Malaysia Theatre Awards: Waterworks
Tatkala saya pergi untuk mendapatkan tiket untuk menonton pementasan Dejavu, saya dapati tiket hampir habis. Keadaan dalam teater hampir penuh. Tatkala pementasan ingin dimulakan, masih terdapat beberapa penonton yang dibiarkan masuk dan duduk di atas lantai. Jarang benar rasanya saya melihat sebuah pementasan yang mendapat sambutan begitu hangat seperti ini. Saya rasa, sambutan hangat diberikan pada malam itu (dan pada malam terakhir juga tiket habis dijual} di atas kehadiran Fauziah Ahmad Daud (Ogy) yang telah menggantikan tempat Erma Fatima pada saat-saat akhir untuk membawa watak Narti.
Dejavu merupakan sebuah karya yang telah dipentaskan semula. Karya tulisan Ismail Kassan ini telah dipentaskan buat pertama kalinya pada tahun 1999 dan telah diarahkan oleh Siti Rohayah Atan. Pada ketika itu ia menggunakan judul Dejavu Seorang Perempuan (DSP}. Menurut pendapat seorang rakan saya yang telah menonton kedua-dua versi pementasan ini, DSP lebih menarik berbanding dengan Dejavu, kerana persoalan serta tema para normal “Dejavu’ tidak dikupas sedalam-dalamnya. Akhirnya Dejavu, walaupun sebuah persembahan yang menarik, kelihatan seperti kekurangan isi dibandingkan dengan DSP.
Tetapi bagi saya, Dejavu tetap sebuah karya pementasan yang berjaya dalam hal persembahan lakonan yang memberangsangkan dan skrip yang mampu meninggalkan kesan kepada penonton – walaupun terdapat beberapa kekurangan yang ada. Terdapat beberapa bahagian dalam pementasan ini yang meleret-leret, tetapi telah diimbangi semula dengan adegan komedi yang berjaya membuatkan penonton ketawa. Bahagian yang meleret-leret ini dipenuhi dengan perbincangan filsuf berat dan kemudian diimbangi pula dengan adegan tarian dan lawak jenaka yang mengingatkan saya kepada persembahan boria dan bangsawan.
Kekuatan Dejavu sebagai sebuah naskhah drama teater terletak kepada isu-isu yang cuba dibentangkan di dalamnya.
Dejavu menceritakan tentang sebuah daerah di mana kawasan ini dihuni oleh mereka yang telah dibuang daerah serta pendatang Indonesia. Kita akan menemui watak-watak yang menarik seperti pasangan suami-isteri yang terpelajar dari Indonesia, Narti dan Yanto yang miskin harta tetapi kaya dari segi pengalaman dan pemikiran mereka.
Pasangan ini berjiran dengan tiga orang wanita yang duduk di sebelah rumah mereka, Nora seorang GRO di Kelab Semarak Hati, Salmi seorang ustazah yang mengajar di sebuah sekolah berdekatan dan Rohana, seorang pelajar universiti yang sedang menjalankan praktikal dalam bidang perguruan di daerah terpencil itu.
Dalam drama ini, kita akan dapat melihat keadaan Rohana yang mengalami pengalaman para normal berbentuk Dejavu yang sedikit sebanyak mengganggu fikirannya. Perkara ini telah membuat Rohana menjadi agak emosional dan tertekan. Beliau juga memandang hina terhadap Nora serta pekerjaannya.
Pada hemat saya, Dejavu adalah sebuah skrip yang agak matang walaupun saya tidak berpuas hati dengan arahannya. Idea di sebalik Dejavu serta persoalan yang dibawanya agak besar – masyarakat tidak semestinya betul dalam menilai sahsiah seseorang yang dianggap hina. Yang lebih menarik bagi saya rasa adalah pergolakan serta pertembungan watak yang ada dalam Dejavu. Pasangan pendatang Indonesia Narti dan Yanto adalah pasangan yang intelektual, tetapi hidup dalam keadaan penuh daif. Salmi pula seorang ustazah yang bersikap terbuka sedangkan, Rohana, yang kelihatan begitu liberal dari segi luarannya pula agak sempit pemikirannya. Watak-watak ini seolah berlawanan dengan segala prasangka yang kita mungkin ada tentang diri mereka dek stereotaip yang mungkin terbuku dalam fikiran kita sendiri. Selama ini, mungkin kita fikirkan, pekerja-pekerja asing yang datang ke negara kita tidak berpelajaran, walaupun mungkin sebaliknya ataupun mereka yang tampak seperti mempunyai fikiran yang luas dan berpelajaran tinggi tidak semestinya mempunyai pemikiran yang bebas dari segala prasangka yang buruk-buruk belaka tentang orang lain. Watak-watak seperti ini sedah tentunya lebih menarik dari kebanyakan watak-watak pipih yang ada dalam teater berbahasa Melayu sejak kebelakangan ini.
Kemahuan Ismail Kassan untuk menulis tentang pengalaman serta luahan rasa pekerja Indonesia yang datang mengadu nasib di sini dan juga golongan terpinggir seperti pelayan patut dipuji. Teater ini jelas meninjau kehidupan masyarakat bawahan dan khususnya kehidupan masyarakat pendatang yang kurang kita fahami.
Mungkin di lain masa, diharapkan akan ada pula penulis dan pengarah teater berbahasa Melayu yang berani membikin teater yang menyentuh tentang kehidupan golongan homoseksual, skinhead, lelaki metroseksual dan mungkin juga, wanita yang memilih untuk mengandung tanpa berkahwin. Sememangnya terlalu banyak topik- topik yang sebelum ini jarang disentuh yang boleh kita persembahkan dalam bentuk teater di negara kita ini.
