Katakanlah, pameran Bakat Muda Sezaman, macam nyanyian merdu dewi laut itu. Kerana tidak mahu tergoda, demi cinta Penelope, Ulysses mengarahkan kelasinya, mengikat dia ke tiang agung. Nyanyian merdu dewi laut akan terus memerangkap setiap kapal yang lalu, dan kepada nakhoda yang tergoda akan lekas-lekas pula mengembangkan layar menuju ke arah suara. Akhirnya seluruh bahtera hancur-binasa; seperti orang-orang sebelum mereka.
Ulysses ‘bertarung’ bukan dengan yang external, melainkan dengan dirinya sendiri. Dan dari sana, dia telah menyuluhkan makna moral paling agung.
Katakanlah, Bakat Muda Sezaman (BMS) hanya persis nyanyian merdu dewi laut itu…
Hari ini, The Iliad oleh Homer barangkali boleh mengajar kita, dalam sebuah metafora atas bentuk jalinan senior-junior dalam konteks senilukis di Malaysia, yang tidak pernah wujud di dalamnya, persis, hubungan Ulysses [yang nakhoda] dengan anak-anak kelasi. Dan yang lebih hebat tentunya cinta Penelope yang setia menunggu suaminya itu, Ulysses, bertahun-tahun. Maksudnya, hubungan tua-muda di arena seni-lukis nasional, telah, tidak pernah jelas berasaskan kekuatan moral dan akal-budi. Mungkin, seluruhnya telah jadi ‘mainan politik samudera raya’.
Dipetik daripada laporan ketua panel hakim empat tahun dahulu: “keseluruhannya, pertandingan ini tidak menggambarkan hasil karya yang terbaik pelukis muda seperti yang diharapkan, mungkin kerana penyertaan yang kurang oleh peserta.” Ditulis Joseph Tan.
Tetapi kepada Joseph, malah kepada semua para hakim, ada sebuah persoalan: selain angka dan graf penyertaan, adakah kalian tidak pernah sedar tentang apa yang merayap ke atas lapangan zaman selain hanya berminat kepada ranjang kalian sendiri? Orang bisa menduga, kalian tidak akan pernah punya usaha untuk menjawab, secara jelas dan tegas… selalu-selalulah dipilih ‘eksklusif, dan diam.
Sedang diam bukan kerja seniman. Gelisah telah jadi cemoh, daripada sekian kali BMS. Antaranya: sejak Sep-lapan (akronim yang merujuk kepada demontrasi besar di Kuala Lumpur pada 20 September 1998), karya yang dijulang langsung tidak bertanggungjawab kepada kebijakan masa.
Waraskah ketika ratusan ribu orang berhimpun, orang ditangkap dan dipukul di tengah kota Kuala Lumpur, misalnya, ketika rakyat kepanasan dan gelisah dengan pergeseran politik domestik, karya yang diumumkan ‘sezaman’ ialah ‘Fragile – Handle With Care…’ oleh Bibi Chew Chon Bee, atau ‘Thirteen Over Infinity 13/00: Sungai Gombak’ oleh Saharuddin Supar. Super-ego kedua itu, yang memperkuda isu alam sekitar, saya kira tidak ada bezanya dengan maksud suara yang dilaungkan dalam ‘Permainan Poker’ oleh Lee Kian Seng, 29 tahun lampau.
Yang terbaru, apakah wujud kecerdasan akal dan pengamatan terhadap zaman dalam ‘Bagaikan Pungguk Rindukan Bulan’ (oleh Khairul Azmir Shoib) berbanding ‘Bujang Berani’ (oleh Bayu Utomo Rajikin) lebih 13 tahun lalu? Sungguh pun keduanya termuat elemen gothic, dan psychotic – elemen yang tetap wujud dalam setiap zaman – tetapi selepas lebih satu dekad, tiada ada ‘tanda’ dan ‘petanda’ ke atas masa dan ruang kontemporari.
Sebentar tadi, BMS 2004 dirasmikan lagi (Nov 6, 2004). Begitu banyak karya yang terjebak dalam mainan pukauan bahantara, misalnya yang bercakap tentang bunyi bingit dan tidak bingit: antara ‘Noiscape’ yang instilasi video (oleh Tengku Azahari Tengku Azizan) atau ‘Sound of Painting’ (TV-VCD oleh Mohd Kamal Sabran). Dari sudut ini, apakah karya-karya video ini dapat menandingi, misalnya karya multi-disiplin ‘KipA.S.A.Pi’ oleh Hasnul Jamal Saidon yang dihasilkan lima tahun dahulu.
Pelukis yang tidak merajai medium, akan terus kekal jadi ‘hamba’ medium.
Justeru itu, masih tidak jelas bezanya antara ‘Pangkin’ (Aznan Omar) yang cuba-cuba mengkritik pemerintah berbanding ‘Alibi Catur di Pulau Bidong’ oleh Ponirin Amin satu masa dahulu. Juga sentimen usang yang dimainkan dalam ‘M.O.U: Takkan Melayu Hilang di Dunia’ dengan maksud kain pelekat dalam ‘Catan Diri’ oleh Amron Omar – “realisme akademik,” helah Reza Piyadasa – lebih 23 tahun lalu.
