Undang-undang Pelukan

Saya menimbulkan perkara nilai dan moral ini kerana pada minggu ini saya terus membaca berita tentang agenda untuk mewartakan moral. Saya juga telah membaca beberapa kenyataan dasar moral dari pelbagai pertubuhan dan badan NGO. Saya juga ada membaca surat-surat di media dari beberapa individu tentang perkara yang sama. Kelihatan hampir kesemua berita dan tulisan yang saya baca ini melihat moral sebagai sesuatu yang boleh direkayasa melalui undang-udang dan akta.

Untuk saya mengawal moral melalui undang-undang dan akta ini sebagai satu yang sia-sia. Melarang individu dari berpegang tangan, bermesra, bercium atau bercumbuan pada anggapan saya bukan tugas daulah. Tidak ada daulah yang akan dapat mematahkan berahi keinginan individu melalui undang-undang dan penghukuman. Memang ada daulah yang wujud pada satu ketika dahulu atau masih wujud pada hari ini yang telah cuba memunculkan segala bentuk perundangan dan akta untuk mengawal moral warganya. Semuanya menemu jalan buntu.

Kebuntuan ini berpunca kerana moral muncul bukan kerana undang-undang atau hukum bertulis. Kelakuan dan tingkah laku satu-satu budaya bangsa wujud hasil dari asas perekonomian. Nilai dan moral muncul di  atas keperluan sesebuah budaya bangsa untuk menyusun ahli-ahli warga dan kabilah mereka. Penyusunan  nilai dan moral ini memiliki asas ekonomi.

Satu ketika dahulu manusia Arab tinggal dalam khemah di padang pasir. Mereka mengawal anak gadis dan kaum perempuan mereka dari diculik dan dirampas dari kabilah yang lain. Ini dapat kita fahami. Tetapi tidak mungkin hari ini dapat diaktakan undang-undang untuk mengawal anak-anak gadis atau perempuan kita dari berjalan bebas. Atau undang-undang yang berasal dari padang pasir ini dapat diaplikasikan dengan budaya hidup dalam kondo atau apartmen blok di Beirut, di Cairo atau di Bangsar pada hari ini.

Saya masih teringat lagi pada satu ketika dahulu di pekan Kuala Klawang Jelebu saya ternampak nyonya­-nyonya Cina yang berkaki kecil. Mereka tidak boleh berjalan dengan betul. Ini kerana kaki mereka telah dibalut dari semenjak kecil sehingga tulang kaki mereka tidak membesar dengan betul. Pembalutan ini membawa estetika kecantikan untuk dinikmati oleh sang lelaki. Juga bertujuan agar apabila mereka mendewasa mereka tidak akan melarikan diri dari sang suami. Hari ini estetika adat budaya ini telah pupus dan hanya tinggal dalam ingatan. Nilai dan moral manusia Cina di Malaysia telah juga berubah.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah nilai dan moral beralih-alih mengikut keadaan masa dan suasana. Budaya, nilai dan moral wujud mengikut konteks. Budaya dan nilai orang Melayu juga sedang beralih. Pada satu ketika dahulu seratus peratus manusia Melayu tinggal di desa bertani atau ke laut menangkap ikan. Hari ini perekonomian warga Melayu juga telah bercambah dan bermacam-macam. Perubahan ekonomi ini telah melahirkan nilai, moral dan pembudayaan yang baru.

Moral dan nilai budaya bangsa-bangsa juga berbeza-beza. Tidak mungkin dapat diwujudkan satu bentuk nilai untuk semua bangsa. Cuba kita lihat manusia lelaki Arab apabila bertemu mereka akan mengucup pipi kawan­kawan mereka dari kiri ke kanan sebelum bersalaman. Lebih lama kucupan ertinya lebih intim persahabatan dengan kenalan mereka. Tanda setia kawan dan salam pengenalan warga Maori pula ialah mengusikkan hidung kepada hidung kenalan dan kawan. Manakala lelaki di Pakistan akan memeluk kawan dan kenalan sambil menepuk-nepuk di bahagian tulang belakang sebelum berjabat tangan. Ini agak berbeza sedikit dari budaya warga Somali di mana setia kawan akan ditunjukkan dengan menepuk bahu masing-masing.

Apabila orang-orang ‘ asing’ ini datang ke Malaysia apakah mereka semua akan di dakwa kerana perbuatan mereka dilihat tidak bermoral. Untuk saya, ini pasti tidak munasabah dan tidak masuk akal.

