logo

let’s make something together

Give us a call or drop by anytime, we endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.

*Five Arts Centre is moving! New address and phone number coming soon.*

Penyair Perang Balkan

  • Ogos 4, 2004
  • 586 Views

By Amirul Fakir

Ketika dihubungi oleh Eddin Khoo, seorang penulis dan pengkaji budaya, tentang hasratnya untuk melakukan ziarah seni ke Yayasan Kesenian Perak (YKP) bersama-sama dengan penyair tersohor dari Amerika baru-baru ini, kurator YKP Nur Hanim agak kaget dan berdebar-debar. lni bukanlah kerana YKP tidak pernah menerima tetamu dari luar negara tetapi tarikh kunjungan yang dijadualkan begitu singkat sedang beliau begitu berharap agar peluang ini dapat dimanfaatkan oleh para penggiat dan pencinta seni di sekitar bandar raya Ipoh untuk bersama mencicipi pengalaman seni lewat kunjungan tersebut. Demikian yang dimaklumkan oleh beliau sewaktu meraikan kehadiran tetamu dan sebagai apologi terhadap kehadiran khalayak yang kurang memberangsangkan.

Pertemuan pada malam tersebut agak santai dan Eddin Khoo seorang eseis budaya dan penterjemah, telah memperkenalkan Christopher Merrill sebagai penyair, penterjemah dan penulis bebas kelahiran Amerika tahun 1957. Beliau pernah menyandang kursi William H. Jenks dalam bidang persuratan kontemporari di Holy Cross College, kini merupakan professor bahasa Inggeris dan pengarah bagi International Writing Program di Universiti Iowa. Empat kumpulan puisi beliau telah diterbitkan iaitu Brilliant Water; Workbook, Fever & Tides dan Watch Fire yang mana kumpulan puisi mutakhir ini telah menerima anugerah: The Peter I.B. Lavan Younger Poets daripada The Academy Of American Poets.

Penyair tersohor ini turut menangani kerja penterjemahan hasil karya pengarang Eropah Timur dan di antaranya karya Ales Debeljak’s Anxious Moments, The City and The Child, From the Faraway Nearby: Georgia O’Keeffe as Icon, dan beberapa karya terjemahan yang lain. Manakala karya non-fiksi garapan beliau ialah The Grass of Another Country: A Journey Through the World of Soccer, The Old Bridge: The Third Balkan War and The Age of the Refugee serta Only The Nails Remain: Scene from the Balkan Wars. Karyanya telah diterjemahkan ke dalam enam belas bahasa.

Christopher Merrill ketika diberikan kesempatan untuk tampil, telah membacakan cuplikan daripada buku yang baru sahaja diterbitkan iaitu Only The Nails Remain bagi memberi gambaran tentang situasi perang di negara Balkan itu daripada pengamatan seorang wartawan bebas. Menjelaskan berkenaan cuplikan prosa yang dibacakannya itu, beliau menyatakan bagi mengekalkan ‘kewarasan’nya dalam berhadapan dengan kancah peperangan, beliau terpaksa menulis. Malah menurutnya pengalaman di Sarajevo menjadikan beliau begitu menghargai arti kehidupan dan makhluk di sekelilingnya.

Apatah lagi tatkala beliau mengalami sendiri saat dihujani peluru daripada penembak curi (sniper) yang bagi warga di sana adalah suatu rutin dalam hidup mereka. Untuk mengatasi trauma itu, beliau setiap hari akan ke kawasan tragedi dan menulis bagi melenyapkan ketakutan yang menghantui diri. Hampir 70 000 pelarian perang yang terpaksa bersembunyi di bukit dan gunung dengan segala kepayahan dan kesengsaraan. Manakala setiap lima belas minit pula akan ada orang awam dan kanak-kanak yang menjadi korban puak Serb. Ini amat meruntun nuraninya untuk menukilkan di dalam buku tersebut.