Sekalipun terpancul sedikit keberanian untuk menyentuh kekuasaan dengan tema-tema politik (bukan partai politik), itu tidak bermakna pengkarya muda dewasa ini sudah punya kekuatan untuk bernada kritis, apatah lagi bercakap benar vis a vis kekuasaan. Suara mereka, untuk meminjam hujah Badrolhisham Mohd Tahir dalam ulasannya terhadap BMS dua tahun lalu, tak ubah seperti komunikasi teks ala Utusan Malaysia yang dipindahkan ke dalam karya visual. la tidak memanjangkan diskusi. la hampir seratus-peratus propaganda yang meraba-raba dan makan diri.
Kerana itu, kita akan melihat beberapa karya yang tumpul pengamatan terhadap subjek, termasuk politik, sosial dan kenegaraan. lni antaranya – beberapa ekor bangkai ayam pun digantung, dengan kepala yang tersarong kain dengan jalur bendera Amerika: ditunjukkan dalam ‘Statue of Democracy’, karya Suhaidi Razi: sebagai purbasangka yang menuding Uncle Sam sebagai punca semua bencana modenisasi.
Masa telah bergerak dengan pelbagai konflik, dan tiap bangsa ada tika dukalara. Dukalara yang barangkali seperti apa yang disebutkan oleh Ronggowarsito, yang merujuk macetnya korupsi dalam zaman pemerintahan Amangkurat II selepas membunuh bapanya, Amangkurat I.
Maksud seumpama juga tergaris di Eropah sebelum abad ke-13 yang dikenal sebagai Zaman Gelap. Atau dalam sisi yang lain juga berlangsung di Jerman seawal abad ke-20, yang seperti ditandakan oleh Hannah Arendt dalam bukunya Men in the Dark Times, sebagai zaman political catastrophes – faham Nazisme, fasis sampai meledaknya Perang Dunia Satu. ‘Dosa’ masa lalu perlu dibersihkan, seperti kata Hitler, sampai berlakunya “krisis kemanusiaan,” jawab Hannah.
Juga di China, ada kisah dalam Zaman Negeri-negeri Berperang. Dapat kita baca hasil tangan Lao Zi dalam sajak-sajaknya yang muram; beberapa abad sebelum terbentuk Dinasti pertama oleh Qin Shihuangdi pada 221 SM. Bahkan daripada latar teologi di Timur Tengah, kita mendengar istilah Zaman Jahiliah bagi menunjukkan bagaimana kelakuan bunuh anak perempuan dan menganiayai wanita dengan cara dipaksa ‘main’ dengan sekumpulan lelaki, dianggap ‘benar’ lagi ‘bertamadun’.
Ya… jadah apa semua itu, kalau bukan sebuah suasana dukalara? Saya tandakan tragedi dalam garis linear Sep-lapan, sebagai ‘krisis moral’ yang paling parah pernah berlaku dalam sejarah moden bangsa Malaysia.
Seniman diam kerana seniman kerap keliru matrik. Lebih malang apabila tidak ada daya untuk, seperti yang ditulis John Locke dalam bab V (Of Property) dengan esei, ‘True Original, Extent, and End of Civil Government’ akan, “Tuhan, yang telah memberikan dunia ini kepada Manusia atas mahunya sendiri, juga memberikan mereka akal untuk berfikir bagi manfaat terbaik mereka untuk kehidupan dan keselesaan.”
Memetik pengamatan John Plamenatz dalam buku Man and Society: Political and social theories from Machiavelli to Marx (jilid I), Locke tidak lagi yakin kepada “keserataan,” sama ada dalam politik atau sosial. Saya kira, “keserataan” adalah antara tanda jayanya hegemoni kuasa; kekuasaan yang jahat. Yang telah membodoh dan menghancurkan selapis lagi potensi generasi. Yang mana, BMS macam nyanyian dewi laut secara koir yang didukung oleh para hakim itu yang tidak sedar matrik. Kelakuan ini hanya untuk memukau generasi pengkarya muda yang baru hendak belayar, dengan cara mengunci-mati akal-budi mereka.
Di sinilah, keyakinan baru untuk sebuah titik balek terhadap konsep dan falsafah BMS, demi sunguh-sungguh melihat peran dan keberadaan pelukis muda untuk wujudnya sebuah ruang diskusi, bukan lagi bahasa doktrinisasi. Kalau ada niat ini, ‘The Artis’ yang dihasilkan oleh Mohd Fuad Arif, dengan imejan figura dirinya sendiri; memegang paip, misai angkuh melengkung dan janggut luncup; harap-harap membunuh tradisi ultra-ego keseniman yang diwarisi abad-berabad.
Kita harus beranjak daripada hanya berbangga dengan mainan silap mata medium, tetapi dengan hujah dan moral yang keliru.
First Published: 10.11.2004 on Kakiseni