang bisu, tegas beliau.

Menurutnya lagi, pada sebuah zaman yang bersimpang siur dan penuh dengan keriuhan, karya-karya ini jelas dapat mengimbangi segala kebingitan di luar diri. Membenarkan kata hati bertutur dan gelisah fikiran ditintakan pada helaian kertas. Prof. Muhammad mengabsahkan tentang kemampuan penyair menjadi warga dunia dan menulis untuk dunia walaupun bahasa dan jiwa pertamanya dibina oleh negaranya sendiri.

Kemampuan ini bagi beliau amat baik kerana setiap situasi yang tercetus di seantero dunia harus juga diungkapkan agar bisa menilai diri. Tidak kurang pentingnya adalah keupayaan penyair berfikir dalam dua bahasa dan dalam hal ini Raja Ahmad Aminullah telah berjaya mencantumkan benang bahasa tersebut sehingga terhasil renda-renda puisi yang bernuansa.

Raja Ahmad Aminullah yang dilahirkan di Ipoh, Perak pada tahun 1955, pernah mengikuti The World Campus Afloat Programme di Amerika Syarikat dan menyertai kursus penulisan kreatif di sana. Kecenderungannya di dalam bidang penulisan mendorong beliau bekerja sebagai wartawan di akhbar New Straits Times pada awal 1975 dan kemudian melanjutkan pendidikannya dalam bidang komunikasi massa di Institut Teknologi Mara (ITM). Pada tahun 1978 pula, mengikuti pengajian undang-undang di London.

Keprihatinan dan kepekaannya terhadap isu semasa serta masalah rakyat, menggerakkan nuraninya untuk menubuhkan Yayasan Pembangunan Rakyat Miskin Perak (YPRM) pada tahun 1993 dan menjadi pengerusi sehingga ke tahun 2001. Manakala kecintaannya terhadap seni pula menyaksikan kesungguhan beliau bersama para seniman tanah air, mengasaskan Yayasan Kesenian Perak (YKP) tahun 1996 dan menjadi Pengerusi YKP sehingga kini. Beliau memang seorang penggiat seni yang dihormati kiranya diukur dari kehadiran tokoh-tokoh seni pada malam ini.

Sebelum menukilkan nokhtah pada bicara beliau pada malam itu dan menerima cenderahati daripada penyairnya, SN Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sekali lagi menitipkan rasa terima kasih dan terharu atas kesudian penyair mengundang dan memilih beliau untuk menyempurnakan pelancaran kumpulan puisi dwi bahasa tersebut. Beliau berharap dan berdoa agar karya ini ditatap dan dikunyah intinya oleh peminat sastera dan diraikan ‘jiwa’nya oleh masyarakat.

Ungkapan sinis yang dilontarkan oleh tokoh sasterawan tersohor itu sewajarnya difikirkan bersama bagi mereka yang mau digolongkan sebagai seniman terutamanya dan pencinta seni keseluruhannya. lni kerana apabila golongan yang kononnya mendabik dada sebagai seniman dan pencinta seni akur terhadap segala kebobrokan dan turut pula bersekongkol dengan kezaliman maka jelaslah mereka juga telah menjadi bongkah batu yang bisu meskipun tetap berkarya!

Barangkali inilah yang ingin disampaikan oleh Prof. Dr. Siti Zainon Ismail tatkala membacakan puisi pilihannya berjudul ‘Salam’ – “buat teman-teman yang kini di ‘rehatkan.” Puisi yang digarap sekitar tahun 1975 ini, adalah salah sebuah puisi yang dimuatkan di dalam kumpulan puisi setebal 261 halaman itu. Meski dihasilkan hampir tiga dekad yang lalu namun kesegaran dan keampuhannya sebagai sebuah karya seni jelas dapat dikunyah apatah lagi isunya begitu menukik massa.

