Berdendang Dalam Opera

Apakah saya menyukai produksi Opera Uda dan Dara yang dipentaskan di The Actors Studio Bangsar pada 20 Februari lepas hingga 3 Mac 2002?

Uda dan Dara hanya bermula sebagai sebuah puisi berjudul Gadis di Kuburan. Penyair besar kita Usman kemudian menggubahnya dalam bentuk cerpen, sebuah drama televisyen berdasarkan Uda dan Dara pula di bawa ke kaca televisyen pada tahun 1970 dan dalam bulan Disember 1972, Uda dan Dara dibawa ke Universiti Malaya sebagai sebuah muzikal dan ia dipercayai drama muzikal pertama dalam sejarah teater berbahasa Melayu. Usman bekerjasama dengan Basil Jayatilaka waktu itu.

Uda dan Dara adalah sebuah naskah klasik yang perlu ditangani dengan waspada sepanjang masa beredar, kesilapan menangani dan meletakkan pelakon yang sesuai akan menjadikan Uda dan Dara drama peringkat sekolah yang petaka. Saya tidak dapat melupakan produksi Uda dan Dara yang gaga! di Shah Alam tahun lalu dan bayang-bayang itu sedikit menghantui. Hampir 30 tahun setelah Uda dan Dara dipentaskan di Universiti Malaya, kini ia tampil lagi sebagai sebuah opera. Muzik sepenuhnya berdendang sepanjang-panjangnya.

Uda dan Dara sebagai opera bermakna setiap butir dialog dinyanyikan. Kali ini latarnya sebuah pekan industri dengan kilang. Di sini pekerja-pekerja kilang peka menuntut keadilan. Uda dicelupkan sebagai juruteknik komputer memadu asmara dengan Dara, gadis kacuk Melayu-Cina. Penindasan oleh pemilik kilang Alang Bakhil nantinya mendorong Malim memimpin mogok di kilang setelah Uda berhijrah ke Singapura untuk mencari wang lebih sebagai memenuhi tuntutan ibu Dara, seorang yang berbangsa Cina yang selain percaya kepada wang, digambarkan pula bimbang anaknya Dara akan melupakan susur galur Cinanya apabila berkahwin dengan Uda kelak. Si filsuf Utih sebagai kekuatan bagi golongan tertindas sesekali mencuit rasa dan minda.

Opera arahan Krishen Jit dan Joe Hasham ini telah melalui beberapa perubahan kecil yang dikatakan telah direstui oleh Usman Awang sendiri (lihat artikel saya mengenai preview Uda dan Dara). Adakah perubahan itu dikira tepat atau mengelirukan? Saya masih dapat menerima perubahan-perubahan ini sepanjang babak pertama. Tetapi bagaimana mereka boleh digambarkan sebagai pekerja-pekerja kilang sedang di babak kedua misalnya, kita diingatkan mereka adalah petani menerusi pantun dan bahasa puitis Usman. Rangkap ‘rampas sawah mereka’ misalnya kelihatan tidak serasi dengan imej pekerja kilang tadi. la disakitkan lagi dengan gaya Alang Bakhil yang tidak sesuai.

Kemunculan Alang Bakhil seperti penjahat dalam filem James Bond dengan pistol terasa serba tidak kena. Perlagaan-perlagaan imej ini menyebabkan persembahan terasa begitu kacau terutama sekali permulaan pada babak kedua. Pentas kecil terasa begitu serabut dengan pergerakan Alang Bakhil dan orang-orangnya serta gaya stylized Gani Abdul Karim memeningkan kepala.

Menjadikan ibu Dara dan Dara sendiri sebagai orang berketurunan Tionghua adalah sesuatu yang signifikan dan saya sendiri menyukai idea ini tetapi ia boleh juga menjadi sesuatu yang stereotype terutama apabila lbu Dara sebagai orang Cina hanya terpancar pada gelang jed dan pakaiannya. Ya, terima kasih, kematian Uda menyatukan ibu Uda dan Dara, mengingatkan kita betapa kita mesti bersatu setelah ada tragedi berlaku, namun perubahan ini terjatuh ke dalam jurang simplistik dan belum tentu dapat mencapai maksudnya.

Sepanjang opera, kasih sayang Uda dan Dara terasa begitu kosong tidak berjiwa meski nyanyian mereka begitu bertenaga. Uda lakonan Khir Rahman, seorang penyanyi serta komposer muda saya kira amat baik tetapi saya yakini beliau tidak dibantu dengan sempurna oleh Dara yang meski mutu nyanyiannya mengkagumkan tidak berkomunikasi baik dengan Uda. Ada yang seolah-olah gagal disampaikan apabila mereka berdua. Dara lakonan Maya Yasmin ini yang pernah terlibat untuk produksi-produksi hebat di luar negara termasuk Cats, My Fair Lady, The Phantom of Opera, Grease dan Sound of Music tentu sahaja amat memukau sebagai penyanyi namun hubungannya dengan pelakon-pelakon lain terasa begitu kaku.

