Dari Kamar Cinta ke Medan Perang

Nah, akhirnya kita menyaksikan Troy dengan Brad Pitt sebagai Achilles. Puas hati? Saya mendengar ada yang mengatakan boleh tahan, tetapi ada juga yang terus terang kecewa.

Kepuasan sebenarnya tidak mungkin dicapai dalam filem. Saya katakan mustahil. Ujiannya mudah. Mahukah anda melihat Troy sebanyak dua kali? Mungkin. Tetapi kali kedua, ketiga dan keempat? Anda memerlukan usus yang kuat untuk tidak muntah.

Tetapi mereka yang mula mengunyah Iliad puisi itu akan menjadi santapan seumur hidup. Troy juga dikenali dengan nama Illium, maka puisi Homer yang mengesah perang antara konfederasi Greek dengan Troy di panggil Iliad, bermaksud puisi tentang Illium.

Siapakah tokoh utama dalam puisi epik ini? Pastinya Achilles, yang dalam puisi itu dipanggil Akhilleus. Di baris pertama puisi itu telah menyebutkan nama wira tersebut.

Dewi, kau nyanyikan amok Achilles putera Peleus

Mengapa Achilles mengamok dan amoknya menyebabkan ramai tentera yang mati. Tema penting ini, bahkan inti kepada seluruh drama Iliad tidak jelas dalam filem yang diarahkan oleh Wolfgang Peterson bukan sahaja samar, mengelirukan lagi.

Perang di Troy belaku selama sepuluh tahun dan perang tidak berlaku setiap hari. Meskipun kota itu dikepung oleh persekutuan Greek, “coalition of the willing” yang di ketuai oleh Raja Agamemnon – kehidupan di Troy hampir berjalan seperti biasa, seperti perang antara Iraq dan Iran tahun-tahun 1980an. Adakala Iraq membuat offensif dan ada kalanya Iran. Ada kalanya tentera Troy undur dan ada kalanya Greek lari ke kapal-kapal mereka.

Dengan pelayaran yang begitu jauh dan perang yang begitu lama dimanakan Agamemmnon mendapat belakan untuk bala tentera sekutunya? Bukan sahaja makanan, tetapi juga keperluan libido. Mereka menyerang negeri­-negeri berdekatan, merampas makanan dan membawa lari perempuan-perempuan mereka.

Harta-harta rampasan di bahagi-bahagian di kalangan tentera, tetapi Agamemnon, sebagai field marshall, diberikan rampasan terbesar. Bukan sahaja harta tetapi juga wanita. Yang tercantik antara wanita yang ditawan adalah Brisies, puteri kesayangan seorang petapa yang menyembah dewa Apollo. Kepada Achilles, Homer memberikannya gelaran orang Greek yang terbaik, dihadiah wanita yang tidak kurang cantiknya, Brisies.

Achilles pasti melayani tawanan wanitanya dengan baik, perangai wira itu tidak selalunya baik, anginnya datang dan pergi, kerana dari teks Homer kelihatan Brisies menyayangi Achillis. lni munasabah, perempuan mana tidak mahu menjadi isteri, gundek sekalipun, kepada jendral yang di kagumi oleh kawan dan lawan.

Konflik antara Achilles dan Agamemnon meletus apabila penyembah Apollo datang ke kapal raja itu untuk menebusnya anaknya, Chryses yang diserahkan kepada Agamemnon. Agamemnon menolak, bahkan mengusir dan menghina sang petama. Orang tua itu berdoa memohon bantu dari Apollo, dewa yang memiliki busur yang diperbuat dari perak, untuk menurunkan mala petaka kepada tentara Greek.

Apollo menurunkan wabak yang membunuh haiwan, ternakan dan juga tentera-tentera Greek. Achilles merasakan setelah sembilan tahun usaha untuk menawan Troy akan sia-sia dan memanggil jendral-jendral untuk mencari punca wabak tersebut. Dan seorang pawang menelek bahawa wabak tersebut datangnya dari Apollo yang marahkan Agamemnon yang menghina penyembahnya.

Demi kebaikkan semua Agamemnon menyerahkan Chryses kepada bapanya, tetapi mahukan gantinya, dan memilih Brises, gundek Achilles, mungkin sengaja untuk menghina Achilles yang berani menggugat otoritinya. Achilles nyaris membunuh Agamemnon kalau tidak ditahan oleh dewi Athena. Achilles berang, merajuk, menangis di pantai dan mengadu kepada ibunya, seorang dewi yang menuhi di dasar laut. Achilles hanya kembali berperang setelah kawan rapatnya Petroclus dibunuh oleh Hector.

Bagaimana perang meletus diceritakan dengan tepat. Paris, si playboy dari Troy, melarikan Helen, wanita paling cantik, dan telah menjadi isteri kepada Menaleus. Menaleus berang dan amat malu. Abangnya raja Agamemnon membentuk “coalition of the willing” untuk menebus aib keluarganya. Sebagaimana Amerika membentuk “coalition of the willing” kerana minyak di Iraq, menurut pandangan golongan kiri, di zaman purba ini lakukan kerana seorang wanita. Nampak puitisnya tindakan Agememnon dan sekutu greeknya. Tetapi perang kerana minyak, tindakan yang dirancang oleh neocon di Washington adalah banal.

Peranan dewata yang hapuskan sepenuhnya dalam filem ini. Apakah kita percaya dengan alam dewata atau tidak bukan soalnya tetapi menurut Homer – dan kita hanya mengetahui Troy melalui Homer – dewa-dewa dan dewi bukan sahaja campurtangan tetapi juga terbalah dua, satu di pihak Troy dan satu lagi di pihak Greek.

Apabila Paris dilukakan oleh Manaleus, dan jatuh, putera Priam yang kacak itu tidak diselamatkan oleh abangnya Hector, dan Hector tidak melukakan apalagi membunuh Menaleus seperti yang digambarkan dalam Troy. Aphrodite, dewi cinta, dewi yang menjanjikan Helen untuk Paris kerana beliau memilihnya sebagai dewi paling cantik di kayangan, menyelubunan Paris dalam kabus dan membawanya terbang ke dalam kamar tidurnya.

Helen mula benci dengan sikap Paris yang hanya perkasa di kamar tidur tetapi lembek di medang perang. Helen menghinanya. Paris tidak marah dengan sindiran Helen, sebaliknya syahwatnya yang naik.

Mari, kita panjat katil, karamkan ingatan dalam nafsu!
Belum pernah syahwat sebegini pada mu menguasai diriku
Tidak juga pada hari aku melarikanmu, berpelukan di pulau berbatu –
Tidak sama seperti aku mahukan kamu sekarang.

Paris dan Helen berpelukan di kamar cintanya, sementara Maneleus mundang-mandir di medan perang mencari Paris.

First Published: 25.06.2004 on Kakiseni

Related items

For Translation

The 8th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

The 7th Annual BOH Cameronian Arts Awards — Results!

dance Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize of RM1,000 Prize…

This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.