Sepertimana dikutip pada dua bait yang terakhir puisi tersebut:

teman-temanku

salam dari kami pencinta kebenaran dan keadilan

moga ketabahan semangat kalian

menjadi inspirasi kepada kami!

sekali mara terus mara

daripada hidup ber ‘tuah’ pada kebatilan

mahupun men ‘jebat’ pada membabi-buta

biar berjuang untuk kebenaran!!

Manakala Prof. Madya Dr. Zakaria Ali turut terpanggil untuk membacakan puisi ‘Nadim’ dalam bahasa Inggeris. Puisi ini mengungkap peran para agitator dalam mencipta ketakutan kepada para pemuka tentang perlunya ‘kebijaksanaan’ dibungkamkan demi kelestarian sebuah kuasa. Sebagai salah seorang yang terlibat menterjemah sebahagian besar puisi-puisi yang terkandung di dalam kumpulan puisi dwi bahasa itu, beliau jelas berjaya menghayati setiap bait yang dilontarkannya di tengah khalayak.

Malahan 104 buah puisi yang dibahagikan kepada lima bahagian, bermula dengan ‘awal langkah’, ‘pangkalan’, ‘pelabuhan-pelabuhan’, ‘menyarung jiwa’ dan ‘langkah kemanusiaan’ ini turut menampilkan catatan beliau sebagai penterjemah. Dalam catatannya, beliau menanggapi puisi karya Raja Ahmad Aminullah sebagai; “… puisi yang memberi berbagai jawapan dalam jangka yang berbeza, tetapi kerap pula, tanpa memberi jawapan apa-apa, hanya dengungan yang menggeletar lama sesudah muka surat buku ditutup.'”

Kemunculan Teater Fizikal dengan menampilkan Fahmi Fadzil membacakan puisi sementara Marion D’ Cruz mengintepretasikannya dengan gerak dan liuk tari seolah menyihir khalayak, teruja dalam bauran suara dan gerak yang mengasyikkan. Sehingga makna kata dan liuk tari kelihatan bergetar dan mengitari ruang lalu akhirnya menyatu. Puisi ‘Embun Pagi’ (perjalanan 20 tahun) itu telah diolah oleh dua insan seni ini dengan apresiasi yang begitu berbobot sekali.

Dr. Krishen Jit yang meluahkan rasa terharunya kerana turut diundang, membacakan puisi yang telah dipersembahkan oleh Teater Fizikal, tetapi memilih untuk mengungkapnya dalam versi Inggeris. Tatkala memperkatakan tentang kumpulan puisi tersebut, Dr. Krishen Jit berpendapat karya-karya yang dihasilkan oleh Raja Ahmad Aminullah jelas memperlihatkan identifikasi jiwa kepenyairannya yang jujur dengan upayanya menyelami kepentingan setiap individu dalam komuniti.

Beliau turut bersetuju dengan pandangan SN Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam kata pengantarnya, bahawa jejak kepenyairan Raja Ahmad Aminullah telah menyeberangi selat nusantara untuk mengutip makna sejagat yang berserakan di negara-negara jauh. lni menurutnya lagi, sering diabaikan oleh sebahagian besar penulis Malaysia yang sepatutnya mencorakkan diri menjadi penulis dunia untuk memberi makna yang lebih luas melangkaui batasan yang sering dibina dalam karya-karya mereka.

Menyentuh tentang ‘pengkotakkan’ di kalangan seniman, sindrom ini baginya telah menular tidak sahaja di kalangan penulis malahan membabitkan golongan pelukis, penggiat teater dan seni yang lain. Mereka berasa lebih senang untuk berbicara di dalam kelompok masing-masing dan tidak begitu menghiraukan hal-hal seni yang berlaku di sekitar apatah lagi yang tiada kaitan dengan bidang mereka. Hal ini tidak pernah berlaku sekitar tiga puluh tahun lampau di mana setiap penggiat seni berasa bebas untuk memberi komen dan berinteraksi meskipun dalam bidang yang berlainan. Sebelum menutup bicara, beliau berharap agar seniman generasi baru tidak terus terseret ke dalam situasi yang begitu menggusarkan ini.

First Published: 06.10.2004 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…