Oleh kerana ingin merasai kegetiran dan keperitan dalam situasi perang, beliau lebih rela menumpang di kem perlindungan daripada menginap di Hotel Holiday Inn yang dikhaskan kepada wartawan perang. Waima pernah tidak mandi selama tiga minggu lantaran ketiadaan air dan elektrik akibat serangan puak Serbia ketika itu. Pergaulan dan persahabatannya dengan orang tempatan menjadikannya risi untuk menyarung jaket keselamatan United Nation yang dikhaskan kerana berasa tidak adil baginya berlindung di sebalik jaket itu sedang teman-teman yang digauli, saban detik terdedah dengan ancaman maut. Tambahan pula jaket itu amat diminati kalangan pencuri yang sememangnya berleluasa di sana.

Menggauli dunia para seniman di Sarajevo memberikan dampak yang cukup berarti dalam penghasilan karyanya, lantaran dapat menyelami akan upaya para seniman itu melahirkan karya-karya mereka dengan begitu intens dan menghargai setiap detik yang dinikmati agar dapat memberi makna kerana sedar bahawa hidup bisa berakhir tanpa pamitan. Namun di sebalik dentuman bom dan peluru, aktivitis seni tetap tegar menampilkan berbagai persembahan terutama teater. Malah pencinta seni juga tidak mengecewakan, tetap menghadiri acara biarpun terpaksa berhadapan dengan serangan penembak curi.

Sepanjang berada di negara Balkan itu, beliau tidak menghasilkan sebarang puisi kerana berasa adalah lebih wajar ianya dilahirkan oleh para penyair di sana yang baginya pasti lebih menusuk pengucapan puisinya. Ini dijelaskan oleh beliau ketika membacakan beberapa buah puisi seperti ‘Childhood’, ‘The Sea’ dan ‘Fables’ daripada kumpulan puisinya; ‘Watch Fire’ yang diterjemahkan pula ofeh Eddin Khoo ke dalam Bahasa Melayu.

Menurut beliau lagi, puisi-puisi yang dibacakan itu adalah imbauan daripada zaman lampaunya ketika kecil dan alam percintaannya yang mengasyikkan. Penyair mapan, Suhaimi Hj. Muhammad yang hadir pada malam itu, begitu tertarik dengan puisi yang berjudul ‘Fables’, karya Chritopher Merrill, lantaran bersesuaian dengan aliran surrealisme yang menjadi identiti beliau dalam dunia perpuisian tanah air, meminta izin untuk membacakan beberapa buah puisi yang beraliran sedemikian, daripada kumpulan puisi dwi bahasa beliau berjudul Tulang (Bones). Manakala Eddin Khoo diminta agar membacakan versi Inggeris bagi puisi-puisi tersebut.

Ketika menjawab beberapa persoalan yang dilontarkan oleh tokoh seniman dan khalayak yang hadir, antaranya Prof. Madya Dr. Zakaria Ali dan Raja Ahmad Aminullah, Christopher Merrill secara jujur mendedahkan corak pemberitaan di Bosnia adalah lebih saksama dan dapat dipercayai sedangkan apa yang berlaku di Iraq kini penuh dengan muslihat dan wartawan perang sudah ditunggangi serta tidak bebas dalam melaporkan peristiwa. Ini begitu memalukan bagi sejarah kewartawanan, tegas beliau.

