Sedang Ingin Bercinta

Apa sebenarnya berlaku pada petang panas terik hari sabtu 15 April yang lepas? Khabarnya terjadi satu peristiwa kontroversi di dalam iklim hiburan muzik di Malaysia. Ramai karyawan muzik Malaysia yang tidak bersetuju dengan acara keramaian yang jelas menganak-tirikan kelompok pemuzik tempatan. Asalnya acara sebegini adalah bertujuan untuk bersuka-ria malah juga menikmat nuansa muzik rock tawaran dari negara bendera merah putih. Jadi dari judul bersama harga admisi selembar tiket-tiketnya, kita boleh sahaja menebak akan siapa golongan peminat-peminat yang bakal membanjiri lapangan padang Stadium Merdeka ini. Dari yang kental berasal dari Indonesia sehinggalah penggemar urban yang ‘chic’ Kuala Lumpur, himpunan acara sebegini adalah simbol kesatuan yang jelas variatif.

Sedia maklum, gaya hiburan terkini di dalam ‘industri’ hiburan kita sekarang lebih menyenangi gaya dari tanah seberang. Maka tak hairanlah jika acara konsert sebegini boleh diluluskan. Malah dari himpunan kumpulan-­kumpulan yang membuat persembahan juga bukan calang-calang. Cokelat, Padi, Gigi dan Dewa 19 adalah antara nama-nama gergasi kumpulan rock yang banyak memperngaruhi lanskap muzik moden rock di negara kita. Jika di Indonesia memang susah untuk nama-nama ini bergabung di pentas yang sama, tetapi nyata Kuala Lumpur dijadikan satu pegecualian. Apa benar tanah bertuah kita ini sungguh beruntung?

Acara yang disaksikan oleh lebih 20,000 pengagum di Stadium Merdeka ini bermula lesu dengan persembahan pertama dari kumpulan ‘Ada Band’. Masih lagi jagung mentah, Ada Band lebur bersama kepanasan terik matahari petang Sabtu dengan tidak mampu pun untuk mengguncang semangat para penonton yang masih baru memasuki stadium. Namun satu perkara yang menganggu adalah gaya penataan bunyinya yang memang telah memberi satu isyarat yang cukup tidak menyenangkan. Untuk skala konsert mega seperti ini, masalah sebegini adalah permulaan kepada lahirnya seekor virus yang dinamakan ‘kebosanan’.

Adalah menjadi satu mimpi ngeri sekiranya virus ‘kebosanan’ ini mula berputik. Bermula dari puing-puing kecil ia menghinggap pula kepada pola persembahan band yang kedua Ungu yang relatif baru di industri. Ungu yang tidak semeriah warnanya mula mahu menggoda penonton supaya lebih tampil aktif. Satu perkara yang membebalkan ketika membuat persembahan pada waktu petang adalah kurangnya daya tarikan dari atas pentas. Intensiti lampuannya tidak garang dan menyerlah warnanya ketimbang waktu malam. Maka dari sini, kumpulan Ungu tidak dapat memaparkan aksi pentas yang menyelerakan. Kaku dan kurang bertenaga!

Selesai Ungu, mendung petang dari atas awan mula menunjukkan petanda awal mahu hujan. Cokelat menyambungkan sisa-sisa kekakuan Ungu dengan gaya penataan kostum yang sedikit menarik. Ini barulah gaya pemakaian sebuah kumpulan rock. Kumpulan yang katanya terpengaruh dari ciri The Cranberries gagal menarik perhatian untuk menghayati suasana muzik moden rock ala Bandung kerana kelemahan sistem bunyi yang cukup mengganggu. Iya, yang jelas ia boleh menghibur barisan penonton di depan pentas, tetapi tidak buat barisan yang belakang. Maka terpiculah insiden penonton dari daerah tiket yang murah mahu memberontak dan menyerbu masuk ke daerah tiket berharga mahal.

Untungnya kekecohan ini berlaku hanya sebentar dan tidak menganggu perjalanan konsert. Sedia maklum sahaja, insiden kekecohan sebegini adalah perkara normal di dalam lingkungan himpunan manusia yang ramai sebegini. Panas membara dicampur pula dengan parahnya kesakitan sistem bunyi yang amatlah jelas. Tetapi tetap sahaja kekecohan ini sinonim dengan lagak serta ekspresi penonton majoriti dari tanah seberang yang mahukan perhatian. Perlakuan sebegini adalah manifestasi rasa yang telah pun mencapai status lagenda di kalangan mereka.