Dalam negara kita sendiri, kita memiliki pelbagai bentuk moral dari pelbagai budaya bangsa. Orang Melayu sendiri tidak memiliki masalah dari segi menikmati susuk badan. Budaya manusia Melayu cukup selesa dengan susuk tubuh badan manusia. Manusia Melayu tidak memiliki fobia dalam hal mencari nikmat dari tubuh badan.

Hanya kebelakangan ini sahaja orang Melayu telah cuba di Arabkan. Proses mengArabkan orang Melayu ini kelihatan cuba dihalalkan dengan hujah-hujah agama. Saya menolak pandangan seperti ini. Orang Melayu bukan orang Arab. Islam yang dibawa dari tanah Arab ini hanya sampai ke Tanah Melayu ini kira-kira 500 tahun dahulu. Harus disedari bahawa beribu-ribu tahun sebelum Arab sampai manusia Melayu telah memiliki adat istiadat, budaya, bahasa dan tamadun mereka sendiri. Mereka memiliki bentuk-bentuk seni yang memagari kehidupan harian mereka. Mereka juga memiliki nilai moral untuk menyusun negara bangsa mereka.

Orang Melayu tidak perlu diArabkan. Arab dan Melayu adalah dua budaya bangsa yang amat jauh berbeza. Manusia Melayu lahir dalam persekitaran bumi tropika. Manusia Arab dari iklim dan persekitaran yang berbeza. Malah bangsa Arab itu sendiri pun bukan satu bangsa yang monolitik. Ada Arab Badwi dari padang pasir, ada Arab Lautan Tengah, Arab Teluk dan Arab Afrika. Kesemua mereka memiliki nilai, moral dan budaya bangsa masing-masing.

Cuba bayangkan perempuan Melayu hingga ke hari ini bebas berjalan ke hulu ke hilir bersendirian. Ada yang menaiki kapal terbang. Ada menaiki bas. Ada memandu kereta sendiri. Ada yang menumpang kereta kawan. Ada yang menumpang kereta kenalan, kekasih atau tunang. Ada yang menunggang motosikal. Semua ini adalah hasil dari asas ekonomi yang wujud pada hari ini.

Bandingkan  dengan moral dan nilai budaya yang wujud di negara Arab. Kalau perempuan Melayu Malaysia ini di Saudi Arabia, maka mereka akan dianggap tidak bermoral. Menganggap perempuan Melayu ini tidak  bermoral untuk saya adalah satu perbuatan yang tidak siuman. Pandangan yang tidak masuk akal. Jadi terbukti bahawa nilai dan moral budaya bangsa itu berbeza dan tidak mungkin ada akta dan hukum hakam yang memungkinkan nilai dan moral ini dapat disamakan.

Langkah untuk menuliskan dan mengaktakan tingkah laku, nilai dan moral ini akhirnya akan membawa ke satu keadaan yang tidak sehat. Kalau di Malaysia ini apa sahaja undang-undang baru atau akta baru yang wujud semuanya akan dialih untuk dijadikan lukah pengutip duit tol. Kerana budaya rasuah yang berleluasa dalam negara kita ini maka agenda nilai dan moral ini akan dijadikan satu lagi alasan oleh pihak penguat kuasa sebagai modul untuk memungut tol dan baksheeh — rasuah dalam bahasa Arab.

Kalau PDRM, JPJ, Kastam dan badan-badan lain telah sedia wujud lukah masing-masing maka dengan agenda nilai dan moral ini akan muncul penjaga lukah baru. Kali ini si pemungut tol adalah mereka yang berselindung di belakang serban dan agama. Lukah pasti terpasang dan tol pasti dipungut walau pun warnanya lukahnya hijau pucuk pisang.

Untuk saya tidak dilihat sebagai batu penghalang dan insan yang tidak bermoral maka saya sedia menerima hakikat bahawa si penguat kuasa ini memiliki moral dan nilai yang lebih tinggi dari saya. Ini bermakna mereka ini kebal dari semua bentuk rasuah. Mereka memiliki kalis moral yang cukup unggul. Ini bermakna  hukum hakam ini akan bebas dari lukah tol mereka. Mereka tidak akan menerima baksheeh.

Tetapi awas, apa yang akan muncul dari usaha membetongkan moral ini ialah sebuah daulah yang dilihat merampok dan merentas masuk ke dalam ruang hak asasi individu. Jika sikap dan niat ingin mengawal nilai dan moral ini berpanjangan maka akan sampai satu ketika nanti di mana warga tidak akan diberi tahu lagi di mana ruang awam dan di mana hak ruang individu.

