Berjiran dengan monyet, biawak , ular dan babi hutan? ltulah yang dialami Juhari Said, perupa senicetak Malaysia yang berjiwa kampung tetapi bermentaliti global. Bergebang-gebang (‘gebang’ ialah loghat Perak untuk ‘sembang’) mengenai konsep kediamannya yang bernama “Akal Di Ulu” yang dibina di atas tanah berkeluasan empat setengah ekar di Hulu Langat kira-kira tiga setengah tahun lalu, Juhari telah menyuntik semangat baru kepada lebih kurang 40 peserta jemputan khas acara “Gebang Seni” anjuran Yayasan Kesenian Perak pada 27 Mei 2002. Program bulanan ini bertujuan untuk menjana budaya berdiskusi, berinteraksi dan berkongsi pengalaman sesama seniman, pelajar serta pencinta seni dalam keadaan yang amat santai dan impromptu.
Juhari Said dilahirkan pada tanggal 6 Januari 1961 di Gopeng, Perak. Beliau telah menerima pendidikan seni dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) antara tahun 1979 dan 1983. Sejak awal lagi, Juhari telah cenderung ke arah senicetak dan telah menumpukan sepenuh tenaga dan masa kepada aspek seni ini. Pernah menerima anugerah utama bagi kategori senicetak sempena pertandingan Salon Malaysia pada tahun 1991, anugerah Permodalan Nasional Berhad pada tahun 1990 dan turut menerima geran pengkajian (research grant) untuk senicetak di Paris oleh Kerajaan Perancis pada tahun 1993. Pada tahun 1994 sekali lagi beliau diberi peluang oleh Japan Foundation untuk mengikuti program mempelajari senicetak kayu tradisional di Tokyo, Jepun.
Menyentuh sedikit definisi Akal di Ulu, seniman ini ternyata bukan memilih nama tersebut secara semberono tetapi melalui kajian dan teori yang membawa maksud yang sangat dalam. Dengan merujuk kepada ahli falsafah lbnu Sina (Avicenna) 370-428 Hijrah, perkataan AKAL dikategorikan kepada tiga peringkat. Akal pertama ialah “mengetahui sari dan sumber nyawa”, akal kedua ialah “1) Jiwa dan 2) Tubuh yang terdiri dalam sembilan daerah. Sendi akal kedua ini terdiri atas 1) Wajib dan 2) Mukmin. Manakala akal ketiga merupakan “1) Jiwa dan 2) Tubuh yang dipengaruhi alam, terutama bintang Saturnus, bersendikan pula atas 1) Wajib dan 2) Mukmin.” Menurut lbnu Sina, “akal pertama dapat mencipta barang-barang baik yang disukainya. Akal kedua adalah pengetahuan ketuhanan yang menentukan kebaikan. Akal ketiga adalah fikiran ketuhanan untuk memperoleh atau menghasilkan kebaikan.”
Pengertian perkataan HULU pula dipecahkan kepada beberapa bahagian seperti sesuatu yang dimisalkan kepala, gagang atau pangkal; contohnya HULU SUNGAI bermaksud punca atau sumber air sungai, HULUBALANG membawa erti kepala perang, kepala perajurit dan HULU juga bermaksud sesuatu yang berada jauh atau di atas. Dan akhirnya disandang dengan bahasa dalam/istana, perkataan ULU yang bermaksud kepala telah dipilih. Maka jadilah AKAL DI ULU Juhari Said.
Dengan gaya kebiasaannya yang santai dan sedikit contengan di whiteboard, Juhari telah berjaya membawa khalayaknya berimaginasi tentang bentuk dan isi di sebalik konsep Akal Di Ulu, sebuah Pusat Sumber Seni Cetak yang mengambil kira-kira 30 minit perjalanan dari Kuala Lumpur, yang sedang diperkembangkan untuk kegunaan para pelajar seni dan teman- teman seniman seluruh dunia. Dengan pengunjung yang terdiri daripada tokoh-tokoh seperti Baha Zain, Latiff Mohidin, Wairah Marzuki serta para perupa sohor dari dalam dan luar negara, yang kerap dijamu juadah ubi kayu dan sukun (lapan resipi katanya), sudah tentu Juhari berhak untuk ‘menunjuk-nunjuk’ dan berkongsi pengalaman bagaimana beliau tergerak untuk mewujudkan tempat yang begitu berseni dan istimewa.
Pengalaman bermusafir ke luar negara telah banyak memberi inspirasi kepada beliau untuk menghidupkan satu persekitaran sesuai dengan kehendak kebanyakan perupa; suasana nyaman, tenang dan jauh dari ancaman serta godaan hiruk-pikuk kota. Bertemu dengan seniman di negara-negara luar, beliau merasa kagum dengan cara mereka menonjolkan identiti melalui konsep kediaman dan bukan dengan ghairah menyuakan katalog dan biodata masing-masing semasa salam perkenalan. Kediaman mereka sesungguhnya melambangkan jatidiri seni mereka sebenar.
