Unsur-unsur Seram dan Semiotik

Menonton filem ini seperti membaca buku. Kita perlu mengetahui nahu dan hukum-hukum filem untuk menikmati bentuk seni ini dengan lebih mendalam. Dalam masa yang sama tanpa mengetahui hukum dan nahu­nahu filem kita juga boleh menjadi penonton dan membaca apa yang sanggup kita lihat dan dapat difahami. Malah rasa saya inilah cara terbanyak cara penonton-penonton melihat filem. Menikmati filem bukan satu yang elitis atau yang eklusif. Filem satu bentuk seni popular dan demokratik.

Seram atau horror kini adalah genre filem. Diawal pensejarahan telah dibuat The Cabinet of Dr. Caligari (1919) di German yang telah menjadi sebuah filem klasik wajib untuk ditonton. Dalam budaya filem Melayu seram adalah genre yang paling diminati. Filem seperti Pontianak (1957), Dendam Pontianak (1957), Sumpah Pontianak (1958), Anak Pontianak (1958) kini termasuk dalam senarai filem klasik Melayu yang menjadi wajib ditonton. lni bermakna genre seram untuk penonton di Malaysia bukan sesuatu yang baru.

Seram bergerak dilandasan pengalaman budaya yang terkumpul. Dalam semua budaya bangsa terdapat kepercayaan tentang hantu, polong, makhluk halus, jin, mayat hidup dan seribu satu macam cerita yang menggerunkan. Manusia memiliki keinginan untuk ditakut-takutkan. Manusia ini satu hidupan yang kompleks justeru manusia akan sanggup membayar harga buku atau membeli tiket panggung kerana ingin menikmati rasa takut.

Takut ini juga satu nikmat. Dalam filem takut ini menjadi lebih nikmat kerana ianya disusun dalam satu naratif yang diperindah. Kita ditakuti tetapi dalam masa yang sama kita dengan bersedia membayar tiket untuk meminta naratif ini membuka jalur ruang hitam yang sedia wujud dalam naluri kita. Kesemua insan memiliki jalur ruang hitam; melalui takut jalur hitam ini terbuka dan kita dapat merasakan nikmatnya. Jalur hitam yang ada  pada manusia ini tahapnya agak rendah jika dibandingkan dengan sadomasochist yang menyiksa diri untuk mendapatkan nikmat seksual.

Dalam kehidupan harian jika takut dan ngeri yang betul-betul dialami mungkin tidak dirasakan nikmatnya. Nikmat takut dan ngeri hanya muncul dalam naratif filem. Disinilah keindahan bentuk seni ini yang dapat membuka satu jalur nikmat hitam yang mungkin dalam kehidupan harian tidak ingin kita temui atau memang kita jauhi.

Perang juga membawa ketakutan dan kengerian. Dalam perang akan diperlihatkan darah, kematian dan mayat bergelimpangan. Dan bayangkan betapa menakutkan lagi apabila mayat-mayat ini dapat bangun menjadi zombie dan menghantui manusia yang hidup. lni lah naratif Land of the Dead yang dibuat oleh George A. Romero.

Filem zombie – mayat hidup kembali – telah dibuat ratusan kali dan pasti genre ini akan terus dibuat sebagai satu sub-genre dalam filem-filem horror. Manusia hidup memiliki obses dan keinginan maha sangat untuk mengetahui apa yang terjadi kepada manusia yang telah mati. Filem-filem zombie memberi kita peluang untuk menakut-nakutkan diri kita tentang mati dan mayat bangun kembali untuk bergerak.

George A. Romero memang obses dengan sub genre zombie. Dia telah menulis banyak skrip dan mengarahkan sub genre ini – Night of the Living Dead (1990), Dawn of The Dead (1978) dan Day of The Dead (1985). Ketika ini telah diumumkan tentang adanya empat buah lagi sub genre zombie ini yang sedang dalam pembuatan.

Land of the Dead ini sedang ditayangkan di panggung-panggung di Malaysia. Ada juga kemungkinan DVD/VCD cetak rompak filem ini telah datang lebih awal dari filem ini. Untuk saya filem-filem zombie ini kebanyakan adalah lawak-lawak bodoh yang tinggi sedikit suhunya dari Senario. Saya selalu datang menonton sub genre ini kerana ingin ketawa dengan lawak-lawak nakal para zombie seperti filem-filem hantu arahan Sam Raimi.

Jarang saya dapat ditakutkan apabila menonton filem sub genre yang berbotol-botol sos tamato dipergunakan sebagai prop. Atau muka antoganisnya penuh dengan cacing dan dakwat merah. Atau tulang-tulang rangka manusia menari-nari. Sebenarnya saya lebih takut dan gerun apabila menonton filem Melayu mutakhir walau pun ianya drama cinta.