Jika hukum hakam ini dibiarkan berterusan akhirnya kuasa daulah tidak lagi memahami dan memiliki garis pemisah di antara ruang individu dan ruang awam. Daulah sebegini akhirnya akan merentas masuk lebih jauh ke dalam. Tingkah laku daulah yang ingin mengawal nilai dan moral akhirnya akan sampai ke tahap mengintip dan mengawal apa yang warga lakukan di dalam kelambu, di dalam bilik mandi atau di atas katil. Semua ini akan di hujah berasaskan undang-udang, akta dari pelbagai macam hukum hakam.

Contoh-contoh moral dan nilai yang saya nyatakan di atas adalah contoh partikular yang memagari satu-satu budaya bangsa. Mengucup pipi sahabat lelaki hanya partikular untuk orang Arab. Mengurung orang perempuan adalah nilai Arab. Mandi berkemban adalah nilai budaya orang Melayu Malaysia dan orang Melayu Indonesia. Mereka tidak ada fobia terhadap tubuh badan mereka. Lelaki Jepun bercawat ketika bermain sukan sumo. Begitu juga dengan Orang Asli, orang Dayak dan banyak bangsa di Amerika Latin. Kesemua mereka tidak memiliki masalah dengan tubuh badan mereka seperti orang Arab, Pakistan atau orang Parsi.

Apa yang ingin saya terangkan di sini ialah nilai dan moral yang partikular ini tidak mungkin dapat dipersamakan. Sesebuah kerajaan, sesebuah negara atau sesebuah parti politik yang ingin memaksa untuk menyamakan nilai dan moral yang partikular ini akan dianggap negara, kerajaan atau parti politik yang zalim, tanpa moral dan tidak memiliki nilai kemanusiaan.

Menginjak-injak individu dengan alasan nilai dan moral ini adalah contoh daulah yang tidak memiliki moral nilai budaya yang tinggi. Mengancam warga di atas alasan bahawa mereka telah mendapat watikah dari Yang Maha Esa adalah hujah yang selalu sangat kita terima. Hujah membuat  hukum berselindung di belakang baju Tuhan ini adalah hujah yang paling tidak jujur. Tingkah laku seperti ini samalah seperti apa yang sedang dilakukan oleh presiden Bush kepada Iraq. Bush juga percaya bahawa dia telah diwatikahkan oleh Yang Maha Esa untuk memperbaiki warga Iraq dan warga Arab di wilayah Timur Tengah. Lihat apa hasilnya yang dibawa dari watikah ini.

Saya tidak menolak atau menafikan kewujudan dan perlunya nilai dan moral dalam masyarakat. Masyarakat di mana-mana pun memerlukan nilai dan moral untuk dikongsi bersama. Nilai dan moral ini wajib bersifat universal yang membawa kebajikan untuk orang ramai. Dan bukan bersifat menindas dan menyusahkan kehidupan orang ramai.

Untuk saya pada ketika ini negara kita telah ketandusan moral dan nilai yang memiliki asas kejujuran dan keadilan. Dua nilai inilah yang seharusnya diberi kepedulian yang tinggi bukan kepedulian untuk mengawal sama ada si anu dan si anu berpegang tangan atau bercumbuan mesra. Berpegang tangan, bercium dan berdua-duaan di taman bunga tidak perlu dilihat sebagai satu kesalahan. Tingkah laku perbuatan mereka tidak mengganggu turun naiknya harga di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Siapa sebenarnya yang kurang nilai dan moral — dua anak muda yang sedang bercengkerama memadu kasih atau Towkey Pewaja yang bercoat dan bertali yang telah melesapkan 10 bilion ringgit duit negara? Siapa yang tidak bermoral — menteri yang melesapkan 20 bilion ringgit dana Bank Negara atau Mat Kancil dan Minah Kelisa yang sedang bercumbu mesra di Dataran Merdeka?

Untuk mereka yang mengakui memiliki watikah dari Yang Maha Esa, sebelum meluluskan undang-undang moral ini tanyalah pada diri sendiri — sudahkah mereka menjadi orang berani berkata jujur dan benar untuk menegakkan keadilan dan melupus kezaliman. Kerana inilah dua moral agung yang menjadi paras tangga rujukan kemanusiaan.

~~~

Hishamuddin Rais menjemput semua berpeluk dengannya. Ciuman tu tak diwajibkan, tapi tak ditolak juga.

First Published: 28.04.2006 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…