Enam kali Di Mana Bulan Selalu Retak karya Sasterawan Negara A. Samad Said dipentaskan. Persembahan paling memuaskan menurut penulisnya sendiri tentu sahaja di Singapura oleh ‘anak-anak Singapura’ tetapi sepanjang enam-enam pementasan itu, menurut penulisnya sendiri – pasangan Falel-Zuraidah yang paling efektif datang daripada Kuala Lumpur iaitu dari seorang pelakon drama-drama HVD (drama ‘seram’ seperti 404, 505) dan seorangnya lagi penyanyi dangdut (lagu Ser Ser Ser) yang lebih dikenali kerana kontroversinya daripada reputasi karier.
Begitulah yang ada di dalam benak waktu melangkah ke Auditorium Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya pada 27 dan 28 April lalu, saya cuba membersihkan kepala dan bertahan, jika yang terlahir nanti begitu teruk saya sudah bersedia. Tetapi yang paling memuaskan tentu sahaja lakonan Raja Azri dan lfa Raziah sebagai pasangan adik beradik Falel-Zuraidah.
Di Mana Bulan Selalu Retak adalah naskah A. Samad Said yang pertama dan jarang dipentaskan kerana kesukarannya. Setnya sahaja mencabar dan dialognya panjang meleret, bertingkah bertengkar berselisih dan lambat menyampai maksud tetapi karektor-karektornya tersendiri. Drama ini asalnya drama radio latar sesudah darurat, seorang ‘pejuang’ di hutan yang terganggu oleh hidup resah dalam keluarga kembali ke kota dan gagal memesrai kehidupan bandar lalu berharap benar untuk pulang semula ke belantara menyudahkan impian belum sempurna selain melari diri dari masalah. Drama ini sepanjang sejarahnya tidak ramai yang berani mementaskan, tetapi kumpulan teater lazim menggunakan naskah ini sebagai naskah untuk latihan berlakon semata.
Pementasan teater dari Grup ASWA atau Teater Anak Seni Warisan ini biarlah saya berterus terang, satu usaha yang baik, penuh usaha dan kesungguhan (pujian ini perlu kerana grup ini saya difahamkan berasal dari kawasan tragedi di kampung Medan, Petaling Jaya) tetapi itu belum memadai kerana arahan sepatutnya dari seorang pengarah terasa tidak tersampaikan. Akibatnya pementasan jadi huru-hara, mengelirukan dan mendukacitakan ialah membosankan.
Raja Azri sebagai Falel bertaraf A campur. Lakonannya matang, selamba, bertenaga dan terasa bermain di dalam. Raja Azri begitu ekspresif sejak awal. Sebagai watak keliru, kacau, baran dan disconnected dari masyarakat, Falel yang dihidupkan oleh Raja Azri sangat menjanjikan. Mimik muka, tengking dengan lontaran suara yang padat, tangisnya, tekanan perasaan amat berjaya dihidupkan. Saya percaya pelakon ini akan menempuhi karier yang cerah jika lekas-lekas diperhatikan.
Raja Azri yang sangat bagus itu dibantu oleh lfa Raziah yang juga amat merasa, penuh emosi, melahirkan kecewa dan hampa dengan penuh penghayatan dan sering kali terhina oleh Falel. lfa sebagai Zuraidah memberikan lakonan amat tidak dijangka. Pengucapannya juga sederhana tetapi sebagai orang baru dalam teater, ia sungguh mengkagumkan.
Apabila kedua-duanya bertengkar, berhubung, salah menyalahkan, memujuk dan melukakan, ia amat terjalin, licin dan meyakinkan. Komunikasi Falel-Zuraidah amat kuat sehingga melahirkan babak dramatik yang meyakinkan. Kala Zuraidah dihina adik sendiri, tangisnya menyebakkan.
