logo

let’s make something together

Give us a call or drop by anytime, we endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.

Find us

27 & 27A Lorong Datuk Sulaiman 7
Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur
Malaysia.

Phone support

Phone: +603-77254858

Koran Nyamuk

  • By Azwan Ismail
  • September 3, 2004
  • 80 Views

By Hasmi Hashim

Katakanlah, kita akan membubuhkan nama untuk lapangan seni lukis nasional hari ini, sudah tentu ia bukan medan “Kurusetre.” Ya! Kurusetre: sebuah medan atau lapangan perang antara pasukan Pendawa lawan Kurawa, dalam puncak kisah Mahabrata – penuh tipu muslihat, kemahiran guna senjata, sebuah tragedi, busur yang melepaskan anak panah, akan hujung kisah cinta…  apa pun, padang, dan zaman, akan tetap punya nama. Tapi apa?

Naratif seni lukis Malaysia moden; dengan sejarah yang pendek, cetek – saya ulang, bukan naratif panjang dan mendalam-kaya seperti jalur sejarah seni lukis di Eropah, atau Barat, yang, telah terhubung bidang seni lukis dengan politik-ekonomi-revolusi-teknologi-falsafah-bla-bla-bla…

Tidak ada tanda jelas akan setiap titik perubahan dalam perkembangan seni lukis nasional. Yang ‘lepas’, sangat tipis garisnya, perbezaannya, dengan yang ‘kini’. Kerana itu, pameran Malaysian Art Now, [Jun 26 – Ogos 31, di Balai Seni Lukis Negara (BSLN)] hanya persis dialektika pada tajuk utama talboid, a.k.a, koran nyamuk. Bunyi yang menggegar, tetapi, nyaris tidak ada apa-apa yang baru. Maksud saya, pandangan atau manifesto.

Yang ‘lepas’ mesti punya beza dengan yang ‘kini’ – untuk kita boleh mendakwa bahawa yang dipamerkan ialah, bukan sahaja bentukan karya terkini, tetapi isunya, kandungannya, persoalannya seiring zaman kontemporari. Setanding dunia, kalau boleh, atau mesti!

Memetik maksud tulisan kurator, Valentine Willie, dan pasangannya, Karim Raslan, penghayat dibentangkan kepada latar sejarah; bermula seawal negara merdeka, menjangkau era 60-an (apabila beberapa pelukis terpengaruh dengan gaya moden Barat), melintasi rusuhan kaum Mei ’69 (sehingga Kongres Kebudayaan Nasional ’71), untuk menandai ‘hegemoni bentuk seni-budaya orang Melayu.’ Kemudian, hegemoni itu diperkukuh dengan akidah dan kerja penyerapan nilai-nilai Islam oleh pemerintah pada dekad 80-an, yang, menurut kata kurator, ada terkait dengan Revolusi Iran, kira-kira sepuluh tahun sebelum itu.

Hari ini, telah datangkah suara baru? Di celah-celah debat zaman, sejak 20 tahun lalu, ada rasa tidak puas hati di kalangan pelukis bukan Melayu. Meminjam kata Reza Piyadasa, “Saya bukan Melayu… jadi, orang seperti saya terpinggir?” Dalam soal-jawab itu, dia memberitahu, dia berdarah Sri Langka, dan kerana itu, dia sebenarnya bukan lagi bertanya, melainkan telah dipacaknya siang-siang satu kenyataan, bahawa, pemerintah, melalui BSLN, telah, tidak memperdulikan keberadaan seniman bukan Melayu. Bahkan lebih dari itu… dan, sungguh Piyadasa cenderung pruralis?

Sekiranya warna kulit, dijawap dengan warna kulit, kita sudah punya satu rumusan untuk itu. laitu pesta Citrawarna. Tiap-tiap kaum di Malaysia, termasuk Kadazan Dusun dan Portugis, misalnya, punya ruang untuk menari di Dataran Merdeka, tiap-tiap tahun. Tetapi, untuk apa itu semua? Dan benarkah kebebasan dan hak sama rata hanya persis soalan matematika; sepuluh bahagi lima, jawabnya, dua. “Dua untuk engkau, dua untuk aku,” dan itukah kesaksamaan, adil? Tentu tidak. Jadi, apa?

Saya yakin, persoalan pokok ialah, ‘apa’ yang ditawarkan?