Berikutnya adalah giliran kumpulan Padi yang dinanti oleh sebilangan besar penonton. Gimik yang mahu dijalankan mereka sebelum memulakan persembahan tidak menjadi akibat kekacauan masalah teknikaliti sistem bunyi (masih lagi berterusan). Jadi dari impresi pertama, set mereka bakal mengundang  masalah. Padi beruntung kerana persembahan mereka diselamatkan oleh vokal Fadly yang segar. Di saat ini ramai penonton telah sarat dengan semangat untuk berpesta kerana Padi telah membangkitkan perasaan yang sekian lama terpendam itu. Gaya mereka di atas pentas benar-benar heboh! Piyu, Rindra dan Fadly begitu aktif dan agresif sehingga perlakuan mereka ini berjaya mempengaruhi penonton di bawah.

Ketika menjelang waktu solat Maghrib, persembahan Padi bersama tetamu undangan Rossa terpaksa dihentikan kerana mendung gelap pekat diatas awan tidak mampu lagi menahan bekalan airnya dari turun kencang membasahi bumi. Ramai terpaksa melarikan diri dari tengah lapangan untuk mencari perlindungan. Selesai Maghrib Padi menyambung setnya dengan perasaan hambar. Walau mereka cekal untuk memberi persembahan yang terbaik, tetap sahaja ia tidak menyelamatkan suasana hambar yang jelas pada wajah masing-masing. Masih tetap sahaja masalah bunyi yang menganggu persembahan, tetapi pengalaman Padi telah menyelamatkan mereka dari tampil bosan.

Gigi tampil selepas Padi dengan gaya pakaian yang cukup ‘stylish’. Gaya Armand dan Thomas benar-benar mempamerkan citarasa mereka yang tersendiri. Pada waktu separuh masa kedua ini, atmosfera di Stadium mula berubah kerana masalah bunyi yang menggigit telah dapat diselesaikan. Gigi mempamerkan satu persembahan yang cukup baik dan bertenaga. Pengalaman menikmati Gigi kali ini begitu luar biasa ketika persembahan lagu ‘Kedamaian’. Di sini keempat-empat jiwa mereka berpadu dan merasuk semangat penonton untuk melonjak dan bernyanyi. Selayaknya sebagai kumpulan Indonesia yang terhormat, Gigi konsisten mempamerkan satu persembahan yang tidak terlupakan.

Disemak kembali, Gigi adalah kumpulan Indonesia pertama yang menembusi pasaran muzik tempatan pada penghujung abad lepas. Kesan mereka cukup besar kerana pada waktu itu ramai penggiat muzik tanahair mula membuka mata kepada gelombang baru kumpulan rock dari negara pimpinan Pak Bambang ini. Pengaruh mereka kepada lanskap muzik cukup terkesan terutamanya kepada kumpulan-kumpulan baru tempatan kini.

Walau singkat, persembahan Gigi tetap memukau kerana mereka tahu peranan masing-masing di dalam menghidupkan kemeriahan suasana berpesta. Selanjutnya, Dewa pula siap-siap menaiki pentas. 10 minit  setelah selesai persembahan Gigi, telah membuak-buak nama kumpulan Dewa 19 dijeritkan oleh semua 20,000 penonton. Malam itu sebenarnya adalah milik Dewa 19 kerana mengundang kroni-kroni mereka seperti Ratu, Audy dan Ari Lasso. Semestinya status mereka sebagai kumpulan ‘legendary’ adalah nyata.

Repertoire mereka pada malam itu adalah khas untuk baladewa Malaysia kerana kepelbagaian lagu yang dinyanyikan. Ari Lasso diundang istimewa oleh Dewa 19 untuk tampil bersama, menyanyikan lagu-lagu lagenda seperti ‘Elang’ dan ‘Kangen’. Ramai yang terpukau dengan lunak gemersik vokal Ari yang istimewa itu selain tetap mengamit nostalgia kegemilangan awal Dewa 19 suatu waktu dahulu. Saat paling mahal buat Dewa 19 adalah ketika persembahan lagu baru ‘Sedang Ingin Bercinta’ yang punya nada khas dangdut moden berbaur rock. Malah ramai pula bersemangat berteriak dan berjoget goyang dangdut yang bukan kepalang tapi taklah terlebih-lebih seperti Inul. Dengan marathon sebanyak 23 lagu, penampilan setiap anggota Dewa 19 adalah di tahap terbaik yang maksima. Pada ketika ini juga, tiada lagi gangguan sistem bunyi yang menyesalkan dan ia berlangsung mulus sehingga ke titik pengakhiran lagu ‘Pupus’.

~~~

Remin Nair adalah seorang pengamat budaya dan pengobses media.

First Published: 05.05.2006 on Kakiseni

Item Berkaitan

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…