Ex-Siasah Editor, MR Al-Mustaqeem joins Kakiseni’s stable of roving writers with an article which has the scoop on a new Black Box theatre venue, a new theatre company featuring some of the hottest, and most talented theatre folk in KL and a spanking new play “Saksi” written by an ensemble which includes Uwei Hj Saari and Adlin Aman.
8 bulan setelah kematian Jebat, Dang Wangi, dengan darah kekasihnya masih tergenang di mata, mendatangi Patih Karma Wijaya untuk menuntut bela. Pertemuan Dang Wangi dengan Patih berselirat ingatan tentang sebuah rahsia sulit peristiwa pertarungan Tuah-Jebat.
Angin selalu meniup khabar dan rerumput lupa bertanyakan saksinya. Mungkinkah Hikayat Hang Tuah, atau filem Hang Jebat arahan Hussein Hanif, boleh diibarat sebagai angin dan khalayak sebagai rerumput? Adakah hanya kerana Hang Tuahlah yang dihikayatkan menikam Jebat maka khalayak harus benamkan persoalan-persoalan lain, seperti di manakah versi Dang Wangi, orang yang selayaknya jadi saksi peristiwa itu, kerana dia antara yang diam di suatu kamar dalam istana yang jadi medan tempur terakhir antara kedua-dua pahlawan Melayu itu?
Dari sudut itu naskhah “Saksi”, hasil usahasama Hariri, Uwei Hj Saari, Adlin Aman Ramlie, Rosdeen Suboh, Melissa Saila dan Khir Rahman, boleh dilihat sebagai satu kritikan terhadap masyarakat yang jarang bersikap kritis dan bersoal-jawab.
Dari sudut lain, Saksi, menurut Rosdeen yang bertindak selaku pengarah, cuba mengalih perhatian khalayak agar tidak jadi seperti orang Melaka yang berkumpul di bawah istana, sewaktu pertemuan Jebat-Tuah, “galak bersorak di bawah, sedang apa sebenarnya terjadi di atas mereka tak tahu.”
Atau Saksi, kata Rosdeen lagi, “satu sindiran: Hang Tuah sebagai hero Melayu, tahu apa yang terjadi, muslihat Patih dan sebagainya, tapi berdiam diri, malah sanggup pula mengaku dia tikam Jebat, memikul dosa Patih.”
Naskhah ini adalah yang pertama dipentaskan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka – sebuah theatre box yang baru ditubuhkan.
Menurut, Abdul Wahab Hamzah, pegawai DBP yang menjadi pencetus idea penubuhan Stor, Saksi adalah sebahagian dari siri pementasan teater berskala kecil terbitan DBP. Produksi yang bakal dipentaskan di Stor berkonsepkan teater minimal yang mementingkan kekuatan teks, lakonan dan arahan. Peruntukan wang yang rendah secara tidak langsung akan meminggirkan hal-hal tempelan atau kosmetik.
Berkenaan Stor, Wahab mengambil contoh kelompok teater sekitar Eropah Timur yang merubah bangunan lama dan tidak dipakai menjadi medan berkarya dan membuat persembahan.
Dalam siri pementasan ini DBP memberi keutamaan kepada adaptasi karya sastera Melayu atau pentafsiran semula terhadap naskhah-naskhah tempatan yang telah diterbitkan. Alasannya, ujar Wahab, “agar karya-karya terdahulu tidak dilupakan, malah semakin meningkat nilainya apabila dipentaskan berulangkali, menurut pentafsiran berbeda, dan di masa depan menjadi klasik.”
Sebagai meraikan hasrat DBP itu, maka Sekutu Teater-lndi Melayu, antara penggeraknya Adlin, Melissa, Khir dan Rosdeen sendiri, memilih Hikayat Hang Tuah, antara teks lama yang dilihat terbuka kepada tafsiran baru, selain berasaskan Sulalatus Salatin, Sejarah Melayu dan “Matinya Seorang Pahlawan” (karya Usman Awang).
Untuk mencapai tujuan itu Rosdeen mengambil konsep impressionist bagi mendekati naskhah – konsep yang, bagi Rosdeen, berbalam-balam, berlapik dan sukar ternampak kebenarannya.
“Konsep ini saya ambil kerana rasa sesuai dengan cerita Melayu yang berbentuk hikayat. Jadi menggunakan konsep ini, Hang Tuah dan Hang Jebat di sini tidak ada hitam putihnya lagi. Dang Wangi ditonjolkan lebih dominan.”
Menurut Rosdeen lagi, pendekatan yang digunakannya memerlukan kekuatan pelakon. “Saya ambil sikit untuk highlightkan – seperti lukisan impression yang ada warna yang menonjol – ekspresi Dang Wangi dan Jebat.”
Rosdeen mengambil peran Patih. Tugas ‘menghidupkan’ Dang Wangi dipikul oleh Melissa, manakala Hang Tuah oleh Adlin. Khir Rahman sekali lagi memerankan watak Hang Jebat setelah memegang peran yang sama dalam “Matinya Seorang Pahlawan” yang dipentaskan di Istana Budaya tidak lama dulu.
Pengucapan Hang Tuah, termasuk rakan dan seterunya, di dalam Saksi tidak menggunakan bahasa Melayu lama, sebaliknya pengucapan puitis, berasaskan naskhah Usman Awang.
Selain nama-nama di atas, menjadi penguat Saksi adalah pereka tari tersohor, Aida Redza. Pengarahan musik dilakukan oleh Susan Sarah John, pemusik yang aktif dalam permainan gamelan mengiringi produksi-produksi terbitan The Actors Studio, selain terlibat dalam persembahan “Rhythm in Bronze” sejak tahun 1999 hingga sekarang. Pengarahan seni pula dilakukan oleh Hamir Ayob, artis dari kumpulan Matahati.
First Published: 10.10.2003 on Kakiseni