Bermula daripada persoalan medium. laitu bahantara. Tidak banyak aplikasi medium – sedangkan medium, juga, menjadi aspek kritikan dalam seni visual, di mana-mana sahaja di dunia. Aspek ini, sekarang ini, dalam era pasca-moden, telah menjadi persoalan yang sama penting dengan aspek pengisian (content). Bahantara mulai berasosiasi dengan makna, bukan lagi sekadar makna yang dirujuk, ditafsir melalui subject matter. Faham pasca-moden telah memecahkan tembok pemisah antara bahantara-makna. Antara bentuk-isi.

Perkara ini, juga telah jelas diterangkan oleh seorang sejarahwan-pengkritik seni bangsa Yahudi. Dia Walter Benjamin (1890-1940), menulis rencana dengan tajuknya, ‘The Work of Art in the Age of Mechanical Reproduction’. Rencana yang asalnya terbit dalam sebuah majalah di Jerman itu, kemudiannya terbit dalam buku Illumination. Tulis Benjamin, “In principle a work of art has always been reproducible. Manmade artifacts could always be imitated by men.”

Memang, dari sudut gaya persembahan, selurus kaki melangkah ke bilik pameran, kita seakan dapat merasakan bahawa kita sedang berada dalam sebuah binnalle. Kebanyakan karya tidak terikat dalam bentuk konvensional, yang berbentuk pemidang empat segi. Instalasi pun menjelma, dan popular dalam beberapa tahun lalu, apabila, pengkarya seperti Zulkiffli Yusef dikenali seluruhnya dia sebagai seorang penggila disiplin ini, sejak awal 90-an lagi. Sejak ‘The Power.’

Tetapi, tentang tema dan isi, nyaris tidak ada yang baru, walaupun dikalangan pengkarya muda, mahupun yang dianggap ‘underground’ dan ‘alternative’. Persoalan Kongres Kebudayaan Nasional ’71, tidak habis-habisnya dibicarakan; masih mencari pahlawan, seperti, barangkali, menunggu Ratu Adil. Tema seumpama gender, misalnya, sangat cetek, dan hanya bersifat emosional, yang bergema dalam karya Firiza Azlina Isahak (‘Wanita Bertudung Installation’).

Persoalan bertudung tidak dilihat dengan tajam, sungguh-sungguh. Tidak seperti yang digambarkan di negara-­negara Timur Tengah, seperti di Iran sejak sebelum Revolusi apabila Shah Iran memaksakan semua wanita menanggalkan tudung. Atau seperti di Mesir, sehingga kita boleh mendengar nama penulis-aktivis wanita seperti Nawal Saadawi yang mengkritik, bahkan rela masuk penjara kerana mempertahankan pandangan bahawa wanita Mesir sering ditindas dalam sistem patriaki-teologi. Tudung, telah menjadi simbol perlawanan, bukan sahaja pakaian.

Yang lain lagi, masih terbelit dengan misterius akal-Tuhan, seperti yang terpapar dalam karya Tengku Sabri Ibrahim. Tajuknya, ‘Lessons Continued: Hearing the Words, Seeing the Sing ang Making the Choice Again and Again (or Some Lessons Under the Tree.)’ Sebuah ruang yang luas, seperti taman adanya, ada meja di satu sudut, dan benang-benang guni, yang, kita bisa menduga bagaimana semua itu, tersusun-tidak-tersusun secara sistematik, berinci, dan tidak berinci. Matematik dan tidak matematika, sifatnya. Dan, jelas dengan kabur, terus-­terus-terus… tapi hendak ke mana itu semua? Saya kira, kita sudah meninggalkan jauh era “Mistikal-Realiti”, seperti yang gila-gila dibawa Sulaiman Esa lebih sepuluh tahun lalu.

Karya Fariza Idora Alhabshi, cerita tentang kaum gay, mengapung persoalan kosmopolitan. Tetapi masih seperti yang lain, seperti tidak berpijak di tanah nyata. Tajuknya ‘Free’: akan di suatu malam, naratifnya begini, selepas melakukan seks (kenapa tidak ditunjukan adegan itu!?), salah seorang daripada lelaki itu, memakai baju, lalu keluar bilik.

