Sarong Party Beruk

Kehidupan dunia moden semakin mengasak kita. Mata kita akan terus dikelilingi oleh imej, gambar, ikon, logo atau papan-papan tanda. Kota-kota kita berselirat dengan papan tanda dan papan iklan. Ada pelbagai imej yang terpaksa kita hadapi. Ada papan iklan yang didirikan sehinggakan anak mata kita tidak dapat mengelak melainkan memandang atau membaca iklan tersebut. Semua imej-imej bersemiotik dan ianya membawa tanda dan makna.

Hari ini imej iklan yang bergerak telah juga dipasang di persimpangan  jalan. Telah wujud papan iklan seperti layar putih yang luas terpampang di persimpangan jalan. Papan sebegini ditujukan untuk pemandu yang akan berhenti semasa lampu isyarat menjadi merah. Para pemandu tidak dapat tidak akan ‘dipaksa’ memandang iklan-iklan ini. Mungkin untuk para pengiklan mereka menganggap diri mereka bijak tetapi untuk saya memasang iklan di persimpangan jalan ini samalah seperti seorang peniaga Bumiputera menerima ‘pink form’ – hanya menunggu untuk mendapat untung tanpa berfikir banyak.

Papan-papan iklan yang terpampang semakin bertambah besar dan kelihatan bersepah-sepah terutama di pusat kota. Kini iklan bukan hanya dipasang di persimpangan jalan malah di dinding-dinding kedai papan iklan terpampang sehinggakan kedai-kedai ini hilang ditutupi oleh papan iklan. Hasilnya kota kita Kuala Lumpur yang telah tidak teratur semakin kelihatan berserabut.

Ada satu perkara yang saya perhatikan tentang iklan-iklan ini. Saya ingin berkongsi sama tentang apa yang  saya perhatikan ini. Perkara yang ingin saya timbulkan ialah tanda dan makna yang dibawa oleh wajah atau imej-imej dalam iklan-iklan yang semakin berselerak ini. Contoh yang paling jelas ialah di persimpangan jalan di hadapan Dewan Bahasa Pustaka dan di pinggir padang Victoria Institution.

Papan iklan ini cukup besar. Gambar wajah dalam iklan cukup jelas tetapi apa benda produk yang ingin dijual kelihatan tidak tentu hala. Mungkin ini iklan untuk satu jenama sabun atau jenama alat pencuci tandas. Yang luas terbentang ialah wajah anak-anak muda Mat Salleh – lelaki dan perempuan. Wajah-wajah Mat Salleh yang memberahikan ini terpampang besar. Lalu saya timbulkan persoalan kenapa menggunakan wajah Mat Salleh untuk alat pencuci tandas?

Bila persoalan ini timbul maka kita wajib memahami ideologi – tanda dan makna – yang sedang disebarkan oleh si pembuat iklan ini. Iklan ini dibuat hasil kerja individu atau syarikat iklan tempatan yang pemikiran mereka masih lagi dijajah. Mereka ini adalah hasil pengalaman pembudayaan pasca kolonial. Ketika Tanah Melayu di jajah dahulu, Mat Salleh telah menjadi tuan kepada kita. Bila keadaan politik berubah, Mat Salleh penjajah ini akhirnya meninggalkan Tanah Melayu dan Malaya menjadi merdeka. Tetapi kuasa penjajah ini telah berjaya membentuk satu ruang pemikiran di mana apa sahaja yang berkaitan dengan Mat Salleh akan dianggap baik. Iklan-iklan ini bergerak dalam sejarah budaya ini.

Justeru, wajah-wajah Mat Salleh yang digunakan untuk menjual serbuk pencuci tandas memberi makna bahawa jenama pencuci tandas ini adalah baik. Wajah Mat Salleh yang diletakkan berhampiran dengan alat pencuci tandas menjadi tanda bukti bahawa produk ini cukup unggul. Kalau produk ini ‘cekai’ pasti si Mat Salleh yang memberahikan ini tidak akan duduk di sebelahnya.

Saya memberikan nama baru untuk budaya ini – budaya King Kong. Untuk memahami apakah itu budaya King Kong maka kita wajib membuat rujukan kepada naratif filem King Kong yang sedang ditayangkan di panggung ketika ini. King Kong ini berbadan tegap, besar dan tinggi. King Kong yang berkulit hitam ini juga memiliki tenaga yang amat luar biasa. Sayangnya hidung King Kong ini kemek dan tidak mancung.

