Moraliti Fantasia

Bukan untuk siapa saja, rasa meluat dan menyampah tengok Akademi Fantasia. Banyak hal yang menjengkel dan meloyakan seperti adegan sedih dan “tarik beg” di akhir tiap konsert; laga-melaga atau ganding­ mengganding antara seorang peserta wanita dengan peserta lelaki yang lain; peserta tak berbakat dan pi’il mengada-ngada yang dapat dilihat dalam Diari AF; juri yang ‘ke laut’, dan macam-macam hal lain. Adegan sedih di hujung konsert misalnya, siapa saja yang masih waras akan terkesan suasana itu selalu sangat dibuat-buat dan dipaksakan.

Kalau dilihat di saluran Astro @15, di ruang chat sms ada kritik lain oleh, barangkali, remaja yang “terlalu banyak wang dan masa” dan “terlalu sedikit benda lain nak difikir.” Saya mengambil masa beberapa jam sehari, dalam tempoh seminggu, untuk memerhati perbualan mereka. Antara kritikan, atau lebih tepat kutukan, terhadap peserta AF ialah “Si anu harapkan muka aje, suara tak sedap, nyanyi tak pandai.” Tipikal ‘kritikan seni’ Malaysia.

Ada pula mencadangkan sistem undian sms dihapuskan, diganti juri profesional. Nah, di sini nampak ada mereka yang sangat kabur, bahawa program ini orientasinya ringgit, mencecah jutaan, hasil undian sms dan penajaan. Makanya, setiap langkah, termasuk gerak atau sudut kamera dibuat atas perkiraan RM yang dapat diraih dari setiap satu sms yang masuk. Jadi, seharusnya tidak ada mimpi tentang situasi ideal di sini, kerana satu-satunya ideal yang dapat diharapkan ialah pemenang dari Akademi ini nanti peserta yang paling sempurna pakejnya dan kerana itu dipilih majoriti penonton.

Saya telah cuba untuk menyukai AF1 dahulu, gagal kerana tidak tahan loya. Untuk AF2, saya tidak lebih bersedia. ‘Kebetulan’ sahaja yang berhasil menarik perhatian saya terhadap AF2. Kebetulan hari itu tidak punya wang, tanpa kenderaan, terperangkap dalam rumah, terpasang TV dan ‘tup’ Zahid sedang latih nyanyi. Tengok sekejap dan lihat kalau peserta lain terlalu ‘gedik’… selamat. Nampak ok. Dan saya rupanya telah ‘terperangkap’.

AF2, dengan konsert dan Diarinya – juga dengan cikgu tarinya yang cantik – tampak telah dicipta untuk menjadikan orang demam dan ‘melekap’. Tapi, mungkin mereka yang di Astro tidak sedar bahawa ada sesuatu yang lain sedang berubah. Selain angka-angka di buku akaun mereka ada magis yang mengambil bentuk.

“Magiknya Akademi Fantasia,” kata Aznil, di penghujung Konsert Akhir AF2 hari itu. “Magiknya Akademi Fantasia…,” “Magiknya Akademi Fantasia…,” ulang Aznil, setiap kali berujung alasan tersendiri. Bagi saya AF memang punya magisnya dan itu terjadi atas alasan yang lain.

Lama sebelum AF2, saya, secara peribadi, pernah tergeser dengan dua peristiwa. Naratifnya begini:

Di kenduri, pada rumah seorang imam masjid di kawasan penempatan yang baru bangun di Damansara dua kenalan sedang bersembang. Salah seorang sedang marah kerana rakan-rakannya yang terlibat dalam penganjuran sebuah majlis merancang menjemput M. Nasir untuk membuat persembahan dalam program tersebut. “Maksiat, apa nak jadi ni? Lantak korang, aku tak nak campur…” Kurang lebih begitu katanya, sambil mengisyaratkan bahawa lebih baik menjemput kumpulan nasyid. Rakannya terangguk-angguk setuju.