Dengan semangat berkobar-kobar, Juhari lantas nekad melaburkan sebahagian besar wang simpanan beliau untuk menaikkan sebuah teratak seni yang user-friendly dengan binaan ruang dapur sebagai laluan masuk bagi senior citizen serta tangga bertingkat di bahagian tepi rumah khas untuk mereka yang lebih bertenaga dan adventurous turun ke dasar bukit. Pelaksanaan idea ini dimotivasikan oleh harapan beliau untuk membantu menjana minat dan peluang di kalangan para pelukis dan pelajar meraih ilmu dan pengalaman khususnya dalam bidang senicetak. Tidak jauh dari rumahnya, Juhari telah menyediakan sebuah studio yang lengkap dengan peralatan dan mesin-mesin cetak untuk dimanfaatkan oleh pengunjung yang berminat.
Walaupun ramai seniman terkenal tanahair, antaranya Allahyarham Ahmad Khalid Yusuf, Latiff Mohidin, Lee Kian Seng, Long Thien Shih, Sulaiman Esa dan lain-lain mendapat pendidikan formal senicetak dari luar negara, mereka tidak menjadikan senicetak sebagai karya utama dalam aktiviti seni mereka. Malahan sesetengah daripada seniman hanya memandang golongan seniman senicetak dengan sebelah mata atau sebagai 2nd class citizen. Juhari menganggap ia jadi begitu kerana kedangkalan ilmu serta kedaifan tentang sejarah dan perkembangan senicetak yang berkembang pesat di luar negeri seperti Perancis, Jepun dan Negara Eropah lain. Oleh kerana itu, sebagai pempraktik senicetak kontemporari, Juhari merasakan bahawa beliau berkewajipan untuk membantu menyumbang tenaga serta pengetahuan kepada generasi selepasnya agar senicetak akan terus mendapat tempat di dalam senario seni rupa tanahair.
Baru-baru ini beliau telah melapangkan masa dan ruang untuk bersama-sama sekumpulan kanak-kanak sempena lawatan seni anjuran Unit Pendidikan Seni, Balai Seni Lukis Negara. Jadual asal untuk melukis selama lima jam telah terpendek setakat 45 minit sahaja kerana ternyata anak-anak bandar yang terlibat tidak mahu melepaskan peluang merasai pengalaman yang menggembirakan; terjun ke dalam sungai yang hanya 50 meter dari rumahnya, memanjat pokok buah-buahan, meredah reban ayam menyaksikan ayam mengeram telur dan makan burger berbungkus daun pisang! Urbanisasi yang melampau sesungguhnya telah merugikan anak-anak masakini kerana mereka secara tidak langsung terlepas peluang merasai ‘penangan alam’ yang memainkan peranan penting membentuk jiwa-jiwa seni yang asli dan kembali ke akar. Pendedahan berkaitan alam semulajadi harus selaras dengan informasi tentang teknologi supaya perkembangan minda kanak-kanak ini menjadi lebih sihat dan berinovasi.
Peserta ‘Gebang Seni’ juga diberi falsafah yang sangat bermakna bila mana beliau menyatakan bahawa “kesempurnaan bukanlah satu kriteria untuk sesuatu yang indah”. Juhari memberi contoh fizikal seorang manusia yang dianggap tampan atau cantik yang tidak semestinya sempurna secara simetrikal panjang pendek kakinya, besar kecil telinganya, luas sepet matanya. Hal ini merujuk kepada kegemaran beliau terhadap garisan yang tidak lurus, seperti juga tiang-tiang rumahnya yang tidak sama rata untuk memberi kesan nature yang dikomplimen dengan seni landskap hasil kreativiti beliau sendiri. Bagi taman di rumah Juhari, tanah itu adalah kanvas atau kertas putih, bunga itu adalah medium atau warna dan cangkul itu adalah berus. Sebagai seorang yang berjiwa seni, estetik persekitaran tetap penting untuk memberi kedamaian serta keselesaan jiwa dan minda.
Di Indonesia kita mungkin pernah mendengar keunikan kediaman artis-artis mereka seperti Affandi, Djoko Pekik, Srihadi, dan H. Widayat. Di Thailand tersergam indah rumah seniman Thavorn Ko-Udomvit dan Thavorn Duchenee. Di Afrika Selatan mereka mungkin gah dengan kediaman perupa mereka Willie Bester. Nah! Di Malaysia kita kini boleh berbangga dengan kediaman seniman senicetak kontemporari Juhari Said – AKAL DI ULU!
(Juhari Said merupakan seniman undangan untuk program ‘Gebang Seni’ pada 27 Mei 2002, anjuran Yayasan Kesenian Perak – 05-5484150)
First Published: 13.06.2002 on Kakiseni