Apanya Berkenaan Anugerah?

Pementasan teater Anugerah berakhir pada 21 Mac 2002 yang lalu di DBKL setelah tujuh hari dipentaskan. Teater anjuran Persatuan Penulis Wanita Malaysia ini ialah kegiatan teater kelima anjuran persatuan ini baik secara langsung atau kerjasama setelah Pelayaran Nur Atma, Dejavu Seorang Perempuan, Lantai T. Pinkie dan Kilung Musung.

Anugerah telah dipindahkan dari sebuah novel yang begitu panjang tulisan salah seorang pemenang SEA Write Award, Zaharah Nawawi oleh Rosminah Tahir dalam tahun 1996 dan dipentaskan di MATIC. Rosminah juga bertindak mengarahnya. Dalam tahun 1996, antara pelakon yang terlibat ialah Erma Fatima, Raja Azura, Azean lrdawaty dan Mubarak Majid.

Kali ini Anugerah dipentaskan lagi dengan kumpulan pelakon yang berlainan dan sudut penceritaan yang menurut Zaharah Nawawi di luar auditorium, lebih lengkap berbanding dahulu.

Anugerah mengisahkan seorang guru bernama Ramlah (dokongan Vanida lmran) didorong oleh suaminya iaitu Hisyam (Jalaluddin Hassan) untuk terlibat dalam politik menentang Malayan Union. Turut bersama ialah Mariam (Jasmin Hamid) dan Zain (Zaifri Husin) jiran mereka. Dalam politik, Ramlah dan Mariam meski bertelingkah pandangan masih seiringan bersama lbu Zain (penampilan istimewa Melissa Saila).

Haji Mat Som, bapa Ramlah (lakonan Mazlan Tahir) kurang senang dengan penglibatan aktif anak perempuannya dalam politik yang dianggap boleh mengabaikan rumahtangga dan tanggungjawab sebagai ibu. Tambahan pula Ramlah rapat dengan tokoh Pemuda UMNO Aziz (Azizi Mohd Said). Mak Som (Normala Omar) dibawa dari kampung untuk melihat-lihatkan anak-anak Ramlah dan Hisyam yang sibuk. Di celah kehangatan poltiik, perbezaan pandangan, kunjungan lbu Zain, Razali anak kesayangan Ramlah (bintangnya Muhammad Deric) menemui ajal kerana mati lemas di laut sementara Hisyam berkaku curang dengan seorang jururawat Zaleha (kemunculan Juhara Ayob).

Biarlah saya membicarakan dari aspek lakonan sahaja di sini. Vanida lmran sebagai Ramlah barangkali kurang tepat tetapi Rosminah Tahir terdesak menggantikan Umie Aida yang sepatutnya melakonkan watak ini. Vanida ternyata belum bersedia untuk berlakon di tempat utama di pentas. Vanida tidak dapat menghayati kewibawaan dan juga keperempuanan watak Ramlah seperti yang dibentangkan oleh Zaharah Nawawi. Lebih baik andai Vanida dapat ikut membaca novel Anugerah itu sendiri untuk mendapat skop penghayatan watak yang lebih besar. Vanida malah nampak lemah dan lembut bukannya tegas, tabah dan cekal seperti yang digarap oleh Zaharah dalam novelnya. Mengapa Rosminah Tahir tidak membantu Vanida agaknya?

Mariam lakonan Jasmin Hamid memang baik tetapi Jasmin nampaknya hanya efektif ketika berlucu berbanding bila beliau mengeluarkan suara untuk berhujah dan menegakkan fahaman politiknya. Jasmin memang menyebabkan penonton tertawa saat berkomedi dengan suaminya lakonan Zaifri Husin tetapi apabila serius berbincang hal politik, Jasmin hilang arah dan nampak amat tidak berkesan. Tambahan pula mekap keterlaluan dua bintang utama ini dengan rambut perang Jasmin sedikit tidak kena dan mengganggu lakonan mereka secara keseluruhan.

Kemunculan Mak Som tidak menambah atau mengurang apa-apa. Normala Omar paling tidak sesuai untuk melakonkan watak wanita kampung kematian suami yang ikut rasa bersalah atas kematian Razali. Malah Normala kelihatan agak muda dan ‘bergaya’ untuk watak tersebut. Haji Matsom bapa Ramlah paling mengganggu konsentrasi saya. Saya amat tidak faham mengapa Mazlan Tahir gemar benar meninggikan suara tidak tentu pasal bila berbicara dengan sangkaan itu adalah penghayatan yang tinggi.

Justeru adakah lakonan untuk pementasan Anugerah ini sama sekali hancur? Oh tidak, wang anda masih berbaloi untuk melihat kemunculan sementara Melissa Saila yang begitu meyakinkan sebagai lbu Zain. Lis meski muncul sekali-sekala, kebanyakannya untuk berpidato amat hidup sebagai lbu Zain, Lis benar-benar dalam karektor hanya ia dirosakkan oleh nyanyian di akhir yang membingungkan. Barangkali kita maafkan jika ia memang berbentuk muzikal, lbu Zain menyanyi Lalalala…tetapi ini adalah drama sejarah diadaptasi dari sebuah novel sejarah yang signifikan dan panjang serta terhasil oleh sejarah tersendiri. Saya tidak nampak artistic wisenya di sini.

Melissa Saila meski berseorangan di pentas begitu bertenaga, cara beliau berucap dengan bangun badan dan ketokohan seorang pemimpin amat mengkagumkan.

Jalaluddin Hassan, saya sentiasa bersikap skeptikal terhadap mutu lakonannya di pentas, mesti mengakui bahawa beliau sama sekali berjaya menanggalkan imej Who Wants To Be A Millionaire nya, malah dapat menghidupkan watak Hisyam yang pada mulanya pendorong kemajuan isteri, menjadi suami yang tidak bertanggungjawab dan kembali suami yang menagihkan kasih sayang Ramlah. Malang lakonan sebaik itu oleh Jalaluddin Hassan tidak didokong dan disokong dengan baik oleh Vanida.

Jalal dalam adengan-adengan bersama Zaleha iaitu Juhara Ayob, amat menguasai pentas dan berpengaruh. Adengan romantik begitu, memang kelaziman beliau dan sebagai ayah yang terkacau oleh kesibukan isteri, beliau juga amat menjadi.

Apa lagi berkenaan Anugerah? Secara keseluruhan ia sederhana, lampu padam kerap kerana scene kecil begitu banyak, kadang ia lambat terang. Lampu di adengan awal kelam hingga mimik muka pelakon yang terlaung-laung ‘Jepun menyerah kalah langsung tenggelam’. Tatarias yang tidak cocok (saya asyik memikirkan jenis gincu apa yang dicalit pada bibir Mak Som yang baru datang dari kampung itu, Revlon atau Maybeline). Kostum, oh ya tahniah Rosman Ishak, baju-baju kurung kaum ibu UMNO begitu berwarna-warni dan ‘menerangkan’ pentas bila mereka ke Kuala Lumpur bersidang agong. lni salah satu aspek yang membantu Anugerah secara efektif.

Apanya lagi berkenaan Anugerah di tangan Rosminah untuk kali kedua? Ya, mujur ia bukan tarikh dan nama tokoh sejarah sahaja.

 

First Published: 26.03.2002 on Kakiseni

Item Berkaitan

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…