Dalam ketika dan peristiwa lain, sewaktu sedang minum di sebuah kedai kopi, di Alor Setar, seorang rakan sinis campur pelik dengan bapa Siti Nurhaliza yang, secara terbuka di TV, menyatakan rasa syukur dengan kejayaan anaknya. Baginya, kerjaya penyanyi adalah kotor.

Dua kisah ini mewakili pandangan umum masyarakat terhadap seni dan hiburan. Lelaki di kenduri bukan anti-­hiburan, tetapi baginya ada beda antara M. Nasir dan Raihan, secara kasar, dari sudut dosa dan pahala. Lelaki itu melambangkan mediocrity Melayu-Muslim Malaysia.

Rakan dalam kisah kedua, seorang peminat musik dan cukup senang dengan dendangan Siti, menjadi tanda bahawa masih kukuh pandangan serong terhadap insan seni.

Saya boleh dituduh membuat generalisasi, tetapi bagaimana harus saya elakkan hal tersebut sedangkan setiap kali di kedai kopi, atau bertandang ke rumah kaum kerabat di hari raya, di bandar dan desa, yang sering dijadikan momokkan oleh generasi pasca-Islamisasi ialah kaum seni, terutama penghibur? Penghibur seolah manusia kelas dua yang tempatnya nanti di neraka, kerana mempromosi “budaya Barat” dan rendah moral.

Pelan-pelan saya tanyakan kepada rakan tadi, “hang seronok dengar lagu Siti Nurhaliza?” “Best, rasa tenang, rasa sedap,” jawabnya.

lroni ini menendang-nendang hulu hati. Seorang penghibur, yang berjasa besar mengubat duka Iara manusia dalam dunia yang makin kalut, harus tetap berdosa.

Di sini, fikir saya, salah satu akibat dari kegagalan untuk melihat penghibur, dan mereka yang terlibat dalam dunia seni, sebagai manusia. Juga kegagalan dalam merayakan kepelbagaian dan kerencaman. Sebahagian kita gagal untuk melihat manusia sebagai manusia, berwarna dan kaya kehendak, dan bukannya haiwan sosial yang seragam tanpa kemahuan.

Ada senario yang segan diperkatakan orang, tentang betapa proses Islamisasi yang digerakkan kerajaan Malaysia, ditandai kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam kerajaan, pada suatu peringkat terkeluar dari kawalan. Hasilnya, secara cuai dan sembarang, lahir istilah ‘seni Islam’, ‘sains Islam’, ‘pentadbiran Islam’, ‘capal Islam’, dan banyak lagi Islam-islam yang lompong makna. Fundamentalisme dan ekstrimisme – yang kedua-duanya tidak mesti mengambil bentuk militan – pelan membiak, dan masyarakat, tanpa mengira agama, semakin menjadi moralis. Fragmen manusiawi dan duniawi tercicir dalam keadaan ini, masing-masing sibuk berbicara tentang Tuhan dan kerajaan langit. Malaysia, dalam keadaan ini hampir saja boleh menjadi inspirasi untuk Mark Twain menulis sambungan kepada novelnya, “The man that corrupted Haydleburg” – cerita tentang pekan kecil yang tampak aman dari luar sedang penduduknya menyembunyi kemas kebusukan masing-masing.

Magis AF yang satu ini lebih menarik perhatian saya. Hampir setiap gerak-geri peserta AF dirakam dan dilaporkan melalui Diari AF, di saluran @15 Astro, 24 jam sehari, 7 hari seminggu, sepanjang-panjang tempoh AF berjalan. lni mendekatkan peserta (dalam kes AF pesertanya telah bergelar bintang bahkan sebelum tamat konsert akhir) dengan penonton yang di bawah sedar akan menerima bintang-bintang ini sebagai manusia biasa yang ada perasaan, makan dan minum, berusaha seperti orang lain untuk mencari makan, dan benar-benar meminati bidang seni. Malah, tidak mustahil mereka ini akan lebih akrab di hati penonton mengatasi penyanyi popular sedia ada kerana tumbuhnya mereka, termasuk kesulitan yang mereka tempuhi untuk menjadi bintang, disaksikan penonton secara “langsung”.