Dalam filem ini si King Kong selalu mengharu-birukan dan mengacau penduduk tempatan. Untuk memenangi hati King Kong, orang-orang kampung telah memberikan anak dara sebagai upahan agar dia tidak mengganas. Tetapi King Kong terus juga mengganas dan mengganggu kehidupan orang kampung.

Keadaan berubah apabila satu kumpulan Mat Salleh dari Amerika datang ke Borneo untuk membuat penggambaran sebuah filem. Kumpulan Mat Salleh ini telah sampai ke kampung King Kong. Orang-orang kampung telah menangkap seorang perempuan Mat Salleh dan dihadiahkan kepada King Kong. Si Perempuan ini ialah pelakon utama dalam filem yang sedang dibuat ini. Bila King Kong menerima perempuan Mat Salleh semuanya berubah.

Secara tiba-tiba King Kong yang berkulit hitam, berhidung kemek dan gagah perkasa telah dapat dipermain-mainkan oleh seorang perempuan Mat Salleh berambut ‘blonde’. Dengan hanya meloncat dan menari-nari si ‘blonde’ ini telah dapat menawan berahi si King Kong. Maka filem King Kong ini beralih untuk menjadi naratif cinta tiga segi. Tiga segi kerana si Minah Mat Salleh ini juga sedang dicintai oleh seorang penulis Mat Salleh yang datang bersama dari Amerika.

Cuba bayangkan berapa ramai gadis-gadis tempatan yang telah dihadiahkan oleh orang kampung kepada King Kong. Gadis-gadis tempatan berkulit hitam ini bukan sahaja telah dibunuh tetapi mereka telah juga dijadikan bahan makanan oleh King Kong. Apabila King Kong berhadapan dengan gadis Mat Salleh berambut ‘blonde’ tiba-tiba King Kong menjadi lemah dan bodoh.

Persoalan timbul, kenapa King Kong tidak jatuh cinta dengan gadis tempatan? Kenapa gadis tempatan dibunuh? Inilah yang saya dipanggil budaya King Kong – budaya yang senang dipengaruhi oleh apa sahaja yang berbentuk Mat Salleh. Budaya King Kong akan melihat produk tempatan – jam, radio, kereta, termasuk gadisnya atau apa sahaja – tidak cantik dan tidak menarik seperti produk Mat Salleh.

Pemilik budaya King Kong ini tidak memiliki budaya jati diri yang kukuh. Mereka akan merasa kecil diri jika mereka tidak berasosiasi rapat atau dikelilingi oleh dengan benda-benda produk Mat Salleh. Barang-barang buatan tempatan dilihat tidak bermutu, kokak dan dipandang rendah.

Untuk saya King Kong juga adalah ‘sarong party boy’. ‘Sarong party boy’ ini adalah konsep di mana lelaki Asia yang berkulit hitam akan menolak gadis tempatan kerana mereka gilakan gadis-gadis Mat Salleh. Di Kuala Lumpur sarong party boy atau sarong party girl selalu dilihat berpeleseran di kalangan komuniti ‘ex-pat’ yang bekerja di negara kita. Mereka ini samalah seperti King Kong di mana berahi seksualiti mereka telah dijajah oleh Minah atau Mamat Mat Salleh.

Dari segi ilmiah budaya King Kong adalah salah satu bentuk budaya pasca kolonial. Dalam budaya pasca kolonial fikrah warga negara bekas tanah jajahan masih lagi terjajah. Mereka belum dapat membebaskan diri mereka dari dipagari oleh rupa bentuk Mat Salleh. Penjajahan ini dapat diteruskan melalui berahi seksualiti. Jika berahi seksualiti mereka telah dijajah maka fikrah mereka akan turut sama terjajah.

Teknik berahi seksualiti inilah yang telah dapat menundukkan King Kong yang gagah perkasa. King Kong ditundukkan oleh ‘dumb blonde’ dari Amerika. Justeru jika hari ini kita melihat gambar wajah Mat Salleh terpampang sebagai tanda iklan maka sedarilah bahawa pengiklan ini sedang cuba menjadikan kita ‘sarong  party boy/girl’. Iklan-iklan dipaparkan untuk menjajah berahi seksualiti kita. Iklan-iklan ini ingin menjadikan kita hilang jati diri. Iklan ini mahukan kita sangsi terhadap budaya dan produk tempatan. Akhirnya kita menjadi lemah mandul dan dipermain-mainkan untuk menjadi seekor beruk seperti King Kong.

~~~

Isham pernah jadi sarong party boy.

First Published: 06.02.2006 on Kakiseni

Item Berkaitan

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…