Namun beliau berasa amat bersyukur kerana tidak terlibat dalam persekongkolan tersebut. Malahan rasa syukur itu mulai dikecapinya sebaik sahaja beliau berjaya keluar dari bumi Sarajevo dengan hayat yang masih dimiliki meskipun kesedihan tetap membekas kerana ‘meninggalkan’ teman-teman yang sering membantunya tatkala harus berdepan dengan maut. Sebagai menghargai pengorbanan teman-temannya itulah beliau sentiasa menulis tentang pengalamannya di medan perang hatta di dalam majalah sukan. Sepertimana yang didedahkannya pada khalayak pada malam itu, tentang kisah seorang pemain bola Bosnia yang terselamat daripada maut dan hanya ditempatkan di kem tahanan selama tiga bulan sebelum dibebaskan lantaran dikenali oleh askar Serbia yang menawannya! Segalanya ini dilakukan oleh beliau dengan harapan peminat sukan turut memahami situasi perang dan dapat pula menyedarkan dunia betapa dahsyat dan hodohnya wajah perang. Sebelum mengakhiri luahan hati dan bicaranya, Christopher Merrill sempat melontarkan pendapat tentang dunia kepengarangan. Bagi pandangan beliau, penulis hanya ada dua kategori iaitu yang berjaya dan yang terus berusaha dalam menampilkan hasil karya dan gagasannya. Untuk itu seorang penulis yang masih berusaha perlu memiliki ketahanan dan stamina yang jitu demi melangsungkan hayat kepengarangannya, ujar beliau sambil mengorak senyum yang penuh bermakna.

Yayasan Kesenian Perak

Christopher Merrill Official Site

Because
By Christopher Merrill
variation on a theme by Yannis Ritsos

Because the Dead Sea released its hostages – the taste for salt, a rudder and a sail;
Because a band of Roman slaves, disguised in their master’s robes, fled across the Continent;
Because one manuscript, one waxen shoal of words, burned a monastery down;
Because the sun spurned the Black Forest, and windmills ground the peasants into the earth, into the air, into the voice of the boy who cried wolf;
Because the crowd hissed at the empty stage, and the prompter drank himself to sleep, and the diva hid in the pit;
Because we let barbed wire replace our wooden faces and fences;
Because a scream left a trail through the ruined air;
Because I followed that trial into the woods, where my hands dissolved in smoke and rain;
Because I wandered for days, weeks, until I found himself outside a walled city, a city abandoned hundreds of years ago;
Because I couldn’t scale the walls nor find a way to return to my homeland, and so I settled along a river in the desert;
Because the river changed course, and its banks crumbled into the dry bed, where I was on my knees, speechless and afraid;
Because whenever I hike into the desert, I talk and talk and talk;
Because I have never been to the desert;
Because I refuse to follow any trial whose markings are not completely clear;
Because I distrust signs, guideposts, land- and seamarks;
Because on my single visit to the ancient city I rifled the ruins for potsherds and stone tools – and was warned never to return;
Because I heed all warnings, all directives from the crowd;
Because I won’t listen to anyone but myself;
Because I love to cry wolf;
Because everything I read smells of smoke;
Because sometimes I wake at night to find my hands covered with salt, my sheet wrapped around me like a sail;
Because I can’t tell this is the desert or the sea;
Because I never learned to read the stars and don’t know where we’re heading;
Because of this and more, much more, I hid your name in the well…
and here it is again, filling my cup.

Across the River, To the East
by Alex Debeljak (Translated by Andrew Wachtel)

It was a young buck, that rushed across the clearing. A long-ago
shot on the bridge in the middle of the town, which, dying away, echoes in your brain.
But it doesn’t matter. Water drips over the weir. The master of passages in a massive
villa above the confluence of rivers rolls over in restless sleep. The echo

of his every step rings emptily. The band in the park falls silent. And you, who walked
through camps and long Russian winters, slide silently past guards
who are looking the other way. You slip quickly across the courtyard
floored with gray bones. Long ago you crossed the ultimate

frontier. You learned the world’s basic rules. He survives who
knows how to accept the painful gift. Don’t look at the patterns on the ceiling.
Strike the way most only dream; so that the skull cracks like vanilla

wafers. Strike. So that, on the glistening razor’s edge, angels will moan and the passion
in youthful veins will stop dead. Let our people recognize themselves in their open
wounds, if there’s no other way, let the last citadel finally fall.

First Published: 04.08.2004 on Kakiseni