Remaja Berkampung Lagi

Di tengah-tengah penghinaan demi penghinaan yang dipantakkan kepada bahasa kebangsaan sedang hebat dilaksanakan secara rapi, Dewan Bahasa dan Pustaka dengan tabah hati menganjurkan Minggu Penulis Remaja untuk kali ke 16 tahun ini berlangsung dari 26 Jun lalu sehingga 1 Jun 2002 di Wisma Belia Jalan Syed Putra.

Minggu Penulis Remaja adalah sebuah perkampungan penulisan yang paling sistematik di negara ini sejak dianjurkan pertama kalinya pada tahun 1985. Sungguh ramai yang penulis telah lahir dari program ini antara lain Tung Wai Chee, Hizairi Othman, Rosie Haslinda Nasir, Lily Haslina, Salina Ibrahim, Uthaya Sankar SB, Rahimidin Zahari, Kamariah Kamarudin, Ranofla Dianti, Mohd Lutfi Ishak dan Zuraidah Othman.

Peserta-peserta yang didatangkan dari seluruh negara tahun ini bagaimanapun menyaksikan kekosongan tempat dari Sabah dan Sarawak (barangkali kerana program berlangsung hampir serentak dengan perayaan Kaamatan dan Hari Gawai). Peserta-peserta berusia semuda 15 tahun hinggalah 21 tahun dipilih berdasar siaran karya-karya mereka antara lain di majalah Fokus SPM, Suara Generasi Baru, Dewan Siswa, Skor Berita Harian dan Tunas Cipta. Mereka diberi bimbingan khusus dalam genre cerpen dan puisi oleh Faisal Tehrani dan Zaen Kasturi sementara pendedahan-pendedahan lain melibatkan sasterawan tersohor seperti Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said, Dr. Anwar Ridhwan, Dato Johan Jaafar termasuk sesi motivasi santai bersama penyanyi sensasi Fazley.

Tidak dapat dinafikan karya-karya penulis remaja sastera Melayu di negara ini menyaksikan kemerosotan mendadak sejak beberapa tahun lepas. lni barangkali dipengaruhi oleh faktor bahan bacaan bermutu yang semakin berkurangan di pasaran selain gangguan sastera popular. Mudahnya karya tersiar dan bolos dari pemerhatian editor sastera secara umumnya juga mendorong kemerosotan ini.

Namun ini tidak membuatkan DBP kalah malah semakin bersemangat untuk meneruskan Minggu Penulis Remaja seperti lazimnya. Secara umum peserta tahun ini jauh lebih baik dari pelbagai sudut daripada peserta tahun lalu sebagai misalan.

Mohd Nasli Rusli dari Sekolah Methodist (L) Jalan Hang Jebat menghasilkan cerpen Peritnya lbu dalam Suara Generasi Baru terpilih pada tahun ini.

“Program ini sungguh bagus. Saya diberi pendedahan tentang banyak perkara misalnya bagaimana menghantar karya, kerenah editor dan sebagainya. Saya malahan sebelum ini tak tahu pun ada peringkat-peringkat tertentu dalam penulisan puisi dan cerpen perlu dimatangkan sebelum ditulis.”

Nasli menjelaskan beliau mulai berminat dalam bidang penulisan setelah memenangi pertandingan berkarya di sekolah. Nasli menjelaskan genre puisi menjadi minat utamanya. Nasli juga berjanji untuk meningkatkan bahan bacaan dan cuba bersedia untuk mendepani kegetiran dunia sastera yang banyak cabarannya.

Salah seorang peserta bukan Melayu, Sheena dari Sekolah Menengah Taman Ehsan sering berkarya untuk majalah sekolah. Ibunya seorang penulis buku-buku panduan peperiksaan, Sheena ternyata berasa begitu gembira dapat bersama peserta-peserta lain.

“Sekarang saya tahu lebih banyak. Mula-mula janggal sekali tetapi sekarang jika saya ada idea saya tahu bagaimana untuk menulisnya kelak.”

Sheena anak sulung dalam keluarga ternyata memiliki penguasaan bahasa Malaysia yang sungguh baik memberitahu beliau berasa lebih yakin untuk berkarya setelah berkampung selama seminggu dalam Minggu Penulis Remaja ini.

Salah seorang peserta MPR tahun ini yang ternyata mempunyai bakat besar dan kebolehan untuk menulis secara naluriah tentulah Mohd Khairul Aiman pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Jalan Cochrane. Beliau menghasilkan cerpen berjudul X-treme mengenai gaya hidup seorang remaja yang meminati sukan skate.

Aiman ternyata memiliki pembacaan yang agak luas berbanding rakan-rakan lain dengan bersemangat memberitahu, ‘Saya sentiasa bersedia untuk dunia sastera kerana hidup saya adalah sastera.”

Aiman bersetuju dengan rakan-rakannya yang lain bahawa program ini sungguh baik memandangkan mereka diasuh dan dibimbing dengan teratur oleh para pembimbing yang juga merupakan mantan MPR sendiri.

“Cuma saya kurang selesa dengan penginapan di sini sahaja.” Katanya sambil ketawa merujuk kepada suasana pembelajaran dan penginapan yang merimaskan.

Tahun ini terdapat 31 orang peserta. Seperti tahun-tahun lalu lebih separuh daripada mereka akan karam dan kalah dalam gelombang dunia sastera yang dahsyat. Namun tidak mustahil seorang dua ultimate survivor benar-benar ‘menjadi’ seperti tahun-tahun lalu.

Dalam tempoh yang sama DBP di bawah Bahagian Sastera Kebangsaan turut menganjurkan Perkhemahan Penulis Kanak-kanak yang mengumpulkan kanak-kanak 7 tahun ke 12 tahun untuk bimbingan penulisan. Modul dan bentuk pengajaran memang berbeza sama sekali dengan Minggu Penulis Remaja.

Hawanee Mohd Ali dari sekolah St. Teresa Kuching Sarawak misalnya mengakui begitu seronok dapat menghadiri perkhemahan ini dan memupuk minat menulisnya. Hawanee, 12 tahun, malah dapat menghasilkan puisi yang baik dan jujur sekali ketika perkhemahan di Institut Bahasa dan DBP ini.

Sesungguhnya di tengah penghinaan yang dilakukan ke atas bahasa kebangsaan, usaha DBP ini diharap dapat membantu kelangsungan bahasa yang pernah menjadi lingua-franca di rantau ini satu masa dahulu, bak kata salah seorang peserta MPR Baharuddin Akashah, 15 tahun, dari Negeri Sembilan, ‘Saya menulis untuk memartabatkan maruah bahasa Melayu di negara ini.’

Saya tinggalkan pembaca dengan puisi nukilan Hawanee berjudul Nenek:

Nenekku yang baik

kau umpama sahabat baikku

setiap hari kau menasihatiku

setiap hari kau mengajarku membuat apa

yang aku tak tahu.

Nenekku yang baik

setiap hari kau mengejutkanku dari tidur

tetapi hari ini kau terlupa mengejutkanku

pabila ku pergi melihat kau,

kau tak sihat seperti dulu lagi.

Nenekku yang baik

mungkin takdir menyuruh kita berjumpa

sehingga hari ini sahaja

kau pergi meninggalkanku

untuk selama-lamanya

tetapi aku tidak berputus asa

aku tetap tabahkan hatiku

kerana setiap yang hidup

akan pergi jua menghadap Ilahi.

 

First Published: 13.06.2002 on Kakiseni

Item Berkaitan

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…