Oleh itu siapa yang sebenar-benarnya bintang? Pentas Opera bagaimanapun dikuasai penuh oleh Faridul Anwar sebagai Malim. lni amat terasa pada babak pertama. Kelincahan beliau menari dan menyanyi serta mencuri perhatian khalayak adalah ‘kelas pertama’. Faridul bahkan menenggelamkan Uda sepanjang babak pertama tambahan pula kemunculannya agak kerap.

Lontaran suara Faridul amat jelas, bagi saya beliau adalah satu-satu pelakon/penyanyi yang memberikan butir rangkap puitis Usman pada teks dengan ketara pada pendengaran dan begitu bertenaga. Pelakon/penyanyi lain kadang-kadang tidak dapat menyampaikan ayat-ayat indah Usman bila mendendangkannya.

Komunikasi Faridul dengan pelakon-pelakon lain juga begitu serasi dibantu dengan ekspresi bersahaja, terkadang nakal terkadang berang terkadang serius berbaur bersama gerakan tarian yang lincah. Kesempurnaan lakonan/dendangan Faridul ini tidak menghairankan memandangkan beliau adalah ahli koir kebangsaan pimpinan soprano Syafinaz Selamat dan mendapat bimbingan baritone tersohor Eddy Chin.

Kemunculan Julie Sudiro bagaimanapun tidak begitu dirasai. Memang komposisi watak lbu Uda tidak begitu banyak tetapi masih kemampuan menyanyi Julie belum habis diterokai dan saya percayai beliau boleh melakukan lebih. Emosi dan ekspresinya sebagai ibu terkawal dan berjaya memberi mood yang memilukan.

Permulaan babak kedua dicacatkan dengan adengan Alang Bakhil yang menindas ibu Uda dan orang kampung secara menjolok mata mujur diselamatkan oleh nyanyian merdu Dara serta gerak tari solo Aida Redza yang sangat memukau. Meski formatnya mengingatkan kita kepada rancangan Hiburan Minggu lni di RTM 1, bayangkan Fransesca Peters menyanyi dan seorang penari berbalet di belakang tetapi sungguh-sungguh kareografi yang begitu ekspresif membuat kita terlupa pada gangguan-gangguan sebelumnya.

Kareografi Boi Sakti yang didatangkan khas dari Gumarang Sakti Dance Company, pengaruh randai dan seni pertahanan diri seperti silat pada babak pembukaan dan gerakan pekerja kilang, tangkas Malim dan kemunculan Aida Redza mengangkat kekuatan opera ini. Boi jelasnya telah melakukan tugas dengan cemerlang cuma pada saya pentas agak kecil, bila terlalu ramai pelakon terasa tidak ada ruang bergerak bila tinggal berdua terasa amat kosong menyakit mata.

Saya memang kerdil soal muzik, namun saya rasakan Adrian Lee dan Sunetra Fernando telah melakukan tugas mereka dengan cemerlang, tahniah, anda berdua mencipta keajaiban kepada bahasa Melayu. Adrian sudah tentu amat dikenali di arena antarabangsa terutama di West End di mana pernah mencipta lagu untuk kumpulan seperti The Royal Shakespeare Company dan The Young Vic sementara Sunetra Fernando memberi sentuhan Malaysia yang rencam, di mana kebolehan beliau menyeragamkan muzik tradisional dan kontemporari dimanfaatkan. Justeru amat menghiburkan rentak muzik dengan sedikit pengaruh India, jazz, unsur keroncong, rock serta segala macam lagi bergema memberi kesegaran kepada opera ini.

Dan Mac Chan anda penata cahaya yang pintar! Kepingan aluminium rasanya, yang bersusunan di atas lantai pada pertengahan babak pertama telah membantu lampu kuning yang panas bersatu dengan cahaya sejuk, frosted lighting atau cahaya putih terpadu lantas meninggalkan kesan bayang kepada pelakon/penyanyi terutama untuk membantu mood adengan Uda dan Dara berkasih sayang. Perubahan warna menerusi fokus­ fokus cahaya amat teratur dan memberi efek yang pelbagai.

Apakah saya menyukai opera ini? Meskipun ada beberapa kelemahan pada adaptasi dan lakonan namun ia merupakan produksi yang paling berjaya menyeragamkan muzik, tarian dan bahasa drama sekaligus dan paling penting, ia dalam bahasa Melayu (oleh kumpulan-kumpulan yang banyak mementaskan teater berbahasa lnggeris). la satu usaha yang baik dan berjaya. Opera Uda dan Dara, ya, saya menyukainya dan saya menyanjung usaha The Actors Studio dan Five Arts Centre yang tidak mengenal lelah ini.

Komentar penutup? Ya, memang rugi sesiapa yang terlepas menonton.

 

First Published: 26.02.2002 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…