NAM RON akan muncul semula dengan sebuah drama arahannya hujung bulan ini. Setelah MISI dan Gedebe, pengarah muda ini kembali dengan sebuah produksi lagi, kali ini Proses judulnya. Kakiseni mengambil peluang mewawancara Nam Ron di tengah kesibukan beliau mengarah Proses, membantu pengarahan Members of The Club dan siaran langsung CNN apabila World Trade Centre runtuh bersama keangkuhan Amerika.
Kakiseni : Siapa pelakon pilihan anda kali ini?
Nam Ron : Juhara Ayub dan Shahrul Mizad.
Kakiseni : Keunggulan Juhara di pentas sejak akhir-akhir ini merosot…
Nam Ron : TIdak begitu, saya tak lihat begitu. Pada Juhara saya lihat kebolehan luar biasanya yang belum cukup digilap. Pengarah lain kurang mencungkil kemampuan sebenarnya, tak lihat sepenuhnya bakat dia. Kerana itu saya ambil dia.
Kakiseni : Dan Shahrul Mizad, beliau ini lebih sesuai sebagai pengurus pentas…
Nam Ron : Shahrul Mizad saya ambil dia kerana saya memang suka bekerja dengan dia, memang sudah lama saya terfikir untuk bekerjasama dengan dia. Dia ada kualiti sendiri sebagai seorang pelakon tapi sayang tidak diketengahkan, pengarah asyik melihat dia sebagai pengurus pentas saja.
Kakiseni : Apa cerita Proses ini?
Nam Ron: Ia mengenai Aisyah yang membesarkan anak-anaknya setelah dicerai suami. Akhirnya anak perempuan bongsunya menghadapi dilema dan proses yang sama.
Kakiseni : Cerita ibu tunggallah? Kenapa tiba-tiba buat cerita begini sedangkan saudara dikenali dengan drama-drama politik yang sarat kritikan.
Nam Ron : Cerita ini ada sentimental value kerana ia berlatar belakangkan diri saya sendiri, ibu saya ibu tunggal. Watak Aisyah saya cipta banyak persamaannya dengan ibu saya. Dialog-dialog dari drama ini pun ada dari kata-kata yang saya kutip dari beliau masa kecil dahulu. Lagi pun saya cuba lari sebentar dari kritikan-kritikan yang selalu saya buat itu. Saya tak mahu orang lihat saya sebagai pengkritik semata, saya juga tukang cerita. Tapi orang mungkin beri tafsiran politik juga, drama cinta pun kalau nak diberi tafsiran begitu, dikaitkan juga.
Kakiseni : Saudara selalu mengarah drama tulisan orang lain, atau collaborate dengan mereka, kali ini tulis sendiri, tidak percaya dengan orang lain lagi ke?
Nam Ron: Iya kali terakhir saya mengarah drama tulisan saya sendiri ialah tahun 1995 Kerana Ana, tapi saya banyak juga menulis skrip cuma tidak atau sukar dipentaskan kerana sangat radikal dan kritikal. Ini cubaan saya yang sederhana.
Kakiseni : Konsep apa pula kali ini yang anda terapkan setelah MISI dan Gedebe?
Nam Ron: Konsepnya life is not full dress rehearsal. Ada dua proses dalam drama ini. Proses hidup seorang wanita yang diceraikan suami, proses dia membesarkan anak-anak, proses dia bertahan dan satu lagi proses drama ini sendiri. Maksud saya, orang yang datang menonton akan melihat bagaimana proses bagaimana pelakon itu berproses untuk melengkapkan persembahan, jadi salin pakaian, mekap akan dilakonkan di hadapan penonton supaya proses persembahan itu difahami oleh khalayak.
Kakiseni : Jadi itu saja yang menariknya? Apa lagi, takkan itu sahaja…
Nam Ron: Saya gabungkan gerak dan dialog. Pelakon bergerak sambil mengucap dialog. Jun akan jadi kareografer. Sepanjang persembahan nanti, pelakon akan ‘menari’ sambil berdialog. Ia adalah persembahan yang energetic dan sangat pantas bertenaga.
Kakiseni : Patutlah majalah TunasCipta Ogos (majalah sastera baru terbitan DBP) label anda dramatis pasca moden…
Nam Ron: Orang mungkin cakap begitu. Saya biarkan orang tafsir apa pun. Saya cuma buat apa yang saya nak buat. Post moden ini beri kebebasan untuk buat banyak perkara, jadi saya buat begitu.
Kakiseni : Saudara ni tamak, tiga persembahan handle sekaligus…
Nam Ron: Bukan begitu, drama Proses ini memang saya nak buat betul, dari dulu. Members of the Club, sebagai penolong pengarah saya lakukan kerana itu tugas saya sebagai pengajar teater moden di Akademi Seni Kebangsaan, ia kebetulan hampir bertembung tarikh.
Kakiseni : 14 September ini anda ada persembahan jugakan…
Nam Ron : Itu janji saya pada Bayu utomo Radjikin untuk buat suatu persembahan di MIA Jalan Ampang sempena pameran lukisan Diri nya. Ini juga peluang tersendiri kerana selama ini saya guna medium pelakon untuk menyampaikan apa yang saya lihat dari masyarakat, sosial, politik dan sebagainya, jadi ia melibatkan orang. Dengan Bayu ini ia lebih ekspresi personal.
Kakiseni : Ramai orang Amerika mati dalam serangan di World Trade Centre 11 haribulan September 2001 (ketika ini di televisyen Presiden Bush berikrar untuk memburu pesalah dan orang yang bertanggungjawab sambil CNN menyebut Osama Bin Laden sebagai suspek utama, rakaman pesawat kedua yang merempuh World Trade Centre diulang-ulang)…
Nam Ron : Kesian juga ramai orang mati, tapi orang mati ni beri peluang orang lain untuk hidup. Boleh buat filem tragedi begini, atau buat drama, saya memang ada hati nak buat cerita bangunan tinggi yang meletup begini…(ketawa panjang)…tragedi begini berlaku banyak, tapi biasa saja. Selalu sangat tuduh orang Islam, perkara yang mereka gemar buat, mereka ni perangai meludah ke langit terkena muka sendiri, mereka iaitu Amerika itu sendiri sudah teroris…
First published on kakiseni on 12. 09. 2001