Sewaktu di atas pentas khalayak dapat melihat bintang-bintang ini seperti manusia biasa yang berkeluarga dan bukannya anjing kurap yang tersisih. Apatahlagi peserta AF seperti Kaer yang berwajah amat innocent. Babak Kaer diberi peluang bertemu dan memeluk ahli keluarganya seketika, sebelum beraksi, antara yang amat mengesankan.

Ada sebuah kisah benar yang memberi harapan, dan dapat menceritakan tentang demam dan magis AF seadanya: Seorang teman pulang ke kampung, kebetulan pada hari Sabtu, hari Konsert AF2. Malam itu dia nonton bersama bapanya, seorang ustaz. Di akhir rancangan, teman saya itu terpaksa mendengar ‘ceramah’ bapanya selama setengah jam. Si ustaz nyata tidak puas hati apabila Zarina, salah seorang peserta wanita paling berbakat, diundi keluar.

Zarina telah melekat di hati ustaz, yang melihat bakat besar pada Zarina, yang berkesan sebagai penghibur, yang melihat nyanyian tidak lebih dari satu kerjaya. Kerjaya ini pula tidak lebih rendah tarafnya dari tukang kebun yang membajai pohon agar bunganya menyedapkan mata orang yang lalu lalang, meredakan gundah gulana. Apatahlagi bintang-bintang dari AF, Zahid contohnya, yang teramat-amat selesa di pentas, punya potensi menghibur yang besar. Sudirman menyentuh penonton dalam cara yang tidak tergambar, luar biasa, sedikit sebanyak dapat saya rasakan kualiti itu pada Zahid dalam tiap siri Konsert AF.

Saya sendiri boleh memikul sebanyak alasan untuk tidak senang dengan AF, selain alasan yang telah disebut awal tadi, apatahlagi AF itu lahir di tengah merajalelanya program tulen hedonis; di atas tambunan sampah sarap program TV (idiot box yang, pada saya, telah berevolusi jadi kilang pembodohan massa). Lebih tidak senang apabila memikirkan graduan AF itu nanti belum tentu dapat menentukan masa depan seni sendiri kerana ada percaturan lain di pihak Astro.

Seorang teman bercerita tentang sebuah kisah di negeri yang jauh, di waktu yang lampau. Seorang putera raja bertemu seorang pelukis. Putera itu memberitahu si pelukis, “Beta besar dalam sebuah bilik yang penuh dengan lukisan kamu. Sungguh amat cantik lukisan kamu. Beta tak pernah, dan tak dibenarkan, keluar dari bilik itu, makanan pun hanya dihantar sampai ke pintu. Beta amat mengagumi kamu. Sekarang, beta mahu berpergian dengan kamu, melihat pemandangan sambil melukis.” Mereka pun keluar jauh ke perut negeri. Sampai ke sebuah tempat, terserempak sebatang tubuh, tergantung mati di dahan pokok. Mayat itu berwajah sayu amat.

Cepat-cepat sang pelukis mengeluarkan kanvas dan peralatan melukis, dituruti putera raja. Mereka khusyuk melukis, tenggelam dalam seni, sehingga terlupa tentang tubuh tidak bernyawa, hampir rontok, yang seharusnya dikebumi.

Memang dalam dunia seni sukar dipisah antara sedar dan khayal. Garis kemanusiaan pun selalu jadi kabur. Ataukah sengaja dikabur?

Kepada bintang-bintang AF: Selamat datang ke dunia realiti yang masam!

***

MR Al-Mustaqeem adalah bekas editor Siasah, anggota Komunite Seni Jalan Telawi, penulis dan penterjemah bebas ini ialah graduan Syariah dan Pengajian Islam, Jordan.

First Published: 25.08.2004 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…