Mimpi Panas di Malam ASK

Jangan-jangan begitulah sebenarnya semangat pementasan teater yang dikemukakan William Shakespeare sekitar 400 ratus tahun lampau. A Mid Summer Night’s Dream antara naskah Shakespeare yang boleh jadi menggelikan hati bahkan bencana kepada pelawak yang tidak kena dan bahlol. Jangan tersilap, Mimpi Di Malam Panas, adaptasi A Mid Summer Night’s Dream di tangan Rohani Yousoff memang melucukan lagi menghiburkan. la menemui peminat teater secara percuma di Pentas Terbuka MATIC antara 16 hingga 18 April 2002 lalu.

Kalau tidak silap saya UNESCO sudah mengisytiharkan yang hari kelahiran Shakespeare pada April ini sebagai Hari Baca Buku Sedunia. Maka amat relevan pementasan ini pada waktu-waktu begini. Shakespeare sudah menghasilkan sekian banyak naskah yang berbagai-bagai tema, konflik politik, cinta klasik dan lawak jenaka. A Mid Summer Night’s Dream adalah antara drama lucu Shakespeare yang dikenali. Beberapa tahun lalu, Ahmad yatim pernah mengarah drama yang sama untuk satu kerja kursus ASK juga.

Oleh kerana kita sudah terbiasa dengan naskah-naskah Shakespeare (begitulah saya kira!) tentunya juga kita sedar setiap kali kita melangkah masuk menonton satu-satu pementasan Shakespeare yang ingin ditonton bukan lagi ceritanya kerana cerita sudah kita lazimi tetapi ialah kepintaran pengarah menerbalikkan atau mengisar drama tersebut dan pastinya kemampuan pelakon bermain.

Apa ceritanya? Sebuah pementasan sarkas baru sahaja berakhir dan ini kisah pemain-pemainnya, berahi dan mencintai sehingga saling kejar mengejar kemengahan di dalam taman sambil memujuk rayu bernafsu.

Lysander dan Hermia sementara Demetrius dan Helena dan di tengah-tengah itu ada hantu bermain di taman iaitu Oberon, Titania dan Puck. Tercelah juga pasukan pari-pari dan badut sarkas yang membuat kecoh.

Adaptasinya sederhana. Penonton bersungguh-sungguh ketawa sedang mereka sudah mengetahui cerita. Tentunya pelakon telah bermain dengan baik dan cemerlang. Ambil sahaja pelakon-pelakon muda yang amat pucuk ini, meski kawalan suara belum stabil dan gerakan belum mantap serta ekspresi terasa tawar tetapi masih amat memikat. Lysander (Shahril Nizam Shahron) juga Hermia (Sharmaine Othman), Helena (oleh Engku Norzalifah Engku Rased) dan Demetrius (Ce’Kem) memberi lakonan yang boleh dipuji. Mereka tentu mendapat lebih banyak tawaran kelak dan itu semua akan pasti mematangkan.

Namun tentu sahaja tumpuan kita kepada Rosman Ishak sebagai Oberon yang terasa bertunjang. Puck oleh Shahrul Mizad Asaari sungguh berkesan dan menghiburkan (tentu peminat teater masih ingat kehebatannya dalam drama Proses). Mardiana Ismail pula sebagai Titania amat memukau. Gedik tawa, goyang bahunya dan gerak kipas tangannya amat melucukan terutama apabila melibatkan adengan bersama Bottom (Mohd Fauzi Rais).

Cuma gerak tari pari-pari dengan kasut roda sedikit keanak-anakan dan menghampiri drama kanak-kanak. Mungkin ia tidak perlu sama sekali atau lawak jenaka badut sarkas yang terasa mentah dan tidak matang meski disukai khalayak.

Perkara-perkara lain ialah pujian untuk Shahrul Mizad yang menjadikan pentas terbuka MATIC yang daif itu serba warna warni dan hidup. Juga buat Rosman (memang beliau pakar kostum dalam teater Melayu) yang menyarungkan para pelakon dengan kostum yang segar warnanya dan membuatkan penonton terlupa kekelaman pentas terbuka. Tomoe selalunya melakukan tugas cahaya dengan cemerlang dan itu dilakukannya santai di sini.

Tentu semua ‘yang indah-indah ini’ di bawah arahan Rohani Yousoff (yang muncul berkesan sebagai pelakon dalam Death of A Salesman tahun lalu). Rohani biasa menangani naskah-naskah Dato Nordin Hassan kali ini melakukannya demi kursus Seminar Lakon dan Produksi Teater Eksperimen. Pementasan ini barangkali tiada tekanan sebagai satu persembahan komersil maka pelakon-pelakonnya tenang menyampaikan. Hubungan pelakon dan penonton kuat dan ini membina kekuatan pementasan ini.

Di pentas terbuka, ketawa dekah yang memingkalkan bahu, jenaka yang keterlaluan maka barangkali inilah pakej Shakespeare satu masa dahulu, disempurnakan kembali oleh pasukan ASK.

 

First Published: 23.04.2002 on Kakiseni

Item Berkaitan

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…