Jangan Bunuh Mereka

Apabila pelajar-pelajar Tingkatan Empat dan Lima Sekolah Menengah Teknik Selangor bersama-sama Purnama Dewan Bahasa dan Pustaka mementaskan Jangan Bunuh Rama-rama pada 4 dan 5 Mei 2002 lalu ia sedikit mengelirukan kerana adakah ia suatu teater dalam pendidikan (memandangkan drama Jangan Bunuh Rama-rama karya Sasterawan Negara Dato’ Noordin Hassan adalah salah sebuah naskah yang terpilih sebagai Komsas subjek bahasa Melayu Tingkatan Empat selain naskah Puteri Li Po dan Kerusi) atau ia adalah sebuah teater remaja.

Tahun lalu, Purnama bekerjasama dengan Sekolah Menengah Alam Shah untuk mementaskan drama Kerusi di bawah arahan seorang pelajar berusia 16 tahun iaitu Wan Nasrul Muhaimin dan benar, ia drama yang berjaya serta mendapat sambutan hangat daripada khalayak.

Usaha Purnama atau Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Sastera Kanak-kanak dan Remaja Malaysia diasaskan oleh Dr. Anwar Ridhwan (yang sekarang merupakan Pengarah Penerbitan DBP) pada tahun 1997 dan ia bukanlah sesuatu yang tiba-tiba kerana sebelum itu DBP dengan Kumpulan Nuri telah aktif melakonkan drama secara kecil-kecilan di bawah kelolaan Mahani Che Ibrahim sejak 1986.

Akan tetapi pada saya secara mudahnya Jangan Bunuh Rama-rama lebih menghampiri konsep teater remaja, iaitu remaja mengarah dan mementaskan sebuah drama untuk remaja berbanding konsep teater dalam pendidikan yang bermaksud menggunakan unsur-unsur teater sebagai salah satu kaedah pembelajaran.

Pertama-tamanya pemilihan drama ini sebenarnya menyusahkan pelakon-pelakon remaja tersebut (entah siapa yang memilih drama ini untuk dimasukkan ke dalam Komsas?). Drama Jangan Bunuh Rama-rama tidak saya nafikan sebuah drama Islam yang berat, tanpa plot, tidak dramatik dan berlapis entah berapa lipat. Jarang kedengaran di telinga ada grup teater profesional mahupun amatur yang berani mementaskan drama ini kerana sukar sekali memahami naskah ini. Lalu saya ikut bertanya Nor Azreen Mohd Yusuf yang melakonkan watak Bidan Tuk Mah, remaja itu menjawab selamba ‘saya faham 50 persen saja.’

Saya kasihan melihat remaja ini melakonkan naskah yang mereka tidak fahami sepenuhnya dan berjalan meraba-raba. Cerita-cerita yang kelihatan terpisah ini bermula dengan Nur Atma 1 dan Nur Atma 2 bertemu badut yang mulai bercerita kisah hidup lampaunya. Tentang permaisuri yang gila rama-rama dan badut berkejar mencarinya dan bertemu dengan pelbagai manusia lagi seperti Juragan, Wak Keletung, Mek Bongsu dan Bidan Tuk Mah.

Apa pun pementasan ini telah dijayakan dengan bersungguh sekali oleh remaja-remaja ini di bawah arahan saudara Firdaus Ahmad dengan bimbingan antara lain Marlia Musa, Abdul Wahab Hamzah dan Bernado Alberto. Remaja-remaja ini sudah membuktikan mereka boleh dan telah tiba ke tahap akhir. Saya ingin memuji lakonan Abdullah Hakim sebagai badut dan raja, Earnie Dzaliny Abdullah yang meski kemunculannya tidak seberapa telah memikat khalayak sebagai perempuan yang mengghairahkan dan juga Fadhirul Hazimin sebagai askar. Bahagian korus juga bagus sekali dan menguatkan drama yang sukar ini.

Tatariasnya sederhana dan set pula kreatif, sesuai sekali untuk drama yang tidak berkronologi teratur ini. Apa pun tahniah kerana tiba sejauh ini, semoga-moga pementasan drama ini dapat membantu mereka sendiri (paling tidak) untuk menghayati naskah sukar ini langsung berjaya menjawab soalan-soalan peperiksaan.

 

First Published: 22.05.2002 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…