Teramat-amat malang, pelakon-pelakon berbakat ini diganggu sama sekali oleh pengarah yang tidak memahami teks dan gagal memandu anak kapalnya. Tidak ada penjelasan langsung bagaimana naskah latar 60 an dipindahkan ke tahun 90 an dengan penyanyi dangdut dan GRO mewarnai pementasan dan bekas askar yang hampa ingin kembali ke hutan. Justeru apabila dipaparkan dialog Falel membunuh manusia atau musuh di hutan kita tertanya, siapakah musuh tentera Malaysia kalau begitu di era 90 an? AI-Mau’nah barangkali? Tidak terjelaskan mengapa Falel bekas kominis yang resah ini membenci orang yang kononnya alim tetapi munafik besar di kampung (selain kerana Haji Murad setan memperdaya kakaknya). Watak Zuraidah lebih menyedihkan, entah bagaimana Amizai selaku pengarah memandu beliau sehinggakan adengan awal Zuraidah yang sedih, duka, pilu dan terhina itu menjadi tergedik, tidak ingat dunia dan sundal dalam babak seterusnya. Tidak ada keperluan langsung Zuraidah menyanyi lagu dangdut dan kemudian penonton tertanya inikah Zuraidah yang tadinya begitu menuntut simpati menjadi seorang perempuan yang bernafsu dan tak lekang berahi. Gayanya dengan pelanggan Omar dan mamak begitu memualkan. Drama pilu jadi drama nafsu secara tiba-tiba. Lakonan lfa yang mantap di babak pembukaan menjadi retak lebur berdebu di sini.
Tiba-tiba apabila Zuraidah bersama Samiah kemudiannya, ia menemui semula watak yang disembunyikannya, perempuan lemah yang perlukan perlindungan dan penuh tangisan. Aduhai bagaimanakah boleh begini jadinya?
lnterpretasi ini jadi lebih menghampakan apabila muncul Hanisah dan Cik Som (Cik Som sebelum itu hanya muncul menggedik menggoncang punggung sambil terpekik memanggil Atan) menangisi kematian Zuraidah sambil memeluk pakaian bayi dan botol susu yang hanya mengundang tawa gelak penonton. Kebersahajaan Haji Murad pula menimbulkan tanda tanya, tidak ada reaksi langsung apabila anaknya Samiah menjerit-jerit menggelari diri setan.
Lakonan Raja Azri dan lfa yang baik ini selain tidak dikemudikan dengan sempurna dicacatkan lagi oleh lakonan seratus peratus syok sendiri oleh Akma NR sebagai Samiah yang entah kenapa begitu ghairahkan Falel dan tak terlindung-lindung tanpa henti-henti memegang dan memegang dan memegang Falel di mana sahaja tangannya mampu hinggap sambil merenung kosong. Artikulasinya begitu teruk dan tak jelas sama sekali apa yang diucapkan. Akma bermain sendirian dan khalayak gesit berasa bosan oleh lakonannya itu. Kemunculan Lan Zailan sebagai Atan dan penyanyi Shajiry menambah kepedihan dan mencemarkan lagi bakat lfa Raziah dan Raja Azri.
Latar muzik (Ya Kitaro Kitaro Kitaro) beralun tanpa fungsi tiap ketika hanya menjadikan drama ini bertambah ‘menyedihkan’. Tatarias dan solekannya keterlaluan, entah apa fikir Samiah, gadis kampung yang menyidai pakaian dengan mekap tebal dan gincu merah seolah akan ke majlis parti harijadi. Keluar masuk props dan pertukaran set tidak licin, bayang-bayang yang sama sekali tidak dapat dimaafkan pada pencahayaan yang hampir tidak berfungsi menjerumuskan drama ini kepada sesuatu yang meretakkan.
Drama ini benar-benar diselamatkan oleh bakat semulajadi Raja Azri dan lfa Raziah, jika tidak kerana mereka, bulan memang retak dan belah dua di Petaling Jaya.
Apa pun Amizai sudah bersungguh dan saya percaya akan lebih matang seterusnya. Grup Teater ASWA ini khabarnya akan bersiap untuk memberi saingan dalam Pekan Teater.
First Published: 07.05.2002 on Kakiseni