Dia, tidak selesa, tidak tenteram dalam hati terhadap pasangannya. Lalu berfikirlah dia – berfikir jugakan si pengkarya – kononnya, begitu hatinya berkata, setiap manusia sama sahaja. Walau gay, walau tidak: manusia masih mencari cinta. Ya! Cinta. Jawapan yang ditemui ketika dia berfikir di bawah sebatang pokok.  Hah! Bukankah penyataan ini simplistik. Keputusan yang boleh ditemui dengan mudah, tanpa hujah – tidak lebihnya daripada maksud lirik cinta dalam lagu kumpulan rock Spoon!

Malaysian Art Now, masih mengulang-ulang ‘perangai lama,’ walaupun pelakunya kita tahu, dikatakan, [moral] liberal. Bentukan-tema alias isu, tidak sungguh-sungguh direnung daripada pelbagai sudut, misalnya hubungan dengan ekonomi, misalnya, tentang hubung-kait gay dengan ‘pasaran bebas’ ala Georgs Soros. Atau daripada tekanan dan hambatan struktur sosial seperti feudalisme atau fundamentalisme, juga daripada, misalnya lagi, sisi psikoanalisis ala Freud, juga kepolitikan dan kekuasaan.

Yang saya maksudkan ‘perangai lama’ ialah, pengkarya yang masih percaya bahawa karya berdiri atas kuatnya angan-angan, bukan analisa imperikal dan fakta. “Kerana saya pandai melukis, saya kira saya telah berfikir.” Kerana itu, pengkarya seni visual akan terus tertumpu kepada persoalan lapuk lebih tiga puluh tahun lalu. Dan mencari sebab – “hegemony” konon jawapannya, mungkihkah seperti maksud yang cuba dijelaskan oleh Antonio Gramci.

Dari sana, berangkat pula persoalan identiti, yang juga, tidak sudah-sudah dicakapkan. Seakan-akan menyedari bahawa Malaysia perlu ldentiti (dengan “I” kapital) adalah sebuah kesedaran yang maha besar. Telah bingit di telinga kita, sudah lebih lima belas tahun, betapa Malaysia – negara yang prural ini – perlu juga identitinya sendiri. Malaysia, bukan Barat, bukan Amerika, bukan Timur Tengah, bukan China dan Jepun, bukan Indonesia, bukan Singapura.

Lantas, tiap-tiap bangsa mahu menunjukan rupa diri masing-masing – sehingga, ada yang menganggap bahawa hegemoni Melayu berpunca daripada ingin memenangi atau jadi juara ke atas soal rupa diri Melayu, ke atas bangsa lain. Imejan Melayu, misalnya, dengan bomoh dan songkok-mongkok (rujuk siri ‘Tok Bomoh’, Jailani Abu Hassan), yang India, dengan pakai sari (rujuk ‘Running Indians and the History of the Malaysia Indians in 25 Cliches’, Anurendra Jegadeva), yang Tiong-Hua, dengan tarian naga, lazimnya. Atau yang muda, tidak kira apa bangsa, akan teruslah hip-hip-hurayyy…  (rujuk ‘Wanita Cosmos’, Diffan Sina Norman) atas apa yang mereka lihat, semata-mata ‘mediocre‘ (rujuk: kelaihan).

Identiti, bahkan rupa, tidak datang daripada imejan atau bentuk luar. Dan, tentu tidak ada bangsa di dunia ini, yang, tulen paras rupanya. Termasuk Barat, yang berabad menggali atau terpengaruh dengan Yunani dan Greek – dari Plato dan Aristotle. Atau Arab, misalnya. Sekali pun, Amerika, yang mulai terpukau dengan Jepun atau Korea Selatan, German dengan Indonesia, dengan Monggol, dan berlarut-larut-larut.

Bagi yang masih normal, tentu sudah jengkel, muak dengan semua itu… kerana apa yang sedang berlangsung, perebutan ini, bukan kerana idea; hal yang pokok itu. Bukan pertembungan moral dan hati nurani, seperti apa yang berlaku di medan Kurusetre. Cuma, diam-diam, senyap-senyap, itu hanya perebutan untuk sebuah kekuasaan semata-mata. Kerana itu, memang padang seni lukis nasional bukan Kurusetre. Tidak sesiapa pun akan mengaku, terhadap seluruh isi dan kehidupan baru, di ladang ini: Animal Farm!

First Published: 03.09.2004 on Kakiseni