Apa yang menarik dalam Land of the Dead ialah pengunaan sub genre zombie sebagai metapora untuk mengkritik dasar perang George Bush di Iraq. Amat jelas politik yang dianuti oleh Romero adalah politik anti Bush walau pun tidak tidak berkonfrontasional seperti yang dibuat Micheal Moore.

Filem ini mengesahkan sebuah wilayah yang sedang dikepong oleh para zombie. Di wilayah selamat ini ada sebuah bangunan yang dipanggil Green yang dijaga dan dikendalikan oleh Kaufman yang dimainkan oleh Dennis Hopper. Green ini terletak dipinggir sungai telah menjadi kawasan yang paling esklusif kerana didalamnya tidak ada mungkin para zombie dapat menerbus masuk. Disini juga para elit yang kaya raya dan mereka yang memiliki modal dapat menikmati kehidupan yang paling selesa.

Soldadu-soldadu upahan telah dihantar untuk memusnahkan para zombie ini – satu tugas yang mustahil. Riley protoganis utama dan Cholo kawan rapatnya adalah sebahagian tentera upahan yang keluar dimalam hari untuk memusnahkan zombie.

Jika membaca filem ini dengan teliti maka tidak dapat tidak Green adalah The Green Zone kawasan yang paling selamat di Baghdad dimana kuasa imperial Anglo-Amerika dan pentabiran kerajaan boneka Iraq menginap. Sungai di hadapan Green ini adalah sungai Dajlah kerana Baghdad terletak ditebing sungai. Malah ada diperlihatkan imej peta Green, walau pun untuk beberapa saat tetapi reka bentuk kedudukan Green ini seakan-­akan sama dengan kedudukan The Green Zone di Baghdad.

Zombie dalam dalam Land of the Dead adalah warga Iraq dan gerakan gerila Iraq yang berterusan datang tanpa berhentikan walau pun telah berkali-kali bom dan dimusnahkan oleh Riley dan Cholo. Dengan kekuatan kereta kebal, soldadu dibawah pimpinan Riley telah gagal untuk menumpaskan kebangkitan para zombie-zombie yang bangun menuju ke bangunan Green.

Untuk memperjelaskan metapora perang Iraq ini ada beberapa adigan dijalan raya dimana Riley sempat berbual dengan seorang pendakwah Kristian – Charlie – yang juga sedang menyusun gerakan bersenjata untuk menentang Kaufman di Green. Kata buat seperti – “come back to Jesus” dan “give up your lives of sin” diperdengarkan. Memang bukan ajaran Islam yang didakwahkan oleh Charlie tetapi watak ini tidak jauh bezanya dengan gerila pimpinan Moqtada Sadr.

Dalam satu adegan, Cholo yang dimainkan oleh John Leguizamo, pelakun Latino ini telah berkata dengan marah apabila dia ditipu oleh Dennis Hopper – “I will do a jihad on his arse.” Perkataan jihad ini adalah unsur yang paling jelas sebagai metapora Iraq dalam Land of The Dead.

The Green akhirnya dapat dimusnah oleh zombie. Dalam babak akhir secara jelas sebatang gerudi telah diangat oleh ketua zombie – berkulit hitam. Akhirnya Kaufman mati dalam curahan curahan petrol. Gerudi dan petrol ini adalah semiotik tanda dan makna tentang fiem ini.

Sayangnya filem ini telah digerudi oleh para moralis penapis filem kita. Filem ini terloncat-loncat dan terputus­ putus jalan ceritanya. Kata bualnya hilang mungkin kerana carikan. Saya tidak tahu apa asas pemotonganya. Keganasan dalam filem ini terlalu komidi untuk diambil sebagai satu yang serious. Mayat bangun kembali adalah lawak dan tidak perlu diambil dengan pandangan moral yang ketat. Dalam hal ganas dan menakutkan pada saya, pembaca warta berita dalam TV kita yang memakai gincu tebal dan make up tebal itu lebih menakutkan dari para zombie yang saya lihat dalam Land of the Dead.

Walau bagaimana pun, pergilah tonton filem ini dan lihat bagaimana dan ke mana akhirnya zombie-zombie dan para tentera upahan ini menuju. Sesudah menontonnya filem ini ikuti kembali berita dan perkembangan perang di Iraq. Dan juga ikuti sama tentang gerakan anti perang di Amerika Syarikat sendiri.

Saya rasa ini tidak lama lagi pasti akan banyak filem-filem genre perang akan dibuat untuk menilai kembali peranan soldadu Amerika di Timur Tengah. lni sama sahaja seperti setelah selesainya perang Vietnam. Apa yang menarik dalam filem Land of the Dead ini ialah Romero membuat satu filem anti perang dengan menggunakan zombie.

~~~

Isham Rais adalah seorang Marxist (berjenis Groucho) dan koordinator NGI (Non-Governmental Individual), satu pergerakan massa yang dianggotai oleh satu orang.

First Published: 30.09.2005 on Kakiseni

Item Berkaitan

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…