Penulis-penulis muda sastera Melayu yang memiliki pelbagai idealisme, mazhab dan fahaman serta sukar pula untuk duduk semeja mungkin akan mempunyai satu sekretariat sendiri dengan perhatian khusus pimpinan tertinggi GAPENA (Gabungan Penulis Nasional Malaysia), Tan Sri Ismail Hussein. Adalah tidak dapat dipastikan dan masih samar bagaimana penulis-penulis muda yang mempunyai bermacam-macam entiti sendiri ini akan melupakan sebentar jurang kepercayaan masing-masing.
Akan tetapi langkah pertama untuk memecahkan tembok yang tebal dan tinggi rendah itu akan mengalami satu ujian besar dan ujian itu sebetulnya adalah terhadap penulis muda sendiri.
Jurucakap Sekretariat Penulis Muda GAPENA (SPMG), cerpenis Zainal Rashid Ahmad ketika ditemui di Rumah GAPENA, 19 Januari lalu memberitahu beberapa dasar SPMG yang penting demi mencapai impian untuk menemukan semua kelompok penulis muda.
“Pertama-tamanya SPMG bukanlah berbentuk persatuan penulis. Kita tidak akan ada ketua dan sebagainya, ia adalah sebuah sekretariat dibawah AJK Penulis Muda GAPENA Dr Othman Puteh dan Ketua 1 GAPENA sendiri. Oleh itu kita akan mengenepikan segala bentuk remeh temeh persatuan.
AJK Kerja SPMG pula akan dilantik menerusi persetujuan Ketua 1 dan kita mahu menemukan semua, saya tekankan semua penulis muda tanpa mengendahkan apa idealisme mereka. Kita sedar setiap penulis ada idealoginya sendiri dan kita sedar penulis bagaimana jauh mereka pergi, mereka akan kembali kepada diri sendiri tetapi yang penting untuk ditekankan di sini sebagai penulis memang setiap dari kita boleh berdiri sendiri tetapi sebagai satu kumpulan, untuk membangun sebagai satu kelompok yang kuat, kita memerlukan satu sekretariat di mana kita akan cuba menghimpunkan kumpulan seperti Persatuan Penulis Wanita Malaysia, Kelab Alumni MPR, Angkatan 21 atau Think Tank serta penulis-penulis muda di negeri-negeri yang terabai sambil menyedari kumpulan-kumpulan ini sememangnya amat berbeza. Perbezaan akan diletakkan diluar sekretariat dan yang utama di sini ialah bekerja untuk memajukan penulis muda.”
Zainal Rashid memberitahu GAPENA memberi peruntukan yang besar untuk SPMG dan bermacam-macam peluang termasuk penerbitan, penataran, aktiviti dan bermacam-macam lagi akan diusahakan.
SM Zakir salah seorang AJK penaja SPMG menambah, “Selain dari tidak mendokong sebarang idealisme dan meraikan semua penulis muda, SPMG juga akan cuba berperanan untuk menjadi kumpulan pengurus aktiviti penulis muda. Kita akan membantu kepentingan penulis muda seperti kebajikan, pendidikan, penerbitan, kegiatan dan juga integrasi.”
Menurut SM Zakir lagi, “lni adalah rentetan dari pertemuan karyawan muda sastera lnggeris dan Melayu di Hilton Seremban tahun lalu dan kita merasakan penulis muda sastera Melayu perlu ditemukan terlebih dahulu — sebelum menghulur tangan pula kepada rakan-rakan dari sastera lnggeris.”
Untuk tujuan itu, SPMG menjemput semua penulis termasuk orang ramai ke majlis pelancaran Sekretariat Penulis Muda GAPENA pada 16 Februari 2002 ini bertempat di halaman Rumah GAPENA. “Kita sedang mengusahakan satu bentuk persembahan yang melibatkan puisi, nyanyian, baca naskah, fragmen drama dan muzik pada malam itu sambil menikmati sedikit jamuan makan. Kita akan jadikan kegiatan bulanan di mana mungkin adanya diskusi, forum atau apa sahaja yang melibatkan semua penulis muda. Kelak kita akan cuba melakukan integrasi dengan seniman dari medium lain termasuk pelukis, pemuzik, dramatis dan juga orang orang filem.”
AJK penaja SPMG nampaknya begitu optimis dengan kejayaan sekretariat ini, dalam mesyuarat malam pelancaran SPMG pada 19 Januari lalu sahaja, dua kelompok penulis muda Kelab Alumni MPR dan juga Persatuan Penulis Wanita Malaysia ditemukan.
Sebuah program temu penulis muda yang besar akan dianjurkan pula tahun ini, tetapi belum ada tarikh tetap diberitahu. Program ini akan mengumpulkan semua kelompok penulis muda sambil memperkenalkan fungsi, peranan serta matlamat penubuhan SPMG. Pada masa yang sama waktu itu akan dianjurkan sesi ilmiah dan kreatif untuk penulis muda, melancarkan karya penulis muda dan menghimpunkan penulis-penulis muda yang terabai dan ini termasuk di daerah-daerah lain seperti Kedah atau Kelantan dan dalam jangka waktu panjang melibatkan mereka di Sabah dan Sarawak juga. Keahlian ialah penulis muda berusia 18 hingga 40 tahun, berkewarganegaraan Malaysia dan mendapat kelulusan GAPENA.
Zainal Rashid menegaskan kepada Kakiseni bahawa sekretariat ini memahami perbezaan ideologi setiap penulis muda. “Kita tidak berpolitik di sini dan kita tidak memenangkan fahaman sesiapa, kita cuma mahu berkegiatan secara bersama. Kumpulan-kumpulan ini masih boleh kekal dengan aktiviti masing-masing tetapi SPMG akan berfungsi untuk menemukan mereka dan memberi peluang untuk melakukan kegiatan sastera yang sama-sama diminati secara bersama. Kita tahu ini sesuatu yang sukar tetapi ia boleh menjadi kenyataan.”
Semoga penubuhan sekretariat ini akan berjaya dan dihubungkan pula dengan karyawan sastera lnggeris mahupun Mandarin dan Tamil. Dalam pada itu Kelab Alumni MPR-DBP memberitahu pada 26 Januari ini akan dianjurkan di Sudut Penulis DBP pada jam 10 pagi sebuah forum berjudul “Usman Awang dari Kaca Mata Karyawan Muda.” Abdul Wahab Hamzah, penyelaras kelab dari DBP memberitahu panel antara lain ialah kolumnis Kakiseni saudara Amir Muhammad, Mark Teh dari kelompok Akshen dan dramatis muda yang kian terkenal, Nam Ron. Semua dijemput hadir memandangkan ia juga satu bentuk apresiasi terhadap khazanah yang ditinggalkan oleh Usman Awang.
First Published: 21.01.2002 on Kakiseni