Pada hemat saya, lakonan Ogy amat cemerlang. Mungkin ramai menyatakan bahawa lakonannya agak “over”, tetapi lakonan “over” seperti inilah yang membuatkan lakonannya sebagai Narti berkesan. Perlu diingatkan bahawa lakonan teater perlu ada unsur “larger than life” seperti ini. Ogy juga saya dapati telah melakukan kajian dengan mendalam terhadap watak yang diambilnya. Penggunaan loghat Indonesia (kalau tak salah saya, loghat Betawi) bersesuaian dengan watak yang diambilnya dan beliau juga tekun tatkala berlakon agar wataknya ini tidak lari. Nyanyian “Begawan Solo” yang dinyanyikan oleh Ogy dengan perasaan penuh sayu, serta monolognya yang telah dilakonkannya dengan bersungguh-sungguh dapat membuatkan kita percaya bahawa sememangnya Narti rindu akan kampung halamannya dan beliau telah merantau kerana terpaksa dan bukan suka-suka. Maka watak Narti yang dibawa Ogy dapat kita anggap berjaya mewakili keadaan sebenar pekerja-pekerja asing, khususnya dari Indonesia yang datang bekerja di sini.
Lakonan Syukor Yon pula agak mengecewakan. Lakonan beliau sebagai Yanto, suami Narti turun naik dan tidak meyakinkan. Loghat yang digunakan beliau sekejap ada sekejap tidak ada, sedangkan Ogy konsisten dengan lakonannya. Saya cukup berpuas hati dengan lakonan Juhara Ayob yang mengambil watak Nora, juga Melissa Saila yang mengambil watak Salmi dan terutamanya kepada Norzizi Zulkifli yang mengambil watak Rohana, yang saya anggap pelakon muda paling berbakat yang perlu digilap bakatnya sentiasa.
Set Dejavu agak sederhana dan memuaskan. la tidak terlalu “detail” sehingga nampak berserabut dan menenggelamkan para pelakonnya. Tata cahaya juga agak baik, dan sesuai untuk kepelbagaian adegan yang dipersembahkan, sebagai contoh bahagian monolog dilakukan dengan penumpuan cahaya kepada pelakon yang bermonolog dengan penonton.
Arahan untuk Dejavu agak sederhana, tetapi saya pasti, arahan Dejavu boleh diperbaiki lagi. Sebagai contoh, persoalan “Dejavu” tidak dikupas dengan teliti dan terasa seperti tergantung. Ada beberapa bahagian dalam Dejavu yang berat membincangkan persoalan psikologi dan sosiologi, tetapi sayang ia tidak dilakukan dengan lebih mendalam, maka sekali lagi ia nampak sedikit tergantung. Saya dapat merasakan bahawa Siti Rohayah mahu berpaksikan kepada konsep feminisme dalam arahannya, tetapi tidak begitu menjadi. Saya rasa cukup terganggu apabila adegan rogol dibuat secara selamba dan lucu. Terdapat sebilangan penonton yang ketawa, seolah-olah perkara rogol ini kelakar, walaupun sebaliknya. Perkara-perkara sekecil ini perlu diambil kira, lebih-lebih lagi apabila kes rogol semakin menjadi-jadi sekarang ini. Tidak salah disuntikkan unsur komedi dalam teater berbahasa Melayu, tetapi sebaiknya, biarlah bertempat dan bersesuaian dengan kehendak skrip (saya sendiri cukup terhibur melihat adegan pekerja-pekerja kontrak Indonesia yang menari di atas pentas beramai ramai}.
Sejak kebelakangan ini, saya perhatikan terdapat terlalu banyak teater berbentuk komedi berbandingkan persembahan teater berbentuk tragedi ataupun yang serius. Tidak dinafikan bahawa persembahan komedi merupakan teknik yang baik untuk mempersembahkan isu-isu yang berat ataupun sensitif, tetapi sejak akhir-akhir ini, saya perhatikan penonton seolah-olah sukar untuk menilai jika sesebuah karya itu bersifat komedi ataupun serius. Dalam persembahan Anak Kerbau Mati Emak sebagai contoh, terdapat sebilangan besar penonton yang ketawa terbahak-bahak dalam adegan di mana Jamiah dipukul oleh Pak Mohsein. Mungkin penonton mengharapkan persembahan komedi semata-mata (ala Senario), walaupun apa yang sedang dipersembahkan adalah sebaliknya. Dalam Dejavu, “comedic timing” para pelakon agak baik, maka sentuhan komedinya saya rasa bersesuaian, kecuali dalam beberapa adegan akhir (terutamanya adegan rogol yang saya sebutkan sebelum ini).
Walaupun terdapat kekurangan dalam Dejavu, saya tetap ingin memuji Siti Rohayah Attan dan Ismail Kassan sebagai penulis skrip yang berani merombak skrip agar pementasan teater ini sesuai kepada keadaan dan suasana semasa. Dengan cara ini, saya rasa penonton lebih senang menghayati apa yang ingin disampaikan oleh penulisnya melalui Dejavu. Kekuatan Ogy untuk menjadi tarikan kepada penonton agar datang menonton lakonannya diharapkan dapat menyemai sedikit kemahuan serta minat di kalangan penonton ini agar berjinak jinak menonton teater (tidak kira sama ada teater berbahasa lnggeris ataupun Melayu} yang ada dipersembahkan di kota-kota besar di Malaysia, khususnya di Kuala Lumpur di lain masa.
First Published: 06.02.2004 on Kakiseni